Kita mengetahui dan memahami akan kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan. Kita sering kali diberitahu bahawa Ramadhan adalah bulan berkat, bulan sabar, penghulu semua bulan dan amalan di dalam bulan ini dilipat gandakan ganjarannya.
Kita juga dimaklumkan bahawa di dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu Lailatul Qadar, bulan Al Quran dan dibuka semua pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan semua syaitan diikat
Itulah yang sering ditekankan oleh tuan-tuan guru dalam ceramah yang disampaikan mengenai Ramadhan.
Kita juga diberitahu mengenai Al-Ittibaa' yang bermaksud mengikuti cara Rasulullah s.a.w. kerana baginda s.a.w adalah manusia yang paling mengetahui cara yang paling tepat dan sempurna bagaimana cara beribadat kepada Allah S.W.T.
Mengikut cara Rasulullah s.a.w. amat penting agar suatu ibadat itu sempurna dan selanjutnya diterima oleh Allah S.W.T. sebagai amal soleh.
Puasa dapat menjadi benteng sehingga dapat menjadi penghalang utama manusia daripada melakukan maksiat dan melawan hawa nafsu duniawi. Orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan ketika menemui Allah kelak di akhirat.
Seorang pendakwah dan ilmuan Islam, Dr Abdullah Yasin dalam buku kecilnya mengenai Puasa Ramadhan berkata sebahagian manusia berpuasa hanya sebagai adat, bukan ibadat. Dia berpuasa hanya ikut-ikutan orang ramai yang telah diwarisinya sejak zaman silam. Mereka berpuasa kerana orang ramai berpuasa.
Katanya yang menjadi pendorong utama kita berpuasa ialah iman kita bahawa Allah telah mewajibkan kita berpuasa dan kita berpuasa semata-mata kerana ihtisab iaitu mendapat ganjaran pahala-Nya. Jika pendorong kita berpuasa hanya adat, bukan kerana iman dan ihtisab, maka kita sebenarnya tidak layak mendapat ganjaran sebagaimana yang telah dijanjikan.
Bagaimana pula cara kita berbuka puasa.... lihat saja betapa hebatnya orang berbelanja di pasar-pasar Ramadhan, di hotel-hotel dan di restoran-restoran mewah. Di situ kita pasti dapat jawapannya.
Kepada umat Islam seluruhnya, sama-samalah kita berdoa agar puasa yang kita lakukan diterima oleh Allah dan mendapat ganjaran setimpal di akhirat.
No comments:
Post a Comment