Friday 6 January 2012

Perhimpunan 901 - apa kesudahannya?

Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang. 

Tiap-tiap warga negara adalah berhak bebas bercakap dan mengemukakan fikiran;  semua warga negara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata; dan semua warga negara adalah berhak menubuhkan persatuan.

Kenyataan di atas adalah antara fasal yang terkandung dalam Perlembagaan yang menjamin hak warga negara Malaysia.

Tetapi ia bukan hak bebas mutlak kerana tertakluk kepada fasal-fasal lain termasuk yang berkaitan kedudukan agama bagi Persekutuan, iaitu Islam.

Selain itu, ada pula sekatan dan batasan tertentu yang menjadikan hak yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidak seperti sepatutnya. Ini kerana ada undang-undang lain seperti Akta Polis yang diguna pakai untuk membatasi hak rakyat untuk berhimpun. 

Walaupun Perlembagaan memberi hak kepada warga negara untuk berhimpun secara aman, namun ia tidak boleh sama sekali mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam. 

Kita tahu akan perancangan untuk mengadakan perhimpunan pada hari Isnin yang digelar 901 oleh penyokong mantan TPM dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Isnin 9 Januari dipilih kerana pada hari itu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mengumum penghakiman berkaitan kes tuduhan jenayah liwat oleh DSAI.

Walau pun hakim belum memutuskan sama ada DSAI bersalah atau tidak, umum telahpun membuat andaian bahawa pemimpin pembangkang di Parlimen itu akan dijatuhi hukum bersalah. Andaian sedemikian turut dibuat oleh pihak asing termasuk media Barat. Mereka menuduh kes DSAI ini adalah satu perancangan halus untuk membunuh kerjaya politik DSAI. Itu kata mereka yang bersimpati dan menyokong DSAI. 

Risalah mengenai perhimpunan 901 turut diedarkan di beberapa buah masjid sekitar Lembah Klang semasa umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Pihak penganjur perhimpunan 901 telah menemui Ketua Polis Kuala Lumpur  membincangkannya dan kita dimaklumkan bahawa pihak polis membenar penyokong DSAI berhimpun di tempat letak kereta dekat  kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Kita  pasti polis akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengawal keadaan secara berhemah dan akan cuba elak  kekerasan. Ianya bergantung kepada sama ada perhimpunan itu diadakan secara aman atau tidak dan kita tidak ingin melihat ia bertukar menjadi satu rusuhan yang bakal ditonton seluruh dunia melalui siaran berita tv antarabangsa.

Warga negara mempunyai hak untuk berhimpun dan polis pula ada tugas yang diamanahkan untuk menjaga ketenteraman dan keselamatan awam. Jika kedua-dua pihak akur akan hak dan tugas masing-masing, kita percaya perhimpunan 901 akan berjalan secara aman. 

Namun demikian, kita kurang yakin ianya akan diadakan secara aman kerana di kalangan penyokong DSAI, tidak kurang banyaknya yang terlalu taksub dan sanggup melakukan apa saja untuk orang yang mereka sanjung tinggi itu. Inilah masalahnya.

Kita tidak ingin melihat keadaan bertukar menjadi huru-hara. Itulah harapan majoriti rakyat Malaysia.
  

   

Tuesday 3 January 2012

Tahun baru, azampun bermacam-macam

Setiap akhir tahun dan sebelum memasuki tahun baru, maka media  pun sibuk merakam apa yang disebut sebagai  azam tahun baru. Bermacam-macam azam disuarakan oleh sama ada mereka yang bergelar artis, ahli sukan, orang politik dan kakitangan sektor awam mahupun swasta.

Luahan atau lontaran azam itu sebenarnya tidak lebih daripada kata-kata yang menyedapkan telinga kerana hampir semuanya dilupakan dan tinggal azam semata-mata. Itulah hakikatnya apabila sesuatu itu diucap atau disuarakan tanpa niat dan usaha untuk mencapainya.

Kita akui bukan semua orang yang melafazkan azam tersebut tidak cuba mencapainya tetapi kebanyakannya hanya meluahkannya apabila ditanya oleh pihak media. Ia hanyalah satu reaksi atau tindak balas yang mahu tidak mahu mesti disuarakan, tidak kira sama ada ia benar-benar azam yang tulen atau sekadar halwa telinga. 

Saya membangkitkan soal azam kerana ia adalah sama dengan apa yang berlaku dan sedang berlaku apabila kita menghampiri pilihan raya, atau menghampiri kemungkinan pilihan raya diadakan dalam tempoh masa terdekat.

Apa yang saya maksudkan ialah laporan atau berita yang saban hari mengisi dada-dada akhbar dan berkemundang  melalui radio dan televisyen, iaitu,  sekumpulan orang yang dikatakan penyokong atau ahli parti politik keluar parti untuk menyokong dan menganggotai parti lain. Lazimnya dari parti-parti lawan ke parti pendokong pemerintahan.        

Bukan sesuatu yang aneh atau pelik apabila berita berkenaan hanya muncul menjelang pilihan raya dan mendapat tempat dalam media arus perdana. Ia seolah-olah sesuatu yang wajib dilaporkan dan satu berita yang bernilai tinggi sedangkan ianya sandiwara politik teramat murah.

Berita mengenai penyokong dan ahli parti yang mendokong pemerintahan bertindak keluar parti untuk memihak kepada parti lawan tidak pula mendapat tempat dalam media arus perdana. Amat jelas media arus perdana tidak mengamalkan kesaksamaan dalam laporan berita walaupun ia bukan satu perkara baru.

Ada pihak yang akan berhujah bahawa media baru dan buletin parti-parti politik pun melaporkan perkara yang sama,  oleh itu apa yang dilakukan oleh media arus perdana tidak boleh dipersoalkan. Jika itulah hujahnya, maka media arus perdana tidak layak sama sekali untuk dirujuk sebagai 'arus perdana' atau 'main stream media.' Media arus perdana seharusnya bersifat 'arus perdana' dengan membuat liputan adil dan saksama tanpa memihak. Media arus perdana tidak boleh disamakan dengan alat 'propaganda' pembangkang yang merupakan 'media politik' yang berkepentingan politik.

Selain laporan keluar parti, media arus perdana dengan tiba-tiba mendapat peluang untuk menemubual penulis blog dan editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin atau RPK. Tiba-tiba RPK menjadi sumber berita penting walaupun dia dikenali sebagai penyokong kuat dan pengkritik kerajaan nombor satu sehingga dia melarikan diri daripada tindakan undang-undang negara. 

RPK jelas telah berpusing bulatan seluas-luasnya dan ia bukan sesuatu yang luar biasa dalam kehidupan manusia yang menjadi buruan pihak berkuasa atau yang melarikan diri daripada tindakan undang-undang. RPK digelar oleh media arus perdana sebagai 'self-exiled' atau orang yang atas pilihan sendiri menjadi orang yang hidup dalam buangan. 

Kehadiran RPK di Singapura dan 'kebenaran' untuk dua pertubuhan media arus perdana menemu bualnya sudah tentu diatur oleh pihak tertentu dengan tujuan dan agenda yang memihak kepada kerajaan.

Saya pasti pertemuan itu tidak akan berlaku tanpa mendapat lampu hijau pihak tertentu dan ia sudah tentu tidak akan mendapat liputan seluas yang kita saksikan jika RPK bercakap sebaliknya, iaitu memburuk-burukkan kerajaan atau PM Najib dan isteri Rosmah Mansor. 

RPK mungkin amat rindu akan kampung halamannya atau dia mungkin menghadapi sesuatu masalah termasuk berkaitan kesihatan yang membuatkannya berpusing sebegitu ligat. Kita tidak tahu apa sebab RPK berbuat demikian tetapi yang jelas ianya dilakukan menjelang pilihan raya. Analisis, jika ia boleh dikatakan sedemikian, RPK mengenai isu semasa termasuk yang berkaitan Anwar Ibrahim sudah tentu dijadikan modal politik Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya. Itu pasti.

Bukan satu kebetulan apabila media arus perdana menemubual RPK pada waktu dan ketika negara menghadapi pilihan raya 'mengejut' dan bukan luar biasa media melaporkan penyokong parti lawan di merata kampung dan tempat yang keluar parti untuk menyokong Umno. 

Laporan sedemikian mungkin diterima dan dipercayai oleh sebilangan kecil rakyat yang melewati usia 50 tahun tetapi susah dan tidak dapat diterima oleh golongan muda yang mempunyai nafsu dan selera berlainan. Inilah yang harus difahami oleh 'panglima  perang' Umno dalam mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya. Bukan mengulang guna strategi lapuk yang hanya akan membawa kemusnahan, bukan kemenangan.

Umno dan BN akan menghadapi ujian sukar pada pilihan raya akan datang jika strategi yang sama dan ketinggalan zaman terus digunakan. Ingat, apa yang 'kerajaan' beri rakyat akan terima, tetapi ia tidak bermakna rakyat menyokong kerajaan. Kalau beri wang sudah tentu orang terima, beri bantuan motosikal roda tiga tentu orang terima, beri bantuan tanam semula tentu orang terima dan berilah apa sahaja orang akan terima. Persoalannya sama ada semua pemberian itu boleh diterjemahkan kepada undi untuk Umno dan BN? 

Rakyat tidak mudah digula-gulakan. Itu yang mesti disedari dan dihalusi.