Sunday, 3 July 2011

Saya nak pakai baju bersih berwarna kuning, salahkah?

Tak habis-habis cerita berkaitan baju kuning dan bersih. Setiap stesen tv ada saja berita terkini, begitu juga dengan stesen-stesen radio dan tidak ketinggalan surat khabar arus perdana mahupun yang tiada arus.

Kepada mereka yang memihak kepada parti pemerintah, lain ceritanya dengan  mereka yang condong kepada parti-parti pembangkang. Begitu juga dengan media arus perdana dan yang tiada arus.

Seperti biasa, pihak polis segera bertindak menahan, menggari dan memohon perintah reman dari mahkamah semata-mata kerana ada orang, terutama sekali dari puak pembangkang, yang memakai baju berwarna kuning dengan tulisan tertentu, termasuk perkataan BERSIH.

Rampasan demi rampasan dibuat membabitkan kemeja 'T' yang dikatakan menyokong BERSIH, sepanduk, lencana dan macam-macam lagi. 

Saya tidak menyokong mana-mana pihak, tetapi mendapati apa yang sedang berlaku dan bakal dilakukan oleh kedua-dua pihak yang 'bertentangan' hanya akan menjejas imej negara dan mungkin mengakibat sesuatu tindakan ke atas negara yang dicintai.

Dunia sedang memerhati dan mengawasi apa yang sedang dan akan berlaku. Kita tidak boleh menutup mata dunia kerana kita hidup dalam era dunia tanpa sempadan, dunia siber yang membolehkan pihak luar melihat apa yang sedang berlaku di sini dalam sekelip mata sahaja. Sama seperti apa yang kita tontoni melalui kelir tv tentang apa yang berlaku di negara lain - di Mesir, di Libya, di Yaman, di Suria atau Syria, di Afghanistan, di Greece mahupun di Bangkok. Kita tidak boleh menyekatnya walaupun kita 'mengharamkan' kemeja 'T' berwarna kuning yang dikaitkan dengan BERSIH 2.0 dan apa saja 'sekatan' atau 'larangan'.

Hari ini hari Sabtu tanggal 3 Julai dan Sabtu depan adalah tarikh yang dikaitkan dengan protes jalanan BERSIH 2.0. Kita tidak pasti sama ada ia akan berlaku atau pihak pemerintah akan mengambil tindakan drastik dengan mengisytihar darurat untuk mencegah ia daripada berlaku.

Saya ke bandar memakai kemeja 'T' berwarn kuning, kemeja 'T' itu bersih, tidak kotor kerana hanya orang tertentu sahaja yang akan memakai baju atau kemeja 'T' kotor. Semasa di lobi sebuah bank, ada beberapa biji mata yang memerhati mungkin kerana saya memakai kemeja 'T' berwarn kuning. Mungkin mereka sangka ianya ada kaitan dengan BERSIH 2.0. Saya tidak hirau kerana ia bukan satu kesalahan.

Sabtu depan, iaitu pada 9 Julai, saya akan memakai kemeja 'T' berwarna kuning yang sudah tentunya bersih dan tidak kotor. Ia tiada kaitan dengan BERSIH 2.0 dan tiada undang-undang yang melarang saya daripada memakai baju atau apa saja pakaian berwarna kuning, warna yang pada orang Melayu melambangkan warna di-raja.  

Ia bukan satu kesalahan kecuali ada pihak yang melihat sebaliknya, iaitu melanggar undang-undang. Setahu saya, hanya orang yang tidak berpakaian atau yang telanjang bulat, iaitu berbogel, di khalayak ramai yang melakukan kesalahan, itupun kerana kurang siuman.

Bercakap mengenai soal siuman, adalah diharapkan agar semua pihak yang bakal terlibat pada 9 Julai ini akan berfikiran waras, sewaras-warasnya  sebelum melakukan sesuatu. Jauhi sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan tidak siuman.

Plato pernah berkata - ''Berfikir ialah perbualan jiwa dengan diri sendiri. Orang yang tidak berdaya untuk berfikir ialah seorang yang bodoh.''

Jika kita tidak puas hati atau tidak setuju dengan parti yang memerintah, sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri termasuk yang ditadbir oleh parti lawan,  gunakan kuasa untuk mengubahnya melalui peti undi pada PRU ke-13. Kuasa ada di tangan kita, pengundi.

 


 

No comments:

Post a Comment