Sunday 27 February 2011

Dr Yusuf al-Qaradawi dan Ikhwanul Muslimin bukan pengganas



Saya sedih membaca laporan yang mengaitkan ulama terkenal dunia Islam, Dr Yusuf al-Qaradawi dan Ikhwanul Muslimin atau Muslim Brotherhood dengan pertubuhan atau pergerakan pengganas. Tuduhan tidak berasas dan liar itu didalangi  oleh Amerika Syarikat, puak Zionis dan Barat. Kita tahu kenapa mereka berbuat demikian.

Tetapi, yang lebih menyedihkan apabila ada negara dan pemimpin beragama Islam yang terperangkap dan terjerumus ke dalam kancah fitnah dan terikut-ikut dengan musuh Islam itu seperti kerbau dicucuk hidung.

Sebelum digulingkan, mantan presiden Mesir menindas dan menghumban ke penjara pemimpin-pemimpin  Ikhwanul Muslimin dan mengharamkan Dr Yusuf, seorang rakyat Mesir, daripada negaranya sendiri. Hosni Mubarak takut akan bayang-bayangnya sendiri dan melihat gerakan persaudaraan Islam itu sebagai ancaman besar terhadap kepimpinannya. Akhirnya, dengan kehendak Allah tumbang juga dia dan Ikhwanul Muslimin serta Dr Yusuf kembali bersinar di bumi Mesir..

Saya membawa cerita itu semata-mata kerana Perdana Menteri kita sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat ulasan atau komen yang agak kurang senang mengenai Ikhwanul Muslimin dan Dr Yusuf al-Qaradawi sendiri  semasa berada di Istanbul, Turki baru-baru ini.

Benar, Najib telah menafikan yang dia melemparkan tuduhan tidak berasas itu terhadap Ikhwanul Muslimin dan Dr Yusuf,  tetapi dia tidak menafikan yang dia ada menyentuh mengenai kedua-duanya. Amat biasa sekali kita membaca pemimpin membuat penafian atau menyalahkan pemberitaan apabila apa yang diucapnya menikam balik. Itulah yang berlaku.

Ketika berkempen pada pilihan raya kecil DUN Kerdau di Temerloh semalam, Najib dilaporkan sebagai berkata bahawa dia tidak pernah melabelkan Ikhwanul Muslimin dan Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai pengganas.

"Saya tak kata Muslim Brotherhood ini kumpulan pengganas. Saya kata Muslim Brotherhood boleh ambil bahagian dalam pilihan raya dengan syarat menolak keganasan dan fahaman ektremis...", itulah antara lain kata-kata Najib seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Saya ingin memetik kata-katanya."...dengan syarat menolak keganasan. dan fahaman ekstremis.." bukankah kata-kata sedemikian menunjukkan bahawa Najib percaya yang Ikhwanul Muslimin mendokong keganasan, jika tidak kenapa perlu mengenakan syarat agar mereka menolak keganasan. Siapakah Najib untuk mengenakan syarat sedemikian kepada Ikhwanul Muslimin? Mungkin itu yang akan ditanya oleh mereka kepada kita. 

Mengenai Dr Yusuf al-Qaradawi, ulama berusia 84 tahun yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia dengan anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Antarabangsa 2009 kerana jasa dan sumbangannya yang tidak ternilai bukan sahaja kepada dunia Islam tetapi kepada kemanusiaan itu sendiri, Najib mengeluarkan kata-kata yang menzahirkan kebimbangan yang amat sangat terhadap tokoh yang disegani itu.

(Najib said he has "some concerns, deep concerns" about Yusuf al-Qaradawi, the Muslim Brotherhood's spiritual leader. Those concerns center on Qaradawi's  support and justification for terrorism, which carries a great of weight given Qaradawi's credibility as an Islamic scholar. It is exactly that type of Muslim leader that has led the Middle East astray, according to Najib.)

Bukankah kata-kata Najib itu satu pandangan yang selari dan senada dengan apa yang telah dan sedang diperkatakan oleh golongan Zionis, Amerika Syarikat dan Barat terhadap Dr Yusuf al-Qaradawi, tokoh yang Malaysia melihat sebagai cukup layak dan bertepatan untuk diberi anugerah tertinggi Ma'al Hijrah. 

Bolehkah kita samakan Malaysia sebagai pendokong dan penyokong kegananasan kerana kita sendiri memberi anugerah kepada seorang yang dituduh sebagai menyokong dan mewajarkan  keganasan? (Qaradawi's support and justification for terrorism)

Mungkin Najib tidak mendapat nasihat yang betul daripada para penasihatnya termasuk penasihat media yang berpengalaman luas sehingga dia tidak kenal siapa itu Dr Yusuf al-Qaradawi dan apa itu Ikhwanul Muslimin.

Oleh itu, elok juga diperturunkan sedikit sebanyak mengenai cendekiawan Islam yang dilahirkan di Shaft Turaab, Kaherah atau Cairo, Mesir pada 9 September 1926.

Pada usia 10 tahun Dr Yusuf sudah hafal al-Quran. Dia menamatkan pendidikan di Ma'had Thanta dan Ma'had Tsanawi dan melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar, Fakulti Usuluddin dan lulus pada 1952.  Dia memperolehi ijazah kedoktoran pada 1972 melalui tesis yang kemudian dijadikan buku ilmiah 'Fiqh Zakat'.

Dr Yusuf meninggalkan Mesir pada 1961 kerana tidak tahan menerima sekatan dan tekanan oleh sebuah rejim yang kejam. Dia menuju ke Qatar dan di sana dia menubuhkan Fakulti Syariah di Universiti Qatar dan kemudian Pusat Kajian Sejarah dan Sunnah Nabi.

Dr Yusuf al-Qaradawi melalui pengalaman pahit dipenjarakan seawal usianya 23 tahun kerana terlibat dalam  Ikhwanul Muslimin pada 1949,  pada 1956 semasa revolusi Jun dia dipenjara selama dua tahun oleh rejim tentera.

Dia ditakuti kerana keberaniannya berkhutbah mengakibat dia dilarang sebagai khatib kerana isi khutbahnya yang menyentuh soal ketidak adilan rejim yang memerintah Mesir pada waktu itu.

Dr Yusuf al-Qaradawi adalah seorang Mujtahid zaman semasa, seorang ketua majlis fatwa dimana  banyak fatwanya dijadikan bahan rujukan atas permasalahan yang dihadapi walaupun banyak juga yang mengkritik fatwanya.

Namun begitu, adalah sesuatu yang tidak betul dan tidak adil untuk menuduh  Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai seorang pengganas, atau seorang yang menyokong dan mewajarkan keganasan. Mereka yang melemparkan tuduhan sedemikian sebanarnya terpengaruh atau dipengaruhi oleh pemikiran pihak-pihak tertentu yang amat takut akan kebangkitan Islam.


 


 




Friday 25 February 2011

Tengku Zafrul, Isa Samad dan Umno

Kritikan pedas yang dilemparkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif bank pelaburan Maybank, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz terhadap pelantikan Tan Sri Isa Samad selaku pengerusi Felda, nampaknya terus menimbulkan kemarahan di kalangan pemimpin pertengahan UMNO.

Mereka menuduh Tengku Zafrul sebagai telah mempertikai dan memperkecil-kecilkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melantik Isa, mantan menteri wilayah persekutuan dan sebelum itu mantan menteri besar Negeri Sembilan.

Kenapa mereka marah sangat dengan kenyataan yang dibuat atas sifat peribadi Tengku Zafrul dan bukan sebagai mewakili kumpulan Maybank sehingga mendesak dia dipecat atau meletak jawatan?

Apakah pemimpin-pemimpin Umno tidak boleh atau tidak dapat menerima kritikan mahupun teguran semata-mata kerana ianya pahit untuk ditelan? Bukankah kritikan boleh dijadikan panduan atau pembuka mata untuk membetulkan sesuatu yang tidak betul, tidak semestinya saya merujuk kepada kes Isa Samad, tetapi dalam banyak kes lain yang membabitkan pelantikan pemimpin politik yang sebelum itu ada masalah tertentu?

Semua orang tahu yang Isa Samad didapati terlibat dalam politik wang semasa pemilihan Umno dan dikenakan tindakan disiplin. Bukankah politik wang itu salah satu amalan rasuah? 

Apa yang dikatakan oleh Tengku Zafrul adalah pelantikan Isa Samad sebagai pengerusi Felda memberi isyarat yang salah kepada pasaran sehingga menyebabkan kebimbangan pelabur. Jika kritikannya itu tidak betul, tidak tepat dan tidak sesuai dengan keadaan semasa, pihak kerajaan ataupun Felda seharusnya memberi penjelasan atau menangkisnya dengan berfakta.

Tetapi, muncul dua tiga orang pemimpin Umno mendesak tindakan diambil terhadap Tengku Zafrul atau mendesaknya meletak jawatan sedangkan mereka tidak menangkis pendapatnya itu dengan fakta yang memihak kepada kenapa pelantikan Isa Samad adalah tepat.

Nampaknya budaya sukar atau tidak boleh menerima kritikan masih tebal di kalangan mereka seolah-olah apa yang dibuat oleh pemimpin mereka, termasuk dalam beberapa pelantikan tokoh Umno mengetuai badan-badan berkanun, syarikat-syarikat milik kerajaan dan perbadanan-perbadanan kerajaan, adalah tepat dan tidak boleh dipersoalkan. 

Inilah masalahnya, iaitu tidak mahu menerima kritikan sama sekali. Kalau ada yang berani mengkitik, maka dia akan dihentam dan didesak dikenakan tindakan sama ada ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, dipecat atau ditangkap dan didakwa di mahkamah sama ada mengikut Kanun Keseksaan atau Kanun Acara Jenayah.

Kepada mereka, yang diutamakan ialah sokong, sokong dan sokong, ampu, ampu dan ampu atau apa yang dibuat oleh pemimpin besar mereka adalah betul belaka. Agaknya itulah budaya hidup mereka.

Saya tidak kenal siapa itu Tengku Zafrul tetapi saya tahu siapa ibunya dan siapa pula bapa saudaranya. Saya juga tahu bahawa Tengku Zafrul berkawan baik dengan Khairy Jamaluddin dan Kalimullah Masheerul Hassan. Tetapi itu bukan bererti yang dia tidak boleh mengkritik atau menegur tindakan kerajaan.

Sebagai warga negara Malaysia, dia juga berhak memberi pendapat sama seperti orang lain. Sama ada kita setuju atau tidak dengan pendapatnya tidak bererti kita mesti mendesak dia dipecat atau meletak jawatan. Itu tidak betul. 

Kita sedar bahawa ramai pemimpin politik yang terpaksa bertindak sebagai pengampu semata-mata kerana nak terus hidup mewah, nak jamin kedudukan tidak terjejas dan nak pastikan terus berada dalam senarai  bos. Kepada mereka yang penting adalah ampu dan terus ampu, pergi jahanam dengan apa orang lain nak kata, janji mereka selamat. Macam mana nak maju?

Masalah yang sama pernah wujud di kebanyakan negara Arab dimana pemimpin pembangkang ditahan dan dihumban dalam penjara, kebebasan bersuara disekat, media dikawal ketat dan hanya boleh menyiarkan laporan yang pro-kerajaan, orang tidak boleh mengkritik kerajaan ataupun pemipin dan sebagainya. Kita seharusnya jadikan teladan dan sempadan agar apa yang telah dan sedang berlaku di dunia Arab tidak akan berlaku di negara ini.

Saya bukan menyokong Tengku Zafrul, anak kepada mantan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Raja Zaharatun Raja Zainal Abidin dan anak saudara Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar  Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin,  tetapi menyokong haknya untuk memberi pendapat. 

Adalah sesuatu yang amat malang apabila pendapat seseorang yang tidak selari dengan pemimpin Umno atau kerajaan, maka timbul desakan demi desakan supaya dia dikenakan tindakan ISA atau dipecat.