Menteri Besar Terengganu yang dilantik semula Datuk Seri Ahmad Said memperlihatkan kemarahannya apabila menyatakan bahawa kerajaan negeri pimpinannya tidak bercadang meneruskan khidmat Pegawai Pembangunan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum 5 Mei lalu.
Ahmad Said berkata walaupun pembangunan akan diteruskan seperti yang telah dijanjikan, namun pembinaan rumah mampu milik tidak akan dibina di kawasan DUN yang BN kalah.
Saya lihat pendirian Ahmad Said itu sebagai sesuatu yang kurang bijak dan tidak lebih daripada melepas geram yang tidak kena pada tempatnya. Ia juga boleh dilihat sebagai satu bentuk kezaliman kerana bukan semua rakyat di kawasan berkenaan menolak BN.
Ahmad Said perlu ingat bahawa sejumlah besar pengundi menyokong BN dan kemenangan calon PAS di 14 kawasan DUN dan satu oleh PKR bukan semuanya dengan majoriti besar. Ramai yang menyokong BN dan mereka tidak seharusnya dikenakan apa-apa tindakan negatif semata-mata kerana BN kalah di kawasan DUN berkenaan.
Kita dapat lihat sokongan kepada BN di beberapa kawasan DUN yang dimenangi PAS agak besar dan BN kalah dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi. Kawasan-kawasan DUN yang dimaksudkan ialah Teluk Pasu (kalah dengan 109 undi), Tepuh (kalah 229 undi), Bukit Tunggal (652 undi), dan Ladang (924 undi).
Jumlah undi yang diperolehi calon BN yang kalah tidak boleh dilihat sebagai penolakan rakyat terhadap parti itu. Oleh itu, Ahmad Said tidak seharusnya menghukum mereka semata-mata kerana BN kalah. Ini tidak betul dan tidak demokratik.
Tindakan yang bakal diambil oleh Ahmad Said boleh dilihat sebagai sesuatu yang tidak dapat menawan semula sokongan rakyat kepada BN. Ahmad Said dan pasukannya sepatutnya mendekati rakyat dan terus membantu dalam usaha untuk memenangi sokongan mereka, bukan melakukan sesuatu yang boleh membangkitkan kemarahan.
Ahmad Said perlu bersikap rasional dan realistik seperti yang ditunjuk oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad yang berkata BN tidak akan meminggir negeri mahupun kawasan pilihan raya Parlimen yang tidak menyokong parti itu. Itu bukan dasar BN, kata Tok Pa. Tetapi, lain pula pendirian Ahmad Said, yang bersikap kebudak-budakan.