No change for M'sia in global graft index
Kedudukan Malaysia dalam indeks rasuah sedunia masih tidak berubah. SPRM nampaknya mewarisi 'kecekapan' BPR. Canang yang dipukul masih kekal dengan bunyi yang sama walaupun rentaknya diubah sedikit. SPRM sebenarnya BPR yang memakai baju baru, perlu membuktikan bahawa baju baru itu tidak sekadar sesuatu yang menghiasi badan dan menutupi aurat semata-mata.
Tuesday, 26 October 2010
Monday, 25 October 2010
Majlis Ulama UMNO, perlukah?
Malaysia adalah antara negara yang mempunyai banyak 'pihak berkuasa agama Islam' dan boleh dikatakan mengatasi negara-negara Islam yang lain.
Malaysia mempunyai majlis agama dan jabatan agama Islam di setiap negeri dan sebuah jabatan khusus di peringkat persekutuan. Setiap negeri juga mempunyai seorang mufti dan sebuah majlis kebangsaan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan.Malaysia juga mempujnyai sistem Kehakimah Syariah.
Selain itu, Majlis Raja-Raja Melayu juga bertanggungjawab ke atas hal ehwal Islam.
Malaysia juga mempunyai berpuluh badan bukan kerajaan yang berkaitan Islam termasuk badan-badan dakwah, kebajikan dan hal ehwal pengguna seperti PERKIM, ABIM, IKIM, Persatuan Pengguna Islam, dan JIM.
Parti-parti politik tertentu juga mempunyai biro atau bahagian khas yang khusus mengenai hal ehwal Islam seperti biro agama. Pendek kata sudah banyak badan, institusi dan pertubuhan yang berkaitan Islam di Malaysia. Masing-masing mempunyai tugas dan peranan dan tidak menimbulkan sebarang masalah.
Oleh itu, cadangan seorang pembahas dari Perlis, iaitu anak mantan mufti kerajaan negeri, supaya UMNO menubuhkan sebuah majlis ulama adalah tidak perlu sama sekali. UMNO sendiri mempunyai sebuah biro khas mengenai agama Islam dan tidak perlu dibentuk sebuah majlis atau badan lain untuk tujuan yang sama.
Sejak kemasukan apa yang disebut sebagai 'golongan ulama' atau 'ilmuan Islam' yang tidak semestinya 'warak' dalam soal agama walaupun mereka memiliki ijazah doktor falsafah yang tidak semestinya khusus dalam ilmu-ilmu agama, kini timbul pula cadangan penubuhan majlis ulama.
Apakah tujuan sebenar cadangan itu? Adakah mereka tidak mempercayai sistem dan kaedah yang ada termasuk institusi mufti dan biro agama yang sedia wujud dalam UMNO itu sendiri? Atau mungkin golongan minoriti Islam yang tidak mengikuti mazhab Imam Syafie' mempunyai agenda tertentu?
Saturday, 23 October 2010
UMNO dan calon berdaya menang, sejauh mana kemampuan untuk dilaksanakan?
Satu perkara yang agak jelas diperkatakan oleh perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO yang baru selesai ialah soal pemilihan calon pilihan raya yang selama ini disandarkan kepada kepimpinan peringkat bahagian. Ia merujuk kepada calon yang disebut sebagai 'winable' atau dalam bahasa yang senang difahami calon yang berdaya menang.
Ia dibangkitkan oleh presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan disokong oleh beberapa orang pembahas peringkat akar umbi.
Yang jelas, ahli-ahli UMNO sendiri sedar betapa pentingnya pemilihan seseorang calon untuk mewakili parti dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya. Mereka tidak mahu lagi melihat pemilihan calon berkisar di kalangan ketua bahagian, timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian, setiausaha bahagian, ketua wanita bahagian, ketua pemuda bahagian dan ketua puteri bahagian.
Mereka mahu calon yang benar-benar boleh membawa kemenangan atau yang berdaya menang dipilih bertanding asalkan dia adalah ahli UMNO, tak kira sama ada dari bahagian berkenaan atau dari tempat lain. Yang penting ialah calon berkenaan mampu membawa kemenangan.
Jika ini dapat dilaksanakan, maka ia adalah satu perubahan yang sewajarnya dilakukan oleh kepimpinan tertinggi UMNO tetapi saya ragu-ragu akan sokongan kepimpinan di bahagian-bahagian tertentu yang menyimpan cita-cita besar untuk menjadi wakil rakyat. Mereka bersusah payah dan mengeluarkan belanja besar untuk menjadi ketua bahagian dan sudah tentu salah satu sebab ialah untuk bergelar Yang Berhormat.
Hala tuju politik di Malaysia khususnya dalam UMNO lebih menjurus kepada memilih calon di kalangan kepimpinan peringkat bahagian dan sebarang perubahan, walaupun mendapat sokongan oleh Perhimpunan Agung, pasti akan cuba dihalang dan digagalkan oleh pemimpin-pemimpin bahagian yang mengidam untuk menajdi wakil rakyat. Ia bukan satu perubahan yang senang dan mudah dilaksanakan apabila kita sedar akan budaya berpolitik di kalangan pemimpin UMNO.
Tetapi, jika UMNO benar-benar nak berubah dan nak pasti kemenangan, ia mesti dilakukan bermula pada pilihan raya umum akan datang. Datuk Seri Najib mesti tegas dan berani melakukan perubahan tersebut . Ia juga dapat mengurangkan perebutan untuk menjadi ketua bahagian kerana ia bukan satu jaminan untuk menjadi wakil rakyat.
Sebenarnya, pemilihan secara demikian telah dilakukan di negara jiran Singapura sejak zaman pemerintahan Lee Kuan Yew. PAP yang memerintah membentuk sebuah jawatankuasa pemilihan dan penapisan bakal-bakal calon untuk bertanding dalam pilihan raya.
Semasa Kuan Yew menjadi Perdana Menteri, timbalannya Goh Chok Tong mengetuai jawatankuasa itu dan mereka memilih dan menapis bakal calon termasuk dari sektor perniagaan, perbankan dan perkhidmatan awam. Bakal calon ditemu duga dan sekiranya dipilih dan bersetuju untuk menjadi calon, maka dia akan diperkenalkan kepada ranting PAP di kawasan yang dia bakal bertanding. Apabila diperkenalkan, pemimpin peringkat akar umbi tidak membantah dan bekerja kuat untuk memastikan kemenangan calon berkenaan. Inilah semangat kesetiaan kepada parti yang terdapat di kalangan ahli PAP peringkat akar umbi dan ia juga merupakan antara sebab kenapa tidak berlaku perebutan jawatan dalam parti itu.
Apakah pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat sanggup berbuat demikian demi untuk memastikan kemenangan calon mereka pada pilihan raya akan datang? Adakah tidak akan berlaku perbuatan mengkhianati parti apabila tidak dipilih sebagai calon? Apakah tidak akan berlaku perbuatan mensabotaj parti kerana kesetiaan yang rapuh di kalangan ahli parti sendiri?
Datuk Seri Najib menghadapi ujian besar apabila tiba masanya untuk beliau memilih calon yang bakal membawa lambang parti pada pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan 'dalam tempoh beberapa bulan akan datang'.
Friday, 22 October 2010
PUTRAJAYA - ketentuan di tangan rakyat
Saya tertarik mengikuti ucapan berapi-api presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Perhimpunan Agung UMNO. Bagi saya nada ucapan sedemikian tidak boleh dipisahkan dengan perhimpunan parti itu. Semasa Pak Lah berkuasapun wujud ucapan bersemangat walaupun beliau dilihat sebagai seorang yang lemah lembut dan 'gentleman'.
Ucapan membakar semangat juang di kalangan ahli parti adalah perkara biasa setiap kali perhimpunan agung diadakan. Kata-kata yang menyentuh sanubari orang Melayu, khususnya dan bumiputera lain amnya, sudah menjadi darah daging pemimpin UMNO. Datuk Najib tidak terkecuali bahkan dia berjaya membakar semangat ahli parti.
Banyak perkara dibangkitkannya tetapi yang agak mendapat sambutan hangat ialah apabila dia berkata bahawa UMNO akan mempertahankan Putrajaya, iaitu mengekalkan kuasa pentadbiran kerajaan persekutuan. Kata-katanya mendapat sorakan dan tepukan para perwakilan.
Kata-kata tersebut yang boleh dikaitkan dengan ucapan belanjawan yang dibuatnya sebelum itu, memberi gambaran atau isyarat bahawa pilihan raya akan diadakan tahun depan. Belanjawan 2011 yang dikatakan mesra rakyat sebenarnya belanjawan umpan pilihan raya.
Jika UMNO dan BN benar-benar serius nak pertahankan Putrajaya, maka mereka kena berubah, bukan sedikit perubahan tetapi banyak. Sikap pemimpin-pemimpin parti mesti diubah, rebut-merebut kontrak, kekayaan, jawatan dan kedudukan bukan sesuatu yang 'mesra rakyat'. Sikap sombong diri atas kedudukan, kekayaan dan jawatan yang disandang juga tidak 'mesra rakyat' sama seperti tabiat bermain dengan isu perkauman.
UMNO mesti sedar akan hakikat bahawa mereka memerlukan sokongan semua kaum untuk memerintah. Oleh itu mereka tidak boleh bermain isu perkauman jika nak menang pada pilihan raya akan datang. Saya sedar bahawa UMNO, sama seperti MCA dan MIC adalah parti perkauman dan isu itu tidak dapat dipisahkan tetapi apabila menghadapi rakyat, mereka mesti berdiri atas semangat BN yang mewakili semua kaum.
Untuk mempertahankan Putrajaya, UMNO dan BN mesti terlebih dahulu menawan hati rakyat yang layak mengundi. Hanya dengan sokongan rakyat sajalah UMNO dan BN boleh mempertahankan Putrajaya, bukan dengan cara lain.
UMNO dan BN juga harus sedar bahawa pihak lawan, iaitu Pakatan Rakyat (PR) juga mampu menawan Putrajaya jika rakyat menyokong mereka. UMNO dan BN tidak boleh menyekat rakyat daripada menyokong PR jika itulah kehendak majoriti.
Oleh itu, laungan bersemangat Datuk Najib untuk mempertahan Putrajaya tidak bermakna sekiranya rakyat tidak memberi sokongan dan kepimpinan UMNO, terutamanya, harus bertindak mulai sekarang untuk menawan semula hati rakyat, bukan bersikap 'tidak mesra rakyat' dengan kelakuan dan tindakan yang membangkitkan kebencian di kalangan rakyat.
UMNO juga harus bekerja kuat untuk mendapat sokongan golongan muda dan mereka yang disebut sebagai berada di atas pagar kerana golongan inilah yang lazimnya akan membuat penentuan mengenai siapa atau parti mana yang akan menduduki Putrajaya.
Semangat dan kata-kata yang berapi-api sahaja tidak cukup untuk terus kekal di Putrajaya.
Wednesday, 20 October 2010
UMNO SEMESTINYA TELUS DAN TERBUKA KEPADA SEMUA MEDIA
TERKINI - Akhirnya Ibu Pejabat UMNO, hari ini, memberi dua keping pas kepada wartawan Malaysiakini dan beberapa orang wartawan media Internet yang lain untuk membuat liputan.
Hari pertama Perhimpunan Agung UMNO selepas perasmian persidangan tiga sayap parti itu malam tadi oleh Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, memperlihat ketidaktelusnya parti itu terhadap liputan media, sama ada yang disebut sebagai arus perdana, media rasmi, media tradisional mahupun media alternatif atau media dalam talian.
Hari pertama Perhimpunan Agung UMNO selepas perasmian persidangan tiga sayap parti itu malam tadi oleh Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, memperlihat ketidaktelusnya parti itu terhadap liputan media, sama ada yang disebut sebagai arus perdana, media rasmi, media tradisional mahupun media alternatif atau media dalam talian.
Kepimpinan UMNO sering memperkatakan mengenai sikap terbuka dan telus parti itu dan betapa mereka menghormati dan melaksanakan kebebasan media, walaupun kita terima hakikat tiada kebebasan mutlak, seperti yang selalu ditegaskan oleh Presidennya Datuk Seri Muhamad Najib Tun Razak.
Sebagai sebuah parti politik yang berpengalaman dan telah dan sedang menerajui pentadbiran negara, persidangan UMNO sudah tentu mendapat liputan bukan sahaja oleh media dalam negeri tetapi oleh media serantau dan antarabangsa.
Ini lah peluang terbaik bagi UMNO menghebahkan arah tuju perjuangan dan secara tidak langsung arah tuju pentadbiran negara kepada rakyat dan juga warga dunia. Sebab itulah media serantau dan antarabangsa berminat dan merasakan penting untuk membuat liputan.
Melalui persidangan sedemikian juga UMNO dapat membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia mengamalkan kebebasan media dengan membenarkan semua media yang memohon untuk membuat liputan diberi kebenaran berbuat demikian.
Dengan mengamalkan sikap terbuka dan telus, UMNO membolehkan media membuat liputan sebenar tentang apa yang diperbahaskan dan apa yang berlaku dalam persidangan itu. Pihak media pula tidak perlu mendapatkan sebarang maklumat daripada pihak ketiga kecuali agensi-agensi berita yang membuat liputan.
Oleh itu, tindakan pihak UMNO, yang dilaporkan sebagai pegawai dari pejabat Setiausaha Agung UMNO T. Adnan T. Mansor, melarang dan mengusir para wartawan dari media dalam talian, Malaysiakini, daripada menggunakan kemudahan pusat media dan melarang mereka daripada memasuki semua dewan persidangan, amat dikesali.
Pada 5 Oktober, dalam temubual ekslusif dengan Malaysiakini, T Adnan memberi jaminan kepada Malaysiakini bahawa wartawan mereka akan diberi pas media untuk membuat liputan. Apa dah jadi dengan janji tersebut menjadi persoalan kerana manusia dipegang pada janjinya.
UMNO tidak boleh mempersalahkan Malaysiakini sekiranya laporan mereka tersimpang dan tersasar kerana mereka tidak diberi peluang sama seperti media lain untuk membuat liputan. Sikap sedemikian juga boleh merenggangkan hubungan antara media berkenaan dengan UMNO.
UMNO tidak boleh memilih bulu apabila ia berhadapan dengan media kerana peranan media, terutamanya media dalam talian seperti Malaysiakini, tidak kurang pentingnya pada zaman sekarang. UMNO juga harus sedar bahawa generasi muda yang ia cuba dekati, lebih gemar menyusuri laman-laman sesawang media alternatif, blog, Facebook dan Twitter daripada membaca akhbar tradisional.
Pejabat Setiausaha Agung UMNO seharusnya peka akan perkembangan semasa dan mendekati semua bentuk dan jenis media. Ia mesti mesra semua media demi kelangsungan hidup parti itu sendiri.
Monday, 18 October 2010
KOS PEMBINAAN ISTANA NEGARA YANG BARU MENGHAMPIRI SATU BILION RINGGIT
Naik dan terus naik, itulah kos atau harga pembinaan Istana Negara yang baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Maklumat terkini menunjukkan kos keseluruhan istana baru itu mencapai RM935 juta. Jika anda memandu menghala Pencala Link ke arah Sungai Pencala dan Taman Tun Dr Ismail, anda dapat melihat kerja-kerja membina istana yang tersegam tetapi belum siap sepenuhnya itu. Yang pelik, batu yang digunakan bukanlah bata merah tetapi bata simen bercampur pasir. Umum mengetahui bahawa bata merah jauh lebih baik dan bermutu tinggi berbanding bata simen.
Maklumat terkini mengenai pembinaan istana tersebut diberikan oleh Kementerian Kerja Raya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut).
Kos keseluruhan projek tersebut termasuk membina atau menaik taraf beberapa batang jalan yang menuju ke istana tetapi tidak termasuk kos operasi dan pentadbiran. Saya agak jika diambil kira kos berkenaan, mungkin kos keseluruhan mencecah RM1 bilion.Ini tidak termasuk kos "komponen-komponen projek" yang tidak pula diperjelaskan dalam jawapan bertulis itu.
Projek pembinaan istana negara yang baru itu dijangka siap pada Jun tahun depan.
Pembinaan istana negara yang baru itu dianggarkan menelan belanja RM400 juta pada tahun 2006 tetapi kini ia berlipat ganda kepada RM935 juta.
Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Anwar Ibrahim menuduh kerajaan memberi kontrak utama istana negara kepada sebuah syarikat "kroni Umno" yang tidak layak untuk kerja-kerja tersebut.
Thursday, 14 October 2010
Bila rumah dibaling najis, kita juga dipersalahkan, inilah pendirian Anwar Ibrahim
Saya dan majoriti rakyat Malaysia seharusnya membantah dan mengutuk sebarang perbuatan biadab yang keluar daripada lunas-lunas kewarasan manusia yang berakal. Kami tidak dapat menerima perbuatan biadab seperti melontar atau membaling najis ke dalam kawasan Kedutaan di mana-mana sahaja.
Kita juga tidak dapat menerima kutukan kurang ajar ke atas negara yang dicintai seperti menuduh Malaysia adalah negara pencuri atau maling dalam loghat Jawa termasuk mempersenda nama negara kita "Malingsia" dan membakar bendera kebangsaan (Jalur Gemilang), iaitu lambang sesebuah negara yang mesti dihormati.
Sebagai negara yang didiami rakyat yang waras dan sedia bertolak ansur untuk mencari jalan penyelesaian terhadap apa jua masalah dua hala, kita memilih jalan rundingan, bukan persengketaan dan ugutan untuk 'mengganyang' dan 'berperang'. Itu bukan cara kita.
Kita akui bahawa perbuatan biadab yang berlaku dan mungkin akan terus berlaku di negara jiran yang dikatakan 'serumpun' itu, tidak mencerminkan pendirian pemerintah dan majoriti rakyat Indonesia, hati kita tetap terguris dan tercalar.
Pemimpin-pemimpin politik, sama ada di pihak pemerintah ataupun pembangkang, semestinya mempertahankan kedaulatan negara di mana saja, ia bukan soal politik kepartian tetapi soal negara. Kepentingan negara semestinya diutamakan daripada kepentingan-kepentingan lain.
Kita bersyukur kerana hampir semua pemimpin politik yang mewakili semua bangsa dan suku kaum mengutuk perbuatan biadab itu tetapi malangnya, orang yang bergelar 'ketua pembangkang', seorang yang kononnya pejuang Islam dan bermacam lagi, telah mempersalahkan negaranya sendiri semasa berada di negara jiran berkenaan.
Apabila mendengar mengenai perbuatan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang didedahkan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Anifah Aman, saya terus meneliti laporan-laporan akhbar (koran) Indonesia untuk mencari kebenaran. Saya nak pastikan apa yang disebut oleh Anifah Aman bukan satu retorik politik tetapi satu kenyataan yang benar.
Saya sedih apabila membaca laporan dalam akhbar Indonesia. Memang benar, Anwar mempersalahkan sistem yang wujud di negaranya sendiri dan mempersalahkan media Malaysia yang dituduhnya mempunyai kecenderungan membuat tanggapan negatif terhadap Indonesia, media kita membuat laporan atau liputan negatif mengenai apa yang berlaku di Indonesia atau yang membabitkan rakyat Indonesia.
Media Malaysia dan UMNO dipersalahkannya kerana telah berperanan 'mengapi-apikan' keadaan sehingga mengakibat ketegangan dalam hubungan antara dua negara berjiran itu. Saya tidak mahu mengulas mengenai UMNO kerana tidak pasti akan kiebenarannya tetapi apabila menuduh media Malaysia, itu tidak benar. Ia satu pembohongan.
Anwar juga menuduh 'permainan politik' oleh pemimpin-pemimpin elit di Malaysia yang menyebabkan memuncaknya ketegangan dalam hubungan Indonesia-Malaysia. Saya tidak nampak di mana kebenaran berkaitan kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Anwar mencuri peluang untuk memuji dirinya sendiri apabila dia menyatakan kononnya liputan negatif oleh media Malaysia sebagai antara sebab kenapa 'persefahaman dan kemesraan' antara dua negara berjiran itu tidak sekukuh berbanding semasa dia pemimpin pemuda.
Anwar juga mempersalahkan 'politik dalam negeri' di Malaysia sebagai telah mengapi-apikan keadaan sedangkan ia bukan satu kenyataan yang benar.
Anwar Ibrahim, yang merupakan antara masalah dalam 'keretakan' yang sedang berlaku dalam Parti KeAdilan Rakyat (PKR) pimpinan isteriya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, sepetutnya menumpu perhatian dan tenaganya kepada urusan parti, walaupun dia bukanlah pemimpin yang dipilih oleh ahli-ahli parti.
Anwar juga semestinya menumpu kepada perbicaraan berkaitan tuduhan kes jenayah yang sedang dihadapinya kerana ia jauh lebih penting daripada perkara-perkara lain.
Kalaupun nak raih sokongan negara luar, jangan sampai sanggup mempersalahkan negara sendiri atas alasan-alasan yang tidak betul dan benar.
Jikapun sistem atau apa jua yang berkaitan pentadbiran negara yang tidak disukainya, Anwar diberi peluang melalui sistem yang dikritiknya itu untuk mengubahnya, itupun jika dia mendapat sokongan rakyat. Selepas pilihan raya 2008, Anwar belum mendapat sokongan majoriti rakyat untuk memimpin negara dan dia kena terima hakikat itu. Anwar juga harus sedar bahawa pakatan parti-parti alternatif yang diketuainya semakin rapuh dan sedang berpecah. Tumpukan perhatian kepada masalah ini.
Anwar juga mesti terima hakikat bahawa PKR semakin bercelaru sedangkan PAS semakin kuat. Serahkan saja kepimpinan Pakatan Rakyat kepada PAS kerana Anwar sudah hilang taring dan kuku dalam perjuangan politik yang menghampiri garis penamat.
Tuesday, 12 October 2010
Wanita Pertama? di mana mereka?
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menamakan dirinya sebagai 'wanita pertama' Malaysia tentu bangga dengan kehadiran "Wanita Pertama" dunia ke persidangan yang dianjurkannya di Putrajaya selama tiga hari bermula kelmarin.
Datin Seri Rosmah Mansor sudah tentu 'lega' yang persidangan atau sidang kemuncak itu dihadiri oleh isteri ketua-ketua kerajaan atau ketua-ketua negara yang majoritinya dari benua Afrika. Pendek kata, hanya 14 'wanita pertama' daripada sejumlah 192 negara di dunia hadir.
Walaupun demikian, kita rakam ucapan tahniah kepada beliau kerana berjaya menganjurkannya di Malaysia.
Siapa sebenarnya "Wanita Pertama"? iaitu sama ada isteri ketua negara atau isteri ketua kerajaan. Ada beza yang ketara antara keduanya, umpamanya di Malaysia ketua negara adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong manakala ketua kerajaan adalah Perdana Menteri. Oleh itu, gelaran "Wanita Pertama" bagi Malaysia adalah Raja Permaisuri Agong, bukan isteri Perdana Menteri.
Siapa sebenarnya "Wanita Pertama"? iaitu sama ada isteri ketua negara atau isteri ketua kerajaan. Ada beza yang ketara antara keduanya, umpamanya di Malaysia ketua negara adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong manakala ketua kerajaan adalah Perdana Menteri. Oleh itu, gelaran "Wanita Pertama" bagi Malaysia adalah Raja Permaisuri Agong, bukan isteri Perdana Menteri.
Di negara yang mengamalkan sistem pentadbiran presiden eksekutif seperti Amerika Syarikat dimana Presiden adalah ketua negara dan juga ketua kerajaan, maka tidak timbul tentang siapa yang bergelar "Wanita Pertama". Manakala di negara republik lain seperti Singapura, ketua negara adalah Presiden manakala ketua kerajaan adalah Perdana Menteri, maka gelaran "Wanita Pertama" harus dirujuk kepada isteri Presiden.
Kita pendekkan perdebatan mengenai siapa "Wanita Pertama" dan berbalik kepada persidangan anjuran Datin Seri Rosmah.
Kita ingin tahu sama ada ia layak digelar sedemikian sedangkan mereka yang hadir semuanya dari negara-negara sedang membangun atau membangun dan tiada seorangpun dari negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali dan yang lain dari Kesatuan Eropah atau dari gergasi ekonomi Asia seperti China, India, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, dari Australia dan New Zealand, dari negara-negara Islam yang unggul seperti Iran, Pakistan, Turki dan dari negara-negara ASEAN.
Hanya dua negara Asia yang hadir iaitu Laos, satu-satunya negara ASEAN, dan Sri Lanka. Kenapa "Wanita Pertama" dari Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Myanmar tidak hadir?
Dari benua Eropah, hanya Albania, sebuah negara Islam yang dikatakan yang paling mundur di Eropah, hadir manakala dari Amerika Latin termasuk Caribbean hanya Paraguay dan Jamaica. Selebihnya dari Afrika iaitu Congo, Nigeria, Gambia, Ghana, Mali, Mauritius, Mozambique, Sierra Leone dan Seychelles (Lautan Hindi).
Ketakhadiran isteri Presiden Amerika Syarikat dan para isteri ketua-ketua negara/kerajaan Eropah, Asia dan Oceania serta negara-negara Islam menjadi tanda tanya sama ada persidangan yang dianjurkan ini benar-benar berjaya atau sekadar pertemuan para isteri pemimpin negara-negara ketiga, itupun bukan semua.
Gembar-gembur oleh media mengenai persidangan "Wanita Pertama Dunia" di Putrajaya tidak lebih daripada indah khabar daripada rupa, hebat cerita daripada kenyataan.
Sunday, 10 October 2010
Ku Li calon BN di Galas?
Mantan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), dilaporkan menerima tawaran untuk menjadi calon BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas yang ditetapkan pada 4 November depan.
Jika laporan itu benar dan kita yakin ia adalah benar, maka pilihan raya kecil itu bukan sahaja akan menguji kekuatan atau sokongan rakyat kepada Umno tetapi yang lebih jelas kepada Ku Li.
Kepimpinan Umno sedar bahawa keputusan pilihan raya kecil itu akan memberi kesan besar kepada parti itu jika calon mereka menang dan orang yang diyakini mampu membawa kemenangan tidak lain daripada Ku Li.
Harapan besar Umno kepada putera raja yang berpengaruh itu begitu nyata apabila Ku Li dilantik pengarah pilihan raya kecil Galas dan dicadangkan sebagai calon BN oleh Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Cadangan Muhyiddin mendapat sokongan meluas daripada ahli-ahli Umno semua peringikat terutama di Kelantan.
Yang jelas ialah pilihan raya kecil Galas tiba-tiba 'memulihkan' kepercayaan kepimpinan Umno peringkat tertinggi terhadap Ku Li yang mereka lihat sebagai 'duri dalam daging' terutama membabitkan isu tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Jika sebelum ini kepulangan Ku Li dari luar negeri tidak mendapat sambutan mahupun liputan media tetapi apabila tokoh veteran Umno itu pulang dari Eropah tiga hari lepas, beliau disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan serta penyokong masing-masing.
Jarang sekali seorang Anggota Kabinet pergi ke lapangan terbang untuk menyambut kepulangan seorang ketua bahagian parti yang tiada jawatan apapun dalam pentadbiran. Dalam politik apa saja boleh berlaku.
Begitulah hebatnya Ku Li dan begitu tingginya harapan Umno kepadanya untuk memenangi semula kerusi DUN Galas yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum lalu.
Thursday, 7 October 2010
PR Kecil Galas - siapa tukang galas (kandar)?
Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kelantan bagi kerusi Galas akan diadakan pada 4 November, jika ada pertandingan kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
UMNO/BN dahpun melantik YBM Tengku Razaleigh Hamzah selaku Pengarah Pilihan Raya atas sifatnya sebagai pemimpin terunggul di Gua Musang dan wakil rakyatnya yang sekian lama. UMNO percaya pengaruh kuat Ku Li boleh memberi kemenangan kepada BN.
Yang pasti, UMNO yang bersungguh-sungguh ingin menang di Galas walaupun ia tidak akan memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri pimpinan YAB Tuan Guru Nik Aziz. Jika PAS ditakdirkan menang maka akan kekal status quo, kata orang Inggeris.
Tetapi keputusan di Galas kelak dapat memberi sedikit gambaran mengenai sokongan orang Melayu, sekurang-kurangnya di Kelantan, dan memperlihatkan sejauh mana pengaruh Ku Li.
Apakah Ku Li akan mempertaruhkan pendiriannya mengenai royalti minyak yang dituntut oleh kerajaan negeri Kelantan sekiranya perkara itu dijadikan salah satu bahan kempen? Kita tahu bahawa pendirian Ku Li adalah sehaluan dengan kerajaan negeri Kelantan dan sudah tentu berlawanan dengan Kerajaan Persekutuan.
Kedudukan Ku Li semestinya sukar digalas kerana bak kata orang, telan mati emak, ludah mati bapa. Strategi yang diguna oleh UMNO kerana ia mengikat erat tangan Ku Li. Kita masih menunggu tindak balas Ku Li yang dijadual pulang ke tanah air lewat hari ini.
Walau apa pun, ada orang yang pasti menjadi tukang galas pada pilihan raya kecil DUN Galas, Parlimen Gua Musang, Kelantan.
Dalam pada itu, kita masih menunggu bila media arus perdana termasuk media penyiaran nak siar berita orang PAS keluar beramai-ramai untuk menyokong UMNO. Cerita begini cukup popular setiap kali berlaku pilihan raya kecil. Ataupun, mungkin kali ini berita basi seperti itu sudah benar-benar basi kerana rakyat tidak menerimanya sebagai sesuatu yang betul dan benar.
Subscribe to:
Posts (Atom)