Wednesday, 25 July 2012

Pemimpin UMNO jadi broker jual tanah milik Melayu?

Saya tidak terperanjat membaca laporan yang menyatakan dua orang pemimpin UMNO Pulau Pinang bertindak selaku 'broker' dalam urusan jual beli tanah milik Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau. Ia bukan sesuatu yang baru dan yang menghairankan.

Balik Pulau merupakan satu-satunya daerah di bahagian pulau yang majoriti penduduknya orang Melayu dan Ahli Parlimen juga Melayu. Jika kampung demi kampung milik Melayu dipindah milik ke tangan bukan Melayu, khususnya syarikat-syarikat pemaju hartanah, maka akan terhakislah 'wajah' perkampungan Melayu Pulau Pinang.

Siapa yang harus dipersalahkan? 

Selama ini, lebih tegas lagi selepas BN kalah di Pulau Pinang, pemimpin UMNO begitu kuat bersuara kononnya mempertahankan kepentingan Melayu terutama tanah milik Melayu. 

Siapa pula yang menjadi 'broker' untuk membeli dan menjual tanah milik 31 keluarga Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau? Bukankah ini perbuatan mereka yang tergolong dalam kategori munafik? Atau kata rakyat biasa "cakap tak serupa bikin" dan mementingkan diri sendiri daripada kepentingan orang Melayu secara amnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng secara terang-terangan menyebut nama dua orang pemimpin UMNO berkenaan, iaitu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pengarah Pilihan Raya BN Negeri yang juga anak saudara Musa, iaitu Omar Faudzar.

Menurut Guan Eng, kedua-dua Musa dan Omar meraih keuntungan 57 peratus atau RM5 juta melalui syarikat milik mereka, Maison Heights Sdn. Bhd. dalam tempoh tiga setengah bulan sahaja.

Tanah milik 31 penduduk kampung berkenaan dipindah milik kepada Maison Heights pada 31 Januari lalu dengan jumlah harga RM8.6 juta untuk kemudian dijual kepada Kay Pride Sdn. Bhd. pada 16 Mei  dengan harga RM13.5 juta.

Saya percaya apabila Kay Pride atau syarikat lain yang bakal memajukan tanah tersebut dengan sama ada kondo mewah atau pembinaan hartanah lain, maka akan adalah NGO yang menyokong parti politik tertentu membuat bising dengan alasan mempertahankan kepentingan Melayu, dan yang akan dipersalahkan ialah pentadbiran negeri Pulau Pinang atau "kerajaan DAP". Wal hal, yang menjadi 'broker' dan meraih keuntungan atas angin sebanyak RM5 juta adalah  pemimpin UMNO.

UMNO atau mana-mana NGO "Melayu" Pulau Pinang tidak boleh mempersalahkan orang lain jika pemimpin mereka sendiri yang terlibat dalam penjualan tanah milik Melayu. Usahlah bersandiwara jalanan kerana rakyat tidak buta dan tuli untuk melihat dan mendengar apa yang berlaku.

Oh ya, jika ingin melihat 'perjuangan' pemimpin Melayu Pulau Pinang khususnya UMNO, lihat saja kediaman dan kereta mewah milik mereka. Baru-baru ini, ada seorang daripada mereka yang membeli sebuah kondo mewah di Persiaran Gurney (Paragon Gurney) bernilai lebih RM1 juta. Hebatkan pemimpin Melayu Pulau Pinang! 

Kita ingin membaca laporan Utusan Melayu mengenai perkara ini. Atau mungkin pengarangnya dah dapat arahan (perintah) untuk tidak menyiarkannya kerana ia tidak memberi 'kelebihan dan keuntungan' kepada UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan selepas umat Islam berhari raya. Mungkin itu agaknya. 






 

Thursday, 19 July 2012

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

Daripada Anas (r.a.) Katanya: Bersabda Nabi S.A.W.  

Tiada  daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadhan lantas dia memuji Allah (kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaannya). Kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan di'afiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan itu.

Kelebihan bulan Ramadhan dan keagungannya dengan adanya Malam Lailatulqadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta rahmat dan darjat tertinggi bagi orang yang berjaga mendapatkan Malam Lailatulqadar dengan dipenuhi amal ibadat dan bertaqwa kepada Allah, di samping solatnya yang sunat, istighfar, tasbih dan berzikir sepanjangnya.

Selamat menjalankan ibadah puasa. Semoga ibadah kita diterima Allah.