Monday 9 November 2009

Isu royalti/wang ihsan ke mahkamah?

Sama ada ia dirujuk sebagai royalti minyak, wang ihsan ataupun sedekah (seperti yang didakwa oleh ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa), ia sekali lagi menjadi satu persoalan yang dipertikaikan antara sebuah kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan.

Jika pada tahun 2001, Kerajaan Negeri Terengganu yang diterajui PAS menyaman Petronas dan Kerajaan Persekutuan berkaitan isu yang sama, kini Kerajaan Negeri Kelantan berkemungkinan besar akan mengambil tindakan yang sama.

Walau bagaimanapun, kes saman yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu, jika tidak silap saya, telah ditarik balik oleh Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional yang ada sekarang.

Saya percaya sekiranya kes itu tidak ditarik balik dan pihak Mahkamah membuat penghakiman, mungkin ia boleh dijadikan rujukan dan episod mana-mana kerajaan negeri nak saman Petronas ataupun Kerajaan Persekutuan mungkin tidak berulang.

Setahu saya, perkataan "royalti" minyak tidak terdapat dalam perjanjian antara Petronas dan kerajaan-kerajaan negeri. Begitu juga dengan perkataan "wang ihsan" yang diguna pakai apabila Kerajaan Persekutuan "membeku" pemberian wang berkenaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu selepas PAS berkuasa.

Mengikut Petroleum Development Act, 1974 (Akta Kemajuan Petroleum, 1974) bayaran kepada mana-mana kerajaan negeri disebut sebagai "cash payment" atau bayaran tunai, bukan royalti, wang ihsan atau seperti yang disebut oleh Husam Musa, sedekah.

Bayaran itu sepatutnya dibuat jika sumber minyak diperolehi di dalam (daratan) atau berhampiran pantai sesebuah negeri dan bukan di luar pantai atau pelantar benua negara. Minyak yang diperolehi di Laut China Selatan adalah di luar kawasan perairan Terengganu.

Dalam kes Kelantan, kedudukan yang serupa iaitu sumber minyak diperolehi dalam kawasan pelantar benua negara dan di luar kawasan perairan negeri.

Akta Kemajuan Petroleum dengan jelas menyebut bahawa bayaran tunai akan dibuat sekiranya minyak diperolehi di daratan atau di kawasan perairan negeri, iaitu tidak melebihi tiga batu nautika dari pantai.

Oleh itu, seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak, Kerajaan Terengganu tidak berhak mendapat bayaran tunai kerana minyak yang diperolehi adalah di luar kawasan perairan negeri. Begitu juga dengan Kerajaan Negeri Kelantan kerana sumber minyak diperolehi di luar perairan negeri itu.

Tetapi, atas sesuatu pertimbangan, Kerajaan Persekutuan membayar wang tunai (yang disebut secara meluas sebagai royalti minyak) kepada Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan BN. Dalam tempoh 1978 hingga Mac 2000, Petronas membayar sejumlah RM7,129,413,373.00 kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan PAS mengambil alih pemerintahan Negeri Terengganu, Kementerian Kewangan mengeluarkan satu kenyataan media, iaitu pada 5 September 2000, berkaitan cadangan pemberian "wang ihsan" dan ia disusuli dengan sepucuk surat bertarikh 7 September 2000 yang memaklumkan secara rasmi kepada Kerajaan Negeri Terengganu bahawa Kerajaan Persekutuan akan mengagihkan "wang ihsan" kepada negeri itu.

Seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib, Kerajaan Persekutuan akan membayar "wang ihsan" kepada Negeri Kelantan melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan dan bantuan kepada rakyat negeri itu setelah berunding dengan Kerajaan Negeri. Ini bermakna Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan menerima apa-apa bayaran tunai secara langsung tetapi seperti yang di laung-laungkan oleh pentadbiran Najib, rakyat di dahulukan.

Pengumuman PM itu mendapat reaksi yang berbeza termasuk ungkapan "sedekah" oleh Husam Musa dan rasa kurang senang di satu pihak dan gembira di pihak yang lain. Walau apa pun, kita tidak ingin melihat pengagihan "wang ihsan" itu di seleweng, disalahguna untuk tujuan politik atau dijadikan "habuan" atau "ganjaran" kepada mana-mana pihak yang menyokong mana-mana parti politik dalam bentuk pemberian kontrak, lesen atau hak tertentu.

Saya percaya isu "wang ihsan" kepada Negeri Kelantan tidak akan selesai begitu mudah tetapi akan berlarutan ke Mahkamah kerana ia membabitkan takrif undang-undang berkaitan perairan negeri dan ungkapan "luar pesisir".

Friday 6 November 2009

"Tauliah" bertentangan dengan Islam? Biar betul!

Pada mulanya saya tidak ingin mengulas mengenai kes mantan Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Muhamad Asri Zainul Abidin yang ditahan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana mengajar agama tanpa tauliah di negeri Selangor. Tetapi, apabila membaca kenyataan Dr Asri yang dibuat dalam temubual ekslusif dengan portal berita dalam talian, Malaysikini, bahawa penggunaan "tauliah" adalah bertentangan dengan ajaran Islam, maka saya rasa perlu untuk mengulas.

Menurut laporan Malaysiakini, Dr Asri menegaskan bahawa dia berkata demikian dengan alasan "hak untuk bercakap diberi oleh Tuhan (Allah)", oleh itu para penceramah agama atau pendakwah tidak boleh disekat dengan mengenakan syarat "tauliah" atau kebenaran untuk berbuat demikian.

Dr Asri juga mendakwa bahawa mereka yang cuba menyekat atau menghalang orang lain daripada menyuarakan pendapat secara bebas adalah mereka yang mempertahankan kepentingan diri, yang takut dan bimbang terhadap ancaman ke atas kedudukan atau kuasa mereka.

Oleh itu, Dr Asri menyifat sistem "tauliah" sebagai tidak "Islamik" dan sistem inilah yang cuba menyekat atau menghalang orang daripada menyuarakan pandangan mereka (mengenai agama).

Dr Asri juga berkata tiada sesiapapun berhak untuk merampas kebebasan yang diberikan oleh Allah kepada orang tertentu untuk menegakkan kebenaran.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin pula dipetik oleh satu lagi portal berita dalam talian, The Malaysian Insider, sebagai berkata bahawa syarat keperluan tauliah untuk menyampaikan ajaran Islam dan berdakwah hendaklah dimansuhkan.

Beliau berkata syarat itu lebih memudaratkan Islam daripada membawa kebaikan. Saya tidak bersetuju dengan pendapat ini.

Zulkifli juga berpendapat bahawa syarat untuk mendapatkan tauliah oleh mana-mana pendakwah Islam sebelum dibenarkan menyampaikan risalah Islam ini adalah satu cara penjajah menyekat kebangkitan umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Berbalik kepada kenyataan Dr Asri, saya agak pelik kenapa selepas menghadapi masalah dengan JAIS baru dia menyatakan bahawa tauliah atau kebenaran daripada pihak berkuasa pentadbir agama sebagai tidak "Islamik" dan menyekat kebebasan bersuara yang diberi oleh Allah?

Sebagai mantan Mufti Perlis, tentu Dr Asri sedar, atau dia sengaja buat-buat tidak tahu, bahawa Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) juga mengenakan syarat yang sama dan Dr Asri sendiri pernah melarang tiga orang ulama Sunni dari Yaman daripada menghadiri majlis ilmu di Perlis.

Antara ulama yang dimaksudkan itu ialah pengetua Darul Mustafa, sebuah institusi pengajian Islam di Tarim, Yaman, iaitu Habib Umar Binhafiz. Bukankah tindakan Dr Asri itu menyekat "hak Habib Umar untuk bercakap" yang diberikan oleh Allah kepadanya?

Darul Mustafa adalah antara institusi pengajian tinggi Islam yang terkenal bukan sahaja di dunia Arab tetapi di seluruh dunia Islam. Dua orang mantan Perdana Menteri Malaysia, YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad dan YABhg. Tun Abdullah Ahmad pernah menziarahi institusi itu dan bertukar-tukar fikiran dengan Habib Umar Binhafiz. Malangnya, apabila Habib Umar datang berdakwah di Malaysia, dia dilarang daripada memberi ceramah di Perlis, iaitu semasa Dr Asri menjadi Mufti.

Negeri Perlis tidak terkecuali daripada mengenakan syarat untuk sesiapa sahaja yang ingin mengadakan ceramah agama dan syarat itu, yang kini nampaknya ditentang oleh Dr Asri sendiri, telah dilaksanakan untuk menyekat pendakwah yang mungkin tidak sehaluan dengan apa yang diamalkan di negeri Perlis.

Di bawah perkara PERMOHONAN KEBENARAN MENGADAKAN CERAMAH di Perlis, JAIPs mensyaratkan:-


1. Setiap ceramah yang akan diadakan perlu mendapat kebenaran JAIPs.

2. Permohonan untuk mendapatkan kebenaran ceramah hendaklah dikemukakan dua (2) minggu sebelum tarikh ceramah hendak diadakan.

3. Setiap penceramah perlu mematuhi syarat-syarat berikut iaitu:

(a) Tidak mengkritik dasar kerajaan/Majlis Agama Islam Negeri Perlis

(b)
Tidak menyentuh mana-mana fahaman politik kepartian

(c) Tidak menyentuh soal-soal khilafah

(d) Tidak menimbulkan perkara-perkara yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

Selain daripada itu, JAIPs juga mensyaratkan bahawa setiap individu yang hendak mengajar agama Islam perlu mendapatkan tauliah mengajar terlebih dahulu daripada Majlis Agama Islam Perlis. Dr Asri kata sistem tauliah tidak Islamik.

Perlis juga menyatakan bahawa untuk mendapat tauliah mengajar, pemohon perlu memberi butir-butir peribadi; salinan sijil-sijil kelulusan dan dokumen berkaitan; dan tempat dan alamat kelas yang akan diadakan.

Kenapa sekarang Dr Asri berkata sistem tauliah itu tidak Islamik?

Menurut kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 Negeri Perlis, sesiapa yang mengajar agama tanpa kebenaran (iaitu tanpa tauliah), boleh dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara enam (6) bulan atau kedua-duanya. Perkara ini dinyatakan dalam Bilangan 29 Seksyen 33 Enakmen berkenaan.

Manakala di bawah ceraian Bilangan 30 Seksyen 34 Enakmen yang sama, sesiapa yang mengajar atau menjalankan sesuatu istiadat yang bertentangan dengan hukum syarak yang diamalkan di negeri Perlis, boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga (3) tahun atau kedua-duanya. (Catatan penulis: Antaranya doa qunut, membaca talqin dan majlis tahlil)

Jadi, peraturan yang ada di Selangor dan di Perlis adalah tidak banyak berbeza dan boleh dikatakan serupa kecuali dari segi hukuman.

Oleh itu, Dr Asri atau sesiapa sahaja yang ingin mengajar ataupun memberi ceramah berkaitan agama Islam di Selangor, mesti mematuhi syarat yang dikenakan oleh pihak yang berwajib. Begitu juga jika sesiapa yang ingin mengajar atau berceramah di Perlis, mesti mendapat kebenaran ataupun tauliah terlebih dahulu.

Syarat atau sistem tauliah tidak boleh dikatakan tidak Islamik atau sistem yang diwarisi daripada penjajah. Sistem sedemikian diamalkan atau dikuatkuasakan di semua negeri, bukan di Selangor sahaja.

Cuma, cara Dr Asri ditahan agak keterlaluan dan kedudukannya sebagai mantan Mufti dan tokoh agama seharusnya dihormati.