Friday 27 May 2011

Pemilihan timbalan presiden PAS

Pemilihan bagi jawatan timbalan presiden PAS kali ini bakal memperlihatkan hala tuju parti itu sekurang-kurang untuk satu tempoh terdekat.

Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa dicabar oleh Naib Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK Pusat Mat Sabu. Ketiga-tiga mereka memiliki latar belakang yang berlainan.

Mampukah Nasharudin mempertahankan kedudukannya pada pemilihan kali ini?

Persoalan ini menarik kerana dia dicabar oleh dua orang tokoh PAS yang boleh dikatakan antara langit dengan bumi. Tuan Ibrahim seorang ulama manakala Mat Sabu lebih dikenali sebagai seorang yang bijak berpidato dan diminati ramai di peringkat akar umbi.

Tuan Ibrahim mendapat sokongan golongan ulama dan veteran parti dan dilihat sebagai pencabar utama kepada Nasharudin. Namun demikian, kekuatan Mat Sabu tidak boleh diketepikan kerana dia juga mempunyai sokongan di kalangan ahli PAS.

Tuan Ibrahim, mantan pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi yang satu ketika dahulu sering muncul dalam rancangan Forum Perdana RTM bersama-sama Prof. Haron Din dan Dr Hassan Ali, tidak kurang hebatnya sebagai seorang pemidato yang mampu memukau khalayak. Sama seperti Haron Din dan Hassan Ali, dia tidak muncul dalam rancangan terbitan RTM itu apabila aktif dalam PAS. 

Mat Sabu pula dikatakan dapat membantu presiden parti, Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku 'panglima jihad' berbanding dengan Nasharudin yang bersikap sederhana dan tidak agresif dalam menghadapi musuh politik terutama Umno. Nasharudin dilihat sebagai searang yang  condong kepada perpaduan 'ummah' termasuk sanggup bekerjasama dengan Umno.

Kesederhanaan Nasharudin yang mudah mesra dengan pemimpin-pemimpin Umno atas semangat persaudaraan Islam tidak begitu disenangi oleh mereka yang serik dan rasa telah dipermainkan oleh Umno. Mat Sabu dilihat sebagai tokoh yang mampu mengembalikan semangat juang PAS yang menolak kerjasama dengan Umno.

Namun demikian kehadiran Tuan Ibrahim mampu menggugat harapan Mat Sabu dan ini mungkin membolehkan  Nasharudin mempertahankan jawatannya. 

Monday 16 May 2011

Lagi-lagi kuota, bila nak dewasa?

Orang Melayu di Malaysia nampaknya tidak boleh dipisahkan dengan kuota. Apa saja mesti ada kuota seolah-olah Melayu tidak boleh hidup tanpa kuota.

Dengan bersandarkan kuota, kita memperlihatkan kelemahan, bukan kekuatan untuk berjuang, untuk bersaing dan untuk berjaya.

Orang Melayu di Singapura tidak bergantung kepada kuota untuk berjaya walaupun mereka menghadapi banyak tekanan, ketidak adilan dan mangsa pilih kasih. Mereka terus berjuang dalam bidang pelajaran, perniagaan dan kerjaya lain untuk berjaya dan ramai yang membuktikan bahawa mereka mampu berdikari dan berjaya tanpa kuota. Saya tahu kerana pernah tinggal di republik itu hampir lima tahun dan melihat sendiri kehebatan orang Melayu walaupun ramai di Malaysia yang tidak tahu akan kebenaran tersebut.

Begitu juga dengan orang Melayu yang berhijrah ke luar negara seperti Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Mereka berjaya tanpa kuota tetapi atas semangat bekerja kuat dan ingin berjaya.

Saya mengupas mengenai kuota memandangkan Wanita dan Pemuda Umno dah ulangi desakan meminta kuota untuk calon pilihan raya.  Wanita minta kuota 30 peratus calon manakala Pemuda pun mahu jumlah tertentu untuk dipilih sebagai calon. 

Kuota sekali lagi dijadikan alasan untuk mendapatkan sesuatu sedangkan yang lebih penting dan harus diutamakan bukan kuota tetapi kelayakan. Pemilihan calon berlandaskan kuota bukan pilihan terbaik yang boleh menjamin kemenangan dalam pilihan raya.

Jika berpandukan kuota, maka pemilihan calon akan disandarkan kepada jawatan dalam parti bukan sama ada calon itu benar-benar layak. Kita tahu dalam pemilihan parti, bukan semua yang menang itu benar-benar layak tetapi dipilih berdasarkan banyak faktor lain termasuk rasuah, pilih kasih dan puak dalam parti. Inilah hakikatnya.

Wanita dan Pemuda Umno harus sedar bahawa pemilihan calon melalui kuota merupakan satu pengunduran bukan satu langkah ke hadapan. 

Mereka sepatutnya mendesak kepimpinan parti melaksanakan sistem pemilihan calon berdasarkan kelayakan termasuk kelayakan akademik, bersih daripada amalan rasuah dan mampu menjalankan amanah dengan jujur dan ikhlas bukan untuk mencari kekayaan melalui politik.

Jika Umno mampu melaksanakan pemilihan tanpa kuota, adalah tidak mustahil lebih banyak calon wanita dan pemuda, iaitu mereka yang berumur 40 tahun ke bawah, akan dipilih bertanding. Ini kerana dalam Umno sekarang, wanita adalah majoriti dan ramai daripada mereka memiliki kelayakan akademik yang baik. Begitu juga dengan Pemuda Umno, ramai yang berkelayakan dan boleh dipilih sebagai calon. Oleh itu, Wanita dan Pemuda tidak memerlukan kuota untuk dipilih sebagai calon.

Yang terbaik bukan ketua bahagian, ketua wanita bahagian, ketua pemuda bahagian mahupun jawatankuasa bahagian. Yang terbaik mungkin ahli biasa yang menyertai parti bukan untuk berebut jawatan atau meminta itu dan ini daripada kerajaan.  Kita boleh lihat keadaan ini dalam hampir semua bahagian Umno di mana mereka berebut jawatan parti untuk dijadikan landasan untuk mendapatkan sesuatu atas kepentingan peribadi, keluarga dan kroni. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, kita lihat saja kemewahan hidup mereka dan kaji latar belakang pendidikan, kerjaya dan taraf hidup mereka sebelum menduduki atau memegang jawatan dalam bahagian. Di situ, kita akn dapat jawapannya.

Jika sistem kuota dilaksanakan, maka orang seperti inilah yang akan dipilih sebagai wakil rakyat. 

Saya mengulas mengenai permintaan kuota oleh Wanita Umno dan Pemuda Umno kerana tidak ingin melihat pemilihan calon yang tidak tepat jika dilandaskan kepada kepimpinan peringkat bahagian. Umno mesti berubah dan keluar daripada kepompong bahagian. Banyak butir mutiara yang ada di luar kepompong bahagian dan disitulah terdapat bakal-bakal calon.   

Saya bukan ahli Umno dan membuat ulasan sebagai seorang Melayu (keturunan Arab) yang mengikuti perkembangan politik parti-parti yang mewakili kepentingan Melayu terutama Umno dan PAS. Saya adalah pengundi kawasan Parlimen Ampang dan sedar kekalahan calon Umno pada pilihan raya lepas kerana parti itu meletak calon yang salah sedangkan ramai ahli Umno di kawasan itu yang jauh lebih layak dan lebih sesuai diletak sebagai calon walaupun mereka bukan menduduki jawatankuasa bahagian.

ADUN kawasan saya adalah dari parti PAS manakala Ahli Parlimen adalah dari PKR. Sejumlah besar pengundi adalah penghuni taman-taman perumahan termasuk Taman Tun Abdul Razak dan taman-taman lain dalam kawasan Ampang Jaya yang ditakrifkan sebagai kawasan kelas pertengahan hingga kelas atasan.  Umno dan BN mesti kaji kenapa mereka memilih calon PAS, seorang kontraktor berasal dari Baling, Kedah sebagai ADUN dan seorang wanita bertudung sebagai Ahli Parlimen.

Umno mesti keluar daripada kepompong kuota untuk terus relevan dalam arena politik tanah air.