Thursday, 4 March 2010

Bebaskah wakil rakyat bebas?

(Gambar: Parlimen - lambang amalan demokrasi - yang dilihat dari arah Galeria Seri Perdana)

Kebelakangan ini satu demi satu wakil rakyat isytihar keluar parti yang mereka wakili untuk dipilih sebagai wakil rakyat dan bertukar peranan sebagai wakil rakyat bebas.

Jika dilihat dari sudut demokrasi, itu adalah hak mereka, tetapi jika dilihat dari sudut realiti atau keadaan sebenar, mereka mengkhianati rakyat yang memilih atau menyokong mereka dan parti yang diwakili.

Perbuatan melompat parti atau meninggalkan parti, tak kira sama ada parti yang memerintah atau yang menjadi pembangkang, tidak seharusnya disokong kerana yang memilih mereka adalah rakyat, oleh itu mereka seharusnya kembalikan hak untuk menentukan siapa yang layak mewakili rakyat kepada rakyat.

Tetapi, budaya atau sifat sedemikian begitu asing kepada mereka yang bergelar wakil rakyat kecuali dengan sebab-sebab tertentu seperti yang dilakukan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail, iaitu untuk membuka jalan kepada suaminya, Anwar Ibrahim. Itupun boleh dikatakan satu perbuatan yang bukan sahaja mengkhianati pemilihan rakyat tetapi berkepentingan sendiri.

Kemunculan wakil rakyat bebas, sama ada di Dewan Rakyat (Parlimen) atau Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan perkara baru. Bezanya, dahulu ia melibatkan satu dua orang wakil rakyat tetapi sekarang, ia seolah-olah menjadi satu arah aliran yang bakal mencatat sejarah.

DUN Pulau Pinang dalam tahun-tahun lewat 60-an hingga lewat 70-an menyaksikan seorang wakil rakyat bebas yang terus mendapat sokongan rakyat. Mendiang C.Y. Choy yang satu ketika merupakan orang kuat Parti Buruh (Labour Party) bukan sahaja sukar ditumbang oleh pentadbiran BN yang diketuai oleh Tun Dr. Lim Chong Eu, malah dia dihormati lawan kerana memperlihatkan keberkesanannya selaku wakil rakyat dalam erti kata sebenarnya.

Mendiang Choy benar-benar berperanan sebagai ADUN Bebas dengan menyuarakan hasrat rakyat dan menyokong usaha-usaha pentadbiran yang memberi faedah kepada rakyat. Setiap kali dia bangun untuk berucap dalam DUN, semua orang mendengarnya dengan penuh minat. Dia tidak bermain politik murahan tetapi mengutamakan masalah rakyat.

Keberkesanan C.Y. Choy selaku ADUN Bebas telah dihargai oleh Kerajaan Negeri BN Pulau Pinang dengan menamakan semula sebatang jalan dalam kawasan undinya sempena namanya, itu Jalan C.Y. Choy.

Di Selangor pun wujud seorang wakil rakyat bebas yang berjaya. Warga Emas di Selangor dan mungkin di Malaysia tentu kenal akan nama Allahyarham Cik Gu Jabar, ADUN Bebas yang mewakili Kampung Laut beberapa penggal.

Peranan dan populariti Allahyarham hampir sama dengan mendiang C.Y. Choy, iaitu mereka bertindak dan berperanan sebagai wakil rakyat sejati. Allahyarham Cik Gu Jabar bukan tidak dipancing oleh UMNO untuk memihak kepada BN dengan bermacam tawaran, tetapi dia menolaknya. Dia bukanlah seorang wakil rakyat yang mengejar jawatan, pangkat dan kedudukan seperti sebilangan wakil rakyat yang ada hari ini.

Itu dahulu. Serkarang lain pula ceritanya.

Wakil-wakil rakyat yang keluar parti untuk menjadi wakil bebas berbuat demikian kerana beberapa sebab, yang ketara soal peribadi, jauh hati, kecewa dan mungkin kerana tidak mendapat sesuatu yang dihajati. Saya percaya kekecewaan adalah faktor utama.

Kepada mereka yang memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas dan tidak seharusnya "mesra" kepada mana-mana parti politik, harus sedar akan peranan sebagai wakil rakyat bebas, iaitu bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Sebagai Ahli Dewan Rakyat atau ADUN Bebas, mereka seharusnya bersikap bebas, iaitu menyokong apa-apa dasar atau tindakan pemerintah yang memberi faedah kepada rakyat dan menentang perkara-perkara yang difikirkan tidak memberi faedah atau menyusahkan rakyat. Mereka harus berani bertindak.

Sebagai wakil rakyat bebas, mereka tidak terikat dengan arahan whip parti seperti wakil-wakil rakyat yang mewakili parti, umpamanya BN dan Pakatan Rakyat.

Mereka juga tidak terbatas mematuhi dasar dan pendirian parti kerana mereka bebas daripadanya. Mereka boleh mengundi mengikut naluri hati dan tidak terpaksa mengikut arahan whip parti seperti yang dihadapi oleh wakil rakyat berparti.

Dalam hubungan ini, saya tidak setuju dengan pendirian beberapa orang wakil rakyat pembangkang yang keluar parti menjadi wakil bebas "mesra BN". Bebas semestinya bebas, bukan separa bebas seperti yang dilakukan oleh wakil rakyat bebas "mesra BN". Ini kerana mereka tidak terikat dengan arahan whip parti kerana mereka tidak berparti dan dengan itu, di mana letaknya "kemesraan" yang dimaksudkan?

Jika tidak tahu, maka tindakan mereka keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas boleh di samakan dengan perbuatan melompat parti dan mengkhianati sokongan rakyat.

Sang katak yang pandai melompat tinggipun tahu di mana ia hendak mendarat, tetapi apabila melompat melintasi jalan, ia boleh lenyap dilenyek di tengah-tengah jalan, maka berakhirlah riwayat si katak lompat itu.

Thursday, 25 February 2010

TV3 dedah kehidupan daif warga kota

Malam tadi TV3 menyiarkan satu cerita menyayat hati berkaitan kehidupan rakyat marhain di Kuala Lumpur yang sekali gus menimbulkan banyak tanda tanya tentang tanggungjawab pihak yang diamanahkan untuk menanganinya.

Melalui rancangan 'Aduan Rakyat' stesen penyiaran swasta itu bukan sahaja membuka mata warga kota yang menonton rancangan itu tetapi membuatkan pihak yang sepatutnya prihatin dan mengambil tahu serta mengambil berat mengenai masalah kehidupan sedemikian rupa, turun padang.

Kita sedar akan kewujudan golongan miskin dan papa dan segelintir yang ditakrifkan sebagai 'kutu rayau' atau 'vagrant' iaitu istilah yang merujuk kepada mereka yang tiada rumah atau tempat tinggal, tetapi tidak pula menyangka bahawa ramai daripada mereka menyambung hidup dengan mencari makanan dari tong-tong sampah.

Itulah kenyataan atau realiti kehidupan yang dipaparkan oleh TV3 malam tadi, sesuatu yang cukup menyedih dan mengguris perasaan siapa sahaja yang menonton rancangan 'Aduan Rakyat'.

Kita yang menonton rancangan itu malam tadi sudah pasti insaf dan semestinya bersyukur atas nikmat hidup yang diberi oleh Allah kepada kita kerana kita tidak perlu membuka bungkusan-bungkusan plastik hitam di belakang restoran makanan segera untuk mendapatkan sisa-sisa ayam goreng, kentang goreng atupun burger untuk mengisi perut. Sisa buangan orang lain yang tidak menghabiskan makanan mereka rupa-rupanya menjadi rezeki kepada orang lain yang kelaparan.

Ada di antara kita yang mungkin menyatakan bahawa golongan malang itu malas atau tidak mahu bekerja tetapi apa yang dipaparkan oleh TV3 adalah sebaliknya. Mereka yang diwawancara oleh petugas rancangan 'Aduan Rakyat' berkata mereka tiada pilihan, minta kerja tak dapat kerana, antara lain, latar belakang sebagai bekas bantuan, atau pernah menghuni pusat serenti dan tiada kelayakan.

Semua mereka menjadikan kaki lima, bawah jambatan atau jejambat, stesen LRT atau anjung masjid sebagai tempat tidur. Ada pula satu keluarga yang si bapa berpendapatan kecil dan tidak mampu menyewa rumah membawa keluarganya tidur sama ada di kawasan Dataran Merdeka atau kaki lima.

Saya cukup hormat dan menyanjung tinggi usaha TV3 yang jelas jauh lebih berjaya dan berkesan daripada sesetengah wakil rakyat mahupun jabatan dan agensi kerajaan dalam menangani dan membantu menyelesaikan masalah rakyat. SYABAS.

Apabila TV3 mendedahkan masalah rakyat, kepincangan mahupun penyelewengan termasuk perbuatan mencuri kayu balak atau pasir, barulah pihak-pihak yang diamanahkan turun padang dan cuba selesai atau tanganinya. Boleh dikatakan hampir semua perkara yang didedahkan oleh TV3 dapt diselesaikan.

Sekiranya TV3 tidak berbuat demikian, maka masalah, penyelewengan dan perbuatan jenayah seperti mencuri kayu balak dan pasir akan terus berleluasa. Bayangkan kayu balak yang begitu besar dengan menggunakan lori balak untuk mengangkutnya tidak 'dilihat' oleh pihak berkenaan sehinggalah disiarkan oleh TV3!

Berbalik kepada wujudnya rakyat di ibu kota dan saya percaya juga wujud di kota-kota besar dan sederhana besar di seluruh negara, yang terpaksa mencari makanan di tong-tong sampah, kita ingin tahu apa yang dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, BAITULMAL dan Pusat Urus Zakat...?

Boleh dikatakan hampir semua warga malang yang didekati TV3 adalah orang Melayu, beragama Islam yang sewajar dan selayak-layaknya mendapat bantuan daripada pihak BAITULMAL DAN PUSAT URUS ZAKAT Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Apa dah jadi dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka untuk turun membantu, mereka tidak semestinya duduk di pejabat dan tunggu orang datang minta bantuan, mereka kena buat kerja sikit, iaitu turun padang cari orang yang seharusnya diberi bantuan. Ia adalah tugas yang diamanahkan bukan sahaja oleh pemerintah tetapi oleh Allah.

Malangnya, walaupun wujud BAITULMAL dan institusi zakat yang mempunyai wang dan harta berpuluh malah beratus juta ringgit, masih ada umat Islam yang terpaksa menyambung hidup dengan menggeledah tong-tong sampah di belakang restoran KFC dan A&W di Kuala Lumpur.

Daripada apa yang didedahkan oleh TV3, mereka yang mencari makan dari tong-tong sampah bukan sakit jiwa atau kurang siuman, mereka mengaku terpaksa berbuat demikian kerana itulah saja sumber rezeki untuk terus hidup. Mereka terpaksa menebalkan muka, pedulikan apa orang nak kata asalkan mereka dapat mengisi perut yang lapar sebelum beredar ke kaki-kaki lima, stesen LRT, Dataran Merdeka ataupun masjid untuk tidur.

Salah seorang yang diwawancara oleh TV3 malam tadi menyatakan dia juga terpaksa mendapat makanan daripada sebuah gereja (katanya pihak Kristian, dah tentu gereja) di ibu kota. Apakah pihak gereja lebih prihatin daripada institusi Islam itu sendiri?

Seperkara lagi yang menimbulkan tanda tanya ialah kenapa apabila TV3 turun menyiasat, baru menteri turun padang dengan membawa bersama-samanya sepelatun pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Tenaga Rakyat, Dewan Bandar Raya KL dan sebagainya.

Menteri seharusnya tidak menunggu pendedahan atau liputan media untuk bertindak seperti yang diperlihatkan dalam rancangan 'Aduan Rakyat' malam tadi. Tetapi itulah realiti di negara bertuah bernama Malaysia.

Kepada TV3 kita rakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas atas sikap keprihatinan anda akan masalah rakyat. Teruskan kerja dan tugas anda yang murni itu kerana bagi mereka yang terbela dan diselamatkan hasil daripada liputan atau pendedahan anda, tiada ucapan lain yang dapat diberikan melainkan 'terima kasih TV3.'

TV3 adalah 'wakil rakyat' dalam erti kata yang sebenarnya. Tahniah dan syabas.