Saturday, 20 June 2009

Silatulrahim menjadi tuntutan perpaduan


Persoalan kerajaan perpaduan atau perpaduan antara UMNO dan PAS masih menjadi tajuk perbincangan dan luahan rasa di mana-mana terutama oleh orang UMNO dan PAS serta orang parti politik lain yang sama ada bimbang, resah dan gelisah atau khuatir dengan kemungkinan UMNO dan PAS akan berpadu tenaga. Isu itu juga turut diikuti oleh orang Melayu/Islam pada keseluruhannya.

Kebimbangan dan kegelisahan itu turut dirasai oleh orang UMNO dan PAS atas beberapa sebab yang hanya mereka ketahui sedangkan ia menjadi tuntutan agama. Pegangan politik yang agak tegar menjadi batu penghalang utama ke arah perpaduan.

Baru-baru ini, sempena sambutan ulang tahun ke-20 Surau Al Muhajirin, Taman Sri Ukay/Hill View, Ampang, pihak penganjur telah menerbitkan satu risalah yang menyentuh mengenai soal perpaduan, iaitu silatulrahim.

Risalah itu memuatkan terjemahan ceramah oleh Al'Allamah Sayyid 'Alawi Ibn Abbas Al Maliki, mantan tenaga pengajar Masjid al Haram dan Madrasah al Falah, Makkah al Mukarramah, yang disampaikan pada hari Jumaat 2/5/1378 H melalui radio Arab Saudi.

Oleh kerana isi kandungan ceramah itu ada kaitan dengan apa yang sedang diperkatakan sekarang, maka saya perturunkannya untuk renungan dan, moga-moga memberi manfaat untuk kita, ummah di Malaysia.

Terdapat dua jenis silatulrahim (hubungan persaudaraan). Silatulrahim yang khusus dan umum.

Silatulrahim yang umum ialah hubungan antara seluruh individu Muslim di serata pelusuk dunia yang diikat dengan pertalian agama Islam. Hubungan keagamaan ini merupakan nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah ke atas orang Islam sehingga mereka menjadi saudara, sebagaimana firman Allah SWT, yang bermaksud:

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara." (Hujuraat:10)

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: "Maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara." (Ali Imran:103)

Hubungan persaudaraan jenis ini (antara seluruh umat Islam), wajib dihubungkan dan dipupuk dengan kasih sayang, saling menasihati, melakukan keadilan, memberikan peringatan, melaksanakan hak-hak yang wajib ditunaikan dan kemaslahatan, serta mempertahankannya atau melindunginya tidak kira di belakang atau di depannya semampu yang mungkin.

Silatulrahim yang khusus pula ialah hubungan kerabat yang mengikat hubungan antara individu dalam keluarga, seperti ibu bapa, bapa-bapa saudara dan ibu-ibu saudara sama ada sebelah ibu mahupun bapa.

Hubungan ini wajib dihubungkan dengan perkara-perkara yang mengikat hubungan persaudaraan yang umum seperti yang telah disebutkan, di samping kewajipan memberikan nafkah kepada kaum kerabat dan menampung segala kekurangan mereka.

Kesimpulannya, kedua-dua hubungan ini wajib dieratkan dengan menghulurkan kebaikan dan menghindari mereka daripada kejahatan dan keburukan semampu yang mungkin. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"(Kalau kamu tidak mematuhi perintah), maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan - jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silatulrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya. (Setelah diterangkan yang demikian), maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al Quran)?" (Muhammad: 22-24)

Diriwayatkan di dalam Sohihain, daripada Jabir berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silatulrahim."

Maksudnya, orang yang memutuskan silatulrahim tidak masuk syurga bersama orang-orang yang terawal memasuki syurga. Bahkan, dia akan memasukinya lewat mengikut tempoh pembalasannya kerana meninggalkan yang wajib dan melakukan perkara yang diharamkan akibat memutuskan apa yang diperintahkan oleh Allah agar menyambungnya.

Diriwayatkan juga di dalam Sohihain, daripada Abi Hurairah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang suka agar dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silatulrahim."

Maksud 'panjang umur' dalam hadith di atas ialah Allah memberkati umur dan rezekinya. Maka Allah mentaufiqkannya untuk melakukan amal soleh yang tidak mampu dilakukan melainkan orang yang dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya.

Diriwayatkan oleh al Bazzae dengan sanad yang jayyid (baik) daripada Nabi S.A.W., bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang suka Allah memanjangkan umurnya, meluaskan rezekinya dan menjauhkannya daripada Su'al Khatimah, maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dan menyambung silatulrahim."

Daripada al Tabrani dengan sanad Hasan daripada Nabi S.A.W. bersabda: Allah berfirman yang maksudnya: "Aku adalah Allah dan Aku adalah Tuhan Yang Maha Pengasih. Aku telah menjadikan rahim (kasih sayang), Aku menerbitkan namanya dari namaKu. Sesiapa yang menyambungnya, maka dia telah menyambungkan dirinya dengan (kasih sayang)Ku dan sesiapa yang memutuskannya maka dia telah memutuskan (dirinya dengan kasih sayang)Ku."

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah memakmurkan negara bagi suatu kaum dan menambah untuk mereka harta, dan Allah tidak memandang kepadanya (harta benda dunia) semenjak Dia menjadikannya kerana benci terhadapnya." Rasulullah S.A.W. ditanya, "Bagaimanakah itu, wahai Rasulullah?" Sabda Baginda S.A.W, "Dengan silatulrahim yang mereka lakukan."

Diriwayatkan oleh al Bukhari daripada Nabi S.A.W. bersabda: "Bukanlah orang yang menyambung silatulrahim itu dengan membalas persaudaraan yang dihubungkan oleh saudaranya. Tetapi orang yang menghubungkan silatulrahim itu apabila diputuskan hubungan dengannya maka dia menyambungnya."

Apabila seseorang itu menyambung silatulrahim dengannya, lalu dia pun menyambung silatulrahim dengan orang tersebut, maka dia adalah orang yang membalas silatulrahim yang dihubungkan dengannya. Ini bukanlah orang yang menyambung silatulrahim yang sempurna kerana orang yang menyambung silatulrahim yang sempurna ialah orang yang menghubungkan silatulrahim apabila seseoang itu memutuskan hubungan dengannya.

Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sohihnya, bahawa seorang lelaki berkata: "Wahai Rasulullah! Aku mempunyai kaum kerabat yang aku sentiasa menghubungkan silatulrahim dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku juga melakukan kebaikan terhadap mereka tetapi mereka melakukan kejahatan terhadapku. Aku juga berlembut dengan mereka tetapi mereka mengasariku." Rasulullah S.A.W. bersabda, "Sekiranya kamu sepertimana yang kamu katakan, maka kamu seolah-olah memasukkan kepada mereka debu yang panas." (Maksudnya, kebaikan yang dibalas dengan kejahatan seolah-olah menjadi abu panas yang membakar jasad. Maka orang yang memabalas kebaikan secara sedemikian, seolah-olah mengundang bala ke atas dirinya sendiri). Rasulullah S.A.W. bersabda kepadanya, "Sentiasalah pertolongan daripada Allah menyertai kamu selama kamu berterusan berada dalam keadan sedemikian."

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad daripada perawi-perawi yang thiqah (dipercayai), daripada Nabi S.A.W. bersabda: "Sesungguhnya segala amal anak-anak Adam dibentangkan pada hari Khamis dan malam Jumaat; maka tidak diterima amalan orang yang memutuskan silatulrahim."

Diriwayatkan oleh al Tabrani daripada Ibni Mas'ud bahawa Baginda S.A.W. duduk dalam satu kumpulan selepas subuh, lalu bersabda: "Aku menyeru dengan nama Allah orang yang memutuskan silatulrahim supaya bangun dari kumpulan kami ini kerana kami mahu berdoa kepada Tuhan kami. Sesungguhnya pintu-pintu langit tertutup bagi orang yang memutuskan silatulrahim."


Marilah sama-sama kita memohon kepada Allah agar mentaufiqkan kita untuk melakukan apa yang disukai dan diredhaiNya.

Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas penghulu kita Muhammad S.A.W. dan keluarganya serta para sahabatnya.



No comments:

Post a Comment