Tuesday 24 January 2012

Hang Tuah wujud atau hanya satu unsur mistik?

Tokoh sejarah Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim sekali lagi membangkitkan perdebatan berkaitan sejarah tanah air apabila dia mempersoalkan kewujudan Laksamana Hang Tuah, empat orang rakannya dan puteri China bernama Hang Li Po.

Bagi Prof Khoo, mereka sekadar unsur mistik. Sejarah, baginya, mesti menekan fakta, bukan unsur mistik. Kita terima hujahnya itu kerana itulah yang membentuk sejarah.

Beliau mahukan teks sejarah ditulis semula bagi menyelaraskan dengan fakta dan bukannya mitos atau lagenda. Tiada rekod yang menunjukkan pahlawan Melaka itu benar-benar wujud, katanya.

Saya bukan ahli sejarah atau pengkaji sejarah tetapi apa yang saya pelajari semasa di bangku sekolah adalah sejarah. Hikayat Hang Tuah dan Salatus Salatin ada menyebut mengenai kewujudan manusia bernama Hang Tuah.

Sejarah Melayu menerangkan bahawa Hang Tuah hidup pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah, iaitu pada abad ke-15.

Walaupun Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu mencatat beberapa perbezaan dalam perjalanan hidup Hang Tuah, namun ia tidak menunjukkan bahawa Laksamana Kesultanan Melayu Melaka itu tidak wujud atau hanya satu khayalan apatah lagi unsur mistik.

Kewujudan atau sejarah mengenai Hang Tuah bukan sahaja ada di Tanah Melayu tetapi di Indonesia. Adalah sesuatu yang agak aneh sekiranya sejarawan Malaysia dan Indonesia tidak mengiktiraf kewujudannya sedangkan kesan peninggalannya, sama ada dalam bentuk nyata atau sebaliknya, wujud di kedua-dua negara.

Nama Hang Tuah diabadikan pada beberapa batang jalan di Malaysia dan Indonesia, iaitu di Melaka, Kuala Lumpur, Ipoh dan Johor dan di Padang, Palembang, Medan, Pekanbaru, Riau dan Jakarta.

Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) pernah memiliki sebuah kapal perang bernama KRI Hang Tuah dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pun memiliki sebuah kapal perang bernama KD Hang Tuah.

Kita ingin tahu kenapa Malaysia dan Indonesia memberi penghargaan atau pengiktirafan kepada manusia bernama Hang Tuah sekiranya dia tidak wujud atau hanya satu unsur mistik, seperti yang didakwa oleh Prof Khoo Kay Kim?

Apa yang menarik perhatian saya ialah sepucuk surat yang ditulis oleh Encik Goh Hoe Hoe dari Kuala Lumpur kepada akhbar The New Straits Times (NST) yang menyatakan bahawa dia tidak dapat menerima kenyataan Prof Khoo bahawa Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Li Po tidak wujud.

Goh berkata dokumen sejarah bertulis bukan merupakan satu-satunya sumber untuk membuktikan kewujudan mereka; tetapi unsur  lain termasuk lakaran  dan cacatan oleh pengembara-pengembara terkenal  juga memberi bukti  akan kewujudan mereka.

Selain Sejarah Melayu, Goh bertanya sama ada wujud cacatan sejarah sumber lain mengenai Hang Tuah? Ada orang berkata tidak, hanya kerana mereka tidak membaca apa-apa rekod sejarah oleh sarjana Barat.

Saya memahami apa yang diketengahkan oleh Goh iaitu orang lebih mempercayai sarjana Barat dan sekiranya mereka tidak menulis mengenai sesuatu bahan sejarah, maka orang tidak akan percaya  walaupun ia dicatat oleh sarjana dari kawasan  lain, Timur umpamanya.

Goh menulis bahawa dia telah melihat dalam  sebuah buku sejarah 'gambar' sepucuk surat dalam tulisan China yang ditulis oleh Hang Tuah kepada Raja Ryuku (sekarang Okinawa, Jepun).  Dalam surat itu, Hang Tuah mengadu mengenai perangai atau kelakuan kurang sopan segelintir pelaut atau anak kapal  Ryuku di Melaka.

Rakan Goh dari Okinawa memberitahunya bahawa sebilah keris kepunyaan Hang Tuah ditemui di sebuah rumah ibadat di Okinawa ketika kerja-kerja pemulihbaikan dilakukan.

Apa yang dinyatakan oleh Goh dalam suratnya itu menunjukkan bahawa kewujudan Hang Tuah turut diakui di negara matahari terbit itu. Oleh itu, sejarawan Malaysia seharusnya menyelidiki dan mengkaji bahan bukti yang ada di Okinawa untuk memperkukuhkan kenyataan bahawa Hang Tuah bukan satu unsur mistik atau lagenda, tetapi satu kenyataan.

Soal kewujudan Hang Tuah amat penting bagi sejarah bangsa Melayu walaupun ada beberapa pihak yang mempertikaikan 'bangsa' Hang Tuah, iaitu dia  berbangsa Cina, bukan Melayu.



   

      

 


Sunday 22 January 2012

Kematian dua kanak-kanak membuka mata mengenai soal penguatkuasaan

Kematian dua orang kanak-kanak di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Permata, Ulu Klang, Selangor  adalah satu tragedi yang membuka mata terhadap soal penguatkuasaan undang-undang dan peraturan serta kepekaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kita sedih dan dukacita atas kematian Muzaffar Mohd Faizal, tiga bulan, dan Arif Amsyar Ruhi Budiman, tujuh bulan, yang punca pulangnya kedua-dua mereka ke Rahmatullah belum dipastikan oleh pihak berkuasa kesihatan. Bedah siasat telah dilakukan dan menunggu laporan forensik/patologi untuk mengetahui puncanya.

Kepada ibu bapa dan keluarga kedua-dua kanak-kanak ahli syurga itu kita doakan agar mereka bersabar menerima dugaan Allah dan tabah menghadapinya kerana semuanya itu adalah ketentuan Ilahi.

Namun demikian, yang menjadi tanda tanya ialah sikap pegawai  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang awal-awal lagi mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja salah tetapi seolah-olah mempersalahkan pihak tertentu.

Saya merujuk kepada kenyataan Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi, JKM,  Zaitol Salleh seperti yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia bertarikh Sabtu 21 Januari iaitu pusat penjagaan kanak-kanak berkenaan beroperasi tanpa lesen atau sebarang pendaftaran.

"Dari segi penyeliaan, tempat itu langsung tidak memenuhi syarat minimum yang ditetapkan. Buat masa ini, ia diarahkan tutup sehingga siasatan lebih lanjut selesai dilakukan," kata Zaitol.

Kenapa Zaitol berkata demikian setelah pusat itu beroperasi sejak 22 tahun lalu? Apakah selama tempoh itu JKM tidak sedar dan tidak tahu sama sekali akan kewujudan pusat jagaan kanak-kanak itu?

Saya tidak tahu sama ada Zaitol telah melawat pusat jagaan kanak-kanak berkenaan atau sedar akan kedudukan sebenar sebelum dia mengeluarkan kenyataan tersebut atau dia memberi ulasan  hanya dengan berada di pejabat tanpa turun  padang? 

Saya berkata demikian kerana setelah melungsuri  laman sesawang JKM dan menyemak senarai Pusat Jagaan Berdaftar, JKM Selangor, saya dapati pusat jagaan berkenaan di Taman Permata berdaftar dengan JKM dan pendaftaran telah diperbaharui pada 30 Disember 2011 dan akan tamat tempoh pada 29 Disember 2016.

Bagaimana seorang pegawai kanan JKM boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak betul iaitu pusat penjagaan kanak-kanak itu beroperasi tanpa berdaftar? Atau wartawan Utusan Malaysia yang membuat kesilapan dalam laporannya itu?

Sementara itu, dalam laporan pada hari yang sama, akhbar The New Straits Times memetik jurucakap JKM (yang namanya tidak disiarkan) sebagai berkata pusat itu berdaftar dengan JKM, tetapi tiada lesen untuk kendali sebagai 'nursery' atau pusat jagaan kanak-kanak bawah umur empat tahun.

Kenyataan yang bercanggah oleh pegawai JKM memperlihatkan kelemahan di pihak mereka yang bertanggungjawab ke atas penguatkuasaan undang-undang dan peraturan berkaitan pusat jagaan kanak-kanak. Ia menimbulkan tanda tanya akan keberkesanan dan kecekapan para pegawai JKM itu sendiri.

Apakah setelah berlaku sesuatu tragedi  barulah pihak berkenaan sedar dan tiba-tiba pro-aktif sedangkan sebelum ini mereka mungkin tidak turun padang menyiasat sama ada pusat-pusat jagaan kanak-kanak di daerah atau negeri masing-masing berdaftar atau tidak? Atau sama ada pusat-pusat berkenaan mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh JKM?  

Umum mengetahui bahawa di Malaysia ada undang-undang yang ketat dan teratur tetapi yang sering menjadi masalah ialah soal penguatkuasaan yang kadang-kala amat kurang,  lemah dan mungkin tiada sama sekali. Saya tidak merujuk kepada kes ini tetapi secara umumnya begitulah keadaannya.

Banyak tragedi  berlaku berpunca daripada tiada atau kurangnya penguatkuasaan undang-undang termasuk di jalan raya, lereng bukit dan bidang perniagaan. Sebagai contoh, pemandu di larang mengguna telefon bimbit semasa memandu melainkan secara "hands free",  tetapi oleh kerana soal  penguatkuasaan, kita boleh lihat pelanggaran undang-undang tersebut setiap hari.

Berbalik kepada soal penjagaan kanak-kanak,  semua pihak mempunyai tanggungjawab sama ada dari segi moral  atau dari segi undang-undang. Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa atau penjaga mempunyai tugas dan tanggungjawab ke atas kanak-kanak dibawah jagaan mereka.

Selaras dengan itu, peruntukan-peruntukan yang mengenakan tugas dan tanggungjawab undang-undang kepada ibu bapa atau penjaga telah diwujudkan  dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan kemudiannya diperkemaskan dalam Akta 611, iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 yang khusus dan komprehensif mengenai kanak-kanak.

Undang-undang mengenai perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia wujud seawal 1947 dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991.

Akta 611 menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya. 

Pendek kata Akta 611 adalah undang-undang yang merangkumi pelbagai isu penting mengenai kanak-kanak. Ia boleh dikatakan satu undang-undang yang lengkap. 

Apa yang pasti ialah antara tujuan utama peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam akta berkenaan adalah   supaya ibu bapa atau penjaga akan lebih bertanggungjawab dan mengambil berat akan keadaan anak-anak mereka.

Kita sedar bahawa pada zaman serba moden sekarang,  ibu dan bapa terpaksa bekerja untuk menampung kos hidup yang semakain melambung dan jalan keluar bagi mereka adalah menghantar anak ke pusat-pusat jagaan kanak-kanak. Oleh itu, kita tidak boleh mempersalahkan ibu bapa kerana mereka terpaksa berbuat demikian demi  memenuhi keperluan hidup, lebih-lebih lagi di bandar-bandar besar.

Oleh itu, beban tangungjawab ke atas kanak-kanak yang dihantar ke pusat-pusat penjagaan dipikul oleh pihak pusat berkenaan.

Semua pengusaha dan pengendali Taman Asuhan Kanak-Kanak atau TASKA dan Pusat Jagaan diwajibkan berdaftar dibawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Akta Pusat Jagaan 1993 di Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah yang berhampiran.

Kelulusan pendaftaran bergantung kepada kelulusan teknikal terlebih dahulu oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),  Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan.

Oleh itu, bukan mudah untuk sesiapapun  membuka sama ada TASKA atau Pusat Jagaan Kanak-Kanak. Persoalannya, apa yang berlaku selepas itu? Adakah pihak-pihak berkenaan mengadakan lawatan pemantauan ke atas TASKA dan pusat-pusat jagaan kanak-kanak yang didaftar itu?   

Inilah yang selalunya menjadi tanda tanya dalam penguatkuasaan undang-undang dan peraturan oleh pihak-pihak berkenaan.

Kita tidak mahu dengar lagi kata-kata seperti yang didakwa dikeluarkan oleh Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi, Jabatan Kebajikan Masyarakat, iaitu "Dari segi penyeliaan, tempat itu langsung tidak memenuhi syarat minimum yang ditetapkan". 

Kenapa tiada tindakan jika benar apa yang didakwa oleh Zaitol Salleh? Apakah selama 22 tahun pusat jagaan kanak-kanak di Taman Permata itu wujud, pegawai JKM tidak memantau, menyelia atau memeriksanya?

Ia adalah  soal penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang merupakan satu masalah besar di Malaysia.