Friday, 8 April 2011

Isu Al-Kitab

Seorang kawan berhujah bahawa isu apa yang disebut sebagai Al-Kitab dalam bahasa Melayu atau lebih tepat dalam versi Bahasa Indonesia tidak sepatutnya berbangkit atas beberapa fakta termasuk kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan. 

 Berasaskan hujah Perlembagaan dan amalan sejagat, kenyataannya itu benar. Dia juga berhujah bahawa bukankah kitab suci Nasrani, iaitu Injil diturunkan oleh Allah kepada Nabi Isa a.s. dan diakui oleh Islam?

Soal ini perlu diperjelaskan kerana ramai umat Islam yang mungkin keliru mengenai kedudukan kitab Injil.

Sebelum itu, saya perlu mengakui bahawa saya bukanlah seorang ilmuan Islam yang waraq, atau seorang ulama yang alim ataupun tokoh berkelulusan doktor falsafah seperti mantan mufti atau mufti muda yang ada sekarang. Saya hanyalah insan yang masih belajar untuk mengisi ilmu di dada.

Umat Islam tahu bahawa Allah menurunkan empat buah kitab kepada empat orang nabi atau rasul, iaitu Zabur, Taurat, Injil dan Al-Quran.


Taurat yang juga dirujuk sebagai  'The Old Testament'  mengandungi lima buah karangan iaitu  1. Pentateuch - Genesis 2. Exodus  3. Leviticus, 4. Numbers dan 5. Deuteronomy

Zabur pula diturunkan kepada Nabi Daud a.s. atau disebut sebagai 'Psalms Scripture' manakala  Injil atau 'Gospel of Jesus' diturunkan kepada Nabi Isa a.s..

Umat Islam percaya bahawa kita-kitab tersebut tidak lagi wujud dalam bentuk asal kerana sebahagian daripada kandungan dimasukkan dalam 'The New Testament' atau Perjanjian Baru yang ditulis oleh Peter, Mark, Luke dan John,  iaitu selepas Isa a.s. wafat.

Al-Kitab adalah terjemahan daripada 'The New Testament' yang turut memuatkan kitab karangan manusia yang menokok-tambah isi kandungan 'The Old Testament'.

Oleh itu, adalah tidak betul jika kita merujuk kepada Al-Kitab atau 'Bible' itu sendiri sebagai kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s.  




Wednesday, 6 April 2011

SPRM - kematian kedua dari bangunannya

Dalam kesibukan rakyat mengikuti penamaan calon bagi pilihan raya negeri Sarawak dan perjalanan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja atas kematian Teoh Beng Hock, satu lagi kematian akibat daripada 'terjatuh dari bangunan' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM berlaku hari ini.

Penolong Pengarah Jabatan Kastam Di-Raja Malaysia cawangan Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, 56,  yang sedang disiasat SPRM berhubung kes tertentu, mati setelah dikatakan 'jatuh' dari tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.

Ahmad Sarbani dilaporkan pergi ke bangunan SPRM itu untuk menemui pegawai tertentu berkaitan siasatan kes yang membabitkan sebilangan besar pegawai Jabatan Kastam.

Saya tidak berani nak membuat sebarang andaian atau agakan mengenai kematian Ahmad Sarbani, seorang Muslim yang sudahpun mendekati persaraan wajib. Amat jarang sekali seorang Muslim membunuh diri,  itu saja yang dapat dikatakan.

Walaupun demikian, tragedi kedua yang berlaku mengakibatkan kematian dari bangunan SPRM semestinya dipandang serius dan siasatan rapi mesti dibuat dalam kadar segera. 

Suka atau tidak, imej SPRM tercalar.