Sunday 10 October 2010

Ku Li calon BN di Galas?

Mantan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), dilaporkan menerima tawaran untuk menjadi calon BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas yang ditetapkan pada 4 November depan.

Jika laporan itu benar dan kita yakin ia adalah benar, maka pilihan raya kecil itu bukan sahaja akan menguji kekuatan atau sokongan rakyat kepada Umno tetapi yang lebih jelas kepada Ku Li.

Kepimpinan Umno sedar bahawa keputusan pilihan raya kecil itu akan memberi kesan besar kepada parti itu jika calon mereka menang dan orang yang diyakini mampu membawa kemenangan tidak lain daripada Ku Li.

Harapan besar Umno kepada putera raja yang berpengaruh itu begitu nyata apabila Ku Li dilantik pengarah pilihan raya kecil Galas dan dicadangkan sebagai calon BN oleh Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Cadangan Muhyiddin mendapat sokongan meluas daripada ahli-ahli Umno semua peringikat terutama di Kelantan.

Yang jelas ialah pilihan raya kecil Galas tiba-tiba 'memulihkan' kepercayaan kepimpinan Umno peringkat tertinggi terhadap Ku Li yang mereka lihat sebagai 'duri dalam daging' terutama membabitkan isu tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Jika sebelum ini kepulangan Ku Li dari luar negeri tidak mendapat sambutan mahupun liputan media tetapi apabila tokoh veteran Umno itu pulang dari Eropah tiga hari lepas, beliau disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan serta penyokong masing-masing. 

Jarang sekali seorang Anggota Kabinet pergi ke lapangan terbang untuk menyambut kepulangan seorang  ketua bahagian parti yang tiada jawatan apapun dalam pentadbiran. Dalam politik apa saja boleh berlaku.
 
Begitulah hebatnya Ku Li dan begitu tingginya harapan Umno kepadanya untuk memenangi semula kerusi DUN Galas yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum lalu.

Thursday 7 October 2010

PR Kecil Galas - siapa tukang galas (kandar)?

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan bagi kerusi Galas akan diadakan pada 4 November, jika ada pertandingan kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

UMNO/BN dahpun melantik YBM Tengku Razaleigh Hamzah selaku Pengarah Pilihan Raya atas sifatnya sebagai pemimpin terunggul di Gua Musang dan wakil rakyatnya yang sekian lama. UMNO percaya pengaruh kuat Ku Li boleh memberi kemenangan kepada BN.

Yang pasti, UMNO yang bersungguh-sungguh ingin menang di Galas walaupun ia tidak akan memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri pimpinan YAB Tuan Guru Nik Aziz. Jika PAS ditakdirkan  menang maka akan kekal status quo, kata orang Inggeris.

Tetapi keputusan di Galas kelak dapat memberi sedikit gambaran mengenai sokongan orang Melayu, sekurang-kurangnya di Kelantan, dan memperlihatkan sejauh mana pengaruh Ku Li.

Apakah Ku Li akan mempertaruhkan pendiriannya mengenai royalti minyak yang dituntut oleh kerajaan negeri Kelantan sekiranya perkara itu dijadikan salah satu bahan kempen? Kita tahu bahawa pendirian Ku Li adalah sehaluan dengan kerajaan negeri Kelantan dan sudah tentu berlawanan dengan Kerajaan Persekutuan.

Kedudukan Ku Li semestinya sukar digalas kerana bak kata orang, telan mati emak, ludah mati bapa. Strategi yang diguna oleh UMNO kerana ia mengikat erat tangan Ku Li. Kita masih menunggu tindak balas Ku Li yang dijadual pulang ke tanah air lewat hari ini.

Walau apa pun, ada orang yang pasti menjadi tukang galas pada pilihan raya kecil DUN Galas, Parlimen Gua Musang, Kelantan.

Dalam pada itu, kita masih menunggu bila media arus perdana termasuk media penyiaran nak siar berita orang PAS keluar beramai-ramai untuk menyokong UMNO. Cerita begini cukup popular setiap kali berlaku pilihan raya kecil. Ataupun, mungkin kali ini berita basi seperti itu sudah benar-benar basi kerana rakyat tidak menerimanya sebagai sesuatu yang betul dan benar.