Tuesday, 5 July 2011

DAULAT TUANKU - rakyat menjunjung kasih atas titah tuanku

DAULAT TUANKU, itulah yang dapat diluahkan atas kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah kerana berkat titah baginda perhimpunan atau gerakan jalanan yang bakal diadakan pada 9 Julai ini akan dibatalkan.

Pihak penganjur BERSIH 2.0 yang dikepalai oleh mantan pengerusi Majlis Peguam Datuk S. Ambiga juga akur dengan cadangan Perdana Menteri supaya perhimpunan itu diadakan di stadium, bukan di jalanan.

Kita akur akan hak mereka untuk berbuat demikian tetapi kita lebih mementingkan ketenteraman awam dan keselamatan kerana ada dua pihak lain, iaitu Pemuda UMNO dan Perkasa yang akan turut mengadakan demonstrasi jalanan sebagai tindakan balas. Huru haralah jawabnya.

Selain itu, kita percaya ada pihak lain termasuk anasir-anasir subversif yang akan menangguk di air yang keruh dengan niat jahat untuk membangkitkan kemarahan kaum dan mencetus rusuhan.


Dalam pada itu, PM Najib mesti  pegang pada janjinya yang dibuat dihadapan kakitangan awam Jabatan Perdana Menteri sempena perhimpunan bulanannya semalam.

Antara lain Najib dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berkata - ''Kalau kata nak berkumpul dari pagi sampai malam di stadium, kerajaan tidak mempunyai sebarang halangan, bertempiklah sampai tak larat tapi jangan buat demonstrasi jalanan.'' Itulah yang diucap oleh Najib di hadapan kakitangan JPM.

Penganjur BERSIH 2.0 pun menerima saranan Najib dan mereka bersetuju membatalkan demonstrasi jalanan dan sebaliknya mengadakan perhimpunan di stadium. Inilah yang mereka ikrar di hadapan Seri Paduka Baginda  yang berkenan menerima  tiga wakil penganjur menghadap di Istana Negara hari ini.

Apa reaksi Najib?

Kerajaan sedia temui penganjur BERSIH 2.0 berhubung hasrat mereka nak adakan perhimpunan di stadium, asalkan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan. Syaratnya mereka akan pergi ke stadium dengan aman, adakan perhimpunan secara aman dan akan balik secara aman.

Jika dihalusi ada perbezaan ketara dalam kedua-dua kenyataan Najib itu. Saya tidak ingin mengulas mengenainya kerana yakin pembaca bijak untuk menilainya.
 

No comments:

Post a Comment