Thursday 29 March 2012

PRU-13 - Dua Tun hampir senada mengenai kedudukan BN

Saya amat tertarik dengan kenyataan atau jika boleh dikatakan sebagai 'ramalan' mengenai kedudukan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang disebut-sebut akan diadakan seawal Jun tahun ini.

Yang paling menarik ialah kenyataan mantan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang juga dikenali sebagai 'orang kanan' mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, yang meramalkan bahawa BN hanya akan mempertahankan kuasanya di Johor, Melaka dan Pahang. Tun Daim dipetik oleh harian berbahasa Mandarin, Nanyang Siang Pau dan dikutip oleh Malaysiaknini sebagai berkata bahawa BN boleh mencatat kemenangan mudah di tiga buah negeri itu.

Ungkapan 'kemenangan mudah' bermakna BN akan dengan mudah menang. Kita tertanya-tanya pula bagaimana kedudukan atau keberhasilan kempen BN yang sebegitu hebat sekarang di negeri-negeri lain yang  ditadbir oleh gabungan parti-parti politik itu? 

Adakah BN akan menang tetapi bukan secara 'menang mudah' atau akan tumbang? Kita ketepikan dahulu soal kedudukan BN di Pulau Pinang dan Kelantan kerana Tun Daim sendiri mengakui bahawa BN akan kalah di kedua-dua negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat itu.

Saya setuju bahawa Pakatan Rakyat akan terus berkuasa di Kelantan dan Pulau Pinang walaupun kedua-dua negeri itu menjadi sasaran serangan hebat dan bertubi-tubi oleh media yang dikuasai, dikawal atau yang menyokong BN. Ada saja berita dan laporan  negatif yang disebar luas mengenai kedua-dua negeri itu.

Perlu diingatkan bahawa menjelang PRU-12 yang lalu, Tun Daim meramalkan bahawa BN akan tumbang di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor dan ia menjadi kenyataan. Oleh itu, apa yang dibayangkan oleh Tun Daim mengenai PRU-13 tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Ia mungkin dan boleh menjadi kenyataan memandangkan kedudukan PM Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dikatakan semakin popular di kalangan rakyat, disifat pula oleh Tun Daim sebagai "jeneral tanpa askar". Dalam bahasa yang mudah difahami, ia  bermakna jeneral itu akan kalah perang.

Tun Dr Mahathir pula berpendapat adalah sukar untuk meramal keputusan PRU-13 kerana keadaan yang disifatkannya sebagai 'mengelirukan'.

Apa yang mengelirukan hanya Tun Mahathir yang tahu. Tetapi pada umumnya, ia tidak mengelirukan kerana rakyat tidak keliru walaupun pelbagai andaian dibuat oleh pengulas dan penganalisis menara-menara gading yang meninjau dari bilik berhawa dingin  masing-masing. Hampir semuanya memberi ulasan atau kupasan 'akademik' yang pro-BN. Sudah tentu ulasan mereka tidak akan disiarkan jika sebaliknya. Itu cukup jelas.

Tun Mahathir dilapor oleh Bernama sebagai berkata 'bukan mudah untuk BN mendapat dua pertiga majoriti kali ini' dan saya amat bersetuju dengan pendapat itu. Agakan saya BN tidak akan dapat majoriti dua pertiga.   

Kita ketepikan soal Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita teliti apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir iaitu 'pembangkang sekarang bukan seperti dahulu' dan saya ingin menambah bahawa pengundi sekarang pun bukan seperti pengundi dua dekad dahulu. Pengundi sekarang bijak dan tidak mudah dipengaruhi oleh habuan wang ringgit atau kebendaan. Mereka boleh berfikir dan pandai membuat keputusan. Mereka dapat menilai yang mana satu kaca dan yang mana pula intan.

Soal Anwar sememangnya menjadi 'duri dalam daging' kepada BN dan juga Pakatan Rakyat. Ia boleh menjadi 'penawar' dan juga 'racun' dan kedua-dua pihak yang berlawanan akan menjadikan isu Anwar sebagai senjata untuk menang. Yang jelas Anwar bukan calang-calang orang untuk ditumbangkan walaupun dia pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri dan dipenjarakan mengikut Kanun Keseksaan, dia masih tegak berdiri. Namun begitu,  Anwar  bukan 'penentu' kemenangan Pakatan Rakyat, tetapi PAS. 


Monday 26 March 2012

Allahyarham Tun Ghafar pernah berkata kuasa memberi nilai ekonomi kepada UMNO

Apa yang sedang, telah dan akan terus berlaku di kalangan "orang UMNO"  sebenarnya telah dinyatakan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri yang juga mantan timbalan presiden UMNO, Allahyarham Tun Ghafar Baba.
 
Semangat UMNO sejati sudah semakin pudar. Perebutan jawatan dengan menggunakan wang ringgit atau politik wang dan berbagai tipu helah tidak pernah belaku semasa golongan guru menjadi tulang belakang UMNO. 

Tun Ghafar, yang pulang ke Rahmatullah pada 23  April 2006,  berkata bahawa UMNO telah jauh berubah daripada UMNO dalam tahun 50-an. Kenyataan itu bukan sahaja satu kebenaran tetapi jauh lebih terserlah sekarang. 

Semasa golongan guru menjadi 'tiang seri' UMNO, perebutan untuk memegang jawatan boleh dikatakan tidak ada. Ramai yang menolak apabila dicalonkan untuk memegang jawatan termasuk menjadi wakil rakyat. Sekarang, mereka berebut, membentuk puak atau klik dan mengeluarkan belanja besar untuk merebut jawatan. Jawatan dalam parti adalah batu loncatan untuk mendapat jawatan atau kedudukan yang lebih tinggi dan berbaloi. 

Seperti yang Tun Ghafar pernah katakan, UMNO telah berkuasa dan  sudah ada nilai ekonominya. Ada orang yang sanggup mencurah  wang untuk mendapatkan jawatan kerana jawatan dalam parti membawa nilai ekonomi yang tinggi kepada mereka yang tahu mendapatkannya.

Saya ingin tambah dan sudah tentu akan dinafikan oleh orang UMNO, iaitu bukan sahaja wang digunakan untuk mendapat jawatan tinggi dalam parti, bahkan mereka sanggup mengguna khidmat pawang dan bomoh. Pendek kata, mereka yang terlalu ghairah untuk memegang jawatan tinggi, sanggup melakukan apa sahaja yang mampu untuk cuba mendapatkannya.

Benarlah apa yang pernah diingatkan oleh Tun Ghafar iaitu rasuah yang paling besar sekali ialah membeli undi untuk mendapatkan kuasa dalam parti kerana sudah tentu ada tujuan untuk faedah diri. 

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi melalui kenyataan mantan Menterii Kabinet  dan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Abdul Kader Sheikh Fadzir, yang kini keluar daripada menjadi ahli parti. Kader sudah tentu tahu apa yang berlaku setelah sebegitu lama berada dalam UMNO dan memegang beberapa jawatan bermula sebagai Setiausaha Politik Menteri Kebajikan Masyarakat, Tun Fatimah Hashim. Kenyataan Kader sudah tentu dinafi oleh kepimpinan UMNO sekarang. Oh ya, Kader dan keluarganya pun dapat faedah semasa cergas dalam UMNO.

Segelintir golongan muda dan korporat yang berjawatan dalam UMNO berkata zaman guru Melayu menguasai UMNO sudah luput, sudah lupus hayatnya. Sekarang zaman korporat menguasai politik kerana orang politik yang bertukar wajah menjadi orang korporat.

Kemasukan golongan korporat yang memandu kereta mewah dan dengan nama mereka didahului oleh gelaran tertentu membawa 'budaya' baru dalam UMNO. Mereka pada asalnya bukan tokoh korporat, tetapi bergelar demikian melalui pintu masuk UMNO. Ada yang semata-mata menjadi proksi kepada tokoh tertentu dan ada yang tidak lebih daripada "Ali Baba".

Golongan ini menyumbang dana kepada parti kerana mereka sebenarnya 'bekerja' bagi pihak parti termasuk mengepalai syarikat berkaitan kerajaan atau syarikat yang dikuasai sama ada secara langsung atau secara proksi oleh parti. Mereka dan parti saling perlu dan memerlukan.

Inilah yang dimaksudkan oleh Tun Ghafar iaitu UMNO mempunyai nilai ekonomi.

Saya akhiri catatan ini dengan memperturunkan nasihat Tun Ghafar iaitu "jika politik wang dan tujuan masuk UMNO semata-mata untuk mendapatkan faedah diri tidak dibendung, maka UMNO akan hancur."