Monday 27 June 2011

MPPP jual tanah wakaf manakala MAIPP berpeluk tubuh?

Berita yang mengejutkan Ahad (kelmarin) dari Pulau Pinang menimbulkan tanda tanya bagaimana tanah wakaf yang ditadbir secara amanah oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP)  boleh dijual oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)?

Tanah wakaf di Pulau Pinang, terutamanya di bahagian pulau, adalah hartanah Melayu/Islam yang paling berharga kerana ia adalah satu-satunya warisan bangsa yang masih kekal dalam kawasan bandar raya Georgetown. Jadi, apabila tanah wakaf  dijual kepada pihak ketiga, maka ia amat membimbangkan dan semestinya dipandang serius.

Tanah wakaf yang dimaksudkan terletak dalam kawasan perniagaan strategik di Georgetown, iaitu di Jalan Burma dan hanya sekangkang kera dari Jalan Penang.

Tanah wakaf  Masjid Tengah (foto di bawah) itu dikatakan dijual oleh MPPP kepada pihak ketiga untuk membina bangunan atau premis menjual kereta. Saya dimaklumkan bahawa pihak ketiga yang dimaksudkan itu bukan dari kalangan orang Islam.

Akhbar Mingguan Malaysia mengutip Yang Dipertua Persatuan Kariah-kariah Masjid Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Yusof Latiff sebagai berkata bahawa MPPP mengambil tanah tersebut sekitar tahun 1970-an untuk dijadikan jalan belakang atau back-lane untuk laluan awam.

Sebelum itu, terdapat empat buah rumah atas tanah wakaf berkenaan. Bagaimanapun, Yusof tidak pula menyatakan sama ada pengambilan tanah wakaf oleh MPPP itu mendapat kebenaran atau dipersetujui oleh MAIPP, khususnya Lembaga Wakaf Orang-orang Islam Pulau Pinang.

Jika MAIPP memberi kebenaran atau melulus pengambilan tanah wakaf itu, ia dibuat atas hukum atau Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syariah yang mana satu? Atau adakah MAIPP meminta MPPP menggantikan keluasan tanah wakaf yang diambil itu dengan sebidang tanah yang sama nilainya di tempat lain?

Persoalan-persoalan itu perlu mendapat jawapan MAIPP sebelum lebih banyak tanah wakaf, terutama dalam kawasan bandar raya, diambil dan dijual kepada pihak ketiga.

Lembaga Wakaf Orang-Orang Islam Pulau Pinang yang diwujudkan menerusi sebuah ordinan perlu bertanggungjawab. Saya tidak tahu sama ada Lembaga ini masih wujud memandangkan sebuah jabatan khas bernama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji telah diwujudkan.

Walau apapun, Lembaga Wakaf mahupun Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji tidak boleh berdiam diri dan berpeluk tubuh melihat tanah wakaf diambil dan dijual kepada pihak ketiga. Mereka memegang amanah yang amat berat untuk menjaga dan mempertahankan tanah wakaf, sama ada tanah wakaf am, wakaf khas mahupun wakaf-wakaf lain. Amanah itu bukan sahaja dari manusia selaku pentadbir tetapi yang paling tinggi adalah amanah Allah.

Ada pihak yang berkepentingan politik akan cepat mempersalahkan pentadbiran negeri Pulau Pinang yang ada sekarang tetapi kenyataan menunjukkan sebaliknya. Mengikut fakta, tanah wakaf  Masjid Tengah itu diambil oleh MPPP pada tahun 1970-an,  ini bermakna ia berlaku semasa pentadbiran Barisan Nasional.

Apa yang berlaku seterusnya tidak diketahui umum sehinggalah MPPP menjual tanah itu kepada pihak ketiga. Secara logiknya, MPPP boleh menjual tanah itu jika ia adalah tanah miliknya dan bukan milik orang lain. Persoalannya adalah sama ada MPPP membayar ganti rugi atau pampasan kepada MAIPP apabila ia mengambil tanah itu? Jika ianya berlaku, umat Islam sudah tentu ingin tahu sama ada sebuah badan yang diberi amanah untuk mentadbir harta wakaf boleh menjualnya kepada pihak lain?

Umum mengetahui bahawa tanah wakaf lazimnya tidak boleh dijual, dicagar atau digadai. Jadi, bagaimana tanah wakaf yang merupakan sebahagian daripada wakaf Masjid Tengah, Jalan Burma itu boleh berpindah milik kepada pihak ketiga?

Kita bimbang jika ia boleh berlaku ke atas tanah wakaf Masjid Tengah, maka tidak mustahil ia boleh berlaku ke atas tanah-tanah wakaf lain di Pulau Pinang, khususnya yang bernilai tinggi seperti yang banyak terdapat dalam kawasan bandar raya Georgetown.

Oh ya, kenapa Perkasa tidak bersuara? Di mana NGO-NGO yang kononnya memperjuang kepentingan Melayu dan Islam? 

   

Thursday 23 June 2011

TUDM perlu miliki pesawat AWACS




Isu pencerobohan ruang udara oleh pesawat perang negara jiran semestinya dipandang serius oleh Kerajaan Malaysia. Jika pesawat tentera atau angkatan udara negara asing mampu memasuki ruang udara Malaysia 'sebebasnya', maka ia adalah sesuatu yang mengaibkan. Ia mempersoal kemampuan sistem pertahanan Malaysia untuk menangkis dan mencegah pencerobohan ruang udara negara. Ia membabitkan kedaulatan negara.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah lama memohon peruntukan untuk membeli pesawat AWACS atau Airborne Early-Warning and Control System .


Malangnya, permintaan TUDM tidak dilulus atau mendapat persetujuan kerajaan, kita tidak tahu apa alasannya sedangkan kerajaan sanggup membelanjakan wang rakyat untuk tujuan-tujuan lain termasuk sistem MRT di Lembah Klang. Kita ingin tahu sama ada MRT itu lebih utama dan jauh lebih penting daripada kehendak atau keperluan pertahanan seperti AWACS? 

Kerajaan mesti melengkapi ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera dengan aset-aset canggih dan selari dengan kehendak dan keperluan semasa. Sistem radar yang ada tidak memadai untuk mengawasi ruang udara yang begitu luas merentasi Laut China Selatan dari Semenanjung ke Borneo.

TUDM benar-benar perlu memiliki AWACS untuk meningkat keupayaan, kecekapan dan kemampuan melindungi negara dari ancaman musuh melalui udara. Kerajaan tidak boleh mempersalahkan TUDM jika sesuatu yang tidak diingini berlaku kerana ia gagal melengkapi TUDM dengan aset yang diperlukan.

Menurut laporan, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya enam buah AWACS untuk melengkapi aset pertahanan udara yang canggih. Malaysia memiliki pesawat canggih seperti SU-30MKM, MIG-29N, F/A-18D Hornets, Hawk dan F-5E Tiger dan sistem penangkis pesawat termasuk peluru berpandu. Namun demikian, ia tidak memadai tanpa AWACS.

Di kalangan negara-negara ASEAN, hanya Singapura memiliki AWACS, iaitu jenis Grumman E-2 Hawkeye sebanyak empat buah dan telah menempah pesawat G550 Phalcon dari Israel untuk mempertingkat kawalan dan sistem amaran awal dari udara. Walaupun sebuah negara pulau yang kecil, Singapura sedar akan kepentingan AWACS memandangkan negara itu adalah sebuah ekonomi yang bergantung sepenuhnya kepada perdagangan. Singapura ingin melihat laluan-laluan laut dan udara ke republik itu selamat dan bebas daripada sebarang ancaman. Oleh itu, pengawasan dari udara amat penting.

Apabila pesawat E-2 Hawkeye Singapura lepas landas dari pangkalannya di Paya Lebar,  sistem radarnya mampu meliputi kawasan luas sehingga ke Kuantan, Pahang, sesuatu yang tidak mampu diliputi oleh kebanyakan sistem radar daratan. Begitulah pentingnya AWACS untuk mengawasi ruang udara sesebuah negara.

Jiran kita di sebelah utara, Thailand juga telah memesan sekurang-kurangnya 10 AWACS jenis SAAB S-1000 Erieye manakala Indonesia juga berminat untuk memiliki AWACS.

AWACS adalah aset yang amat perlu dimiliki oleh Malaysia dan kerajaan seharusnya memperbetulkan keutamaan keperluan pertahanan dengan meluluskan permohonan TUDM untuk membeli AWACS sama ada yang bersaiz besar seperti E-2 Hawkeye ataupun sederhana seperti Saab S-1000 Erieye.  


Konsep pertahanan menyeluruh yang diamalkan oleh Malaysia semestinya menyeluruh dalam erti kata sebenar dan untuk menjadikannya kenyataan, maka TUDM semestinya memiliki pesawat AWACS.