Foto dari agensi berita Reuters menunjukkan ketua pembangkang Anwar Ibrahim sedang ditenangkan oleh anaknya Nurul Izzah ekoran menjadi mangsa tembakan gas pemedih mata oleh polis semasa menyertai demonstrasi jalanan.
Foto kedua yang dipetik dari Malaysiakini menunjukkan ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengepalai demonstrasi jalanan menentang demonstrasi Bersih 2.0. Kumpulan pemuda ini dikenali sebagai Patriot. Khairy kemudian ditangkap polis untuk siasatan.
FOTO DARI THE STAR, MALAYSIAKINI DAN REUTERS
Pasukan Polis Di-Raja Malaysia atau PDRM memperlihatkan kecekapan dan kehandalan mereka menangani apa yang disebut sebagai demonstrasi jalanan atau tunjuk perasaan di jalan-jalan raya Kuala Lumpur. Sejak tengah malam tadi, PDRM mengadakan sekatan jalan di jalan-jalan utama yang menuju ke pusat bandar raya Kuala Lumpur. Tujuannya tidak lain daripada menyekat atau menghalang 'orang yang tidak diingini' daripda memasuki dan berkumpul di tempat-tempat tertentu dalam bandar raya.
Walaupun tindakan PDRM menimbulkan masalah kepada sesetengah pihak yang perlu memasuki pusat bandar raya untuk urusan rasmi dan penting, tidak ada apa yang boleh dilakukan kerana itulah peraturan dan undang-undang yang dilaksanakan oleh PDRM, termasuk mendapat perintah mahkamah.
Jumlah dan bilangan anggota dan kenderaan PDRM yang bersiap siaga di mereta tempat sekitar bandar raya cukup menakjubkan. Semuanya itu kerana PDRM nak jamin keamanan dan ketenteraman awam.
Sehingga tengah hari, hampir 250 orang telah ditangkap dan beberapa buah hotel dimasuki polis atas tujuan menegak keamanan dan mencegah cetusan kacau bilau.
PDRM benar-benar memperlihatkan kecekapan mereka kepada dunia seperti yang dapat ditonton melalui laporan CNN, BBC dan Al-Jazeera. Tahniah.
Adalah diharapkan agar PDRM dapat menunjukkan kecekapan dan kehandalan yang sama hebat untuk menangani jenayah, memerangi rasuah di kalangan anggotanya sendiri, membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah berbahaya dan banyak lagi ancaman ke atas keselamatan negara termasuk yang didalangi oleh pendatang asing tanpa izin.
Rakyat sudah pasti akan lega melihat kecekapan PDRM menjalankan tugas dan amanah secara adil dan saksama.
No comments:
Post a Comment