Kepada penganut agama Hindu, Selamat Menyambut Diwali. To my Hindu friends, Happy Diwali.
Wednesday, 30 October 2013
Tuesday, 29 October 2013
Muhyiddin dah minta maaf, kes tutup!
Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden UMNO/Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meminta ma'af kepada keluarga almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak ekoran kenyataannya yang mengaitkan kenaikan harga gula dan penyakit kencing manis dengan mantan Menteri Besar Kedah itu.
Muhyiddin sedar akan kesilapnnya itu dan adalah diharapkan keluarga almarhum Azizan menerimanya dengan hati yang terbuka dan dalam semangat persaudaraan Islam.
Muhyiddin sedar bahawa sebagai manusia biasa, dia tidak terlepas daripada kesilapan dan dengan itu dia memohon ma'af. Syabas dan tahniah diucapkan kerana tidak ramai pemimpin yang sanggup berbuat demikian kerana ego dan sebagainya.
Kita sedar bahawa dalam mana-mana pilihan raya akan berlaku kata-kata yang menyakiti hati dan perasaan orang lain terutama pihak lawan. Dalam pilihan raya kecil Sungai Limau, Kedah juga berlaku perkara yang sama, oleh kedua-dua pihak (UMNO dan PAS) yang sedang berusaha mendapat sokongan pengundi.
Mereka mungkin lupa akan Sabda Rasulullah S.A.W. seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, iaitu yang bermaksud: "Orang Islam sesama Islam yang lain adalah bersaudara, tidak mengkhianati, membohongi dan membiarkan saudaranya."
Malangnya, perkara sebaliknya sedang berlaku di Sungai Limau. Ia bak melatanya penyakit masyarakat yang turun temurun, iaitu hasad dengki dan benci membenci semata-mata untuk menang.
Mungkin mereka tidak sedar bahawa ada pihak lain yang sedang tertawa melihat apa yang berlaku di kalangan orang Melayu/Islam di negara ini, lebih-lebih lagi apabila menghadapi pilihan raya.
Sunday, 27 October 2013
Muhyiddin Yassin mesti henti kaitkan isu subsidi gula dengan almarhum Tan Sri Azizan
Ramai orang yang sedih, kecewa dan marah dengan tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaitkan penarikan balik subsidi gula dan penyakit kencing manis dengan nama almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak. Ia amat tidak kena dan tidak menghormati seorang insan yang telahpun meninggal dunia. Ada orang yang menyatakan perbuatan itu sebagai 'biadab".
Apakah Muhyiddin, yang kononnya sedang mendekati dan mendalami ajaran Islam, tidak sedar akan baik buruknya perbuatannya itu? Apakah 'penasihat agamanya' tidak menasihatinya sebelum membuka mulut?
Amat tidak kena sama sekali bagi Muhyiddin mengaitkan penarikan balik subsidi gula (yang bermakna gula naik harga) dengan pulangnya ke Rahmatullah almarhum Azizan, yang menghidap penyakit kencing manis. Muhyidin mesti disedarkan yang gula bukan satu-satunya punca penyakit kencing manis.
Jika nak menang pilihan raya kecil Sungai Limau sekalipun, usah kaitkan dengan almarhum mantan Menteri Besar Kedah itu. Sebagai seorang Muslim, kita mesti menghormati orang yang terlebih dahulu pulang ke rahmatullah. Itulah antara perkara yang diajari semasa kita mengikuti pengajian atau pembelajaran agama Islam.
Saya tidak berani nak katakan perbuatan itu sebagai munafik, tetapi nampaknya begitulah kerana berikutan kematian almarhum Azizan, semua pemimpin besar negara memuji dan menyanjung tinggi sikap, pendirian dan prinsip hidup yang dipegang oleh almarhum, PM Najib Tun Razak puji, Muhyiddin puji, Mukhriz Mahathir puji dan Tun Mahathir pun puji. Semunya menghormati almarhum walaupun semasa hayatnya selaku MB Kedah, mereka jarang memujinya.
Timbul tanda tanya sama ada puji-pujian itu ikhlas atau sebaliknya? Jika ikhlas kenapa nak kaitkan kenaikan harga gula dan kencing manis dengan almarhum? Ini yang tak kena dan tak sepatutnya berlaku.
Inilah politik namanya. Orang politik sanggup buat apa saja untuk menang, untuk kepentingan peribadi dan untuk kesenangan dunia tanpa berfikir panjang kesenangan akhirat.
Rezeki murah di Sungai Limau.... tolong,tolong, limau, limau!
Setiap kali berlakunya pilihan raya kecil, maka banyaklah peruntukan yang turun secara kadar segera. Ia bukan perkara baru. Semuanya kerana nak menang. Itu saja.
Sebelum ini, tidak ramai yang tahu di mana letaknya Sungai Limau, apa yang ada di Sungai Limau dan apakah sumbangan perkampungan petani dan nelayan itu kepada ekonomi Kedah Darul Aman.
Orang sering berkata, apabila berlakunya pilihan raya kecil, maka berduyun-duyunlah wakil media berkampung di sana, Timbalan Perdana Menteri sendiri mengepalai kempen yang membuatkan Pak-Pak Menteri dan Timbalan Menteri turut turun padang. Begitulah hebatnya apabila berlaku pilihan raya kecil.
Setakat ini, berjuta-juta ringgit dalam bentuk peruntukan telah diluluskan. Ada pemimpin yang mendakwa ia bukan kerana pilihan raya kecil tetapi sudah ada dalam perancangan. Bohong besar namanya!
RTM pula membuka 'studio mini' di Sungai Limau untuk memberi laporan sama ada secara langsung atau rakaman awal. Apa yang pasti, laporan itu lebih condong kepada 'kempen' untuk parti pemerintah. BERNAMA pula dah pun tulis artikel mengenai kehebatan calon BN. Sungguh menakjubkan!
Mereka mungkin lupa bahawa pilihan raya kecil ini bukan antara 'kerajaan' dengan pihak lain, tetapi antara dua pertubuhan politik. Jadi tidak seharusnya berlaku laporan yang memihak kepada kerajaan. Itulah etika kewartawanan yang seharusnya dipegang dan diamalkan.
Walau apapun, semuanya terpulang kepada kebijaksanaan pengundi Sungai Limau, yang didakwa oleh pemimpin BN dan media rasmi sebagai 'kubu kuat PAS', jika ianya benar sebagai sebuah kubu. Saya kurang setuju kerana kekebalan kubu pada zaman serba canggih ini sudah tidak berkaitan. Dalam muslihat peperanganpun, kubu tidak lagi menjadi benteng pertahanan kerana ada senjata yang mampu menembusi dan memusnahkan kubu.
Yang pasti, pengundi bukan lagi 'pak turut' dan mudah digula-gulakan dengan taburan wang ringgit atau projek-projek pembangunan. Mereka pandai menilai dan berani membuat keputusan sendiri.
Teringat pula saya akan cerita jenaka yang saya dengar beberapa dekad lalu dimana seorang peniaga Cina memasuki kampung sambil melaungkan "tolong, tolong, limau, limau....". Ia membuatkan orang kampung ketakutan kerana menyangka si pelaung meminta tolong kerana ada rimau (harimau). Walaupun takut, mereka memberanikan diri untuk keluar dengan bersenjatakan parang dan cangkul untuk memberi bantuan. Apa yang mereka dapati ialah seorang peniaga Cina yang menjual buah limau dan terong. Oleh kerana 'kepeletan' sebutannya maka ia berbunyi seolah-olah dia meminta pertolongan kerana ada rimau.
Semoga penduduk Sungai Limau tidak akan keliru atau salah dengar dengan apa yang disuarakan oleh mereka yang berkempen untuk meraih undi. Dengar dengan jelas dan pastikan kebenaran sebelum membuat keputusan untuk menyokong atau mengundi calon dan parti yang bertanding.
Selamat Mengundi tetapi jangan sama sekali "membuang undi"...... jika dibuang maka rugilah jawabnya.
Friday, 25 October 2013
Tragedi pembunuhan pegawai bank membuka mata rakyat
Tragedi pembunuhan seorang pegawai bank di Subang Jaya oleh seorang pengawal keselamatan membuka mata rakyat mengenai kelemahan pengawasan dan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang di negara ini. Walaupun kenyataan ini pahit bak hempedu tetapi terpaksa ditelan jua.
Ia membuka mata berkaitan pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah, kewujudan sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu dan kealpaan pihak berkuasa dalam melulus lesen kepada syarikat kawalan keselamatan.
Ekoran daripada perkara tersebut, nyawa seorang pegawai operasi sebuah bank yang juga seorang ibu dan isteri, telah menjadi korban. Wanita yang tidak berdosa itu dibunuh dengan kejam oleh pengawal keselamatan yang memiliki kad pengenalan palsu dan tiada lesen atau kebenaran mengguna senjata api.
Sekiranya pihak berkuasa yang diberi amanah untuk mengeluar lesen dan kebenaran mengguna senjata api telah menjalankan tugas secara cekap dan penuh amanah, perkara sedemikian mungkin tidak berlaku. Namun, nasi sudah menjadi bubur, nyawa seorang rakyat sudahpun melayang.
Apa gunanya pihak berkenaan menggantung atau membatal lesen syarikat keselamatan terbabit itu setelah satu nyawa menjadi korban?
Ramai orang yang sudah tahu bahawa syarikat keselamatan berkenaan dimiliki oleh seorang "orang kuat" UMNO yang juga besan seorang pemimpin negara. Oleh itu, banyak persoalan yang boleh dibangkitkan termasuk soal "kroni" dan pilih kasih dalam pemberian lesen dan kontrak atau tawaran kerja kepada syarikat berkenaan.
Rakyat menantikan apakah tindakan selanjutnya ke atas syarikat dan pemiliknya yang bukan sahaja menggaji seorang yang memiliki kad pengenalan palsu, seorang warga negara asing dan membiarkannya mengguna senjata api.
Antara masalah besar yang dihadapi negara ialah penguatkuasaan undang-undang yang lemah dan ada ketikanya tiada sama sekali. Ini dapat dilihat dalam beberapa insiden yang berlaku termasuk memandu sambil mengguna telefon selular tanpa alat bebas pegang, pelanggaran ordinan lalulintas, pengambilan pekerja asing tanpa permit, warga asing memandu teksi tanpa permit, perbuatan membuang sampah merata-rata tempat dan banyak lagi.
Warga Singapura yang begitu patuh (takut) kepada undang-undang di negara mereka, cukup berani melanggarinya sebaik sahaja memasuki Malaysia. Kenapa? Jawabannya soal penguatkuasaan. Inilah yang sering berlaku di negara ini.
Wednesday, 23 October 2013
Semakin bertambah mereka yang bergelar "datuk"
Tahniah kepada 130 orang yang "berjasa kepada bangsa dan tanah air" kerana diperkenan oleh Sultan Pahang untuk menerima anugerah dan darjah kebesaran yang sama ada bergelar "Datuk Seri" atau "Datuk".
Maka bertambahlah "orang bergelar" dan sudah pasti memeriahkan lagi majlis-majlis keramaian "orang kenamaan" di bumi bertuah ini.
Sekali lagi TAHNIAH!
Saturday, 19 October 2013
Zahid, Shafie dan Hishammuddin Kekal Jawatan Naib Presiden UMNO
Zahid, Shafie dan Hishammuddin Kekal Jawatan Naib Presiden UMNO
Tahniah kepada tiga naib presiden yang terus mendapat kepercayaan ahli parti. Namun begitu, kemenangan Hishammuddin Hussein yang memperolehi sembilan undi melebihi Mukhriz Mahathir (100 dan 91) tidak lah sehebat mana. Tanpa sokongan bahagian-bahagian UMNO Johor, Hisham pasti gagal.
Hisham dilihat sebagai penyandang paling lemah di kalangan ketiga-tiga naib presiden. Pemilihan kali ini mungkin yang terakhir baginya. Selain bergantung kepada UMNO Johor, Hisham juga 'menumpang' kekuatan sepupunya, Najib Tun Razak atas sifat sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Tanpa Najib, anak almarhum Tun Hussein Onn ini mungkin sudah tumbang.
Kepada Mukhriz, anggaplah percubaan pertama anda sebagai satu kemenangan. Jumlah sokongan yang diperolehi daripada 91 bahagian parti bukanlah kecil. Lihat saja undi yang diperolehi dua tokoh veteran, Isa Samad dan Ali Rustam, dan bandingkan dengan undi untuk Mukhriz. Masa depannya dalam gelanggang politik tanah air adalah cerah.
Thursday, 17 October 2013
Pemilihan sayap di UMNO Bahagian Jelutong mencurigakan
Pemilihan peringkat sayap UMNO sudah berlalu. Walaupun pihak tertentu menyatakan tiada unsur 'rasuah politik' atau 'politik wang' dilaporkan berlaku, namun kenyataannya adalah sebaliknya. Politik wang masih berlaku. Selain politik wang, ada pula perbuatan atau tindakan yang tidak sepatutnya berlaku tetapi dilakukan. Umpamanya, melihat anggota perwakilan mengundi atau memberi 'arahan' untuk mengundi calon tertentu.
Foto berikut yang dirakam semasa perwakilan Wanita UMNO Bahagian Jelutong mengadakan pemilihan menunjukkan 'pemantau' yang dilantik ketua bahagian, Abdul Razak, jelas kelihatan melihat dari belakang anggota perwakilan mengundi. Ada maklumat yang menyatakan pemantau turut memberi arahan atau 'tunjuk ajar' untuk mengundi calon tertentu. Perkara serupa berlaku pada pemilihan Pemuda dan Puteri bahagian yang sama. Ibu Pejabat UMNO semestinya menyiasat apa yang berlaku di bahagian Jelutong dan mengambil tindakan sewajarnya jika ia didapati benar. Ketelusan dan integriti UMNO mesti dipertahankan jika pucuk pimpinan parti ingin melihat kelangsungan parti itu.
Sunday, 13 October 2013
"Pilihan Raya" UMNO peringkat sayap tak jejas "penerbangan".
Selesai sudah pemilihan "kaedah baru" untuk ketiga-tiga sayap parti UMNO. Ia tidak boleh dikatakan "lancar" kerana buat pertama kali dijalankan serentak di semua bahagian parti. Cara perwakilan mengundipun lain daripada lazim yang dilakukan.
Setiap yang baru tidak akan terlepas daripada masalah dan kekurangan. Itulah hakikatnya.
Laporan media cetak mengenai perjalanan pemilihan ketua-ketua Pemuda, Wanita dan Puteri peringkat bahagian dan induk jelas menunjukkan ada sedikit sebanyak masalah. Ia boleh diterima dan kita pasti akan diperbaiki.
Kepada ketiga-tiga pemimpin sayap yang menang, sekalung tahniah.
Tumpuan kini beralih kepada pemilihan pemimpin peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi pada 19 Oktober dan yang menjadi tumpuan utama ialah bagi peringkat naib presiden. Mampukah Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Shafie Afdal mempertahankan jawatan? Saya percaya salah seorang daripada mereka, besar kemungkinan Hishamuddin, akan tumbang. Kedudukan Zahid dikatakan kukuh manakala Shafie kuat dibantu oleh kekuatan UMNO Sabah.
Persoalannya, siapa yang bakal dipilih? Adakah Isa Samad, Ali Rustam atau Mukhriz Mahathir? Saya percaya, bukan yakin, Mukhriz akan dipilih.
Wednesday, 9 October 2013
Antara "running dogs" dan anjing yang sedang berlari
Terlebih dahulu saya mohon ma'af kepada para pembaca dan pengikut blog ini kerana agak lama tidak mengemas kini. Saya terima banyak pertanyaan daripada kawan-kawan dan pengikut yang ingin tahu kenapa dan mengapa. Sebenarnya saya sengaja tidak berbuat demikian walaupun banyak isu dan persoalan yang boleh dihurai atau diulas.
Namun begitu, saya terpanggil untuk mengulas mengenai isu "running dogs" yang disebut oleh ketua publisiti Partai Tindakan Demokratik (DAP), YB Tony Pua. Walaupun "running dogs" hanyalah satu peribahasa atau perumpamaan dalam bahasa Inggeris, banyak pihak yang kurang arif membuat andaian dan tanggapan salah. Tidak kurang juga yang membuat laporan polis dan ini mengheret timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Bakri Zinin membuat ulasan untuk menyiasat mengikut undang-undang tertentu.
Saya bukan menyokong tuduhan Tony Pua yang menyatakan bahawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan akhbar Utusan adalah "running dogs of UMNO" tetapi cuba membetulkan andaian dan tanggapan yang salah. Kita tidak seharusnya menterjemah perkataan atau ayat dalam bahasa Inggeris secara langsung kerana maksud dan pengertiannya tidak semestinya sama. Sebagai contoh, "fire" boleh bermaksud api, tembak dan pecat, oleh itu ia tidak boleh diterjemah tanpa memahami maksud dalam sesuatu ayat itu. Begitu juga dengan peribahasa atau perumpamaan yang membabitkan binatang atau benda-benda lain yang tidak bernyawa.
Banyak pihak yang kurang arif telah secara langsung menuduh Tony Pua sebagai menyifatkan ROS dan Utusan sebagai "anjing UMNO" sedangkan ia tidak tepat.
Dalam bahasa yang mudah difahami, peribahasa itu membawa maksud mengikuti atau patuh kepada satu sistem politik atau sanggup berkhidmat dan menjaga hati dan perasaan pihak lain. Ia bukan merujuk kepada pihak yang dituduh itu sebagai anjing tetapi sebagai satu kiasan. Banyak peribahasa dalam semua bahasa yang menjadikan binatang sebagai kiasan dan ini diterima oleh masyarakat.
Dalam bahasa Melayu pun banyak peribahasa, perumpamaan dan simpulan bahasa yang menggunakan binatang sebagai kiasan, umpamanya, anak anjing takkan jadi anak musang jebat, kera sumbang, rusa masuk kampung, anjing menyalak bukit, memberi bunga kepada kera, kalau anjing biasa makan tahi, tak makan hidu ada juga dan banyak lagi. Ia tidak merujuk kepada manusia sebagai binatang tetapi menjadikan binatang sebagai perumpamaan atau bidalan.
Dalam bahasa Inggeris terdapat beberapa kiasan dan peribahasa yang menggunakan binatang, umpamanya "throw someone to the lions; live like fighting-cocks; drive one's pigs to market; get a pig in a poke; go to pigs and whistles; make a pig of oneself; donkey work; as poor as a church mouse" dan banyak lagi.
Saya tidak dapat bayangkan reaksi pihak berkenaan sekiranya Tony Pua guna salah satu peribahasa yang mengandungi perkataan "pig" atau "church", tentu lebih hebat bantahan dan lebih banyak laporan polis dibuat.
Apa yang dimaksudkan oleh Tony Pua apabila merujuk kepada ROS dan Utusan sebagai "running dogs" bukan bermakna dia menyifatkan kedua-duanya sebagai "anjing UMNO". Maksud peribahasa itu dalam bahasa Inggeris adalah: "a servile follower, especially of a political system. One who is willing to serve or please others." Jika kita faham maksud peribahasa itu, maka tidak timbul tanggapan atau andaian yang tidak betul.
Dalam bahasa yang mudah difahami, peribahasa itu membawa maksud mengikuti atau patuh kepada satu sistem politik atau sanggup berkhidmat dan menjaga hati dan perasaan pihak lain. Ia bukan merujuk kepada pihak yang dituduh itu sebagai anjing tetapi sebagai satu kiasan. Banyak peribahasa dalam semua bahasa yang menjadikan binatang sebagai kiasan dan ini diterima oleh masyarakat.
Dalam bahasa Melayu pun banyak peribahasa, perumpamaan dan simpulan bahasa yang menggunakan binatang sebagai kiasan, umpamanya, anak anjing takkan jadi anak musang jebat, kera sumbang, rusa masuk kampung, anjing menyalak bukit, memberi bunga kepada kera, kalau anjing biasa makan tahi, tak makan hidu ada juga dan banyak lagi. Ia tidak merujuk kepada manusia sebagai binatang tetapi menjadikan binatang sebagai perumpamaan atau bidalan.
Dalam bahasa Inggeris terdapat beberapa kiasan dan peribahasa yang menggunakan binatang, umpamanya "throw someone to the lions; live like fighting-cocks; drive one's pigs to market; get a pig in a poke; go to pigs and whistles; make a pig of oneself; donkey work; as poor as a church mouse" dan banyak lagi.
Saya tidak dapat bayangkan reaksi pihak berkenaan sekiranya Tony Pua guna salah satu peribahasa yang mengandungi perkataan "pig" atau "church", tentu lebih hebat bantahan dan lebih banyak laporan polis dibuat.
Apa yang dimaksudkan oleh Tony Pua apabila merujuk kepada ROS dan Utusan sebagai "running dogs" bukan bermakna dia menyifatkan kedua-duanya sebagai "anjing UMNO". Maksud peribahasa itu dalam bahasa Inggeris adalah: "a servile follower, especially of a political system. One who is willing to serve or please others." Jika kita faham maksud peribahasa itu, maka tidak timbul tanggapan atau andaian yang tidak betul.
Subscribe to:
Posts (Atom)