Malam tadi pendakwah terkenal Dr Zakir Abdul Karim Naik mula diwawancara oleh TV Al-Hijrah yang mencakupi banyak isu dan perkara yang bersangkut-paut dengan umat dan dunia Islam.
Beliau menyentuh dan menjawab semua pertanyaan dengan tegas dan berani tanpa mengaitkan soal politik kepartian tetapi yang berkaitan kepimpinan Islam. Dr Zakir beberapa kali menegaskan yang dia bukan orang politik tetapi seorang pendakwah yang bebas daripada pengaruh politik.
Dalam hubungan yang bersangkutan Malaysia, Dr Zakir hanya menyebut nama mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pertama kali ditemuinya pada satu majlis di Abu Dhabi. Dr Zakir berkata beliau tidak tahu 'siapa' selepas Dr Mahathir, seorang pemimpin Islam yang disifatkannya sebagai bijak, berwawasan dan berpandangan jauh.
Beliau berharap pemimpin Islam selepas Dr Mahathir akan meneruskan apa yang dimulakan oleh mantan PM itu tetapi menambah bahawa beliau secara jujurnya tidak mengenali pemimpin Malaysia selepas Dr Mahathir.
Menjawab pertanyaan mengenai negara majmuk yang majoriti penduduknya beragama Islam, umpamanya 60 peratus Muslim dan selebihnya bukan Islam, Dr Zakir berkata umat Islam mesti bersatu kerana perpecahan hanya akan merugikan mereka.
Sebagai contoh, jika wujud dua 'puak' yang berlawanan pendirian politik, katakan puak "A" dan puak "B" dalam negara berkenaan, maka pihak yang akan menentukan kemenangan mana-mana puak itu ialah 'puak' minoriti yang bukan beragama Islam. Oleh itu, kedua-dua puak Muslim yang bertelagah itu akan berusaha penuh untuk mendapat sokongan puak minoriti dan mereka akan sebolehnya tunaikan apa yang diminta semata-mata untuk meraih sokongan.
Dalam keadaan sebegitu, majoriti rakyat yang beragama Islam pada hakikatnya bergantung kepada sokongan minoriti untuk berkuasa semata-mata kerana umat Islam tidak bersatu. Inilah realiti yang dinyatakan oleh Dr Zakir Naik.
Kenyataan beliau itu, walaupun tidak merujuk kepada mana-mana negara tertentu, jelas membayangkan keadaan di Malaysia. Ia adalah satu kenyataan yang melibatkan dua buah pertubuhan politik Islam terbesar - UMNO dan PAS - yang masing-masing bergantung kepada sokongan puak minoriti untuk menang.