Wednesday 6 November 2013

PRK Sungai Limau - yang menang adalah penduduk

Dalam menghadapi pilihan raya kecil DUN Sungai Limau, Kedah yang mengekalkan calon PAS dengan majoriti kurang daripada yang diperolehi pada PRU 13, Kerajaan Barisan Nasional (BN) mencurahkan kira-kira RM16 juta kepada kawasan pilihan raya itu.

Jumlah peruntukan pembangunan, sumbangan dan bantuan itu menghasilkan tambahan undi kepada BN sebanyak 465 sahaja.

Hasil daripada pilihan raya kecil itu sebenarnya memanfaatkan penduduk Sungai Limau, bukan PAS ataupun UMNO. Inilah kelebihan apabila berlaku pilihan raya kecil.

Apa yang menarik perhatian dan julung-julung kali berlaku ialah penganjuran apa yang disebut sebagai Karnival Luar Bandar Rakyat 1Malaysia yang diadakan sehari sebelum hari mengundi di Bukit Besar, kawasan undi yang dikatakan benteng kuat PAS. Tujuannya adalah untuk meraih sokongan pengundi kepada UMNO/BN.

Dalam karnival itu, penduduk Sungai Limau ditawarkan beras,  gula, tepung pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran. Beras seberat lima kilogram dijual pada harga RM5 berbanding harga pasaran antara RM18 dan RM20, gula pasir dijual pada harga RM1 berbanding harga pasaran RM2.84 dan tepung gandum pun dijual pada harga RM1. Penawaran harga murah itu memberi faedah kepada penduduk dan inilah satu rahmat pilihan raya kecil kepada mereka.

Selain karnival, kerajaan Persekutuan meluluskan beberapa peruntukan untuk penduduk Sungai Limau, antaranya RM5.5 juta untuk sekolah menengah agama, RM2.25 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan RM1.2 juta untuk sekolah-sekolah lain.

Penduduk juga mendapat bantuan perumahan dan cermin mata (kaca mata) bernilai RM2.8 juta, RM2.5 juta untuk tukun tiruan, RM500 ribu untuk jeti perikanan dan RM802,700 untuk program bantuan azam tani MARA, RM300 ribu untuk masjid Simpang Empat, RM118,000 untuk guru-guru pra-sekolah agama KAFA dan 33 buah masjid, RM30,000 untuk pinjaman TEKUN dan RM19,700 dalam bentuk zakat AgroBank.

Faedah dan habuan yang diperolehi rakyat apabila berlaku pilihan raya kecil jauh lebih besar dan banyak daripada apa yang mungkin diperolehi semasa pilihan raya umum. Kawasan atau kampung mereka pun menjadi terkenal apabila pemimpin-pemimpin negara dan media berkampung dan memperlihatkan keprihatinan terhadap masalah rakyat. 

Apakah harus berlaku pilihan raya kecil untuk membolehkan rakyat mendapat sebegitu banyak faedah sedangkan sebelum itu boleh dikatakan menteripun tak masuk kampung, apatah pula Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri. Ramai yang tidak tahu akan kewujudan kampung-kampung nelayan dan petani di Sungai Limau. 

Sekarang seluruh negara tahu dimana letaknya Sungai Limau!      





Monday 4 November 2013

PRK SUNGAI LIMAU - TAHNIAH ATAS KEMENANGAN PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) berjaya mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah (DUN) Sungai Limau walaupun menghadapi serangan dan gempuran jentera raksasa Barisan Nasional (BN). 

Kemenangan PAS sudah diagak walaupun BN berjaya mengurangkan majoriti yang diperolehi PAS pada PRU 13 lalu sebanyak 1,690.

Calon PAS Ustaz Mohamad Azam Abdul Samad memperolehi 12,069 undi manakala calon UMNO/BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim 10,985 undi untuk memberi majoriti 1,084 kepada PAS. Peratusan pengundi yang menunaikan tanggungjawab ialah 85.5 iaitu 23,249 daripada 27,222 pemilih berdaftar.

Seperti yang saya tulis sebelum ini,  PRK Sungai Limau sebenarnya antara PAS dan "Kerajaan BN" kerana jentera kerajaan telah dikerah melalui "acara rasmi" oleh Menteri Kabinet untuk "berkempen". Berjuta ringgit telah dicurahkan dalam bentuk bantuan,  peruntukan dan sumbangan kepada penduduk DUN Sungai Limau. 

Kehebatan dan keraksasaan jentera BN diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pada saat-saat akhir, iaitu sehari sebelum hari mengundi, khidmat dan pengaruh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikerah ekoran daripada maklumat risikan yang menyatakan BN ketinggalan dibelakang PAS.  Kehadiran Tun Mahathir mungkin telah mempengaruhi beberapa orang pengundi sahaja. 

Laporan berat sebelah oleh media "rasmi"  sedikit sebanyak membantu BN menambah undi, itu sahaja. 

Taktik kotor yang diguna sehari dua sebelum hari mengundi seperti menggantung "kaki palsu" yang dipotong dan ditulis perkataan "ustaz" dan penyebaran SMS "palsu"  daripada balu almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak menyeru pemilih supaya mengundi calon BN, juga gagal meraih sokongan (kemenangan) untuk BN.

Seperti biasa, UMNO menggunakan satu lagi muslihat, iaitu kemasukan beramai-ramai "ahli PAS" ke dalam UMNO tetapi kali ini ia "terkantoi" kerana "penipuan" itu terbongkar apabila ada ahli PAS yang tampil memberi penjelasan dan kenyataan sebenar. Nampaknya, UMNO masih belum belajar daripada kesilapan taktik yang sering diguna pakai apabila menghadapi pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum. Ia adalah satu tamparan hebat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Agama) Mej-Jen (B) Jamil Khir Baharom yang terlibat dalam isu kemasukan ahli PAS itu. Bukankah penipuan dilarang oleh Islam? Sudah tentu mantan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) itu tahu akan kenyataan ini.

Walaupun sebilangan rakyat berjaya digula-gula dan dipengaruhi melalui janji-janji manis pembangunan dan bantuan, termasuk kepada beberapa buah sekolah agama rakyat,  namun ia masih gagal membawa kemenangan kepada BN. Semuanya ini kerana rakyat, terutama orang kampung seperti petani dan nelayan di Sungai Limau, sudah lama membuka mata dan telinga. Mereka tahu apa yang berlaku dan bijak membuat pilihan. 

Kepada petugas kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang "terpaksa" ke Sungai Limau atas "tugas rasmi" kerana "menurut perintah", selamat pulang ke tempat masing-masing dan bersedia untuk  kemuka  tuntutan-tuntutan yang berhak dibuat semasa "bertugas" di Sungai Limau.