Wednesday 3 April 2013

"Kerajaan Sementara" hanya mlibatkan Jemaah Menteri dan tidak termasuk timbalan menteri?

Mulai hari ini, 3 April 2013, Persekutuan Malaysia berada dibawah 'pentadbiran' apa yang disebut  sebagai 'kerajaaan sementera' atau 'caretaker government.' Begitu juga kedudukan di negeri-negeri yang Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar, ditadbir oleh Exco atau Kabinet Negeri.

Walaupun kewujudan 'kerajaan sementara' tidak terdapat dalam Perlembagaan, ia lebih merupakan satu konvensyen demokrasi yang berkiblat ke London. 'Kerajaan sementara' hanya bertindak selaku pemegang kuasa sementara bagi memastikan perjalanan pentadbiran tanpa ganggu gugat tetapi tidak boleh melakar sebarang dasar baru atau melancar apa-apa projek pembangunan baru.

Satu persoalan yang menarik mengenai 'kerajaan sementara' dalam hubungan dengan Malaysia ialah 'siapa mereka' kerana dalam sistem pentadbiran di bumi bertuah ini, ada Kabinet atau Jemaah Menteri dan ada pula timbalan menteri yang bukan anggota Kabinet. 

Pengalaman saya semasa berkhidmat di pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ialah timbalan menteri tidak  menghadiri mesyuarat Kabinet dan tidak boleh memangku jawatan menteri sekiranya bosnya bercuti atau bertugas di luar negeri. Lazimnya, jawatan menteri berkenaan akan dipertanggungjawabkan kepada seorang menteri lain, iaitu seorang anggota Kabinet.

Ini kerana Kabinet adalah 'kerajaan' yang mentadbir negara seperti yang termaktub dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Timbalan Menteri bukan anggota Kabinet dan dengan sendirinya tidak seharusnya berada dalam 'kerajaan sementara' apabila Parlimen dibubarkan.

Tetapi, apa yang berlaku dan diamalkan di Malaysia adalah sebaliknya. Timbalan Menteri terus memegang jawatan dan menjalankan tugas seperti biasa seolah-olah mereka adalah Jemaah Menteri sedangkan mereka tidak mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Jemaah Menteri atau dilantik oleh Yang diPertuan Agong sebagai Menteri.

Perkara ini mungkin berlaku kerana wujudnya Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan yang menghuraikan mengenai pelantikan timbalan menteri, khususnya 43A (1) yang membolehkan pelantikan dibuat dalam masa Parlimen dibubarkan. Timbalan-timbalan Menteri ditugaskan membantu Menteri-Menteri pada menjalankan kewajipan-kewajipan dan tugas-tugas mereka.

Kita boleh terima sekiranya kewajipan dan tugas berkenaan adalah dibawah  'kerajaan bukan sementara' tetapi tidak seharusnya diteruskan apabila kerajaan bersifat 'sementara' ekoran pembubaran Parlimen.

Mereka yang sepatutnya kekal dalam 'kerajaan sementara' adalah Jemaah Menteri atau Kabinet yang wujud sebelum pembubaran Parlimen. 

  

    

Tuesday 2 April 2013

PARLIMEN BUBAR HARI INI, PILIHAN RAYA MESTI DIADAKAN DALAM TEMPOH 60 HARI

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan  Parlimen dibubarkan hari ini, Rabu 3 April  setelah diperkenan oleh Yang diPertuan Agong. Najib mengumumkan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat  Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Pengumuman itu disiarkan ke seluruh negara oleh media elektronik.

Berikutan pembubaran Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi. SPR dijangka bermesyuarat esok.

Berdasarkan Fasal 55 (4) Perlembagaan Malaysia, apabila Parlimen dibubarkan, suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh pembubaran itu.

Ekoran pembubaran Parlimen, Kabinet pimpinan Najib akan bertindak selaku 'caretaker government" atau kerajaan sementara sehinggalah terbentuk sebuah kerajaan baru. Dalam tempoh itu, kerajaan sementara tidak boleh membuat sebarang dasar atau melaksana projek baru tetapi sekadar memastikan perjalanan pentadbiran hari ke hari berjalan lancar.