Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Tuesday 25 August 2009

Calon PAS Menang Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir

Kekalahan kali kedua atas nama "anak emas" Tan Sri Muhyiddin Yassin. Laporan ini tidak memerlukan ulasan lanjut. Ianya cukup jelas dan mudah difahami.


BERNAMA - Calon PAS Menang Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir

Shared via AddThis

Monday 10 August 2009

Pemimpin pelapis DAP cabar Islam?

Kebelakangan ini, orang Parti Tindakan Rakyat atau DAP dah mula berani memperkata dan menghina Islam sama ada secara langsung atau sebaliknya. Jika dahulu mereka berbuat secara diam-diam dan berselindung, sekarang nampaknya dah jauh lebih berani.

Perbuatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu dan Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi serta Ketua Pemuda Sosialis DAP Loke Siew Fook agak melampau.

Ronnie terlibat dalam isu penjualan bir di kedai-kedai serbanika 24 jam di Shah Alam dengan menyatakan bahawa bir mengandungi campuran alkohol yang dibenarkan. Oleh itu, dia menentang tindakan pihak berkuasa tempatan merampas bir.

Apakah Ronnie tidak tahu bahawa Islam mengharamkan alkohol dan siapa yan memberi kuasa kepadanya untuk menyatakan sesuatu kandungan alkohol itu dibenarkan? Jika Ronnie boleh campur tangan dalam urusan dan bidang tugas pihak yang berkaitan termasuk JAIS, apa akan jadi jika orang lain turut masuk campur dalam urusan beliau sendiri?

Di Pulau Pinang, Jeff Ooi, seorang yang mengukir nama melalui laman blog, nampaknya mengheret perbalahannya dengan seorang ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang dari Parti KeADILan Rakyat, Mohd Razali Abdullah ke arena yang lebih luas apabila dia menuduh Jamaah Islah Malaysia (JIM) sebagai sebuah pertubuhan pelampau.

Ooi telah menjolok sarang tebuan sehingga ketuanya, Lim Guan Eng mengarahkannya menarik balik kenyataan tersebut.

Ooi kata dia tidak menghina Islam tetapi dia tidak sedar bahawa dengan menuduk JIM sebagai sebuah pertubuhan pelampau, dia telah mengaitkan Islam. JIM adalah sebuah pertubuhan sah yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Ketua Pemuda DAP, Loke Siew Fook pula dikatakan telah menghina Islam melalui tulisan dalam blognya apabila dia membidas tulisan pendakwah dan ahli akademik, Dr Ridhuan Tee Abdullah, seorang berketurunan Cina.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah mengarahkan pihak berwajib menyiasat tulisan Loke dan sekiranya benar dia menghina Islam, tindakan sewajarnya hendaklah diambil.

Tiga peristiwa di atas memperlihatkan pendirian pemimpin pelapis dalam DAP terhadap Islam. Mereka memperlihatkan sikap yang tidak peka terhadap perasaan umat Islam pada keseluruhannya walaupun ada yang berkata mereka tidak menghina Islam.

Dalam hubungan ini, kita ingin tahu pendirian PAS. Apakah PAS akan terus bekerjasama dengan DAP atau akan terus bersekongkol dengan parti itu?

PAS semestinya mempertimbangkan semula kerjasama dengan DAP. Tidak guna PAS berkongsi dalam sebuah pentadbiran yang dianggotai oleh mereka yang secara terang-terangan menyentuh bidang kuasa dan kedudukan Islam itu sendiri.

Apakah PAS sudah lupa akan kata-kata Karpal Singh... 'over my dead body' (langkah mayat saya dulu) jika PAS ingin mewujudkan pentadbiran Islam di Malaysia.

Apakah kerana inginkan kuasa PAS sanggup ketepikan teras perjuangannya?

Saturday 20 June 2009

Silatulrahim menjadi tuntutan perpaduan


Persoalan kerajaan perpaduan atau perpaduan antara UMNO dan PAS masih menjadi tajuk perbincangan dan luahan rasa di mana-mana terutama oleh orang UMNO dan PAS serta orang parti politik lain yang sama ada bimbang, resah dan gelisah atau khuatir dengan kemungkinan UMNO dan PAS akan berpadu tenaga. Isu itu juga turut diikuti oleh orang Melayu/Islam pada keseluruhannya.

Kebimbangan dan kegelisahan itu turut dirasai oleh orang UMNO dan PAS atas beberapa sebab yang hanya mereka ketahui sedangkan ia menjadi tuntutan agama. Pegangan politik yang agak tegar menjadi batu penghalang utama ke arah perpaduan.

Baru-baru ini, sempena sambutan ulang tahun ke-20 Surau Al Muhajirin, Taman Sri Ukay/Hill View, Ampang, pihak penganjur telah menerbitkan satu risalah yang menyentuh mengenai soal perpaduan, iaitu silatulrahim.

Risalah itu memuatkan terjemahan ceramah oleh Al'Allamah Sayyid 'Alawi Ibn Abbas Al Maliki, mantan tenaga pengajar Masjid al Haram dan Madrasah al Falah, Makkah al Mukarramah, yang disampaikan pada hari Jumaat 2/5/1378 H melalui radio Arab Saudi.

Oleh kerana isi kandungan ceramah itu ada kaitan dengan apa yang sedang diperkatakan sekarang, maka saya perturunkannya untuk renungan dan, moga-moga memberi manfaat untuk kita, ummah di Malaysia.

Terdapat dua jenis silatulrahim (hubungan persaudaraan). Silatulrahim yang khusus dan umum.

Silatulrahim yang umum ialah hubungan antara seluruh individu Muslim di serata pelusuk dunia yang diikat dengan pertalian agama Islam. Hubungan keagamaan ini merupakan nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah ke atas orang Islam sehingga mereka menjadi saudara, sebagaimana firman Allah SWT, yang bermaksud:

"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara." (Hujuraat:10)

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: "Maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara." (Ali Imran:103)

Hubungan persaudaraan jenis ini (antara seluruh umat Islam), wajib dihubungkan dan dipupuk dengan kasih sayang, saling menasihati, melakukan keadilan, memberikan peringatan, melaksanakan hak-hak yang wajib ditunaikan dan kemaslahatan, serta mempertahankannya atau melindunginya tidak kira di belakang atau di depannya semampu yang mungkin.

Silatulrahim yang khusus pula ialah hubungan kerabat yang mengikat hubungan antara individu dalam keluarga, seperti ibu bapa, bapa-bapa saudara dan ibu-ibu saudara sama ada sebelah ibu mahupun bapa.

Hubungan ini wajib dihubungkan dengan perkara-perkara yang mengikat hubungan persaudaraan yang umum seperti yang telah disebutkan, di samping kewajipan memberikan nafkah kepada kaum kerabat dan menampung segala kekurangan mereka.

Kesimpulannya, kedua-dua hubungan ini wajib dieratkan dengan menghulurkan kebaikan dan menghindari mereka daripada kejahatan dan keburukan semampu yang mungkin. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"(Kalau kamu tidak mematuhi perintah), maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan - jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silatulrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya. (Setelah diterangkan yang demikian), maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al Quran)?" (Muhammad: 22-24)

Diriwayatkan di dalam Sohihain, daripada Jabir berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silatulrahim."

Maksudnya, orang yang memutuskan silatulrahim tidak masuk syurga bersama orang-orang yang terawal memasuki syurga. Bahkan, dia akan memasukinya lewat mengikut tempoh pembalasannya kerana meninggalkan yang wajib dan melakukan perkara yang diharamkan akibat memutuskan apa yang diperintahkan oleh Allah agar menyambungnya.

Diriwayatkan juga di dalam Sohihain, daripada Abi Hurairah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang suka agar dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silatulrahim."

Maksud 'panjang umur' dalam hadith di atas ialah Allah memberkati umur dan rezekinya. Maka Allah mentaufiqkannya untuk melakukan amal soleh yang tidak mampu dilakukan melainkan orang yang dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya.

Diriwayatkan oleh al Bazzae dengan sanad yang jayyid (baik) daripada Nabi S.A.W., bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang suka Allah memanjangkan umurnya, meluaskan rezekinya dan menjauhkannya daripada Su'al Khatimah, maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dan menyambung silatulrahim."

Daripada al Tabrani dengan sanad Hasan daripada Nabi S.A.W. bersabda: Allah berfirman yang maksudnya: "Aku adalah Allah dan Aku adalah Tuhan Yang Maha Pengasih. Aku telah menjadikan rahim (kasih sayang), Aku menerbitkan namanya dari namaKu. Sesiapa yang menyambungnya, maka dia telah menyambungkan dirinya dengan (kasih sayang)Ku dan sesiapa yang memutuskannya maka dia telah memutuskan (dirinya dengan kasih sayang)Ku."

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah memakmurkan negara bagi suatu kaum dan menambah untuk mereka harta, dan Allah tidak memandang kepadanya (harta benda dunia) semenjak Dia menjadikannya kerana benci terhadapnya." Rasulullah S.A.W. ditanya, "Bagaimanakah itu, wahai Rasulullah?" Sabda Baginda S.A.W, "Dengan silatulrahim yang mereka lakukan."

Diriwayatkan oleh al Bukhari daripada Nabi S.A.W. bersabda: "Bukanlah orang yang menyambung silatulrahim itu dengan membalas persaudaraan yang dihubungkan oleh saudaranya. Tetapi orang yang menghubungkan silatulrahim itu apabila diputuskan hubungan dengannya maka dia menyambungnya."

Apabila seseorang itu menyambung silatulrahim dengannya, lalu dia pun menyambung silatulrahim dengan orang tersebut, maka dia adalah orang yang membalas silatulrahim yang dihubungkan dengannya. Ini bukanlah orang yang menyambung silatulrahim yang sempurna kerana orang yang menyambung silatulrahim yang sempurna ialah orang yang menghubungkan silatulrahim apabila seseoang itu memutuskan hubungan dengannya.

Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sohihnya, bahawa seorang lelaki berkata: "Wahai Rasulullah! Aku mempunyai kaum kerabat yang aku sentiasa menghubungkan silatulrahim dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku juga melakukan kebaikan terhadap mereka tetapi mereka melakukan kejahatan terhadapku. Aku juga berlembut dengan mereka tetapi mereka mengasariku." Rasulullah S.A.W. bersabda, "Sekiranya kamu sepertimana yang kamu katakan, maka kamu seolah-olah memasukkan kepada mereka debu yang panas." (Maksudnya, kebaikan yang dibalas dengan kejahatan seolah-olah menjadi abu panas yang membakar jasad. Maka orang yang memabalas kebaikan secara sedemikian, seolah-olah mengundang bala ke atas dirinya sendiri). Rasulullah S.A.W. bersabda kepadanya, "Sentiasalah pertolongan daripada Allah menyertai kamu selama kamu berterusan berada dalam keadan sedemikian."

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad daripada perawi-perawi yang thiqah (dipercayai), daripada Nabi S.A.W. bersabda: "Sesungguhnya segala amal anak-anak Adam dibentangkan pada hari Khamis dan malam Jumaat; maka tidak diterima amalan orang yang memutuskan silatulrahim."

Diriwayatkan oleh al Tabrani daripada Ibni Mas'ud bahawa Baginda S.A.W. duduk dalam satu kumpulan selepas subuh, lalu bersabda: "Aku menyeru dengan nama Allah orang yang memutuskan silatulrahim supaya bangun dari kumpulan kami ini kerana kami mahu berdoa kepada Tuhan kami. Sesungguhnya pintu-pintu langit tertutup bagi orang yang memutuskan silatulrahim."


Marilah sama-sama kita memohon kepada Allah agar mentaufiqkan kita untuk melakukan apa yang disukai dan diredhaiNya.

Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas penghulu kita Muhammad S.A.W. dan keluarganya serta para sahabatnya.