Thursday 29 July 2010

Guru dan politik

Akibat  berkurangnya sokongan orang Melayu,* maka dilonggarkan syarat dan dikendurkan larangan dalam Perintah-Perintah Am untuk membenarkan guru siswazah dalam gred tertentu aktif dalam politik. Langkah tersebut juga ada kaitan dengan,  saya difahamkan,  kedudukan dimana semakin bertambah guru, terutama guru Melayu, yang menyokong parti bukan UMNO.

* (Pemimpin UMNO akan cepat menyatakan bahawa sokongan orang Melayu bertambah ekoran daripada bertambahnya ahli parti itu. Tetapi ia tidak melambangkan sokongan majoriti orang Melayu)
 
Ramai orang yang bertanya kenapa guru sahaja dan tidak mencakupi perkhidmatan awam yang lain?

Alasan yang diberikan adalah tugas guru tidak terlibat dalam tindakan-tindakan bercorak eksekutif yang berada di tangan pegawai tadbir (pegawai peringkat pengurusan yang dilarang berpolitik) yang memungkinkan mereka menyalahguna kuasa yang ada. Kita terima sajalah alasan tersebut kerana ada kebenarannya.

Walaubagaimanapun, kedudukan dan peranan guru sekarang tidak boleh disamakan dengan zaman tercetusnya semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu berikutan cadangan pembentukan Malayan Union pada 1946. Ketika zaman itu, majoriti orang Melayu yang "berpelajaran" berkhidmat sebagai guru, kerani, posmen dan amat sedikit yang berjawatan tinggi. Oleh itu, kebanyakan "cerdik-pandai" peringkat pinggir bandar, kampung dan desa adalah guru dan merekalah yang berperanan selaku pemimpin.

Keadaan sudah berubah dan di kalangan orang Melayu sekarang sudah wujud golongan "terpelajar" dalam semua bidang termasuk perniagaan dan perdagangan, iaitu golongan yang disebut sebagai "orang korporat" walaupun istilah tersebut tidak tepat.

Kewujudan golongan elit Melayu sedikit sebanyak mengurangkan pengaruh dan peranan guru Melayu dalam politik, terutama politik UMNO dan ditambah pula dengan politik wang atau rasuah politik. Oleh itu, kita tidak boleh samakan peranan dan pengaruh guru semasa zaman tercetusnya semangat kebangsaan dan sebelum dan sedekad selepas Merdeka, dengan keadaan sekarang.

Jika UMNO berfikir yang dengan membenarkan guru siswazah aktif dalam politik akan menguntungkan perjuangan parti, mereka silap besar.  Seperti yang saya sebutkan terdahulu, ramai guru yang tidak menyokong UMNO mahupun Barisan Nasional.

Seperkara lagi yang mungkin menimbulkan masalah dan ketegangan di peringkat sekolah mahupun Jabatan Pelajaran ialah wujudnya dua atau tiga puak yang berlainan fahaman dan sokongan politik di sesebuah sekolah mahupun Jabatn negeri. Sekarang keadaan tidak begitu ketara kerana ada larangan berpolitik, tetapi ia pasti berubah apabila politik dibenarkan.

Cuba bayangkan satu kedudukan di sebuah sekolah menengah, pengetua sokong UMNO, penolong kanan hal ehwal pelajar sokong PAS manakala penolong kanan yang seorang lagi berkecuali dan di kalangan guru siswazah yang mengajar di sekolah berkenaan pun ada yang sokong UMNO dan ada yang sokong parti bukan UMNO.

Mahu atau tidak, suka atau tidak, satu hari mereka akan bertelagah, bertengkar dan "berkelahi" di sekolah kerana berlainan fahaman dan sokongan politik. Apa yang akan terjadi kepada kemajuan pembelajaran dan pengajaran di sekolah? Siapa yang rugi?

Ya, mungkin pihak Kementerian Pelajaran atau Pejabat Ketua Setiausaha Negara akan berkata guru tidak boleh membawa politik ke sekolah, tetapi siapa yang nak kawal? Siapa yang nak larang atau sekat seseorang guru daripada mengulas mengenai sesuatu isu politik yang sama ada di sokong atau di bantah olehnya semasa dia berehat di bilik rehat guru? Siapa pula yang nak larang seorang guru lain yang berlainan fahaman dan sokongan politik daripada membuat ulasan balas? Keadaan tersebut sudah tentu menjurus kepada perdebatan hangat antara mereka dan mungkin ada guru lain yang masuk campur. Apa kesudahannya?

Kita akui bahawa sokongan dan keanggotaan dalam mana-mana parti politik adalah hak mutlak seseoraang warga negara tanpa mengira apa tugas, jawatan dan kedudukannya. Kita juga mengakui bahawa pelajaran dan pendidikan amat penting bagi sesebuah negara untuk maju dan terus maju. Ianya tiada tolak ansur.

Tetapi, kita tidak mahu melihat politik di bawa masuk ke dalam sekolah kerana ia pasti akan menganggu-gugat perjalanan pembelajaran dan pengajaran yang boleh menjejas penimbaan ilmu di kalangan anak bangsa.




  

Tuesday 27 July 2010

Pilihan raya, anda silap sikit Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohamad Yassin berkata bahawa negeri-negeri yang bukan ditadbir oleh Barisan Nasional tidak boleh mengadakan pilihan raya secara berasingan dengan pilihan raya peringkat persekutuan.

Beliau dilaporkan  sebagai berkata hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhak menentu atau menetapkan soal berkaitan tarikh pilihan raya.

Jika diteliti secara kasar, betul tetapi jika dihalusi kita akan dapati bahawa Muhyiddin, seorang tokoh politik yang berpengalaman dan kini memegang jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran kerajaan persekutuan, silap sedikit.

SPR tidak boleh mengurus sesuatu pilihan raya sekiranya Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat tidak dibubarkan terlebih dahulu.

Jika Datuk Seri Najib Tun Razak nak mengadakan pilihan raya, katakan pada bulan April 2011, maka dia perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan baginda bagi membubar Dewan Rakyat atau Parlimen.

SPR mempunyai satu tempoh yang ditetapkan dalam Akta Pilihan Raya untuk mengurus pilihan raya bagi memilih anggota Dewan Rakyat. Sekiranya Parlimen tidak dibubarkan, SPR tidak boleh mengurus atau mengadakan pilihan raya.

Apabila Parlimen dibubarkan dan sekiranya Dewan-Dewan Undangan Negeri dibuar serentak, barulah SPR boleh mengurus pilihan raya untuk mengisi kerusi Dewan Rakyat dan DUN. Tetapi, jika DUN yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan tidak dibubarkan serentak dengan Pembubaran Parlimen, SPR tiada kuasa untuk mengadakan pilihan raya di negeri-negeri berkenaan.

Oleh itu, Muhyiddin silap apabila menyatakan bahawa SPR yang menentukan sesuatu pilihan raya dan bukan pihak lain. Yang jelas SPR hanya boleh berbuat demikian jika DUN dibubarkan. Andai kata pentadbiran PR di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan tidak mahu membubarkan DUN serentak dengan pembubabarn Parlimen dan DUN yang dikuasai oleh BN, SPR tidak boleh buat apa-apa kerana tiada kuasa atau peruntukan undang-undang untuk berbuat demikian.

Bidang kuasa SPR dijelaskan dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu:

113 (1) Maka hendaklah ada suatu suruhanjaya Pilihan Raya yang ditubuhkan mengikut Perkara 114, dan yang akan menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negeri serta menyedia dan menyemak daftar-daftar pemilih untuk pilihan raya itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan.

Pada asasnya, itulah kuasa SPR dan SPR hanya boleh bertindak atau melaksanakan tanggungjawabnya setelah dimaklumkan secara rasmi berkaitan pembubaran Dewan Rakyat artau DUN ataupun berlaku kekosongan kerusi dewan berkenaan oleh Speaker berkaitan.

Oleh itu, DUN yang dikuasai Pakatan Rakyat berhak untuk tidak membubarnya serentak dengan Dewan Rakyat atau DUN lain sekiranya mereka tidak mahu mengadakan pilihan raya serentak. Mereka boleh memilih untuk mencukupkan tempoh lima tahun seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.