Wednesday, 29 December 2010

Tahniah kepada pasukan bolasepak Malaysia, takziah kepada penonton Indonesia

Sekalung tahniah untuk pasukan bolasepak Malaysia atas kecemerlangan memenangi Piala Suzuki, piala rebutan negara-negara ASEAN, buat julung kalinya.

Kemenangan pasukan yang dibarisi pemain-pemain muda itu sudah pasti akan membangkitkan semula semangat dan sokongan rakyat Malaysia kepada pasukan bolasepak negara yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi bahan cemuhan dan kutukan.

Kemenangan yang dicatatkan menerusi perlawanan akhir pusingan kedua di Jakarta malam tadi, walaupun kalah 1-2 tetapi menang dengan agregat 4-2 setelah menang 3-0 pada perlawanan akhir pusingan pertama di Bukit Jalil, disambut dengan pengumuman cuti pada hari Jumaat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak.

Kita tidak lupa mengucap tahniah dan syabas kepada pasukan Indonesia kerana memperlihatkan semangat kesukanan dan persahabatan atas padang permainan. Kedua-dua pasukan bermain bersungguh-sungguh tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Inilah semangat yang seharusnya diperlihatkan dalam mana-mana acara sukan.

Perkara yang sama tidak boleh diucapkan kepada sebilangan besar penonton Indonesia. Sebaliknya kita merakamkan ucapan takziah atas kehilangan semangat kesukanan, persahabatan dan setiakawan ASEAN. Sukan telah dijadikan bahan dan pelantar untuk mengutuk, menghina dan mencemari Jalur Gemilang, bendera kebangsaan Malaysia.

Nama negara Malaysia juga dipermain-mainkan dan dihina dengan sebutan 'malingsia' dalam sepanduk yang dibawa ke dalam stadium. Ke mana hilangnya budi bahasa dan rasa hormat sebagai tuan rumah kepada tetamu menjadi tanda tanya.

Kepada pembaca yang tidak tahu apa ertinya 'maling' dan oleh itu tidak menghiraukannya, termasuk media Malaysia yang membuat liputan perlawanan akhir itu, elok juga diterangkan  maknanya. 'Maling' membawa maksud pencuri dan jika negara kita di sebut sebagai 'malingsia' ia membawa maksud 'negara pencuri'.

Kononnya Malaysia mencuri lagu Terang Bulan untuk dijadikan lagu kebangsaan kita, Negara Ku, kita juga dituduh mencuri rekaan batik dan beberapa jenis tarian, budaya dan makanan  mereka. Oleh itu negara kita dikatakan sebagai sebuah negara yang mencuri banyak benda daripada mereka.

Ketibaan pasukan bolasepak kita di Jakarta juga disambut dengan kata-kata caci-hamun sehingga Rajagobal dan anak-anak buahnya tidak dapat berlatih di stadium  Senayan seperti yang dipersetujui.

Mereka turut membakar Jalur Gemilang dan yang lebih bodoh lagi, mengotori anak patung Upin dan Ipin sebagai tanda penghinaan kepada kita. Alangkah rendahnya pemikiran sedemikian.

Rakyat Malaysia sewajarnya bangga kerana kita tidak berkelakuan biadab seperti itu dan kita tidak sama sekali mengganggu apatah lagi menghina pasukan Indonesia semasa berada di negara bertuah ini. Syabas kepada rakyat Malaysia yang menunjukkan budi pekerti mulia terutama kepada tetamu.

Apa nak dikatakan kerana jika itulah budaya mereka yang berkelakuan bodoh itu, kita akur sahaja. Lagi pun, bukankah kita menerima berjuta babu dan buruh dari Indonesia yang mencari nafkah hidup di Malaysia. Mereka sering berkata bahawa jika pekerja mereka tidak ke sini, Malaysia akan menghadapi masalah. Jawapannya tidak sama sekali. Sebagai sebuah negara yang bertaraf majikan, Malaysia boleh mendapatkan pekerja dari negara lain dan kita tidak bergantung sepenuhnya kepada Indonesia.

Sebagai sebuah negara yang bertaraf  'tuan'  dan bukan pengeksport babu dan buruh kasar, kita memahami akan tahap dan setinggi mana minda mereka yang tidak tahu menghormati tetamu, menghormati lambang dan lagu kebangsaan kita.

Sekali lagi, takziah kepada sebilangan besar penonton di Gelora Bung Karno yang bersikap dan berperangai buruk, kita akui bukan semua tetapi dek setitik nila, rosak susu sebelanga.

Tuesday, 28 December 2010

Cerita rogol perkara serius

Seorang hamba Allah bertanya saya mengenai cerita kononnya seorang menteri merogol pembantu rumahnya. Pembantu itu dikatakan telah dihantar pulang ke Indonesia setelah dibayar ganjaran sewajarnya.

Jawapan saya ringkas. Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam bilik tidur seseorang atau di mana sekalipun.

Kita harus sedar bahawa cerita berkenaan disebar luas dalam alam maya. Ia tidak semestinya betul dan kita sendiri tidak tahu akan kebenarannya melainkan kita sendiri melihatnya.

Rogol bukan perkara kecil. Ia satu kesalahan yang jika disabitkan, akan dikenakan hukuman berat di bawah Kanun Keseksaan.

Jika cerita itu tidak benar, maka sesiapa yang menyebarnya melakukan fitnah. Hukuman fitnah dari sudut Islam adalah sama beratnya seperti hukum berzina.

Oleh itu, berhati-hatilah dalam memperkatakan sesuatu yang seberat rogol kerana jika ianya tidak berlaku, kita sebenarnya menyebar fitnah.


Wednesday, 8 December 2010

Sultan Johor memperlihat kebijaksanaan

Saya kagum dengan pendirian dan kenyataan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, mengenai tengkarah dan perdebatan berhubung apa yang disebut sebagai 'ketuanan Melayu'.

Sultan Ibrahim tepat menyatakan bahawa kata-kata 'ketuanan Melayu' seharusnya diganti dengan 'kedaulatan Melayu' kerana ia bukan membabitkan soal 'tuan' atau 'hamba'.

Benar sekali. Apa guna jadi 'tuan' jika sekadar boneka orang lain. Apa guna jadi 'tuan' jika tidak berdaulat, bermaruah dan berjaya.


Banyak pihak, terutama golongan politik dan NGO 'politik', cepat melenting dan mengeluarkan bermacam-macam kenyataan yang kononnya memperlihatkan ketegasan mereka. Ada yang mengadakan tunjuk perasaan dan ada yang membuat laporan polis.

Ada di antara mereka yang berapi-api mengeluarkan kenyatan sedangkan, pada hakikatnya mereka memperlihatkan kemunafikan perjuangan. Mereka yang dimaksudkan adalah yang menjadi pengerusi, pengarah atau menduduki lembaga pengarah firma dan syarikat milik bukan Melayu, yang menjadi rakan kongsi, sama ada melalui pelaburan sendiri, dilantik sebagai pepatung atau  sebagai 'rakan tidur'. Pada satu pentas tertentu, mereka melaung-laungkan 'ketuanan Melayu' dan pada pentas lain, mereka meraih laba daripada syarikat dan firma bukan Melayu.

Tak guna melaung-laungkan 'ketuanan' jika kita tidak berdaulat.

Melayu yang berdaulat adalah Melayu yang bermaruah, memiliki harga diri yang tinggi, berpendidikan, berjaya dalam apa jua yang diceburi tanpa mengharapkan bantuan atau pertolongan orang lain. Melayu yang berdaulat adalah Melayu yang bukan menjadi boneka atau alat orang lain.


Monday, 6 December 2010

HAPPY NEW HIJRI YEAR 1432

To all Muslims - Happy New Hijri Year 1432.

May it be a blessed year and may the world live together in peace.

RTM oh RTM

Semasa menonton berita 1 tengah hari melalui RTM 1, hari ini, saya tertanya-tanya apa sudah jadi dengan penggunaan bahasa Melayu yang dilaung-laungkan oleh menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Masih segar dalam ingatan betapa RTM khususnya rangkaian televisyennya menyiarkan lagu bersemangat 'Bahasa Jiwa Bangsa' hampir setiap hari sempena satu kempen khusus mengenai penggunaan bahasa kebangsaan, baru-baru ini.

Tetapi, apabila menonton siaran berita berkenaan, saya mendengar sebanyak dua kali sebutan perkataan 'homeless' oleh pelapor dari Dewan Rakyat dan pembaca berita di bilik berita.

Kenapa guna perkatan 'homeless' sedangkan menteri yang bertangungjawab, Datuk Sharizat Abdul Jalil menggunakan perkataan gelandangan, iaitu yang bermaksud orang yang tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap atau tiada rumah tetap.

Ketua Pengarah Penyiaran yang juga seorang wartawan, Datuk Ibrahim Yahya kenalah peka sikit mengenai penggunaan bahasa Melayu atau Bahasa Kebangsaan oleh stesen penyiaran kerajaan. Perkataan bukan berbahasa Melayu hanya boleh diguna apabila tiada perkataan atau istilah dalam bahasa Melayu. Bagi perkataan 'homeless', seperti yang disebut oleh menteri, perkataan dalam bahasa Melayu ada. Jika pihak berkenaan tidak mahu mengguna perkataan gelandangan, apa salahnya jika menggunakan perkataan tiada  tempat tinggal atau tiada rumah, bukan 'homeless'.


Tahniah Datuk G Palanivel

Saya ambil peluang ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk G Palanivel yang dlantik oleh Jawatankuasa Pusat Kongres India Malaysia atau MIC selaku Presiden kelapan parti itu hari ini.

Palanivel adalah anak Pulau Pinang keempat dipilih menerajui sebuah parti politik bertaraf kebangsaan selepas mendiang Tun Dr Lim Chong Eu yang pernah memimpin MCA dan kemudian Gerakan, Tun Abdullah Ahmad yang pernah menerajui UMNO, Tan Sri Koh Tsu Koon yang kini memimpin Gerakan, walaupun dia dilahirkan di Medan, Indonesia tetapi dibesarkan di Pulau Pinang.

Yang lebih istimewa bagi diri saya ialah persahabtan dengan Datuk Palanivel yang lebih mesra dirujuk sebagai Palani, iaitu sejak zaman kanak-kanak sehinggalah sama-sama bertugas di Bernama.

Palani adalah jiran saya di Jalan Kelawai, Georgetown, Pulau Pinang. Walau bagaimanapun kedua-dua rumah keluarga kami sudah tiada kerana memenuhi keperluan pembangunan, kami masih berpeluang mengenang kembali kehidupan pada tahun-tahun 50-an dan 60-an. Rumah keluarga saya bertentangan dengan Jalan Jones dan berhadapan Sekolah Melayu Kelawai, kini menempatkan Menara Yayasan, manakala rumah keluarga Palani di simpang Jalan Kelawai-Lorong Burma.

Semasa berkhidmat dengan Bernama, Palani dan saya bersama-sama seorang lagi rakan, Abdul Rachman Yeop Norodin atau Roger, bertugas serentak sebagai Pengarang Berita atau sekarang disebut Penolong Editor di Meja Berita Dalam Negeri. Semasa berkhidmat selaku Pengarang Berita, Palani mendapat tawaran jawatan Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri S. Samy Velu dan bermulalah kerjaya politiknya dalam MIC.

Palani mengambil alih teraju kepimpinan MIC pada masa dan ketika yang agak mencabar. Beliau bukan sahaja akan menghadapi cabaran 'dalaman' parti tetapi perlu bekerja kuat untuk memulihkan sokongan masyarakat India Malaysia kepada MIC dan Barisan Nasional, satu tugas yang bukan senang. 

Sama ada Palani mampu memulih sokongan kepada MIC hanya akan diketahui apabila menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang diramalkan akan diadakan pertengahan tahun depan.

Kepada Datuk G Palanivel,  selamat menerajui MIC dan semoga saudara mampu membawa kejayaan kerana bukan mudah untuk memimpin sebuah parti yang diterajui sebegitu lama oleh Datuk Seri S. Samy Velu.


 

Sunday, 5 December 2010

Khir Toyo dituduh rasuah

Akhirnya mantan Menteri Besar Selangor, pentadbiran Barisan Nasional, Dr Khir Toyo dihadap ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Kita tunggu dan lihat sama ada tuduhan itu akan disabitkan atau dilepaskan, iaitu dibebaskan, oleh mahkamah.

Tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM kerana berjaya membawa kes ini ke mahkamah. Kini terpulang kepada Pejabat Peguam Negara, iaitu pihak yang diberi kuasa untuk mendakwa, sama ada berjaya atau tidak untuk mensabitkan tuduhan rasuah. Andai kata gagal, SPRM tidak boleh dipersalahkan kerana tugas mereka hanyalah menyiasat dan menyediakan kertas siasatan untuk Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan selanjutnya.

Khir Toyo charged with graft