Tuesday 15 September 2009

Apabila kita berpecah dan tidak sepakat

Satu demi satu perbuatan, kejadian dan tingkahlaku pihak dan golongan tertentu terhadap maruah dan kedudukan orang Melayu dipaparkan dan dipancarkan ke seluruh dunia.

Saya tidak mahu mengulangi semua perbuatan yang bersifat biadab itu tetapi cukuplah dengan menyebut suara si baghal yang menghadiri mesyuarat agung Kongres India Malaysia (MIC) yang mahu mengalung selipar pada gambar mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lazimnya, masyarakat India akan mengalung 'bunga malai' kepada individu yang dihormati terutama pemimpin dan mereka yang diiktiraf sebagai ketua. Kalungan itu menandakan penghormatan tinggi yang diberikan kepada tokoh berkenaan. Tun Dr Mahathir pernah dikalung bukan satu, dua atau tiga bunga malai oleh masyarkat India tetapi lebih daripada itu pada satu majlis. Sesungguhnya masyarakat India menghormati dan menyanjungi Tun Mahathir.

Mungkin ada yang berkata itu semasa Tun Mahathir berkuasa, benar tetapi amalan itu diteruskan selepas dia bersara kerana Tun Mahathir adalah seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara dan amat dihormati.

Persoalannya, kenapa si baghal dalam MIC itu berani mengeluarkan kata-kata yang turut memeranjatkan sebilangan besar perwakilan MIC termasuk presidennya Datuk Seri S Samy Vellu?

Dia berani berbuat demikian kerana dia belajar daripada 'keberanian' puak-puak tertentu mencabar kerajaan dan kepimpinan negara. Dia melihat betapa kepimpinan Melayu mula dipertikai dan dipersoalkan secara terbuka walaupun kita sedar sebelum ini ia sememangnya berlaku secara berselindung.

Kenapa golongan tersebut berani berbuat demikian? Kenapa si baghal itu berani menghina Tun Mahathir dalam satu perhimpunan rasmi masyarakat India dan secara terbuka?

Jawapannya - dia dan mereka sedar bahawa orang Melayu tidak lagi bersatu, orang Melayu sudah berpecah-belah dan kepimpinan Melayu dilihat sebagai lemah. Itulah puncanya dan ianya bermula selepas era pemerintahan Tun Mahathir.

Salah siapa?


Monday 14 September 2009

Osama Bin Laden - pengganas nombor satu?



Inilah mangsa kekejaman pengganas Israel dan Amerika Syarikat.

Kediaman mereka dibom dan dimusnahkan. Yang menjadi mangsa ialah kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Kenapa media Barat tidak melabelkannya sebagai mangsa pengganas? Kenapa Al-Qaeda, Osama Bin Laden, Hizbullah, Sheikh Hassan Nasrallah dan pejuang pembebasan Palestin dirujuk sebagai pengganas? Kenapa media Malaysia dengan begitu senang terikut-ikut dengan rujukan media Barat?














Media Malaysia terutama yang dimiliki dan dikawal oleh pemerintah seperti RTM dan Bernama, tidak semestinya terikut-ikut dengan sudut laporan media Barat berkaitan isu-isu tertentu, lebih-lebih lagi yang berkaitan dunia Islam.

Pihak Barat, terutama Amerika Syarikat, mempunyai tujuan dan agenda tertentu dan kita di Malaysia tidak seharusnya ikut saja apa yang dilapor atau disalurkan oleh media mereka.

Contoh paling terkini ialah kemunculan pita rakaman terbaru Osama Bin Laden yang dituju khas kepada rakyat dan pentadbiran Amerika Syarikat.

Semasa menonton berita melaui RTM, saya amat kecewa mendengar laporan yang menyebut Osama Bin Laden sebagai pengganas - satu tuduhan yang diada-adakan oleh Amerika Syarikat dan Barat. Tetapi, kenapa media Malaysia terikut-ikut merujuk kepada Osama sebagai pengganas? Adakah Osama mengganas terhadap kita atau kepada dunia atau dia berjuang untuk membebaskan sebuah negara yang dicerobohi dan dinodai oleh Amerika Syarikat dan Barat?

Media Malaysia mesti tahu untuk membezakan antara pengganas dan pejuang kebebasan dan jangan terlalu mudah mencedok apa saja yang disajikan oleh media Barat melalui agensi-agensi berita mereka.

Osama sanggup meninggalkan kekayaan dan kemewahan hidup untuk berjuang bersama-sama para Mujahidin Afghanistan menentang pencerobohan Soviet Union dan seterusnya pendudukan Amerika Syarikat dan NATO. Dia tidak seharusnya dilabel sebagai pengganas tetapi seorang pejuang kebebasan yang berani menentang pencerobohan sebuah kuasa besar ke atas sebuah negara Islam atas alasan untuk menghapuskan pengganas.

Kita marah apabila pihak Barat, terutama Inggeris, merujuk kepada Tok Janggut, Dato Bahaman, Mat Kilau, Dato Maharaja Lela, Rosli Dhobi, Dato Naning dan Rentap sebagai penderhaka dan pengganas. Kepada kita, mereka adalah pejuang bangsa yang menentang sebuah kuasa asing. Mereka adalah pejuang kemerdekaan dan pejuang kebebasan.

Begitu juga dengan Osama, dia adalah pejuang kebebasan, bukan pengganas seperti yang dilabelkan oleh Amerika Syarikat dan Barat. Kenapa kita begitu mudah mengikut telunjuk asing untuk turut sama merujuk kepada Osama sebagai pengganas?

Jika nak lapor berita mengenai Osama, tidak perlu menyebut atau merujuk kepadanya sebagai pengganas, cukup dengan menyebut namanya sahaja. Pengganas bagi Amerika Syarikat dan Barat bukan bermakna pengganas bagi kita di Malaysia.

Bukan semua yang dilaporkan oleh media Barat itu benar dan betul belaka. Mereka sering menipu dan memutar-belit berita semata-mata untuk kepentingan negara mereka seperti yang dilakukan sebelum mereka menyerang dan menduduki Iraq. Mereka juga sedang memutar-belitkan berita untuk memburuk-burukkan Iran dengan matlamat untuk menyerang negara republik Islam itu.

Media Malaysia semestinya peka dengan apa yang sedang berlaku atau yang sedang dilakukan melalui edaran berita dan tidak seharusnya mengambil bulat-bulat sumber berita dari Barat.