Sunday, 28 August 2011

SELAMAT MENYAMBUT RAYA FITRAH




SALAM AIDIL FITRI UNTUK SEMUA SAUDARA-SAUDARI. SEMOGA KEHADIRAN SYAWAL INI AKAN DIRAYAKAN DALAM SUASANA YANG PENUH INSAF DAN KESYUKURAN ATAS NIKMAT YANG DIBERIKAN OLEH ALLAH KEPADA KITA.

Kepada saudara-saudari yang berada di Pulau Pinang pada 2 Syawal, sudi-sudilah ke rumah terbuka di Kampung Syed, Jalan Burma, Georgetown. 


Saturday, 20 August 2011

Selangor agih zakat lebih RM 100 juta dalam tempoh lima bulan pertama 2011

Jumaat lepas, seorang khatib jemputan yang membaca khutbah Jumaat di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang menyatakan bahawa cuma 10 peratus daripada 2.5 juta umat Islam di Selangor membayar zakat harta tahun lepas.

Beliau mengambil ibadah zakat sebagai tajuk khutbah sambil memberi huraian mengenai ibadah tersebut dengan harapan agar umat Islam yang wajib membayar zakat harta mahupun jenis zakat lain supaya berbuat demikian.

Bagi saya yang bukan seorang yang  bijak pandai dalam hukum-hakam dan ilmu agama, kenyataan khatib tersebut agak mengelirukan kerana bukan semua 2.5 juta umat Islam yang disebutkannya itu diwajibkan mengeluar atau membayar zakat harta mahupun jenis zakat lain.

Oleh itu, kenyataan bahawa cuma 10 peratus daripada 2.5 juta umat Islam yang membayar zakat harta boleh  dipertikaikan kerana orang akan mengandaikan bahawa 90 peratus lagi belum membayar zakat harta atau mereka, iaitu yang 90 peratus itu, tidak memiliki harta yang cukup syarat untuk membayar zakat. Kedua-duanya adalah satu kemungkinan.

Saya menyemak perangkaan zakat yang diuruskan oleh Lembaga Zakat Selangor dan dapati bahawa jumlah kutipan atau pengeluaran zakat oleh umat Islam agak memberangsangkan.

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, iaitu Januari hingga Mei, Lembaga Zakat Selangor  mengutip atau menerima bayaran zakat berjumlah RM 103,493,481.00.

Jumlah paling banyak adalah melalui kuipan zakat pendapatan iaitu RM 60,767,872.00 dikuti oleh zakat perniagaan RM 22,144,872.00, zakat harta RM 4,589,482.00,  zakat simpanan  RM 9,224,148.00, zakat saham  RM 2,760,377.00 manakala zakat emas cuma  RM 278,056.00


Agihan oleh Lembaga Zakat Selangor untuk tempoh Januari hingga Mei 2011 adalah seperti berikut - Asnaf fakir  RM 10,444,279.00;  Asnaf miskin   RM 17,236,716.00;  Asnaf Amil   RM 13,511,683.00;  Asnaf Mualaf  RM  5,210,784.00;  Asnaf  Fisabilillah  RM 35,966,567.00;  Asnaf Gharimin   RM 17,603,088.00; Asnaf Ibnu Sabil   RM  422,948.00;  dan Asnaf Riqab  RM 1,016,216.00.

Ini bermakna Lembaga Zakat Selangor telah mengagih-agihkan  RM 101,412,281.00 kepada orang-orang yang berhak mendapatkan zakat di negeri Selangor dalam tempoh tersebut hasil daripada kutipan atau bayaran zakat sebanyak RM 103,493,481.00.

Perangkaan di atas memperlihatkan kesedaran di kalangan umat Islam di Selangor yang mengeluarkan zakat dan tanggungjawab atau amanah yang dijalankan oleh Lembaga Zakat Selangor dalam mengagih-agihkan zakat kepada asnaf-asnaf yang ditetapkan. 

Apabila zakat dilaksana sepenuhnya, hasilnya akan kelihatan dengan jelas, dan ia akan menyucikan jiwa daripada pelbagai hasad dengki dan iri hati, ia juga akan mempersaudarakan manusia yang berbeza dari sudut harta dan kekayaan. 

'' Ambillah [sebahagian] daripada harta mereka menjadi sedekah [zakat], supaya dengannya kamu membersihkan mereka [daripada dosa] dan menyucikan. '' - terjemahan Surah al-Taubah ayat 103.

Kita mengharapkan agar Lembaga Zakat Selangor akan mempertingkatkan usaha untuk membantu umat Islam yang daif dan seharusnya dibantu demi mengelak mereka daripada memohon bantuan atau pertolongan daripada pihak lain, terutama gereja.

Para pegawai Lembaga Zakat mesti turun padang dan tidak sekadar menunggu 'pelanggan' di pejabat agar amanah yang dipikul, iaitu amanah yang bukan datangnya daripada manusia tetapi Allah, dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, adil dan sempurna.

Pemimpin-pemimpin masyarakat Islam termasuk wakil rakyat, penghulu, ketua kampung, pengerusi JKKK atau Rukun Tetangga, pegawai dan kakitangan awam serta orang ramai yang tahu akan kewujudan umat Islam yang seharusnya dibantu oleh Lembaga Zakat pun perlu berperanan untuk memaklumkan perkara tersebut kepada Lembaga Zakat.

Jika semua pihak berbuat demikian, kita yakin masalah yang dihadapi terutama isu murtad dapat ditangani.

    



Monday, 15 August 2011

Mufti Pulau Pinang kesal ada kenyataan tidak profesional berkaitan isu bacaan al-Quran guna pembesar suara

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad meluahkan perasaan amat kesalnya atas beberapa kenyataan tidak profesional dan tidak berhemah daripada beberapa pihak termasuk menuduh kononnya Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat keputusan secara melulu.

" Hal ini bukan isu politik tetapi ia arahan Nabi Muhammad s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni, " katanya pada sidang media di Pulau Pinang semalam.

Beliau menegaskan bahawa larangan penggunaan pembesar suara itu adalah nasihat hukum, iaitu satu panduan tanpa mewartakannya dalam Enakmen Agama Islam negeri. 

Mufti itu juga menjelaskan bahawa larangan terhadap masjid atau surau di Pulau Pinang daripada menggunakan pembesar suara untuk bacaan al-Quran sebelum subuh berlandaskan hukum syarak dengan nas-nas yang sahih.

" Islam mensyariatkan tidak mengangkat suara dengan kuat kecuali untuk azan dan beberapa rutin ibadah lain seperti khutbah dan terdapat banyak nas yang melarang kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain kerana walaupun bacaan al- Quran dan zikir amalah baik, kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita, " katanya seperti yang dilaporkan oleh media.

Datuk Hassan juga menafikan tuduhan bahawa larangan itu dikeluarkan atas arahan kerajaan negeri. ( seperti yang didakwa oleh salah seorang naib presiden UMNO  - penulis).

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa kesal kerana isu pokok pandangan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang telah dikaburkan manakala tambahan 'rempah ratus' menyedapkan golongan pemfitnah terus digembar-gemburkan sehingga asal permasalahan diabaikan.

Katanya perbuatan itu adalah sesuatu yang tidak adil kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri yang dipesongkan niat asal keputusan itu dibuat.

" Saya melihat isu ini dalam perspektif yang objektif  kerana keputusan itu dibuat jauh dari sebarang kepentingan politik atau campurtangan politik. Kedua, keputusan itu dibuat mengikut kerangka dan proses kerja Jabatan Mufti dan bukan dalam kerangka Exco Agama Pulau Pinang dan jauh sekali Pejabat Ketua Menteri, " katanya ketika menulis dalam HarakahDaily.

Mujahid yang juga Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS, berkata kerakusan media (arus perdana - penulis) 'membelasah' pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri melalui kenyataan-kenyataan yang provokatif telah memburukkan institusi pembuat keputusan dalam Islam dan kedudukan Mufti sendiri sebagai Penasihat Raja-Raja Melayu. 

" Apakah kerana kenyataan keputusan ini datang dari Pejabat Mufti Pulau Pinang maka ia tidak perlu dihormati?   Apa bezanya institusi Mufti Pulu Pinang dengan yang lain? " 

Mujahid seterusnya bertanya mengapa Perlis yang sudahpun membuat keputusan larangan yang serupa tidak kecoh dan heboh?  Mengapakah Perlis tidak dlabel sebagai negeri yang mahu 'meminggirkan Islam' dengan larangan ini, sedangkan Pulau Pinang dicop demikian?. Apa beza larangan yang dibuat oleh Pejabat Mufti Perlis dengan yang di Pulau Pinang? 

Merujuk kepada soalan mengapa Majlis Fatwa Kebangsaa tidak dimaklumkan, beliau berkata ia adalah satu lagi kejahilan pihak  tertentu tentang proses dan hubungan dengan Fatwa Kebangsaan. Sama kesnya dengan isu 'Pengharaman Poco-Poco' dimana Fatwa Kebangsaan tidak dimaklumkan awal tentang keputusan itu, hanya setelah dibincangkan Fatwa Kebangsaan menolak tetapi menghormati keputusan Mufti Perak.

Mujahid turut kesal atas sikap segelintir orang Melayu yang memperbodohkan  diri mereka dalam isu bacaan al-Quran ini sehingga tersingkaplah wajah sebenar mereka yang kononnya menjadi pembela Islam tetapi untuk Pulau Pinang mereka membelasah institusi Islam semahu-mahunya.

" Saya amat menyokong pandangan Mufti dan syabas kerana berani berkata benar walaupun pahit, " tegas Mujahid.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh.

" Kita (umat Islam)  hanya dibenarkan melaungkan suara ketika azan untuk mengerjakan solat. " katanya.

Seperti yang dikatakan oleh Mujahid, Pulau Pinang memang mendapat perhatian yang cukup meluas sejak 2008, tetapi malangnya tumpuan media ke Pulau Pinang lebih berniat 'malafide' dan kadang-kadang berbaur fitnah dan pembohongan. 

Paling menarik isu Pulau Pinang berlegar sekitar isu Melayu dan Islam dengan mesej perkauman yang rumusannya ialah tentang penindasan kerajaan DAP ke atas orang Melayu dan Islam.

Apakah mereka fikir  orang Melayu Pulau Pinang mudah dipergula-gulakan dengan isu peminggiran dan penindasan? Mungkin segelintir yang berkepentingan tertentu sahaja tetapi bukan majoriti.

   

Saturday, 13 August 2011

Isu larang guna mikrofon baca al-Quran, Zahid Hamidi usah main politik murahan


Awal-awal lagi saya dah jangka pasti ada pemimpin UMNO yang akan jadikan bahan politik murahan berikutan keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang memutuskan bahawa bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum waktu solat subuh adalah dilarang menurut hukum syarak.

Tetapi saya tidak pula menyangka yang pemimpin tersebut adalah naib presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, seorang yang berlatar belakangkan pendidikan Islam.

Yang lebih mendukacitakan saya apabila Zahid mengaitkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama bagi negeri Pulau Pinang dan mempersalahkan pentadbiran negeri pimpinan Lim Guan Eng.

Saya hairan kenapa Zahid tiba-tiba mempersoalkan keputusan Majlis Fatwa yang tidak berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Zahid mengaitkan pengeluaran fatwa itu dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang atau JAIPP dan kerajaan negeri.

Di sinilah letak kesilapan besar oleh Zahid kerana JAIPP bukanlah badan atau pihak yang mengeluarkan fatwa tersebut tetapi hanya mengedar pekeliling fatwa berkenaan kepada semua masjid dan surau di negeri Pulau Pinang.

Yang buat fatwa adalah Majlis Fatwa bukan JAIPP, oleh itu JAIPP tidak boleh dipersalahkan kerana ia tiada kuasa atau hak untuk mengeluar fatwa.  Tak kan inipun Zahid tidak tahu.

Zahid juga kurang bijak dan salah apabila dia menuduh kononnya larangan yang dikeluarkan oleh JAIPP adalah atas arahan pentadbiran kerajaan negeri. Amat jelas Zahid bermain politik murahan kerana pentadbiran negeri tiada kaitan dan kena-mengena dengan pengeluaran fatwa. Ini dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Abdul Malik Abul Kassim.

Sebuah NGO yang dinaungi oleh semua jawatankuasa kariah masjid seluruh Pulau Pinang diketuai oleh Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Datuk Seri Yusof  Latif  menerima dan menghormati keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang dan menasihati semua masjid dan surau akur akan larangan itu. Jadi, kenapa Zahid Hamidi pula yang melenting tak tentu pasal jika bukan kerana dia sengaja mempolitikkan isu.

Zahid juga menuduh kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai tidak sensitif  terhadap agama Islam dan ia seharusnya merujuk fatwa itu kepada Agong.

Dalam pada itu, Mufti Kerajaan Negeri Perlis Dr Juanda Jaya menyokong tindakan Majlis Fatwa Pulau Pinang agar suara bacaan al-Quran tidak dikuatkan melalui pembesar suara sebelum waktu solat subuh.

Perlis sokong kenyataan itu dan Perlis dah lama kuatkuasakan larangan itu di masjid dan surau, kata Dr Jaunda sambil menjelaskan bahawa mikrofon masjid hanya boleh laungkan azan waktu subuh sebanyak dua kali sahaja, pertama 30 minit sebelum subuh dan kemudian azan subuh. Saya ingin tahu daripada Zahid adakah kerajaan negeri Perlis juga tidak sensitif terhadap agama Islam ....

Dr Juanda berkata ia adalah amalan yang menepati kehendak sunah Nabi Muhammad s.a.w. 

Sementera itu, mantan Mufti Perlis Prof. Madya Dr Mohamad Asri Zainul Abidin juga menyokong fatwa tersebut yang disifatkannya sebagai arahan nabi dan selaras dengan kehendak syarak.

Dr Asri, anak kelahiran Pulau Pinang, berkata apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. 

Thursday, 11 August 2011

Rusuhan di Britain tak boleh disamakan dengan demonstrasi jalanan

Rusuhan yang tercetus di England tidak boleh disamakan dengan tunjuk perasaan atau demonstrasi jalanan di mana-mana termasuk di Malaysia. Ia adalah dua perkara yang berlainan.

Walaupun demonstrasi boleh mencetus rusuhan, tetapi ia jarang berlaku. Lihat saja demonstrasi yang kerap diadakan di beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat apabila rakyat menyuarakan sama ada bantahan atau penentangan terhadap sesuatu isu, ia tidak pula mencetus rusuhan.

Adalah sesuatu yang tidak tepat apabila ada pihak, termasuk pegawai atasan polis di Malaysia, yang mengaitkan demonstrasi Bersih 2.0 dengan apa yang berlaku di England. Demonstrasi Bersih 2.0 dihebohkan jauh lebih awal daripada tarikhnya manakala rusuhan di bumi Inggeris dilakukan secara mendadak selepas berlaku insiden seorang remaja kulit hitam ditembak mati oleh polis, yang besar kemungkinan berkulit putih.

Pihak polis di Malaysia sudah lebih awal bersiap siaga untuk menangani demonstrasi jalanan itu manakala di England, mereka dikejutkan dengan rusuhan yang tiba-tiba berlaku dan tidak bersedia untuk menghadapinya.

Apa yang boleh dipelajari daripada rusuhan yang berlaku di England ialah penghijrahan bangsa-bangsa yang miskin ke negara yang kaya atau maju boleh mencetus masalah perkauman yang serius. 

Malaysia kini dibanjiri oleh kaum pendatang bukan sahaja dari rantau Asia Tenggara tetapi Asia Selatan dan Afrika. Keberadaan  mereka di Malaysia sudahpun memberi sumbangan kepada peningkatan perangkaan  jenayah termasuk pembunuhan ngeri.

Masalah atau kemungkinan ini telahpun diketengahkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  10 tahun lalu semasa berucap merasmikan Diskusi 'Toleransi - Model Malaysia' di IKIM, Kuala Lumpur.

Tun berkata masalah perkauman di Eropah akan bertambah di masa-masa akan datang kerana mobiliti atau pergerakan masyarakat begitu tinggi. Sempadan tidak boleh dikawal seperti lazimnya dan penyeludupan manusia akan meningkat. 

 Apa yang disuarkan oleh Tun Mahathir 10 tahun lalu kini menjadi kenyataan. Rusuhan yang berlku di England tidak boleh dinafikan sebagai sesuatu yang membabitkan kaum pendatang yang turut dipanaskan oleh samseng-samseng kulit puteh yang ambil kesemptan untuk mengganas.

Dengan bertambahnya bilangan kaum pendatang, ancaman terhadap kaum asli atau rakyat asal akan meningkat ke tahap yang tidak dapat diterima, walaupun ada penduduk tempatan yang akan bersikap liberal dan kerajaan secara rasmi bersikap toleran atau bertolak ansur, kata Tun Mahathir.

Tetapi, tambahnya, golongan bawahan di kalangan penduduk tempatan yang menjadi majoriti akan menyoal hak kaum pendatang dan tidak dapat bersikap toleran terhadap mereka. Sekali sekala rusuhan kaum akan berlaku dan pada masa lain perhubungan antara kaum tetap tegang. Toleransi hanya akan ada di mulut sahaja. 

Bahayanya, semakin ramai kaum pendatang semakin buruk hubungan antara kaum dan semakin sukar bagi masing-masing terutama penduduk asal untuk bersikap toleran.

Oleh itu, apa yang berlaku di England harus dijadikan teladan terutama oleh orang Melayu kerana sejarah bangsa menunjukkan betapa Melayu lebih mengutamakan keselesaan hidup daripada soal-soal keselamatan dan kemajuan bangsa. 




Saturday, 6 August 2011

NGO Melayu/Islam perlu tangani masalah bukan berpolitik

Serbuan oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor atau JAIS dan Polis Diraja Malaysia atau PDRM ke dalam premis gereja Metodis Damansara Utama atau DUMC menimbulkan banyak andaian, tanggapan dan cakap-cakap yang mungkin betul dan sekadar spekulasi.

Ada yang tuduh berlaku atau akan berlaku kegiatan murtad, ada yang kata ia sekadar majlis silaturrahim dan ada yang dakwa orang Islam yang ke situ kerana mendapat bantuan gereja.

Walau apapun, satu perkara yang membimbangkan ialah umat Islam yang tidak segan-silu mendapatkan bantuan dan pertolongan dari pihak gereja dan badan-badan kebajikan yang dikendalikan oleh agama lain. 

Mereka meminta bantuan atau pertolongan badan-badan kebajikan bukan Islam kerana terdesak, terpaksa dan kecewa setelah gagal mendapat bantuan daripada pihak-pihak yang diamanahkan seperti Baitulmal, Jabatan Zakat dan Wakaf, Yayasan Kebajikan Negara atau NGO seperti Yayasan Basmi Kemiskinan.

Mungkin mereka tidak layak atau tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak berkenaan untuk diberi bantuan. Kita tidak tahu. Yang terserlah, mereka beralih kepada badan atau institusi kebajikan bukan Islam dan mereka mendapat bantuan yang diharapkan. Tidak mustahil ada diantara mereka yang akan murtad sekiranya lemah iman dan tiada pilihan lain.

Di Malaysia sekarang, terutama di kalangan orang Melayu/Islam, keghairahan untuk menubuh badan-badan bukan kerajaan atau NGO begitu berselera. Ada sahaja NGO yang timbul untuk menjuarai sesuatu isu di atas kertas. Kebanyakan NGO berkenaan didalangi oleh parti-parti politik dan bertujuan sama ada untuk 'menyerang melalui media' pentadbiran yang diterajui oleh musuh politik atau 'mempertahan' tindakan pentadbiran yang disokong.

Semua NGO berkenaan bermatlamatkan perjuangan politik, bukan untuk memperjuangkan untung nasib orang Melayu/Islam seperti yang dilaung-laungkan oleh beberapa NGO termasuk PERKASA.

Kenapa NGO-NGO yang gah atas kertas melalui sidang-sidang akhbar dan kenyataan-kenyataan media mereka, tidak turut sama membantu orang Melayu/Islam miskin yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Jika NGO-NGO Melayu/Islam berbuat demikian dan tidak memukul tong-tong kosong, kita yakin orang Islam yang pergi ke gereja atau badan-badan kebajikan bukan Islam untuk mendapat bantuan, tidak akan berbuat demikian.

Malangnya, hampir semua NGO Melayu/Islam lebih merupakan entiti berkepentingan politik, sama ada menyokong Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Mereka didalangi oleh politik dan bertindak atas kepentingan politik.

Jangan salahkan orang lain kerana  kealpaan kita yang terlalu banyak berpolitik.



Wednesday, 3 August 2011

Ramadhan - antara dua kenyataan

Pada hari pertama umat Islam menyambut Ramadhan, Yayasan Kebajikan Negara dan Puspanita, mengagihkan 700 bungkusan makanan kepada insan yang kurang bernasib baik yang digelar gelandangan atau 'the homeless' di Kuala Lumpur. Majlis penyerahan itu dilakukan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Shahrizat Abdul Jalil di Anjung Singgah, Jalan Hang Lekiu.

Anjung Singgah adalah projek perintis antara kerajaan dan Yayasan Kebajikan Negara untuk memberi tempat berlindung sementara kepada golongan gelandangan. Ia mula beroperasi pada April lalu dan mampu menampung 76 penghuni.

Pengagihan bungkusan makanan di Anjung Singgah akan diteruskan sepanjang Ramadhan dan diberi kepada gelandangan tanpa mengira bangsa atau agama.

Selain itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan atau MAIWP mengagihkan 400 bungkusan makanan kepada golongan fakir miskin, juga tanpa mengira bangsa dan agama sepanjang bulan Ramadhan.

Kedua-dua pihak menunaikan tanggungawab kemasyarakatan untuk memastikan mereka yang kurang bernasib baik terutama umat Islam yang berpuasa, boleh membuka puasa dengan sempurna. 

Mereka sedar bahawa insan gelandangan, termasuk wanita dan kanak-kanak,  yang tiada tempat berteduh dan boleh dilihat setiap malam tidur di kaki-kaki lima, masjid ataupun di mana sahaja yang dapat melindungi mereka daripada hujan mahupun embun,  mendapati sukar untuk mendapat sesuap nasi dan seteguk air minuman.   

Selain dua agensi kerajaan, beberapa NGO yang dikendalikan sama ada oleh umat Islam atau agama lain, turut mengagihkan bungkusan makanan kepada insan-insan malang sekitar Lembah Klang.

Itu adalah satu episod kehidupan di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar lain di bumi bertuah ini.

Ia amat jauh berbeza dengan satu lagi episod kehidupan insan yang bernasib baik yang diberi kemewahan hidup oleh Allah S.W.T.

Mereka berbuka puasa sama ada di restoran atau hotel mewah yang menyajikan pakej bufet Ramadhan. Ada yang menyediakan sehingga 60 jenis makanan/juadah untuk membolehkan golongan itu berbuka puasa.  Bulan Ramadhan seolah-olah bulan pesta makanan dan ini terserlah dengan sebegitu banyak pasar Ramadhan selain restoran dan hotel.

Menurut kontraktor sisa pepejal yang termasuk sisa makanan, pihaknya mengutip lima kali lebih banyak sisa pepejal di kawasan bandar pada bulan Ramadhan sedangkan di kawasan luar bandar jumlahnya menurun. Ini menunjukkan bahawa sisa makanan atau lebihan makanan yang dibuang ke dalam tong sampah di bandar-bandar meningkat mendadak akibat sikap manusia yang membazir  pada bulan Ramadhan.

Pembaziran makanan pada bulan Ramadhan amat dikesali kerana di negara lain seperti Somalia, Sudan dan Ethiopia, manusia sedang kebuluran manakala di sini pembaziran amat ketara.

Pembaziran makanan turut membabitkan pemborosan jika dilihat dari sudut harga pakej bufet yang ditawarkan oleh restoran dan hotel mewah, terutama di Kuala Lumpur.

Saya tidak dapat membayangkan banyak mana yang boleh dimakan oleh seorang di sebuah hotel yang menawarkan pakej Ramadhan pada harga RM115 seorang. Cuba bayangkan berapa banyak insan gelandangan yang boleh ditampung oleh wang sebanyak itu sedangkan ia hanyalah untuk seorang sahaja di hotel mewah berkenaan. Ini adalah satu contoh pembaziran yang tidak seharusnya berlaku bukan sahaja pada bulan Ramadhan tetapi pada setiap hari, setiap bulan dan setiap tahun.

Pakej Ramadhan yang ditawarkan berharga antara RM40 hingga RM120 seorang. Tiada keistimewaan yang dapat dilihat selain pembaziran. Benar, ada yang akan berkata mereka mampu dan apa salahnya jika mereka berbelanja besar untuk memenuhi nafsu makan selepas berpuasa.