Yang pasti Melayu akan terus berbalah lantaran perbezaan fahaman politik tetapi sukar untuk bersatu atas kepentingan agama. Cina Malaysia pula sukar digoda apatah pula dipecahkan walaupun berlainan amalan politik.
Melayu terbahagi kepada dua golongan besar dari sudut politik, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO dan Partai Islam Se-Malaysia atau PAS. Tetapi, Melayu menubuhkan terlalu banyak badan-badan bukan kerajaan atau NGO yang sebenarnya berkiblatkan kedua-dua pertubuhan politik berkenaan.
Dalam pada itu, terdapat serpihan sama ada UMNO ataupun PAS yang membentuk pertubuhan politik masing-masing termasuk PKR dan KITA serta NGO seperti PERKASA.
Masing-masing ada agenda tertentu yang pada akhirnya bermatlamat politik, sama ada menyokong UMNO atau PAS. Di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, NGO berkenaan bergerak bagi pihak UMNO dan parti-parti komponen BN manakala di negeri-negeri pentadbiran BN, mereka mewakili kepentingan PKR, DAP ataupun PAS. Yang nyata, majoriti adalah NGO Melayu.
Jika dilihat dari sudut nisbah Melayu-Bumiputera, kedudukan tidak melebihi 56 peratus daripada keseluruhan penduduk dan jika dibahagikan pula kepada dua golongan besar, iaitu UMNO dan PAS, maka nisbah tersebut turun kepada antara 25 dan 35 peratus.
Kedudukan itu melemahkan politik Melayu-Bumiputera dan sebab itulah kita dapati timbul tuntutan demi tuntutan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu termasuk berani mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu dan memurtadkan umat Islam.
Kita bersyukur kerana kuasa politik pada masa ini masih berada dalam tangan Melayu tetapi setakat manakah ia mampu bertahan? Apakah Melayu akan terus berkuasa dan mencorakkan politik serta pentadbiran negara?
Jawapannya ialah tiada jaminan sama sekali selagi Melayu tidak bersatu dalam satu wadah perjuangan yang benar-benar berjati dirikan Melayu dan Islam yang mampu berdepan dengan nilai-nilai dan kesan-kesan sarwajagat yang cukup hebat melalui kemajuan teknologi dan produk teknologi.
Tetapi, kedudukan dan keberadaan politik Melayu hari ini yang terus bercaca-marba ditambah pula dengan kewujudan bermacam jenis NGO yang kononnya memperjuangkan kepentingan Melayu, tidak memperlihatkan sesuatu yang positif. Perjuangan politik Melayu menjelang 2020 dan abad seterusnya tetap menjadi tanda tanya... kerana ia bergantung kepada azam politik Melayu itu sendiri.
Bersatu teguh, bercerai roboh!