Friday 30 January 2009

Mesyuarat Agung Khas Kariah masjidpun hangat

Hari ini saya menghadiri Mesyuarat Agung Khas (MAK) bagi memilih pegawai-pegawai dan ahli jawatankuasa kariah Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang untuk penggal bermula 1 Julai 2009 hingga 30 Jun 2012.

Saya sangka MAK itu akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah, maklumlah ia berkaitan urusan masjid, Rumah Allah, bukan urusan politik atau pertubuhan-pertubuhan lain. Rupa-rupanya jangkaan saya salah.



Mesyuarat yang bermula pukul 10.24 pagi itu, lewat 24 minit daripada jadual, panas dan agak kecoh sedikit. Saya tertanya-tanya adakah ini mesyuarat sebuah parti politik yang menghadapi perebutan kuasa atau apa?

(YB Khasim mententeramkan keadaan. Di sebelah beliau Jen. (B) Tan Sri Abdul Rahman)

Kekecohan timbul akibat rasa kurang puas hati di kalangan beberapa orang anak kariah berkaitan cara pengundian yang hendak dijalankan dan soal perlantikan para pegawai masjid terutama imam.

Mesyuarat ini adalah yang pertama kali diadakan selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan pendaftaran semua anak kariah dibuat sebelum 31 Disember 2008 dan hanya mereka yang berdaftar sahaja boleh menghadiri mesyuarat. Ini bukan masalah bahkan sesuatu yang baik dan berperaturan serta bersistematik. Tahniah kepada JAIS dan Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan.


Semua anak kariah yang hadir, lelaki dan wanita, hanya diberi kertas undi setelah menyemak nama mereka dalam senarai (macam daftar pemilih) yang disediakan oleh pihak berwajib. Amalan ini amat baik kerana mereka yang berkenaan sahaja boleh hadir dan mengambil bahagian dan ia tiada kaitan dengan parti-parti politik.

Anak kariah yang berminat untuk menganggotai AJK atau memohon jawatan lain seperti imam, bilal dan siak, perlu menawar diri dan pengundian akan dibuat untuk jawatan-jawatan berkenaan. Untuk jawatan imam, tiga nama akan diundi dan dihantar kepada pihak pentadbir agama membuat keputusan setelah calon melalui proses temuduga.

Mesyuarat hari ini dipengerusikan oleh Nazir yang akan tamat tempoh pada 30 Jun depan, Jen. (B) Tan Sri Abdul Rahman Abdul Hamid. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Lembah Jaya, Haji Khasim Abdul Aziz, mewakili Exco Agama Selangor Datuk Dr Hassan Ali. Kehadiran YB Khasim sedikit sebanyak telah mententeramkan suasana yang panas berikutan pertikaman lidah antara beberapa orang anak kariah dengan teraju AJK kariah. Soal pokok yang dipertikaikan adalah perlantikan pegawai-pegawai masjid, terutama imam, memandangkan ia adalah jawatan bergaji dan ada pula skim perkhidmatan. Oleh itu, imam tidak seharusnya dilantik melalui proses undi tetapi dibuat melalui saluran sah, iaitu Jabatan Agama Islam Selangor.

Untuk jawatan lain (bukan pegawai masjid), pengundian dibuat secara sulit dan keputusan akan diumumkan oleh pihak berkuasa agama daerah.

Ustaz Mohamad Fuad Kamaluddin Al-Maliki, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang juga AJK Syariah Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan yang kini menetap dan mengajar di Taman Tun Abdul Razak, merupakan calon popular untuk jawatan Nazir menggantikan Jen (B) Tan Sri Abdul Rahman, mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Thursday 29 January 2009

Pemimpin UMNO mula gelabah

Ketegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencegah dan membanteras perbuatan rasuah, terutama rasuah politik, nampaknya membuatkan para pemimpin UMNO di semua peringkat mula gelabah, resah dan ketakutan.



Mereka mula mempersoalkan tindakan SPRM yang diketuai oleh Ketua Pesuruhjayanya Datuk Ahmad Said Hamdan. Bahkan, segelintir penyokong pemuda UMNO berhimpun di perkarangan Menara Dato' Onn malam tadi untuk menyatakan bantahan mereka. Kenapa sampai begitu? Adakah anda menyokong perbuatan rasuah?

Ugutan dan gertakan supaya SPRM tidak mencampuri urusan dalaman UMNO tidak diperdulikan oleh Ahmad Said. Beliau menegaskan bahawa rasuah, dalam apa bentuk sekalipun, adalah tugas dan amanah yang mesti dipikul oleh SPRM. Bak kata orang, ia adalah hak mutlak perundangan SPRM. Atas ketegasan itu, kita harap SPRM akan terus bertindak dan bertindak terhadap perasuah-perasuah dan penerima-penerima rasuah.

Kita juga berharap dan berdoa agar SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan-tekanan politik yang mula kelihatan sekarang.

Seperti kata orang bijak pandai, berani kerana benar dan takut kerana salah. Jika anda tidak mengamalkan rasuah politik untuk mendapat tempat dalam parti atau untuk mendapat habuan termasuk projek, kenapa takut?

Perbuatan atau amalan rasuah politik boleh dikatakan sudah menyular luas ke dalam UMNO, dari peringkat Cawangan, Bahagian hinggalah ke Majlis Tertinggi. Ahli-ahli UMNO juga harus dipersalahkan kerana menerima sogokan.

Ingat, tangan yang menerima adalah lebih keji daripada tangan yang memberi. Jika ahli UMNO menolak sogokan wang ringgit, sesuatu yang agak susah tetapi tidak mustahil dilakukan, maka masalah rasuah politik akan dapat ditangani.

1 Februari adalah Hari Wilayah Persekutuan dan mulai tahun ini, ada penganugerahan bintang dan pingat sempena hari tersebut. Sama-samalah kita lihat berapa ramai orang politik yang mendapat anugerah. Kita ingin tahu sama ada anugerah kepada orang politik itu boleh dilihat sebagai satu ganjaran atau habuan politik.

Bagaimanapun, saya mendapat tahu bahawa tidak ramai orang politik, maksud saya yang bertaraf pemimpin, diberi penghargaan. Ramai tokoh korporat dan pengamal media mendapat perhatian.

Saya difahamkan bahawa tidak kurang daripada 15 orang akan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri termasuk mereka yang kini bergelar Tan Sri.

Antara pengamal media yang bakal menerima anugerah, saya difahami, adalah Azman Ujang (pesara Bernama), Abdul Aziz Ishak (Utusan Melayu) dan Wong Choon Wai (The Star).