Monday, 25 July 2011

Pengeboman di Oslo, Barat hampir menuduh 'pengganas' Islam dan Libya

Apabila tercetus berita mengenai pengeboman di Oslo, Norway, semua media Barat  dan saluran berita satelit Aljazeera, mula membuat andaian bahawa pelaku atau pihak yang bertanggungjawab mungkin al-Qaeda, 'pengganas Islam' dan 'Islamis',  kata Editor 'The Muslim News', Ahmed Versi.

Ahmed Versi memberitahu agensi berita IRNA bahawa spekulasi mengenai pelaku turut membuat tuduhan  kononnya Libya pimpinan Muammar Ghaddafi berada di belakang tetapi tidak pula disebut yang 'pelampau berhaluan kanan'  mungkin terlibat.

Akhbar The Muslim News, iaitu akhbar Islam terulung di England yang  mengikuti dan melaporkan mengenai serangan-serangan ke atas Islam atau 'Islamophobic attacks' di Britain, menyamakan apa yang berlaku di Oslo dengan pengeboman di Oklahoma, Amerika Syarikat pada 1995.

Tetapi, apabila didapati bahawa pelaku atau orang yang bertanggungjawab ke atas pengeboman di Oslo dan pembunuhan beramai-ramai di sebuah pulau perkhemahan belia adalah seorang pelampau Kristian berhaluan kanan yang anti-Islam, lain pula nada reaksi. Mereka  amat sukar untuk mempercayai  bahawa seorang warga Norway sanggup melakukannya sedangkan pada hakikatnya hampir semua serangan 'pengganas' di Eropah membabitkan pelaku bukan-Islam.

Ahmed Versi memetik perangkaan dari Pejabat Polis Eropah atau Europol yang menunjukkan orang Islam hanya melakukan satu daripada 498 serangan pengganas di Kesatuan Eropah pada 2006.

'Ia mengingatkan saya akan pengeboman di Oklahoma,  Amerika Syarikat apabila orang Islam dipersalahkan atas kematian 168 orang, termasuk 19 kanak-kanak berumur bawah enam tahun. Pelakunya didapati seorang pelampau Kristian berhaluan kanan,' katanya.

Beliau berkata serangan di Norway dan di tempat-tempat lain di Eropah jelas menunjukkan  hampir semua tindakan pelampau dan pengganas dilakukan oleh bukan Islam.

Saya setuju dengan apa yang dikatakan oleh Ahmed Versi setelah meneliti ulasan atau komen segera Presiden Obama dan pemimpin-pemimpin Eropah termasuk Canselor Jerman, PM Britain, Presiden Perancis dan jurucakap NATO. 

Mereka cuba menuding jari kepada 'pengganas yang ada kaitan dengan al-Qaeda' dengan mengaitkan pembabitan Norway di Afghanistan dan Libya. Mereka cuba membayangkan bahawa serangan itu sebagai 'tindak balas pengganas' terhadap pembabitan Norway itu.

Amerika dan Barat memang cepat untuk mempersalahkan 'pengganas yang ada kaitan dengan al-Qaeda' atau apa yang mereka label sebagai 'Islamis' atau 'radikal Islam'.

Mereka lupa akan rakyat mereka sendiri yang berhaluan kanan, pro-Nazi, pro-Zionis dan anti-Islam yang jauh lebih kejam dan zalim. Mereka terpaksa terima padahnya.


No comments:

Post a Comment