Friday, 22 October 2010

PUTRAJAYA - ketentuan di tangan rakyat

Saya tertarik mengikuti ucapan berapi-api presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Perhimpunan Agung UMNO. Bagi saya nada ucapan sedemikian tidak boleh dipisahkan dengan perhimpunan parti itu. Semasa Pak Lah berkuasapun wujud ucapan bersemangat walaupun beliau dilihat sebagai seorang yang lemah lembut dan 'gentleman'.

Ucapan membakar semangat juang di kalangan ahli parti adalah perkara biasa setiap kali perhimpunan agung diadakan. Kata-kata yang menyentuh sanubari orang Melayu, khususnya dan bumiputera lain amnya, sudah menjadi darah daging pemimpin UMNO. Datuk Najib tidak terkecuali bahkan dia berjaya membakar semangat ahli parti.

Banyak perkara dibangkitkannya tetapi yang agak mendapat sambutan hangat ialah apabila dia berkata bahawa UMNO akan mempertahankan Putrajaya, iaitu mengekalkan kuasa pentadbiran kerajaan persekutuan. Kata-katanya mendapat sorakan dan tepukan para perwakilan.

Kata-kata tersebut yang boleh dikaitkan dengan ucapan belanjawan yang dibuatnya sebelum itu, memberi gambaran atau isyarat bahawa pilihan raya akan diadakan tahun depan. Belanjawan 2011 yang dikatakan mesra rakyat sebenarnya belanjawan umpan pilihan raya.

Jika UMNO dan BN benar-benar serius nak pertahankan Putrajaya, maka mereka kena berubah, bukan sedikit perubahan tetapi banyak. Sikap pemimpin-pemimpin parti mesti diubah, rebut-merebut kontrak, kekayaan, jawatan dan kedudukan bukan sesuatu yang 'mesra rakyat'. Sikap sombong diri atas kedudukan, kekayaan dan jawatan yang disandang juga tidak 'mesra rakyat' sama seperti tabiat bermain dengan isu perkauman.

UMNO mesti sedar akan hakikat bahawa mereka memerlukan sokongan semua kaum untuk memerintah. Oleh itu mereka tidak boleh bermain isu perkauman jika nak menang pada pilihan raya akan datang. Saya sedar bahawa UMNO, sama seperti MCA dan MIC adalah parti perkauman dan isu itu tidak dapat dipisahkan tetapi apabila menghadapi rakyat, mereka mesti berdiri atas semangat BN yang mewakili semua kaum.

Untuk mempertahankan Putrajaya, UMNO dan BN mesti terlebih dahulu menawan hati rakyat yang layak mengundi. Hanya dengan sokongan rakyat sajalah UMNO dan BN boleh mempertahankan Putrajaya, bukan dengan cara lain.

UMNO dan BN juga harus sedar bahawa pihak lawan, iaitu Pakatan Rakyat (PR) juga mampu menawan Putrajaya jika rakyat menyokong mereka. UMNO dan BN tidak boleh menyekat rakyat daripada menyokong PR jika itulah kehendak majoriti.

Oleh itu, laungan bersemangat Datuk Najib untuk mempertahan Putrajaya tidak bermakna sekiranya rakyat tidak memberi sokongan dan kepimpinan UMNO, terutamanya, harus bertindak mulai sekarang untuk menawan semula hati rakyat, bukan bersikap 'tidak mesra rakyat' dengan kelakuan dan tindakan yang membangkitkan kebencian di kalangan rakyat.

UMNO juga harus bekerja kuat untuk mendapat sokongan golongan muda dan mereka yang disebut sebagai berada di atas pagar kerana golongan inilah yang lazimnya akan membuat penentuan mengenai siapa atau parti mana yang akan menduduki Putrajaya.

Semangat dan kata-kata yang berapi-api sahaja tidak cukup untuk terus kekal di Putrajaya.






Wednesday, 20 October 2010

UMNO SEMESTINYA TELUS DAN TERBUKA KEPADA SEMUA MEDIA

TERKINI -  Akhirnya Ibu Pejabat UMNO, hari ini, memberi dua keping pas kepada wartawan Malaysiakini dan beberapa orang wartawan media Internet yang lain untuk membuat liputan.



Hari pertama Perhimpunan Agung UMNO selepas perasmian persidangan tiga sayap parti itu malam tadi oleh Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, memperlihat ketidaktelusnya parti itu terhadap liputan media, sama ada yang disebut sebagai arus perdana, media rasmi, media tradisional  mahupun media alternatif atau media dalam talian. 

Kepimpinan UMNO sering memperkatakan mengenai sikap terbuka dan telus parti itu dan betapa mereka menghormati dan melaksanakan kebebasan media, walaupun kita terima hakikat tiada kebebasan mutlak, seperti yang selalu ditegaskan oleh Presidennya Datuk Seri Muhamad Najib Tun Razak.

Sebagai sebuah parti politik yang berpengalaman dan telah dan sedang menerajui pentadbiran negara, persidangan UMNO sudah tentu mendapat liputan bukan sahaja oleh media dalam negeri tetapi oleh media serantau dan antarabangsa.

Ini lah peluang terbaik bagi UMNO menghebahkan arah tuju perjuangan dan secara tidak langsung arah tuju pentadbiran negara kepada rakyat dan juga warga dunia. Sebab itulah media serantau dan antarabangsa berminat dan merasakan penting untuk membuat liputan.

Melalui persidangan sedemikian juga UMNO dapat membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia mengamalkan kebebasan media dengan membenarkan semua media yang memohon untuk membuat liputan diberi kebenaran berbuat demikian.

Dengan mengamalkan sikap terbuka dan telus, UMNO membolehkan media membuat liputan sebenar tentang apa yang diperbahaskan dan apa yang berlaku dalam persidangan itu. Pihak media pula tidak perlu mendapatkan sebarang maklumat daripada pihak ketiga kecuali agensi-agensi berita yang membuat liputan.

Oleh itu, tindakan pihak UMNO, yang dilaporkan sebagai pegawai dari pejabat Setiausaha Agung UMNO T. Adnan T. Mansor, melarang dan mengusir para wartawan dari media dalam talian, Malaysiakini, daripada menggunakan kemudahan pusat media dan melarang mereka daripada memasuki semua dewan persidangan, amat dikesali.

Pada 5 Oktober, dalam temubual ekslusif dengan Malaysiakini, T Adnan  memberi jaminan kepada Malaysiakini bahawa wartawan mereka akan diberi pas media untuk membuat liputan. Apa dah jadi dengan janji tersebut menjadi persoalan kerana manusia dipegang pada janjinya.

UMNO tidak boleh mempersalahkan Malaysiakini sekiranya laporan mereka tersimpang dan tersasar kerana mereka tidak diberi peluang sama seperti media lain untuk membuat liputan. Sikap sedemikian juga boleh merenggangkan hubungan antara media berkenaan dengan UMNO.

UMNO tidak boleh memilih bulu apabila ia berhadapan dengan media kerana peranan media, terutamanya media dalam talian seperti Malaysiakini, tidak kurang pentingnya pada zaman sekarang. UMNO juga harus sedar bahawa generasi muda yang ia cuba dekati, lebih gemar menyusuri laman-laman sesawang media alternatif, blog, Facebook dan Twitter daripada membaca akhbar tradisional.

Pejabat Setiausaha Agung UMNO seharusnya peka akan  perkembangan semasa dan mendekati semua bentuk dan jenis media. Ia mesti mesra semua media demi kelangsungan hidup parti itu sendiri.