Tuesday 31 March 2009

"Bantuan" dah mula turun di dua bukit

Seperti yang umum ketahui, apabila ada pilihan raya kecil maka turunlah "bantuan demi bantuan" oleh kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab kepada rakyat jelata. Ia adalah sandiwara politik.

Bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa mengumum nama calon UMNO/BN di Bukit Gantang telah berjanji bahawa, tidak seperti biasa, kerajaan tidak akan melaksanakan pembangunan "mi segera".

Kepada Najib, yang belum mengangkat sumpah sebagai PM, saya ingin bertanya bagaimana pula dengan "bantuan mi sejuk beku?" Bantuan yang diberikan semasa kempen pilihan raya kecil tidak ubah seperti makanan sejuk beku yang boleh diguna (masak/goreng) untuk dimakan kemudian.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar adalah antara menteri yang awal-awal memberi "bantuan" di Bukit Gantang. "Bantuan Modal Perniagaan TEKUN" telah disampaikan oleh beliau kepada segelintir "pemohon" yang layak.

Kenapa sekarang baru nak bagi? Kenapa tunggu pilihan raya kecil baru nak turun padang dan beri bantuan? Bukankah ini satu sandiwara politik?

Noh turun ke Bukit Gantang atas urusan rasmi kementerian tetapi ucapannya termasuk semasa mengadakan sidang media, dia cakap pasal pilihan raya kecil itu. Dia hentam "pembangkang" habis-habisan. Apa kena mengena dengan pilihan raya kecil mahupun TEKUN?

Seperti menteri-menteri lain, Noh bijak menggunakan "majlis rasmi" untuk berkempen kerana dengan berbuat demikian, tuntutan boleh dikemukakan kerana menjalankan tugas rasmi, bukan tugas politik. Jika tugas politik, tiada sebarang tuntutan seperti perjalanan, penginapan dan saraan hidup boleh dibuat. Bukankah ini bijak namanya?

Di Bukit Selambau lagi hebat. Ketua Putri UMNO Rosnah Abdul Rashid Sirlin turun padang dan pada satu upacara, dia menyampaikan bantuan atau sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada penduduk. Hebat.

Kita akan melihat dan menonton di tv lebih banyak "bantuan, sumbangan dan sikap keprihatinan" pemimpin ke atas rakyat di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan tidak ketinggalan Batang Ai di Sarawak.

Satu perkara yang menarik perhatian ialah UMNO/BN mengulangi kesilapan apabila menurunkan Ezam Mohamad Nor untuk berkempen. Saya pernah katakan dia bukan aset tetapi liabiliti seperti yang terbukti di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Nampaknya UMNO masih melihat Ezam sebagai "senjata sulit" untuk meraih kemenangan walupun dah dua kali rebah.

Di Bukit Gantang Menteri Pertanian Mustapa Mohamed hadir untuk merasmikan Bulan Veterinar Peringkat Negeri Perak. Kenapa sekarang dan kenapa di Bukit Gantang?

Di Bukit Selambau Menteri Pelajaran Hishammudin Hussein serah cek bernilai RM210,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Getah. Kenapa sekarang dan kenapa di Bukit Selambau?

Sunday 29 March 2009

1993 - Daulat Rakyat, kini daulat siapa?

Salah satu perkara yang bakal dijadikan bahan kempen di Bukit Gantang sudah pasti isu "derhaka" dan "kedaulatan raja".

Isu ini akan diulas, dikupas dan ditumis hingga masak oleh kedua-dua pihak utama yang mempertaruhkan nasib di Bukit Gantang. Rakyatlah yang menjadi hakim dan keputusan itu akan memberi isyarat tentang siapa yang dipercayai dan siapa pula yang dicurigai.

Bercakap mengenai "kedaulatan raja" dan soal "derhaka," teringat saya akan peristiwa 1993 apabila kerajaan BN pimpinan UMNO mengusulkan pindaan Perlembagaan yang membabitkan "kekebalan" raja-raja Melayu dari segi undang-undang.

Semasa membentang Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 di Dewan Rakyat pada 18 Januari, 1993, Perdana Menteri (ketika itu) Dr Mahathir Mohamad antara lain berkata:

Sistem Raja berkuasa penuh sudah menjadi lapuk di seluruh dunia. Di merata-rata tempat Sistem Beraja ditamatkan terus. Di mana ia dikekalkan, kuasa Raja dihadkan oleh Perlembagaan atau undang-undang asas negara.

Justeru itu, semasa Persekutuan Tanah Melayu menuntut kemerdekaan, pemimpin-pemimpin rakyat telah mengkaji sistem-sistem pemerintahan dengan mengambilkira sejarah negeri-negeri Melayu dan sistem-sistem pemerintahan lain.

Beliau juga memberitahu Dewan Rakyat bahawa Raja perlu diletak dibawah suatu Perlembagaan yang menentukan kedudukan dan peranan Raja. Dengan cara itu, Raja tidak lagi boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya.

"Kuasa Raja akan ditentukan oleh Perlembagaan, iaitu undang-undang asas negara," tegas beliau.

Dr Mahathir turut mengingatkan rakyat bahawa semasa negeri-negeri Melayu diperintah melalui sistem fiudal dengan kuasa di tangan Raja, negeri-negeri Melayu adalah begitu lemah dan pentadbirannya berada dalam keadaan kucar-kacir. Negeri-negeri Melayu tidak dapat menentukan keamanan dan menguatkuasakan undang-undang.

Semua wakil rakyat BN dari UMNO kecuali Tengku Razaleigh Hamzah menyokong rang undang-undang tersebut. Krisis antara Kerajaan dengan Raja-Raja Melayu terbawa-bawa hingga ke akar umbi.

Foto yang dikutip daripada buku tulisan Dr Rais Yatim, "Faces In The Corridors Of Power " yang menunjukkan dua orang penyokong UMNO memakai kemeja T dengan gambar Dr Mahathir dan kata-kata "Daulat Rakyat" memperlihatkan tentang sokongan terhadap usaha mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu.

Sejarah membuktikan bahawa isu atau kedudukan Raja-Raja Melayu dijadikan bahan untuk kepentingan politik. Pendirian boleh berubah seperti yang dibuktikan oleh peristiwa 1993 dan soal semasa di Negeri Perak serta tindakan YB Karpal Singh mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak.

Krisis Perlembagaan pada 1993 begitu serius kerana ia menggugat kedudukan Raja-Raja Melayu dan ada pihak yang mula memperkatakan tentang Malaysia mungkin bertukar menjadi sebuah republik. Tidak muncul atau tampil golongan yang berarak di jalan atau ke Istana "mempertahankan kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu" ketika itu.


Selain isu Raja-Raja Melayu, soal "ketuanan Melayu" juga dijadikan bahan untuk berkempen walaupun erti sebenar "ketuanan" masih kabur di kalangan mereka. "Ketuanan" bukan bermakna "Melayu menjadi tuan" tetapi ia merujuk kepada "hak menguasai dan memerintah sebuah negeri" dan ia ada kaitan dengan soal "kedaulatan".

Raja-Raja Melayu boleh dirujuk atau dilihat sebagai melambangkan "pertuanan" iaitu golongan orang bangsawan.

Ada pihak yang menyamakan "ketuanan Melayu" dengan perkataan Inggeris "supremacy" dan hujah sedemikian boleh diterima jika ia dirujuk kepada Raja-Raja Melayu dan bukan kepada golongan elitis politik kerana ia bermaksud "keagungan" iaitu ia melebihi yang lain dalam pangkat dan kuasa, sebagai contoh Yang di-Pertuan Agong.

Sesungguhnya Malaysia sudah lebih separuh abad Merdeka dan kita tidak lagi "mempertuankan" atau mengaku tuan kepada pihak penjajah. Kita adalah tuan kerana kita berpegang kepada "ketuanan" yang membolehkan kita memerintah kerana kita telah MERDEKA.

Kita sebenarnya mempertahankan "ketuanan" apabila kita bebas memilih parti politik yang kita percayai dan yakin mampu untuk membentuk kerajaan atau pentadbiran sama ada di peringkat Persekutuan ataupun Negeri.

Rakyatlah yang sebenar-benarnya mempertahankan "ketuanan" dan "kedaulatan" negara.