Pagi ini, lebih kurang pukul 9.50, TPM Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak bergegas ke Istana Kinta untuk menghadap Paduka Seri Sultan Perak. Tujuannya satu - mendapat perkenan Baginda untuk BN membentuk kerajaan baru.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar pergi ke bangunan Mahkamah Tinggi Ipoh, lebih kurang pukul 9.00 pagi, untuk mendapatkan perisytiharan bahawa surat perletakan jawatan selaku ADUN oleh Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) adalah sah.
Hanya kebijaksanaan Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, dapat menyelesaikan kemelut politik di bumi Darul Ridzuan.
Rakyat sedang menunggu sama ada Baginda memberi perkenan untuk membubarkan DUN atau memperkenankan pembentukan pentadbiran baru oleh BN.
Sementara itu, Parti KeAdilan Rakyat (PKR) akan mengadakan perhimpunan di kediaman rasmi MB Perak malam ini. Penasihat PKR Anwar Ibrahim akan hadir dan berucap. Bagaimana jika UMNO atau BN juga mengadakan perhimpunan serupa? Apa kesudahannya?
Rakyat berharap semua pihak yang terbabit dalam kemelut politik ini tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menjejas dan menganggu gugat ketenteraman awam.
No comments:
Post a Comment