Lawatan Menteri Pembimbing Singapura Lee Kuan Yew ke Malaysia ada tujuan dan muslihat tersendiri. Suka atau tidak, lawatannya dan siri pertemuan yang diadakan termasuk dengan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, bukan sesuatu yang lazim dalam hubungan diplomatik tetapi berkepentingan.
Lee Kuan Yew bukan calang-calang orang, dia adalah manusia pintar yang membangun dan meletakkan Singapura dalam peta dunia sebagai sebuah negeri yang paling berjaya di Asia Tenggara. Sebuah kuasa tentera dalam erti kata pemilikan senjata canggih. Itu bukan sesuatu yang mudah. Dunia menghormati kepintarannya.
Jadi, apabila Lee Kuan Yew berkunjung ke Malaysia, lebih tepat ke Semenanjung Melayu, dia ada sebab dan musebab untuk berbuat demikian.
Dia menghabiskan empat hari di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Shah Alam untuk bertemu dan berbincang dengan PM Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiga orang naib presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan), Datuk Seri Hishamudin Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan Datuk Seri Shafie Afdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.
Kuan Yew juga menemui MB Selangor dari pentadbiran Pakatan Rakyat Tan Sri Khalid Ibrahim dan pemimpin PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang.
Pertemuannya dengan Khairy dan Mukhriz menarik perhatian kerana ia seolah-olah membayangkan bahawa Singapura melihat kepada kedua-dua pemimpin pelapis itu sebagai bakal pemimpin Malaysia, iaitu yang berkemungkinan bakal Perdana Menteri.
Apa yang pasti ialah dia ingin "meramal" hubungan masa depan antara Malaysia, terutama kepimpinan Melayu, dengan Singapura. Ke mana hala tuju kepimpinan baru Malaysia, pandangan mereka terhadap Singapura dan hubungan ekonomi serta kemasyarakatan.
Semasa bertemu Najib, soal pembinaan sebuah jambatan yang bakal mendekatkan hubungan laluan darat antara Changi di Singapura dan Desaru di Johor, turut dibangkitkan. Media Malaysia gah melaporkan bahawa Lee Kuan Yew sokong cadangan pembinaan jambatan itu. Nokhtah.
Apa yang tidak "ditonjolkan" oleh media tempatan ialah "syarat" Singapura untuk menjadikan kenyataan (realiti) cadangan Najib itu. Rakyat Malaysia tidak tahu apa yang dipertaruhkan oleh Singapura jika Malaysia ingin mendapat sokongan republik itu.
Kita harus sedar bahawa Singapura tidak semudah itu untuk memberi sokongan tanpa mendapat faedah daripadanya.
Bagi Singapura, adalah tidak masuk akal untuk bekerjasama berkaitan pembinaan jambatan ketiga (sebenarnya kedua kerana tambak bukan jambatan) sekiranya Johor tidak menarik balik larangan eksport pasir ke republik itu.
Ya, pasir menjadi taruhan. Jika Malaysia mahu membina jambatan, maka Malaysia mesti tarik balik larangan eksport pasir. Itulah syarat yang diberi oleh Kuan Yew kepada Malaysia. Sokongan untuk projek yang dicadangkan itu adalah bersyarat. Inilah yang tidak dilaporkan oleh media Malaysia.
Malaysia mengeksport pasir ke Singapura sejak berpuluh tahun lalu tetapi menarik balik pengeksportan atas sebab-sebab tertentu, Singapura kemudian mendapat bekalan dari Indonesia tetapi tidak lama kerana Indonesia pun melarang eksport pasir ke republik itu.
Singapura yang amat memerlukan pasir untuk industri pembinaan dan pembangunan negara dan mungkin untuk menambak laut, kini mendapat bekalan dari Vietnam dan ia menelan belanja yang besar jika dibandingkan dengan sumber dari Malaysia mahupun Indonesia.
Selain isu pasir, Kuan Yew juga menegaskan bahawa kerjasama antara kedua-dua negara mestilah dalam tempoh jangka panjang dan menyeluruh. Kita percaya antara "kerjasama" jangka panjang yang dimaksudkan termasuk soal hak terbang lalu di ruang udara Malaysia oleh pesawat pejuang/pengebom Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), soal bekalan air mentah dan soal pembangunan tanah milik Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Tanjong Pagar.
Pelaburan yang diharapkan dari Singapura dalam Iskandar Malaysia juga menjadi "syarat" kerjasama jangka panjang.
Lawatan lapan hari Kuan Yew ke negara ini bukan sesuatu yang boleh diibaratkan sebagai "mengimbau kenangan lalu dan untuk bertemu kawan lama" tetapi lebih jauh daripada itu. Kita membicarakan tentang Lee Kuan Yew, bukan Goh Chok Tong atau Wong Kan Seng.
Lee Kuan Yew tidak akan merestuai sesuatu sekiranya ia tidak menguntungkan Singapura. Oleh itu, awas akan tindak-tanduk mereka sebelum mempersetujui apa saja yang dikemukakan termasuk "kerjasama jangka panjang". Jangan pula kita menang sorak, tetapi kampung tergadai.
No comments:
Post a Comment