Thursday 11 June 2009

UMNO dan PAS mesti utamakan ukhuwwah Islamiah



Kekuatan sesuatu bangsa mahupun negara bergantung kepada perpaduan. Ini adalah hakikat yang tidak boleh diketepikan dalam usaha menyatu-padukan ummah dalam satu ikatan persaudaraan seperti yang dituntut oleh Islam.

Dalam hubungan ini, kesediaan pemimpin politik untuk membincang soal perpaduan, tidak kira dalam apa bentuk sekalipun, seharusnya disambut baik dan disokong.

Pemimpin politik Melayu, khasnya, perlu bertemu dan bermusyawarah untuk mencapai kata sepakat ke arah perpaduan memandangkan sudah terlalu lama berpecah-belah sehingga menjejas kekuatan politik.

Sejak PAS keluar daripada gagasan Barisan Nasional, tiada pertemuan secara rasmi diadakan berhubung perpaduan orang Melayu, terutama antara UMNO dan PAS. Kita sedar beberapa pelawaan musyawarah pernah dicadangkan untuk membincang persoalan seperti hukum hudud, fatwa kafir dan mengkafir serta undi PAS masuk syurga, namun ianya tidak diadakan.

Pada tahun 1986, Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PAS ketika itu, Allahyarham Fadzil Noor di Sri Perdana bertujuan membincang perpaduan Melayu. Malangnya, pertemuan itu tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan oleh bangsa Melayu.

Apabila Allahyarham Fadzil menerajui PAS, pertemuan yang tidak dijadualkan diadakan di Kedah sempena satu majlis berbuka puasa dan bergerak dari situ, muncul cadangan agar UMNO dan PAS mengadakan pertemuan untuk membincang soal perpaduan.

Kedua-dua parti menubuhkan Jawatankuasa Teknikal bertujuan membuat persediaan untuk membincang urusan logistik. Dua pertemuan telah diadakan. Walau bagaimanapun, usaha tersebut turut gagal berikutan tindakan PAS menangguh pertemuan dan mengemukakan syarat baru.

Ketika mengumumkan penangguhan itu, Allahyarham Fadzil antara lain berkata ia dibuat kerana tidak ada "suasana yang kondusif" dan menegaskan bahawa PAS boleh mengadakan pertemuan apabila wujud suasana yang lebih kondusif, iaitu apabila semua syarat yang dikenakannya dipenuhi oleh UMNO dan Kerajaan Pusat terlebih dahulu.

Kesudahannya adalah kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat dan pertemuan itu tidak dapat diteruskan.

Apakah ura-ura pertemuan ke arah perpaduan yang dibangkitkan semula kali ini akan berhasil atau sebaliknya pun menjadi tanda tanya. Di kalangan pemimpin UMNO dan PAS terdapat perbezaan pendapat dan pendirian, ada yang setuju, ada yang menentang dan ada yang sangsi dan ragu-ragu.

Kepada pemimpin kedua-dua pertubuhan politik itu, kita ingin ingatkan bahawa perpecahan bangsa yang berlaku disebabkan oleh fahaman politik yang sempit dan rapuh hanya akan membawa padah kepada negara dan anak cucu akan datang. Belajarlah daripada sejarah.

Bangsa Melayu tidak mampu untuk berpecah belah. Perpaduan adalah tuntutan utama bagi keutuhan negara dan dituntut oleh Islam (Al Quran, ayat 103-105 Surah Ali Imran).

Kepentingan ukhuwwah Islamiah atau perpaduan Islam sebagai tunggak sesebuah negara tergambar daripada langkah Rasulullah S.A.W. sendiri ketika pembentukan negara Islam yang pertama di Madinah.

Perpaduan Islam yang dimaksudkan itu amat mementingkan hubungan persaudaraan yang berlandaskan ikatan keagamaan.

Kita harus sedar bahawa menghubungkan silatulrahim terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang menghalang dan memaafkan orang yang menzalimi adalah antara ciri akhlak yang mulia. Sesiapa yang mempunyai ciri tersebut adalah mencerminkan keteguhan dalam beragama.

Islam secara nyata mengajak manusia supaya menjaga ikatan silatulrahim dan persaudaraan, menyuruh kita menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan ikatan persaudaraan dan kejiranan.

Dalam Islam, tidak ada bezanya antara seseorang itu dengan yang lain melainkan ketakwaan mereka kepada Allah SWT. Oleh itu, Islam melarang wujudnya perpecahan, apatah lagi sesama umatnya. Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam dan apabila lemah, sudah tentu akan berlaku kerosakan dan kehancuran.

"Orang-orang yang merosak janji Allah setelah diikrarkan dengan teguh dan memutuskan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan (silatulrahim) dan mengadakan kerosakan di bumi, orang-orang itulah yang memperoleh kutukan dan bagi mereka tempat kediaman yang buruk (neraka)" (Surah Ra'd: Ayat 25)

Semoga barisan kepimpinan UMNO dan PAS mengutamakan ukhuwwah Islamiah dan bukan kepentingan politik kepartian demi mewujudkan perpaduan ummah. Kita tidak perlu mengingatkan mereka bahawa umat Islam itu adalah bersaudara.

No comments:

Post a Comment