Tuesday 3 March 2009

Tahniah Rohana Mustaffa

Sekalung tahniah saya hulurkan kepada Rohana Mustaffa kerana telah kembalikan sinar kecemerlangan kepada Bernama dalam penghasilan rencana mahupun laporan khas. Syabas.

Agak lama saya tidak membaca penulisan rencana yang cukup menarik dan mempunyai kesan terhadap sesuatu perkara. Rencana bersiri mengenai Kampung Baru mampu meraih Hadiah Kajai anjuran Institut Akhbar Malaysia.

Saya tidak ingat bila kali terakhir wartawan Bernama memenangi anugerah tersebut tetapi jika tidak silap, dalam tahun 1980-an.

Bukan mudah bagi akhbar arus perdana seperti NST untuk menyiarkan sesuatu rencana bersiri yang diedarkan oleh Bernama melainkan ia benar-benar bermutu dan menepati isu yang diperkatakan. Sekali lagi tahniah Ron dan teruskan kecemerlangan untuk Bernama.


Kemelut politik Perak

Saya tidak tahu apa lagi yang nak diulas mengenai kemelut di Perak. Yang pasti, apa yang telah, sedang dan pasti akan berlaku menjadikan negara kita bahan ketawa dunia. Ini dapat dilihat daripada laporan dan ulasan media di luar Malaysia.

Apa sudah jadi dengan amalan pengasingan kuasa antara tiga cabang berkaitan - cabang Perundangan (Parlimen/Dewan Undangan Negeri) iaitu cabang yang menggubal undang-undang (dalam konteks negara kita Parlimen walaupun DUN ada peranannya berkaitan undang-undang negeri), cabang Eksekutif iaitu cabang yang melaksanakan undang-undang (Kabinet/Pentadbiran Negeri) dan cabang Kehakiman (mahkamah) yang memastikan agar undang-undang dipatuhi.

Dalam hubungan Malaysia pihak Eksekutif juga menganggotai cabang Perundangan (terutamanya melalui Dewan Rakyat atau DUN) dan sistem ini digelar sebagai pentabiran yang bertangungjawab atau "responsible government".

Apa yang berlaku di Perak nampaknya telah mencelarukan keadaan termasuk dengan campur tangan pihak polis, pentadbiran awam negeri (pegawai kerajaan seperti setiausaha kerajaan negeri dan setiausaha DUN).

Soal siapa yang betul dan siapa yang melanggar undang-undang kini berada di Mahkamah (cabang Kehakiman) dan rakyat, terutama di negeri Perak, sudah tentu tidak sabar menunggu keputusan agar pentadbiran negeri dapat dikendalikan dengan sempurna, penuh bertanggungjawab dan aman damai.

Atau, sekiranya kemelut tidak juga berkesudahan, ada dua pilihan yang boleh diambil untuk menyelesaikannya - bubar DUN atau isytihar darurat sama seperti yang dilakukan semasa konflik politik di Kelantan dahulu.