Tuesday, 8 December 2009

Mahathir dan Nazri - dua kali lima





Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Nazri Abdul Aziz menuduh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang bersikap perkauman kerana mempertahankan Biro Tata Negara atau BTN.

Menjawab tuduhan itu, Tun Mahathir secara terang-terangan menuduh Nazri juga seorang yang bersikap perkauman kerana menganggotai sebuah parti politik perkauman, iaitu UMNO. Mahathir cabar Nazri supaya letak jawatan.

Jawab pula Nazri, dia menyertai parti perkauman yang sudahpun wujud kerana ingin berkhidmat dengan kerajaan dan dia tidak terlibat dalam penubuhan parti perkauman itu tetapi Mahathir bertanggungjawab membentuk dasar parti perkauman itu.

Yang pasti dan benar, kedua-dua mereka akhirnya bercakap benar, kedua-dua mereka adalah sebahagian dan sama-sama menyumbang kepada sistem perkauman yang wujud di negara ini.

Benar, UMNO adalah parti politik perkauman, begitu juga dengan hampir semua parti politik di negara ini - perkauman adalah kekuatan bagi mereka. MCA, MIC, DAP, LDP, PPP, IPF , PAS , Gerakan dan parti-parti kecil-kecilan yang lain berpaksikan kaum. Itulah kenyataan, itulah hakikat politik Malaysia.

Begitu juga dengan BTN dan beberapa lagi agensi pemerintah yang tidak boleh dinafikan bersikap perkauman. Semuanya itu kerana wujud politik perkauman. Perkauman adalah sesuatu yang bukan asing di Malaysia. Perkauman adalah satu kekuatan.

Jadi, tengkarah antara Nazri dan Mahathir, bukan sesuatu yang baru dan tidak asing kepada rakyat, tidak memeranjatkan. Kedua-dua mereka adalah hasil sistem perkauman. Kedua-dua mereka betul apabila menuduh satu sama lain sebagai perkauman.

Elok sangat, dedahkan pekung di dada masing-masing untuk terus menjadi bahan ketawa oleh orang lain.


Sunday, 6 December 2009

SMS hasutan perlihatkan kejahilan ADUN DAP


Pulau Pinang masih menjadi salah satu tempat percutian yang disukai ramai terutama pada musim cuti sekolah seperti sekarang. Di mana-mana sahaja tempat tarikan awam terdapat ramai pengunjung terutama dari luar Pulau Pinang.

Itulah yang dapat dilihat apabila saya ke Penang Road, Batu Feringgi, Pesiaran Gurney atau Padang Kota Baru, Padang Kota Lama yang terkenal dengan Kota Cornwallis dan Telok Bahang yang menempatkan Taman Rama-rama, hutan lipur dan kilang batik Pulau Pinang.

Selain pengunjung dari negeri-negeri di Semenanjung, terdapat juga pengunjung dari Singapura yang memandu kereta terus ke Pulau Pinang, tarikan utama orang Singapura adalah makanan terutama di Pesiaran Gurney.

Malangnya, dalam kegembiraan melihat begitu ramai pelancong dari dalam dan luar negara yang berada di Pulau Pinang, terbit satu berita yang kurang menyenangkan yang berpunca daripada tindakan biadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri atau ADUN Parti Tindakan Rakyat atau DAP.

ADUN Sungai Pinang Koid Teng Guan mengaku telah menghantar khidmat pesanan ringkas atau SMS yang menghasut orang ramai untuk 'kebumikan' Barisan Nasional serta bersembahyang untuk roh mereka apabila mereka meraikan perayaan 'Qing Ming'.

Pokok pangkalnya SMS itu bukan sahaja berbentuk hasutan tetapi perkauman kerana SMS itu ditulis dalam bahasa Cina dan dihantar kepada masyarakat Cina. Menurut laporan lebih 400 orang menerima SMS itu tetapi angkanya jauh berlipat ganda apabila orang yang menerimanya menghantar kepada pihak ketiga dan seterusnya.

Walaupun Teng Guan telah memohon maaf secara terbuka, ianya sudah terlambat kerana SMS berkenaan masih disebarkan oleh pihak ketiga. Ianya ibarat perbuatan mencurah setitik nila ke dalam belanga yang berisi susu segar. Kerosakan sudahpun berlaku.

Andai kata SMS itu dihantar oleh seseorang yang bukan ADUN, ia boleh dimaafkan tetapi tidak boleh dilepaskan daripada tindakan undang-undang jika ia dapat dikesan. Tetapi apabila ia disebarkan oleh seorang ADUN, ia tidak dapat dimaafkan dan tidak boleh dilepaskan daripada tindakan undang-undang.

Beberapa pihak di Pulau Pinang telah membuat laporan polis dan adalah diharapkan pihak berwajib akan menjalankan siasatan rapi dan menyeluruh dan pihak Timbalan Pendakwa Raya mengheretnya ke muka penghakiman.

Perbuatan biadab dan tidak bertanggungjawab oleh mereka yang bergelar Yang Berhormat tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Perbuatan sedemikian tidak memperlihatkan kehormatan pada diri pelaku tetapi satu kebodohan dan kejahilan.