Wednesday 7 April 2010

Kekuatan UMNO - Najib secara jujur akui kebenaran



Saya amat menghormati kejujuran Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak mengenai realiti politik di Selangor semasa dia berucap pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor.

DS Najib mengakui bahawa UMNO bersendirian tidak mampu menawan atau membentuk kerajaan di Selangor. Inilah satu kenyataan yang berani kerana ia menerima hakikat dan tidak berselindung di sebalik lakonan kononnya UMNO itu kuat dan mampu 'berkuasa' di Selangor.

Kenyataan DS Najib dengan sendirinya melenyapkan keigoan dan ketaksuban sebilangan besar pemimpin UMNO, bukan sahaja di Selangor, tetapi di kebanyakan negeri bermajoriti rakyat keturunan Melayu.

UMNO Selangor harus sedar akan kebenaran kerana kekalahan pada PRU 12 yang lalu bukan yang pertama dilaluinya, apakah mereka lupa akan keputusan PR 1969 yang kemudian mengakibat tercetusnya tragedi 13 Mei? Bukankah kedua-duanya menunjukkan bahawa UMNO tidaklah sekuat mana di Selangor.

Seperti yang ditegaskan oleh DS Najib, UMNO perlukan sokongan MCA, MIC dan Gerakan ataupun orang Melayu perlu sokongan orang Cina, orang India dan sebaliknya, jika ingin melihat BN berkuasa semula di Selangor. Sebenarnya, bukan sahaja di Selangor tetapi di hampir semua negeri memerlukan kerjasama dan saling sokong-menyokong antara kaum.

UMNO harus menerima hakikat bahawa ia juga tidak mampu untuk memerintah di Perak, Negeri Sembilan, Kedah apatah lagi Pulau Pinang tanpa sokongan pengundi semua kaum.

Sebilangan besar pemimpin UMNO memikirkan yang semua orang Melayu menyokong mereka sedangkan sokongan yang hampir sama kuatnya diberi kepada PAS, iaitu sebuah parti pilihan lain atau alternatif kepada UMNO.

Oleh itu, ahli-ahli UMNO harus akui akan kebenaran kenyataan DS Najib dan ubah sikap serta tanggapan kononnya UMNO secara bersendirian sudah cukup kuat untuk memerintah. Mereka mesti ingat bahawa 'semangat' dan kata-kata berbaur perkauman tidak memadai jika mereka tidak menghargai sokongan orang lain selain orang Melayu.

Tahniah dan syabas kepada DS Najib atas keberaniannya mengakui kedudukan sebenar dalam
arena politik tanah air. Pemimpin tertinggi UMNO yang lain tidak berani, secara terbuka, mengakui hakikat itu.

Kejujuran yang diperlihatkan oleh DS Najib mampu mengembalikan sokongan kepada BN khususnya UMNO.

No comments:

Post a Comment