Monday, 4 November 2013

PRK SUNGAI LIMAU - TAHNIAH ATAS KEMENANGAN PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) berjaya mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah (DUN) Sungai Limau walaupun menghadapi serangan dan gempuran jentera raksasa Barisan Nasional (BN). 

Kemenangan PAS sudah diagak walaupun BN berjaya mengurangkan majoriti yang diperolehi PAS pada PRU 13 lalu sebanyak 1,690.

Calon PAS Ustaz Mohamad Azam Abdul Samad memperolehi 12,069 undi manakala calon UMNO/BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim 10,985 undi untuk memberi majoriti 1,084 kepada PAS. Peratusan pengundi yang menunaikan tanggungjawab ialah 85.5 iaitu 23,249 daripada 27,222 pemilih berdaftar.

Seperti yang saya tulis sebelum ini,  PRK Sungai Limau sebenarnya antara PAS dan "Kerajaan BN" kerana jentera kerajaan telah dikerah melalui "acara rasmi" oleh Menteri Kabinet untuk "berkempen". Berjuta ringgit telah dicurahkan dalam bentuk bantuan,  peruntukan dan sumbangan kepada penduduk DUN Sungai Limau. 

Kehebatan dan keraksasaan jentera BN diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pada saat-saat akhir, iaitu sehari sebelum hari mengundi, khidmat dan pengaruh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikerah ekoran daripada maklumat risikan yang menyatakan BN ketinggalan dibelakang PAS.  Kehadiran Tun Mahathir mungkin telah mempengaruhi beberapa orang pengundi sahaja. 

Laporan berat sebelah oleh media "rasmi"  sedikit sebanyak membantu BN menambah undi, itu sahaja. 

Taktik kotor yang diguna sehari dua sebelum hari mengundi seperti menggantung "kaki palsu" yang dipotong dan ditulis perkataan "ustaz" dan penyebaran SMS "palsu"  daripada balu almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak menyeru pemilih supaya mengundi calon BN, juga gagal meraih sokongan (kemenangan) untuk BN.

Seperti biasa, UMNO menggunakan satu lagi muslihat, iaitu kemasukan beramai-ramai "ahli PAS" ke dalam UMNO tetapi kali ini ia "terkantoi" kerana "penipuan" itu terbongkar apabila ada ahli PAS yang tampil memberi penjelasan dan kenyataan sebenar. Nampaknya, UMNO masih belum belajar daripada kesilapan taktik yang sering diguna pakai apabila menghadapi pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum. Ia adalah satu tamparan hebat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Agama) Mej-Jen (B) Jamil Khir Baharom yang terlibat dalam isu kemasukan ahli PAS itu. Bukankah penipuan dilarang oleh Islam? Sudah tentu mantan Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) itu tahu akan kenyataan ini.

Walaupun sebilangan rakyat berjaya digula-gula dan dipengaruhi melalui janji-janji manis pembangunan dan bantuan, termasuk kepada beberapa buah sekolah agama rakyat,  namun ia masih gagal membawa kemenangan kepada BN. Semuanya ini kerana rakyat, terutama orang kampung seperti petani dan nelayan di Sungai Limau, sudah lama membuka mata dan telinga. Mereka tahu apa yang berlaku dan bijak membuat pilihan. 

Kepada petugas kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang "terpaksa" ke Sungai Limau atas "tugas rasmi" kerana "menurut perintah", selamat pulang ke tempat masing-masing dan bersedia untuk  kemuka  tuntutan-tuntutan yang berhak dibuat semasa "bertugas" di Sungai Limau.
   
  

Sunday, 3 November 2013

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah


Salam Ma'al Hijrah diucapkan kepada umat Islam walau dimana anda berada. Dunia Islam kini kucar-kacir, orang Islam berperang sesama sendiri, pemimpin negara Islam bersekongkol dengan pemimpin negara yang menzalimi umat Islam (Israel umpamanya) dan membuka pintu untuk membolehkan negara kuasa besar menyerang negara Islam dan membunuh umat Islam. 

Sabda Rasulullah (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam) seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal: "Hamba-hamba Allah yang jahat ialah mereka yang sentiasa membuat fitnah dan memecah-belahkan persaudaraan." 

Ianya telah dan sedang berlaku di kalangan negara Islam; di Libya, Mesir, Suria (Syria), Yaman, Iraq, Afghanistan dan Pakistan, antaranya. 

Semoga dengan munculnya Tahun Baru Hijrah ini, dunia Islam akan kembali kepada persaudaraan seperti yang disabdakan oleh Rasulullah (Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam): "Orang Islam sesama Islam yang lain adalah bersaudara, tidak mengkhianati, membohongi dan membiarkan saudaranya." (Riwayat Imam Muslim)

Imam Bukhari dan Imam Muslim turut meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud:

"Kamu semua adalah pemimpin, dan kamu semua bertanggungjawab terhadap rakyat pimpinan kamu. Seorang ketua adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah pemimpin terhadap ahlinya dan dia bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Seorang wanita adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dia pimpin. Seorang pembantu adalah penjaga harta majikannya dan dia bertanggungjawab terhadap tugasnya. Semua adalah pemimpin dan semua kamu bertanggungjawab atas apa yang kamu pimpin."

Khalifah Ali bin Abi Talib berpesan: "Barang siapa yang ingin menjadikan dirinya pemimpin, ia hendaklah mula-mula memimpin dirinya sebelum memimpin orang lain."

Alangkah baiknya jika kita, pemimpin dan umat Islam keseluruhannya, dapat menghayati dan mengamalkan tanggungjawab yang diamanahkan itu.

Salam Persaudaraan Islam dan Selamat Menyambut Ma'al Hijrah.