Monday, 2 February 2009

Kenapa kanak-kanak dijadikan mangsa politik?



Gajah sama gajah bergasak, pelandok yang mati. Itulah yang dapat diperkatakan apabila melihat kanak-kanak pra-sekolah menjadi mangsa orang politik.

Perkara yang boleh dikatakan tidak bertanggungjawab dan waras ini bukan berlaku di Zimbabwe, di Rusia atau di Mongolia, tetapi di bumi bertuah bernama Malaysia.

Dulu ia berlaku di Terengganu semasa PAS memerintah, kemudian di Perak apabila Pakatan Rakyat menjadi pentadbir negeri dan kini di Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Sebagai anak Pulau Pinang yang pernah berkhidmat di Daerah Barat Daya (Balik Pulau) pada tahun 1970-71, saya sedih melihat kanak-kanak Tadika KEMAS di Kuala Sungai Pinang, menjadi mangsa kekejaman orang politik (Parti KeAdilan Rakyat).

Jikapun tidak setuju Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menggunakan premis berkenaan sebagai pusat Taman Bimbingan, janganlah sampai mengakibatkan kanak-kanak yang tidak berdosa, yang tidak tahu apa itu politik, yang tidak kenal apa itu UMNO atau PKR menjadi mangsa.

Perbuatan mengunci pintu masuk Tabika KEMAS Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, iaitu satu-satunya Tabiba mahupun Tadika di perkampungan nelayan itu amat dikesali.

Apakah orang yang mengunci dengan menggunakan rantai motosikal itu tidak mempunyai anak, atau orang yang mengarah perbuatan tersebut tidak mempunyai anak atau adakah mereka tidak berhati perut?

Mereka sanggup melihat kanak-kanak duduk atas tikar dan terdedah kepada sinaran matahari dan debu-debu yang berterbangan tanpa belas kasihan. Apa dah jadi dengan sifat-sifat kemanusiaan?

Binatangpun tahu sayang dan lindungi anaknya. Kenapa manusia begitu zalim semata-mata kerana berlainan fahaman politik?

Di mana Ahli Parlimen Balik Pulau yang juga ketua Angkatan Muda PKR Pulau Pinang? Saudara adalah seorang yang bijak, cerdik dan berpendidikan tinggi. Bagaimana perkara seumpama ini boleh berlaku dalam kawasan pilihan raya saudara sendiri?

Saya tidak tahu apa nak diperkatakan lagi. Melayu Oh Melayu!

Sunday, 1 February 2009

Pilihan Raya Kecil di Perak?

Jika benar dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri Perak yang dikatakan akan melompat parti telah letak jawatan, maka dua pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari berkuatkuasa daripada tarikh perletakan jawatan itu.

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak mengesahkan yang dia menerima (melalui faksimili di rumahnya) surat perletakan jawatan oleh ADUN Changkat Jering, Mohamad Osman Jailu dan ADUN Behrang, Jamaluddin Mat Radzi, kedua-dua dari Parti KeAdilan Rakyat (PKR) dan anggota Exco Kerajaan Pakatan Rakyat.

Tetapi, Osman dilaporkan telah menafi yang dia berbuat demikian. Dia kata dia tak hilang tetapi sedang bercuti sakit. Jamaluddin pun membuat penafian serupa.

Tidak tahu pula mana satu yang betul. Inilah sepak terajang politik.

Jalan keluar untuk mengatasi kekusutan politik di Negeri Perak ialah bubarkan saja Dewan Undangan Negeri dan adakan pilihan raya semula, serahkan kepada rakyat (pengundi) untuk membuat keputusan.

Menteri Besar hendaklah menasihati Paduka Seri Sultan Perak supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri. Inilah jalan terbaik untuk menyelesaikan kemungkinan berlakunya krisis politik yang lebih buruk.