Monday, 25 October 2010

Majlis Ulama UMNO, perlukah?

Malaysia adalah antara negara yang mempunyai banyak 'pihak berkuasa agama Islam' dan boleh dikatakan mengatasi negara-negara Islam yang lain.

Malaysia mempunyai majlis agama dan jabatan agama Islam di setiap negeri dan sebuah jabatan khusus di peringkat persekutuan. Setiap negeri juga mempunyai seorang mufti dan sebuah majlis kebangsaan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan.Malaysia juga mempujnyai sistem Kehakimah Syariah.

Selain itu, Majlis Raja-Raja Melayu juga bertanggungjawab ke atas hal ehwal Islam.

Malaysia juga mempunyai berpuluh badan bukan kerajaan  yang berkaitan Islam termasuk badan-badan dakwah, kebajikan dan hal ehwal pengguna seperti PERKIM, ABIM, IKIM, Persatuan Pengguna Islam, dan JIM.

Parti-parti politik  tertentu juga mempunyai biro atau bahagian khas yang khusus mengenai hal ehwal Islam seperti biro agama. Pendek kata sudah banyak badan, institusi dan pertubuhan yang berkaitan Islam di Malaysia. Masing-masing mempunyai tugas dan peranan dan tidak menimbulkan sebarang masalah.

Oleh itu, cadangan seorang pembahas dari Perlis, iaitu anak mantan mufti kerajaan negeri, supaya UMNO menubuhkan sebuah majlis ulama adalah tidak perlu sama sekali. UMNO sendiri mempunyai sebuah biro khas mengenai agama Islam dan tidak perlu dibentuk sebuah majlis atau badan lain untuk tujuan yang sama.

Sejak kemasukan apa yang disebut sebagai 'golongan ulama' atau 'ilmuan Islam' yang tidak semestinya 'warak' dalam soal agama walaupun mereka memiliki ijazah doktor falsafah yang tidak semestinya khusus dalam ilmu-ilmu agama,  kini timbul pula cadangan penubuhan majlis ulama.

Apakah tujuan sebenar cadangan itu? Adakah mereka tidak mempercayai sistem dan kaedah yang ada termasuk institusi mufti dan biro agama yang sedia wujud dalam UMNO itu sendiri? Atau mungkin golongan minoriti Islam yang tidak mengikuti mazhab Imam Syafie' mempunyai agenda tertentu?

Saturday, 23 October 2010

UMNO dan calon berdaya menang, sejauh mana kemampuan untuk dilaksanakan?

Satu perkara yang agak jelas diperkatakan oleh perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO yang baru selesai ialah soal pemilihan calon pilihan raya yang selama ini disandarkan kepada kepimpinan peringkat bahagian. Ia merujuk kepada calon yang disebut sebagai 'winable' atau dalam bahasa yang senang difahami calon yang berdaya menang.

Ia dibangkitkan oleh presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan disokong oleh beberapa orang pembahas peringkat akar umbi.

Yang jelas, ahli-ahli UMNO sendiri sedar betapa pentingnya pemilihan seseorang calon untuk mewakili parti dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya. Mereka tidak mahu lagi melihat pemilihan calon berkisar di kalangan ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian, setiausaha bahagian, ketua wanita bahagian, ketua pemuda bahagian dan ketua puteri bahagian.

Mereka mahu calon yang benar-benar boleh membawa kemenangan atau yang berdaya menang dipilih bertanding asalkan dia adalah ahli UMNO, tak kira  sama ada dari bahagian berkenaan atau dari tempat lain. Yang penting ialah calon berkenaan mampu membawa kemenangan.

Jika ini dapat dilaksanakan, maka ia adalah satu perubahan yang sewajarnya dilakukan oleh kepimpinan tertinggi UMNO tetapi saya ragu-ragu akan sokongan kepimpinan di bahagian-bahagian tertentu yang menyimpan cita-cita besar untuk menjadi wakil rakyat. Mereka bersusah payah dan mengeluarkan belanja besar untuk menjadi ketua bahagian dan sudah tentu salah satu sebab ialah untuk bergelar Yang Berhormat.

Hala tuju politik di Malaysia khususnya dalam UMNO lebih menjurus kepada memilih calon di kalangan kepimpinan peringkat bahagian dan sebarang perubahan, walaupun mendapat sokongan oleh Perhimpunan Agung, pasti akan cuba dihalang dan digagalkan oleh pemimpin-pemimpin bahagian yang mengidam untuk menajdi wakil rakyat. Ia bukan satu perubahan yang senang dan mudah dilaksanakan apabila kita sedar akan budaya berpolitik di kalangan pemimpin UMNO.

Tetapi, jika UMNO benar-benar nak berubah dan nak pasti kemenangan, ia mesti dilakukan bermula pada pilihan raya umum akan datang. Datuk Seri Najib mesti tegas dan berani melakukan perubahan tersebut . Ia juga dapat mengurangkan perebutan  untuk menjadi ketua bahagian kerana ia bukan satu jaminan untuk menjadi wakil rakyat.

Sebenarnya, pemilihan secara demikian telah dilakukan di negara jiran Singapura sejak zaman pemerintahan Lee Kuan Yew. PAP yang memerintah membentuk sebuah jawatankuasa pemilihan dan penapisan bakal-bakal calon untuk bertanding dalam pilihan raya.

Semasa Kuan Yew menjadi Perdana Menteri, timbalannya Goh Chok Tong mengetuai jawatankuasa itu dan mereka memilih dan menapis bakal calon termasuk dari sektor perniagaan, perbankan dan perkhidmatan awam. Bakal calon ditemu duga dan sekiranya dipilih dan bersetuju untuk menjadi calon, maka dia akan diperkenalkan kepada ranting PAP di kawasan yang dia bakal bertanding. Apabila diperkenalkan, pemimpin peringkat akar umbi tidak membantah dan bekerja kuat untuk memastikan kemenangan calon berkenaan. Inilah semangat kesetiaan kepada parti yang terdapat di kalangan ahli PAP peringkat akar umbi dan ia juga merupakan antara sebab kenapa tidak berlaku perebutan jawatan dalam parti itu.

Apakah pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat sanggup berbuat demikian demi untuk memastikan kemenangan calon mereka pada pilihan raya akan datang? Adakah tidak akan berlaku perbuatan mengkhianati parti apabila tidak dipilih sebagai calon? Apakah tidak akan berlaku perbuatan mensabotaj parti kerana kesetiaan yang rapuh di kalangan ahli parti sendiri?

Datuk Seri Najib menghadapi ujian besar apabila tiba masanya untuk beliau memilih calon yang bakal membawa lambang parti pada pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan 'dalam tempoh beberapa bulan akan datang'.