Wednesday, 4 February 2009

DUN PERAK TUNGGU PERKENAN SULTAN UNTUK DIBUBAR

Akhirnya MB Perak mengambil keputusan terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik apabila dia mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Pembubaran DUN Perak hanya akan berlaku setelah mendapat perkenan Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Kita yakin Baginda Sultan akan memperkenankannya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada jalan lain melainkan menjalankan tugas dan amanah yang diberikan menurut undang-undang dan Perlembagaan Negara. Tidak timbul soal keraguan atau kesangsian lagi.

Kepada rakyat Negeri Perak yang layak mengundi, buatlah pilihan terbaik. Semoga pilihan raya yang bakal diadakan itu akan membolehkan pembentukan sebuah pentadbiran negeri dengan majoriti besar atau dua pertiga.

Kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), gunakanlah peluang untuk meraih sokongan dengan penuh tanggungjawab tanpa rasuah dan salahguna kuasa termasuk menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.


Rakyat adalah hakim sebenar dalam gelanggang politik.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa BN telah berkuasa semula di Perak berikutan tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat.

Bernama mengutip TPM Najib Tun Razak sebagai berkata ini berikutan tiga ADUN Parti KeAdilan Rakyat (PKR) dan seorang ADUN DAP telah keluar parti.

Saya berpendapat kenyataan ini kurang tepat dan mana-mana parti politik tidak semudah itu mengambil alih pentadbiran sesebuah negeri.

Pembentukan sesuatu pentadbiran atau kerajaan memerlukan perkenan Paduka Seri Sultan Perak yang akan membuat keputusan berdasarkan sokongan majoriti dalam DUN. Sudahkah BN mendapatkan perkenan Sultan? Adakah BN mendapat sokongan majoriti hanya berlandaskan tindakan keluar parti oleh empat orang ADUN itu?

Jalan keluar terbaik adalah pembubaran DUN dan serahkan semula tugas itu kepada rakyat.

a

No comments:

Post a Comment