Friday 19 April 2013

Kebakaran di Kampung Syed - NGO bukan Islam cepat beri bantuan

Pada hari Isnin, 15 April, dua buah rumah di kampung saya di Pulau Pinang kebakaran. Sebuah daripadanya musnah sama sekali manakala sebuah lagi musnah  80 peratus. Kebakaran berlaku kira-kira pukul 3.40 petang dan puncanya belum pasti 100 peratus.
Saya dan dua orang anak saudara bergegas pulang kerana kedua-dua rumah berkenaan dimiliki oleh ahli keluarga besar yang menghuni tanah wakaf khas keluarga. Kami tiba di Kampung Syed, di Jalan Burma, George Town, kira-kira pukul 9.30 malam dan terperanjat melihat keadaan rumah yang kebakaran itu.
Keadaan dalam rumah Syed Sharaff (tingkat atas).
Apa yang menarik perhatian saya ialah antara NGO yang mula-mula tiba memberi bantuan  'kecemasan' dalam bentuk wang tunai RM300 (untuk satu keluarga) dan sedikit bahan makanan (halal kata mereka) kepada mangsa kebakaran adalah sebuah yayasan Buddha - "Buddhist Tzu-Chi Foundation". Wakil yayasan Buddha itu, Puan Ang Suat Keng berkata pertubuhan kebajikan yang ditubuh pada tahun 1993 itu memberi bantuan dan pertolongan kepada manusia yang ditimpa kecelakaan tanpa mengira bangsa dan agama. Ianya bertujuan untuk memupuk keharmonian dalam masyarakat. Yayasan itu aktif dalam kerja-kerja kebajikan termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kemanusiaan.

Menurut seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang yang turut hadir menilai kerosakan selain memberi bantuan kecemasan, yayasan Buddha itu aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan mereka sering yang pertama tiba di tempat kejadian memberi bantuan. 

Rumah Syed Mohamad bin Syed Salim Aidid tinggal rangka.


Puan Rowena Yam, calon BN DUN Pulau Tikus hadir dalam pertemuan dengan mangsa dan penduduk kampung.
Turut hadir bertanya khabar dan memberi janji untuk membantu ialah wakil parti-parti politik utama di Pulau Pinang, iaitu Barisan Nasional (UMNO dan GERAKAN)  DAP dan PAS. Maklumlah kebakaran berlaku menjelang pilihan raya dan semua pihak perlu turun padang untuk menunjukkan keprihatinan masing-masing. Kita tunggu dan lihat sejauh mana "janji akan ditepati". 

Pada hari Selasa, dua orang wakil dari Pusat Urus Zakat Pulau Pinang yang berpejabat di Bandar Baru Perda, Seberang Perai hadir untuk memberi bantuan 'kecemasan" sebanyak RM300 kepada setiap ketua keluarga (dua orang) dan memberi borang untuk memohon bantuan. Selain itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) Datuk Salleh Man menghantar pegawai khasnya yang turut mewakili PAS untuk meninjau keadaan dan menasihati bagaimana hendak memohon bantuan.
Sebuah daripada dua buah teksi milik penduduk yang musnah.

Calon BN kawasan DUN Pulau Tikus, Rowena Yam memberi jaminan untuk mendapatkan bantuan NGO untuk membina semula rumah, khususnya rumah yang hangus sama sekali. Beliau berkata kontraktor dan arkitek akan membuat penilaian kerosakan terlebih dahulu.

Wakil media hadir meliputi pertemuan antara mangsa kebakaran dengan calon BN DUN Pulau Tikus yang diadakan dirumah Puan Sharifah Maznah Al-Asrar,  Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia, Perhubungan  Pulau Pinang. Rumah Puan Sharifah Maznah dijadikan 'pusat operasi sementara' tragedi yang berlaku. 


Antara bantuan segera yang diberi. 
Wakil Buddhist Tzu-Chi Foundation menyerah bantuan kecemasan kepada Puan Nur Shikin. 

Wakil Pusat Urus Zakat, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang menyerah bantuan kcemasan kepada Syed Mohamad Aidid.  


Saturday 13 April 2013

PRU-13 - apa kedudukan Rais Yatim?

"Brother Syed, ex-boss you bertanding lagi?" Orang yang dimaksudkannya ialah Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Itulah persoalan yang ditujukan kepada saya oleh seorang sahabat. Walaupun saya dah lama bersara, tetapi masih ada yang menyangka saya ada saluran maklumat berkaitan mantan bos saya itu. Jawabnya 'tidak'.

Sama ada dia bertanding lagi, berundur secara sukarela atau digugurkan oleh presiden UMNO merangkap pengerusi BN, Datuk Seri Muhammad Najib Abdul Razak, bukan urusan saya. Namun begitu, saya mampu memberi pendapat 'sekupang dua' berhubung perkara tersebut. 

Saya berkhidmat dengan Dr Rais hampir lima tahun selaku setiausaha akhbar di Jabatan Perdana Menteri dan buat seketika di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Jadi, sedikit sebanyak saya tahu latar belakang dan pendirian politiknya serta 'peranan' isteri beliau dalam sepak terajang politik dan kerjayanya. 

Dr Rais kini berusia 71 tahun dan telah mencurah khidmat bakti di bawah pentadbiran lima orang Perdana Menteri, almarhum Tun Abdul Razak, almarhum Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib.

Kerjaya politiknya bermula sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (1974-76), Timbalan Menteri Undang-Undang (1976-77), Timbalan Menteri Dalam Negeri (1977-78), Menteri Besar Negeri Sembilan (1978-82),  Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah, Menteri Penerangan (1984-86) dan Menteri Luar Negeri (1987). 

Beliau digugurkan daripada Kabinet Dr Mahathir ekoran daripada tindakannya memihak kepada kumpulan penentang Mahathir yang diketuai oleh 'gandingan tidak serasi' Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam.  Pasukan yang dikenali sebagai "Team B" dalam pertarungan merebut kepimpinan UMNO itu kemudian 'membakar jambatan' dan membentuk apa yang dikenali sebagai Parti Melayu Semangat  1946 atau Semangat 46.

Pada pilihan raya November 1999, Dr Mahathir memilih beliau untuk bertanding semula bagi kerusi Parlimen Jelebu dan berikutan kemenangannya, dia dilantik sebagai Menteri,  Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab ke atas hal ehwal undang-undang. Ini berikutan pembubaran Semangat 46 dan kemasukan semula ahali-ahlinya ke dalam UMNO.

Tidak dapat dinafikan yang Dr Rais Yatim seorang yang banyak pengalaman dan antara tokoh UMNO yang 'pintar'. Oleh itu, saya yakin dia akan membuat keputusan yang 'pintar' bagi membolehkan ketuanya, Datuk Seri Najib, mudah membuat pilihan.

Dr Rais seharusnya mengikut jejak langkah rakan-rakan seperjuangannya seperti  Syed Hamid Albar,  Rafidah Aziz,  Tajol Rosli dan  Dr Ng Yen Yen. Semua mereka lebih muda daripada Dr Rais dan berpendirian 'realistik' dengan memberi peluang kepada calon yang lebih muda mewakili parti pada PRU-13 ini. Mereka sedar yang mereka tidak dapat 'menongkat dunia'.

Jawaban saya kepada persoalan sahabat berkenaan adalah seperti berikut:

"Orang semenda, di tempat semenda,
Jika cerdik, teman berunding;
Jika bodoh disuruh arah.
Tinggi banir tempat berlindung,
Rimbun dahan tempat bernaung.
Orang semenda pergi kerana suruh,
Berhenti kerana tegah".