Muktamar Agung PAS yang baru berlangsung memberi isyarat jelas tentang hala tuju parti berlandaskan Islam itu dalam arena politik tanah air.
Kemenangan mereka yang berpendirian sederhana tetapi tegas dalam soal siasah Islamiah pada pemilihan barisan kepimpinan parti adalah dijangka dan sewajarnya memperlihatkan sokongan ahli dari semua peringkat.
Bagi jawatan timbalan presiden yang berjaya dipertahankan dengan kelebihan undi yang besar oleh YB Nasharudin Mat Isa, perwakilan dengan cukup jelas memperlihatkan sokongan kepada golongan ulama yang diterajui oleh YB Tuan Guru Haji Hadi Awang.
Kekalahan YB Husam Musa, terutamanya, menunjukkan bahawa perwakilan menolak golongan yang dikatakan mirip kepada perjuangan politik YB Anwar Ibrahim yang menerajui apa yang disebut sebagai Pakatan Rakyat.
Saya pernah bertemu dan bertukar-tukar fikiran dengan YB Nasharudin dan mendapati beliau adalah seorang pemimpin yang berpendirian terbuka tetapi sederhana dan mengutamakan perpaduan ummah.
Anak jati Negeri Sembilan itu telah diterima oleh pengundi di Kedah dan kini Kelantan sebagai wakil rakyat, sesuatu yang mungkin sukar bagi orang lain kerana di negara ini politik kenegerian masih tebal terutama di kalangan bukan parti PAS. Soal "anak tempatan" sering kedengaran setiap kali pilihan raya diadakan tetapi tidak pula apabila ia melibatkan YB Nasharudin, inilah antara kelebihan beliau selain memperlihatkan keterbukaan di kalangan ahli PAS yang secara umumnya tidak mengamalkan politik kenegerian.
YB Nasharudin, seperti YB Tuan Guru Haji Hadi, menyokong kuat perpaduan ummah dan kemenangan mereka yang menyokong pendirian tersebut mungkin boleh memberi sumbangan ke arah itu demi kepentingan negara dan ummah.
Ummah perlu bersatu dan berpadu tenaga kerana cabaran dan dugaan yang bakal dihadapi amat berat. Sama ada ummah akan tenggelam atau timbul dalam arus dan gelombang yang tidak henti-henti membelah alam sejagat bergantung kepada kedudukan ummah itu sendiri, sama ada bersatu padu atau sebaliknya.
Saya rakamkan ucapan tahniah kepada barisan kepimpinan baru PAS dengan harapan semoga mereka akan mampu melakukan sesuatu ke arah perpaduan ummah.
No comments:
Post a Comment