Thursday 28 February 2013

MB Selangor pula minta BERNAMA perbetul fakta isu air

Belumpun reda isu mencedok berita, timbul pula berita yang menyebut bahawa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta BERNAMA memperbetulkan berita 'yang mengelirukan' mengenai isu air di Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor menegaskan bahawa berita atau artikel yang dikeluarkan oleh BERNAMA bertajuk "Air Selangor Dalam Keadaan Kucar-kacir"  yang disiarkan oleh beberapa buah akhbar pada 26 Februari lalu, adalah 'mengelirukan'.

Berita itu juga mengandungi kesalahan fakta berhubung usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat mendapat perkhidmatan air yang lebih baik dan cekap pada kadar tarif munasabah.

Tan Sri Khalid mengutus surat kepada Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Yong Soo Heong, dengan menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Selangor meletakkan tanggungjawab membetulkan laporan itu atas bahu BERNAMA yang cuai di dalam memilih pendapat 'pakar' yang meragukan.

Menurut Abdul Khalid seperti yang dilaporkan oleh "Selangor Kini" terbitan Kerajaan Negeri (edisi 1- 8 Mac 2013),   kenyataan seorang ahli akademik Dr Zaharuddin Ahmad Sabri  yang mendakwa kononnya dirinya seorang pakar air, lantas BERNAMA merumuskan bahawa pengurusan dan prasarana air di Selangor dalam keadaan kucar-kacir.

"Agak sukar untuk mengiktiraf beliau (Dr Zaharuddin) sebagai pakar air kerana dari semakan yang dilakukan, tiada satu makalah pun sama ada terbitan buku mahu pun artikel pendek yang pernah beliau hasilkan khusus dalam pengurusan industri air," kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid berkata kenyataan Dr Zaharuddin yang mempersoalkan  kemampuan kewangan Kerajaan Negeri membiayai tawaran RM9.65 bilion bagi membeli empat syarikat konsesi air dipertikaikan.

"Nampak jelas beliau sebenarnya tidak mengkaji Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang menerangkan secara terperinci penstrukturan semula industri perkhidmatan air.

"Selaras dengan Akta 655, aset air negeri dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada nilai yang ditetapkan.

"Oleh itu, pemerolehan aset air akan dibiayai oleh PAAB, sementara Kerajaan Negeri akan membiayai pemerolehan nilai ekuiti konsesi," katanya seperti yang dipetik oleh Selangor Kini. 

Kita harap KP BERNAMA, Datuk Yong, akan segera memberi jawapan kepada Kerajaan Negeri Selangor seperti yang pernah dilakukannya apabila begitu cepat mengutus surat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak lama selepas pilihan raya umum lalu  yang mendapat pujian kepimpinan DAP.

Yong bertanggungjawab mempertahan kewibawaan BERNAMA dan jika berlaku kesilapan atau salah fakta, segera perbetulkannya. 


Saturday 23 February 2013

BERNAMA cedok artikel? Jika benar ia mengaibkan!

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau BERNAMA dikatakan telah mencedok atau menciplak (plagiarise) satu atikel mengenai ramalan keputusan pilihan raya umum dari portal berita lain dalam talian. 

Jika benar seperti apa  yang dilaporkan oleh portal berita dalam talian Malaysiakini hari ini, ia amat mengaibkan.

Malaysiakini mendapati artikel BERNAMA bertarikh 21 Februari itu adalah hampir seperti disalin (carbon copy) dari sebuah artikel yang disiarkan pada 9 Februari oleh laman sesawang pro-Barisan Nasional (BN), The Choice.

Artikel yang dikeluarkan oleh BERNAMA itu dikutip pula oleh hampir semua media arus perdana (sudah pasti) kerana ia memberi gambaran atau kebaikan untuk kerajaan BN, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum ke-13 dalam tempoh sebulan dua ini.

Artikel berkenaan memetik Economist Intelligence Unit (EIU) sebagai melaporkan bahawa BN dijangka memenangi pilihan raya umum akan datang. Sudah tentu  berita sedemikian rupa amat dinanti-nantikan oleh kerajaan (BN) dan media arus perdana terutamanya BERNAMA.

Yang menariknya, Malaysiakini mendapati dalam laporannya, BERNAMA  telah menokok tambah tiga perenggan kepada artikel asal yang disiarkn oleh The Choice.

Ketua Pengarang BERNAMA yang sedang memangku jawatan Pengurus Besar, Datuk Yong Soo Heong ketika dihubungi Malaysiakini berjanji untuk menyiasat perkara itu. Kita harap Yong akan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku, jika ia benar-benar berlaku. Era melepas tangan sudah berlalu dan sikap mengambil tanggungjawab atas nama menjaga integriti pertubuhan amat penting.

Selain itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim mesti turut mengambil berat atas apa yang berlaku kerana ia bukan sahaja menjejas nama baik BERNAMA tetapi kementerian berkenaan selaku pihak yang mengawal selia BERNAMA.

Tindakan tegas mesti diambil terhadap orang yang bertanggungjawab termasuk yang bertindak selaku ketua. Ketua tidak boleh lepas tangan dan mempersalahkan anak buah kerana jika ketua bersikap demikian, maka dia tidak layak menjadi ketua.

Sebarang kenaikan pangkat, umpamanya ke jawatan yang lebih tinggi dalam pertubuhan, mesti ditangguh dan jika perlu, dibatalkan.

Pada era masa kini, mata dan telinga rakyat tidak kabur dan tidak tuli. Mereka ada banyak sumber atau wadah  untuk mendapat maklumat dan amat sukar bagi pihak tertentu untuk menyembunyi atau buat-buat tak tahu akan apa yang berlaku.

Seperti yang Dr Rais selalu berkata, zaman beredar, pusaka bergilir. Saya ingin tambah, tukar jika tidak mahu ditukar.