Monday, 27 June 2011

MPPP jual tanah wakaf manakala MAIPP berpeluk tubuh?

Berita yang mengejutkan Ahad (kelmarin) dari Pulau Pinang menimbulkan tanda tanya bagaimana tanah wakaf yang ditadbir secara amanah oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP)  boleh dijual oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)?

Tanah wakaf di Pulau Pinang, terutamanya di bahagian pulau, adalah hartanah Melayu/Islam yang paling berharga kerana ia adalah satu-satunya warisan bangsa yang masih kekal dalam kawasan bandar raya Georgetown. Jadi, apabila tanah wakaf  dijual kepada pihak ketiga, maka ia amat membimbangkan dan semestinya dipandang serius.

Tanah wakaf yang dimaksudkan terletak dalam kawasan perniagaan strategik di Georgetown, iaitu di Jalan Burma dan hanya sekangkang kera dari Jalan Penang.

Tanah wakaf  Masjid Tengah (foto di bawah) itu dikatakan dijual oleh MPPP kepada pihak ketiga untuk membina bangunan atau premis menjual kereta. Saya dimaklumkan bahawa pihak ketiga yang dimaksudkan itu bukan dari kalangan orang Islam.

Akhbar Mingguan Malaysia mengutip Yang Dipertua Persatuan Kariah-kariah Masjid Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Yusof Latiff sebagai berkata bahawa MPPP mengambil tanah tersebut sekitar tahun 1970-an untuk dijadikan jalan belakang atau back-lane untuk laluan awam.

Sebelum itu, terdapat empat buah rumah atas tanah wakaf berkenaan. Bagaimanapun, Yusof tidak pula menyatakan sama ada pengambilan tanah wakaf oleh MPPP itu mendapat kebenaran atau dipersetujui oleh MAIPP, khususnya Lembaga Wakaf Orang-orang Islam Pulau Pinang.

Jika MAIPP memberi kebenaran atau melulus pengambilan tanah wakaf itu, ia dibuat atas hukum atau Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syariah yang mana satu? Atau adakah MAIPP meminta MPPP menggantikan keluasan tanah wakaf yang diambil itu dengan sebidang tanah yang sama nilainya di tempat lain?

Persoalan-persoalan itu perlu mendapat jawapan MAIPP sebelum lebih banyak tanah wakaf, terutama dalam kawasan bandar raya, diambil dan dijual kepada pihak ketiga.

Lembaga Wakaf Orang-Orang Islam Pulau Pinang yang diwujudkan menerusi sebuah ordinan perlu bertanggungjawab. Saya tidak tahu sama ada Lembaga ini masih wujud memandangkan sebuah jabatan khas bernama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji telah diwujudkan.

Walau apapun, Lembaga Wakaf mahupun Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji tidak boleh berdiam diri dan berpeluk tubuh melihat tanah wakaf diambil dan dijual kepada pihak ketiga. Mereka memegang amanah yang amat berat untuk menjaga dan mempertahankan tanah wakaf, sama ada tanah wakaf am, wakaf khas mahupun wakaf-wakaf lain. Amanah itu bukan sahaja dari manusia selaku pentadbir tetapi yang paling tinggi adalah amanah Allah.

Ada pihak yang berkepentingan politik akan cepat mempersalahkan pentadbiran negeri Pulau Pinang yang ada sekarang tetapi kenyataan menunjukkan sebaliknya. Mengikut fakta, tanah wakaf  Masjid Tengah itu diambil oleh MPPP pada tahun 1970-an,  ini bermakna ia berlaku semasa pentadbiran Barisan Nasional.

Apa yang berlaku seterusnya tidak diketahui umum sehinggalah MPPP menjual tanah itu kepada pihak ketiga. Secara logiknya, MPPP boleh menjual tanah itu jika ia adalah tanah miliknya dan bukan milik orang lain. Persoalannya adalah sama ada MPPP membayar ganti rugi atau pampasan kepada MAIPP apabila ia mengambil tanah itu? Jika ianya berlaku, umat Islam sudah tentu ingin tahu sama ada sebuah badan yang diberi amanah untuk mentadbir harta wakaf boleh menjualnya kepada pihak lain?

Umum mengetahui bahawa tanah wakaf lazimnya tidak boleh dijual, dicagar atau digadai. Jadi, bagaimana tanah wakaf yang merupakan sebahagian daripada wakaf Masjid Tengah, Jalan Burma itu boleh berpindah milik kepada pihak ketiga?

Kita bimbang jika ia boleh berlaku ke atas tanah wakaf Masjid Tengah, maka tidak mustahil ia boleh berlaku ke atas tanah-tanah wakaf lain di Pulau Pinang, khususnya yang bernilai tinggi seperti yang banyak terdapat dalam kawasan bandar raya Georgetown.

Oh ya, kenapa Perkasa tidak bersuara? Di mana NGO-NGO yang kononnya memperjuang kepentingan Melayu dan Islam? 

   

Thursday, 23 June 2011

TUDM perlu miliki pesawat AWACS




Isu pencerobohan ruang udara oleh pesawat perang negara jiran semestinya dipandang serius oleh Kerajaan Malaysia. Jika pesawat tentera atau angkatan udara negara asing mampu memasuki ruang udara Malaysia 'sebebasnya', maka ia adalah sesuatu yang mengaibkan. Ia mempersoal kemampuan sistem pertahanan Malaysia untuk menangkis dan mencegah pencerobohan ruang udara negara. Ia membabitkan kedaulatan negara.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah lama memohon peruntukan untuk membeli pesawat AWACS atau Airborne Early-Warning and Control System .


Malangnya, permintaan TUDM tidak dilulus atau mendapat persetujuan kerajaan, kita tidak tahu apa alasannya sedangkan kerajaan sanggup membelanjakan wang rakyat untuk tujuan-tujuan lain termasuk sistem MRT di Lembah Klang. Kita ingin tahu sama ada MRT itu lebih utama dan jauh lebih penting daripada kehendak atau keperluan pertahanan seperti AWACS? 

Kerajaan mesti melengkapi ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera dengan aset-aset canggih dan selari dengan kehendak dan keperluan semasa. Sistem radar yang ada tidak memadai untuk mengawasi ruang udara yang begitu luas merentasi Laut China Selatan dari Semenanjung ke Borneo.

TUDM benar-benar perlu memiliki AWACS untuk meningkat keupayaan, kecekapan dan kemampuan melindungi negara dari ancaman musuh melalui udara. Kerajaan tidak boleh mempersalahkan TUDM jika sesuatu yang tidak diingini berlaku kerana ia gagal melengkapi TUDM dengan aset yang diperlukan.

Menurut laporan, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya enam buah AWACS untuk melengkapi aset pertahanan udara yang canggih. Malaysia memiliki pesawat canggih seperti SU-30MKM, MIG-29N, F/A-18D Hornets, Hawk dan F-5E Tiger dan sistem penangkis pesawat termasuk peluru berpandu. Namun demikian, ia tidak memadai tanpa AWACS.

Di kalangan negara-negara ASEAN, hanya Singapura memiliki AWACS, iaitu jenis Grumman E-2 Hawkeye sebanyak empat buah dan telah menempah pesawat G550 Phalcon dari Israel untuk mempertingkat kawalan dan sistem amaran awal dari udara. Walaupun sebuah negara pulau yang kecil, Singapura sedar akan kepentingan AWACS memandangkan negara itu adalah sebuah ekonomi yang bergantung sepenuhnya kepada perdagangan. Singapura ingin melihat laluan-laluan laut dan udara ke republik itu selamat dan bebas daripada sebarang ancaman. Oleh itu, pengawasan dari udara amat penting.

Apabila pesawat E-2 Hawkeye Singapura lepas landas dari pangkalannya di Paya Lebar,  sistem radarnya mampu meliputi kawasan luas sehingga ke Kuantan, Pahang, sesuatu yang tidak mampu diliputi oleh kebanyakan sistem radar daratan. Begitulah pentingnya AWACS untuk mengawasi ruang udara sesebuah negara.

Jiran kita di sebelah utara, Thailand juga telah memesan sekurang-kurangnya 10 AWACS jenis SAAB S-1000 Erieye manakala Indonesia juga berminat untuk memiliki AWACS.

AWACS adalah aset yang amat perlu dimiliki oleh Malaysia dan kerajaan seharusnya memperbetulkan keutamaan keperluan pertahanan dengan meluluskan permohonan TUDM untuk membeli AWACS sama ada yang bersaiz besar seperti E-2 Hawkeye ataupun sederhana seperti Saab S-1000 Erieye.  


Konsep pertahanan menyeluruh yang diamalkan oleh Malaysia semestinya menyeluruh dalam erti kata sebenar dan untuk menjadikannya kenyataan, maka TUDM semestinya memiliki pesawat AWACS.


Monday, 20 June 2011

Pesawat perang Singapura ceroboh ruang udara Malaysia sebanyak 2,508 kali

Memeranjatkan!

Itulah yang dapat dikatakan apabila membaca jawapan bertulis Menteri Pertahanan Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada soalan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat. 

Pesawat perang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) telah menceroboh ruang udara Malaysia sebanyak 2,508 kali sejak tahun 2008. Dalam tahun ini sahaja, iaitu dari Januari hingga Mei, RSAF menceroboh sebanyak 19 kali.

Apa tindakan Angkatan Tentera Malaysia? Kita tidak tahu kerana Zahid hanya menyatakan bahawa Malaysia telah dan sedang menangani pencerobohan tersebut melalui 'bantahan-bantahan diplomatik'. Sekali lagi kita katakan ia amat memalukan negara dan rakyat.

Apakah kemampuan pertahanan udara kita begitu lemah sehingga sebuah negara asing boleh dan terus mencerobohi ruang udara kita tanpa tindakan tegas?

Khairy, yang terkejut dengan pendedahan itu berkata pencerobohan ruang udara Malaysia oleh RSAF melibatkan kedaulatan negara, walaupun ia hanya berlaku sekali.

Beliau mahu Kementerian Pertahanan  memberi penjelasan lanjut memandangkan pihak Singapura jauh lebih tegas dan berwaspada dalam melindungi ruang udara mereka.

Katanya apabila jet-jet pejuang dan helikopter Malaysia mendekati ruang udara Singapura, helikopter perang dan jet pejuang mereka akan lantas ke udara dan siap siaga untuk menangkis jika kita memasuki ruang udara mereka.

Khairy berkata bantahan diplomatik tidak mencukupi walaupun kita melakukannya sejak 2008, ia jelas tidak menyekat atau menghalang RSAF daripada terus mencerobohi ruang udara Malaysia.

Saya ingin tahu sama ada ATM terutama TUDM mempunyai keupayaan atau kelengkapan canggih untuk menagkis serangan udara, jika ianya berlaku, memandangkan kita hanya mampu membuat bantahan diplomatik apabila ruang udara dicerobohi oleh RSAF sebanyak 2,508 kali.

ATM sepatutnya menempatkan kelengkapan menangkis serangan udara termasuk peluru berpandu bumi-ke-udara, jika kita memilikinya, atau sekurang-kurangnya meriam penangkis pesawat di Johor sebagai satu amaran kepada RSAF agar tidak mencerobohi ruang udara Malaysia.

Malaysia tidak boleh selama-lamanya 'beralah' tetapi mesti memperlihatkan ketegasan dan kesungguhan dalam menangani sesuatu isu terutama yang melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

Saya tertarik melihat jawapan Zahid mengenai pencerobohan oleh RSAF; iaitu pada tahun 2008 sebanyak 985 kali, 2009 iaitu paling banyak, 1,286 kali, 2010 sebanyak 218 kali dan 2011 dari Jan-Mei sebanyak 19 kali. Tiada angka yang diberi sebelum itu, mungkin tiada pencerobohan atau mungkin tidak dikesan oleh pihak pertahanan Malaysia.

Hati kecil saya tertanya-tanya sama ada pencerobohan oleh RSAF akan berlaku sekiranya Tun Dr Mahathir masih PM Malaysia. Saya berpendapat Singapura tidak berani untuk mencerobohi ruang udara Malaysia atau jika adapun mungkin jumlahnya terlalu sedikit.

Saya tidak mahu menyatakan bahawa pencerobohan sebegitu banyak berlaku kerana kepimpinan Malaysia tidak tegas atau lemah, walaupun itu satu kemungkinan dan itulah yang mungkin dirumuskan oleh rakyat. 

Oleh itu, pemimpin Malaysia mesti memperlihatkan keberanian dan ketegasan dalam menangani isu keselamatan dan kedaulatan negara terutamanya pencerobohan ruang udara oleh RSAF atau mana-mana pasukan bersenjata asing. Jika perlu lepaskan tembakan amaran sama ada melalui sistem pertahanan udara daratan atau oleh pesawat pejuang, lakukannya demi mempertahan kedaulatan dan keselamatan negara.



Friday, 17 June 2011

Pemilihan AJK Masjid di P Pinang ditangguh atas titah Agong

SPB Yang di-Pertuan Agong menitahkan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menangguhkan proses pemilihan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang dijadualkan minggu depan. 

Baginda bertitah demikian semasa menerima menghadap Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan Yang Dipertua MAIPP Ellias Zakaria di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Jumaat.

MAIPP dijadual melaksanakan pemilihan AJK Masjid bagi penggal 2012-2013 setelah selesai menerima senarai pencalonan daripada hampir semua masjid di seluruh Negeri.

Sebelum ini, Negeri Selangor melaksanakan pemilihan Pengerusi dan AJK Masjid seluruh negeri tanpa bantahan daripada UMNO atau NGO lain. Di Selangor, sebelum pemilihan oleh anak kariah dibuat, satu gerakan pendaftaran dilaksanakan terlebih dahulu untuk memastikan hanya anak kariah yang tinggal dalam sesebuah kariah dan yang berdaftar boleh mengambil bahagian dan menghadiri mesyuarat agung kariah.

Lihat contoh Borang Pendaftaran Anak Kariah Masjid/Surau Seluruh Negeri Selangor.

MAIPP sepatutnya menjalankan pendaftaran anak kariah seperti yang dilakukan oleh Selangor sebelum mengadakan pemilihan Pengerusi dan AJK Masjid. 

Di Pulau Pinang, UMNO dan beberapa badan dan pertubuhan bukan kerajaan yang kebanyakannya diterajui oleh orang UMNO itu sendiri, membantah pelaksanaan proses pemilihan AJK oleh anak-anak kariah tetapi mahukan roses pelantikan diteruskan.

Bantahan oleh UMNO dan NGO yang disokong oleh parti itu dibuat tanpa alasan yang kukuh tetapi semata-mata atas faktor politik. Yang anehnya, secara diam-diam cawangan-cawangan UMNO telah mencalonkan 'orang parti' untuk menduduki sama ada kerusi Pengerusi atau AJK lain. 

Sementara itu, SPB Yang di-Pertuan Agong  menitahkan MAIPP menubuh panel bebas untuk meneliti dan membuat syor atau cadangan mengenai pelantikan AJK Masjid untuk dipersembahkan kepada baginda bagi mendapat perkenan atau  tidak.

Memandangkan panel bebas itu akan mengambil masa untuk menyempurnakan titah perintah baginda, maka AJK Masjid yang ada sekarang diminta meneruskan tugas dan tanggungjawab sehingga Disember 2012.

Secara peribadi, saya menyokong kaedah pemilihan oleh anak kariah daripada pelantikan oleh MAIPP yang sebelum ini dipengaruhi oleh golongan berpengaruh termasuk politik. Tetapi, proses pemilihan hendaklah dilaksana dengan betul seperti yang dilakukan di Negeri Selangor.









Monday, 13 June 2011

Pemilihan AJK Masjid di Pulau Pinang

Keributan yang didalangi oleh pihak tertentu termasuk politik dan media di Pulau Pinang mengenai pemilihan jawatankuasa masjid atau sesebuah kariah oleh anak-anak kariah sebenarnya tidak lebih daripada rasa kurang senang yang berkepentingan politik.

Ianya turut ditiup oleh sentimen politik yang begitu sempit semata-mata kerana pentadbiran Negeri Pulau Pinang diterajui oleh DAP/Pakatan Rakyat.

Keributan yang dibangkitkan itu turut mempengaruhi kepimpinan UMNO termasuk menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal Islam dalam Kabinet, Mej-Jen (B) Jamil Khir Baharom,  pegawai pesara Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia.

Yang agak aneh, perkara yang sama dilaksanakan di Negeri Selangor tahun lepas membabitkan pemilihan AJK semua masjid di seluruh Selangor. Tidak pula timbul bantahan atau keributan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap pemilihan di Selangor.

Di Selangor, sebelum proses 'pilihan raya' untuk AJK masjid dijalankan, pendaftaran anak-anak kariah dilakukan terlebih dahulu dimana borang pendaftaran diedar oleh semua masjid selepas solat Jumaat. Hanya mereka yang berdaftar boleh menghadiri mesyuarat agung kariah dan mengundi. 

Saya sebut 'pilihan raya' kerana proses pemilihan dilaksanakan seperti satu pilihan raya. Anak kariah yang hadir perlu menyemak nama di kaunter yang ditetapkan, umpamanya kaunter A hingga C, atau D hingga F dan seterusnya. Setelah pegawai bertugas mengesahkan nama anak kariah itu wujud, barulah dia dibenar menyertai mesyuarat agung dan diserahkan borang mengundi. Ini adalah pengalaman yang saya lalui dalam kariah Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang.

Proses yang sama tidak dilaksana di Pulau Pinang. Saya diberitahu bahawa seseorang itu layak hadir ke mesyuarat dengan syarat dia mendiami dalam sesebuah kariah sekurang-kurangnya tiga bulan. Dalam hubungan ini, sesiapapun boleh hadir dengan menyatakan yang dia tinggal dalam kawasan kariah sesebuah masjid selama tiga bulan.

Semasa berada di Pulau Pinang baru-baru ini, saya turut ditanya mengenai perkara itu dan hasil daripada perbualan dan cerita yang didengari, ramai yang tidak faham dan tidak tahu tujuan sebenar malah ada yang mendakwa akan berlaku 'rasuah' atau 'politik wang' jika pemilihan itu diadakan.

Mereka  telah dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja atau cuba membangkitkan sentimen perkauman dan anti-pentadbiran negeri. Dalam pada itu, sebuah parti politik Melayu yang kini bertaraf pembangkang di Pulau Pinang, memberi 'arahan' kepada cawangan-cawangan yang berada dalam 'pentadbiran sesebuah kariah' supaya mencalonkan 'orang mereka' sebagai AJK. 

Saya tiada masalah dengan orang politik atau sesiapa sahaja yang ingin menjadi pengerusi atau AJK kariah asalkan mereka benar-benar layak, jujur, ikhlas dan amanah untuk memikul tugas mentadbir Rumah Allah. Mereka harus ingat dan sedar bahawa ia adalah satu amanah yang berat dan perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab bukan sahaja kepada kariah masing-masing, kepada agama tetapi kepada Allah.

Kita juga tidak ingin melihat seorang Nazir atau Pengerusi JK Masjid tidak boleh membaca doa apabila diminta atau menjadi imam kerana dia jahil dalam ilmu agama. Oleh itu pemilihan seseorang nazir hendaklah dibuat berasaskan ilmu agama, bukan berkepentingan politik.

Saya difahamkan bahawa sebanyak 193 daripada 200 kariah masjid di Negeri Pulau Pinang telah selesai mencadang nama AJK masjid masing-masing apabila proses tersebut selesai dijalankan. Semua 193 masjid telah menghantar senarai pencalonan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama bagi Negeri Pulau Pinang.

Umat Islam di Pulau Pinang sepatutnya bangga kerana mereka diberi hak untuk mencadang AJK masjid di kariah masing-masing yang sebelum ini dibuat atas perlantikan MAIPP yang tidak telus dan wujud unsur pilih kasih dan pilih kroni politik.

Hak itu diberi berpandukan Seksyen 104(1)(b) Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan 4(1) Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid, Negeri Pulau Pinang. Oleh itu, ia bukanlah sesuatu yang dilaksana sesuka hati oleh MAIPP.

Tahniah kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang kerana telah melaksanakan pemilihan AJK Masjid. Semoga mereka yang dipilih akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas.