Showing posts with label BN. Show all posts
Showing posts with label BN. Show all posts

Thursday 29 March 2012

PRU-13 - Dua Tun hampir senada mengenai kedudukan BN

Saya amat tertarik dengan kenyataan atau jika boleh dikatakan sebagai 'ramalan' mengenai kedudukan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang disebut-sebut akan diadakan seawal Jun tahun ini.

Yang paling menarik ialah kenyataan mantan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang juga dikenali sebagai 'orang kanan' mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, yang meramalkan bahawa BN hanya akan mempertahankan kuasanya di Johor, Melaka dan Pahang. Tun Daim dipetik oleh harian berbahasa Mandarin, Nanyang Siang Pau dan dikutip oleh Malaysiaknini sebagai berkata bahawa BN boleh mencatat kemenangan mudah di tiga buah negeri itu.

Ungkapan 'kemenangan mudah' bermakna BN akan dengan mudah menang. Kita tertanya-tanya pula bagaimana kedudukan atau keberhasilan kempen BN yang sebegitu hebat sekarang di negeri-negeri lain yang  ditadbir oleh gabungan parti-parti politik itu? 

Adakah BN akan menang tetapi bukan secara 'menang mudah' atau akan tumbang? Kita ketepikan dahulu soal kedudukan BN di Pulau Pinang dan Kelantan kerana Tun Daim sendiri mengakui bahawa BN akan kalah di kedua-dua negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat itu.

Saya setuju bahawa Pakatan Rakyat akan terus berkuasa di Kelantan dan Pulau Pinang walaupun kedua-dua negeri itu menjadi sasaran serangan hebat dan bertubi-tubi oleh media yang dikuasai, dikawal atau yang menyokong BN. Ada saja berita dan laporan  negatif yang disebar luas mengenai kedua-dua negeri itu.

Perlu diingatkan bahawa menjelang PRU-12 yang lalu, Tun Daim meramalkan bahawa BN akan tumbang di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor dan ia menjadi kenyataan. Oleh itu, apa yang dibayangkan oleh Tun Daim mengenai PRU-13 tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Ia mungkin dan boleh menjadi kenyataan memandangkan kedudukan PM Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dikatakan semakin popular di kalangan rakyat, disifat pula oleh Tun Daim sebagai "jeneral tanpa askar". Dalam bahasa yang mudah difahami, ia  bermakna jeneral itu akan kalah perang.

Tun Dr Mahathir pula berpendapat adalah sukar untuk meramal keputusan PRU-13 kerana keadaan yang disifatkannya sebagai 'mengelirukan'.

Apa yang mengelirukan hanya Tun Mahathir yang tahu. Tetapi pada umumnya, ia tidak mengelirukan kerana rakyat tidak keliru walaupun pelbagai andaian dibuat oleh pengulas dan penganalisis menara-menara gading yang meninjau dari bilik berhawa dingin  masing-masing. Hampir semuanya memberi ulasan atau kupasan 'akademik' yang pro-BN. Sudah tentu ulasan mereka tidak akan disiarkan jika sebaliknya. Itu cukup jelas.

Tun Mahathir dilapor oleh Bernama sebagai berkata 'bukan mudah untuk BN mendapat dua pertiga majoriti kali ini' dan saya amat bersetuju dengan pendapat itu. Agakan saya BN tidak akan dapat majoriti dua pertiga.   

Kita ketepikan soal Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita teliti apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir iaitu 'pembangkang sekarang bukan seperti dahulu' dan saya ingin menambah bahawa pengundi sekarang pun bukan seperti pengundi dua dekad dahulu. Pengundi sekarang bijak dan tidak mudah dipengaruhi oleh habuan wang ringgit atau kebendaan. Mereka boleh berfikir dan pandai membuat keputusan. Mereka dapat menilai yang mana satu kaca dan yang mana pula intan.

Soal Anwar sememangnya menjadi 'duri dalam daging' kepada BN dan juga Pakatan Rakyat. Ia boleh menjadi 'penawar' dan juga 'racun' dan kedua-dua pihak yang berlawanan akan menjadikan isu Anwar sebagai senjata untuk menang. Yang jelas Anwar bukan calang-calang orang untuk ditumbangkan walaupun dia pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri dan dipenjarakan mengikut Kanun Keseksaan, dia masih tegak berdiri. Namun begitu,  Anwar  bukan 'penentu' kemenangan Pakatan Rakyat, tetapi PAS. 


Tuesday 3 January 2012

Tahun baru, azampun bermacam-macam

Setiap akhir tahun dan sebelum memasuki tahun baru, maka media  pun sibuk merakam apa yang disebut sebagai  azam tahun baru. Bermacam-macam azam disuarakan oleh sama ada mereka yang bergelar artis, ahli sukan, orang politik dan kakitangan sektor awam mahupun swasta.

Luahan atau lontaran azam itu sebenarnya tidak lebih daripada kata-kata yang menyedapkan telinga kerana hampir semuanya dilupakan dan tinggal azam semata-mata. Itulah hakikatnya apabila sesuatu itu diucap atau disuarakan tanpa niat dan usaha untuk mencapainya.

Kita akui bukan semua orang yang melafazkan azam tersebut tidak cuba mencapainya tetapi kebanyakannya hanya meluahkannya apabila ditanya oleh pihak media. Ia hanyalah satu reaksi atau tindak balas yang mahu tidak mahu mesti disuarakan, tidak kira sama ada ia benar-benar azam yang tulen atau sekadar halwa telinga. 

Saya membangkitkan soal azam kerana ia adalah sama dengan apa yang berlaku dan sedang berlaku apabila kita menghampiri pilihan raya, atau menghampiri kemungkinan pilihan raya diadakan dalam tempoh masa terdekat.

Apa yang saya maksudkan ialah laporan atau berita yang saban hari mengisi dada-dada akhbar dan berkemundang  melalui radio dan televisyen, iaitu,  sekumpulan orang yang dikatakan penyokong atau ahli parti politik keluar parti untuk menyokong dan menganggotai parti lain. Lazimnya dari parti-parti lawan ke parti pendokong pemerintahan.        

Bukan sesuatu yang aneh atau pelik apabila berita berkenaan hanya muncul menjelang pilihan raya dan mendapat tempat dalam media arus perdana. Ia seolah-olah sesuatu yang wajib dilaporkan dan satu berita yang bernilai tinggi sedangkan ianya sandiwara politik teramat murah.

Berita mengenai penyokong dan ahli parti yang mendokong pemerintahan bertindak keluar parti untuk memihak kepada parti lawan tidak pula mendapat tempat dalam media arus perdana. Amat jelas media arus perdana tidak mengamalkan kesaksamaan dalam laporan berita walaupun ia bukan satu perkara baru.

Ada pihak yang akan berhujah bahawa media baru dan buletin parti-parti politik pun melaporkan perkara yang sama,  oleh itu apa yang dilakukan oleh media arus perdana tidak boleh dipersoalkan. Jika itulah hujahnya, maka media arus perdana tidak layak sama sekali untuk dirujuk sebagai 'arus perdana' atau 'main stream media.' Media arus perdana seharusnya bersifat 'arus perdana' dengan membuat liputan adil dan saksama tanpa memihak. Media arus perdana tidak boleh disamakan dengan alat 'propaganda' pembangkang yang merupakan 'media politik' yang berkepentingan politik.

Selain laporan keluar parti, media arus perdana dengan tiba-tiba mendapat peluang untuk menemubual penulis blog dan editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin atau RPK. Tiba-tiba RPK menjadi sumber berita penting walaupun dia dikenali sebagai penyokong kuat dan pengkritik kerajaan nombor satu sehingga dia melarikan diri daripada tindakan undang-undang negara. 

RPK jelas telah berpusing bulatan seluas-luasnya dan ia bukan sesuatu yang luar biasa dalam kehidupan manusia yang menjadi buruan pihak berkuasa atau yang melarikan diri daripada tindakan undang-undang. RPK digelar oleh media arus perdana sebagai 'self-exiled' atau orang yang atas pilihan sendiri menjadi orang yang hidup dalam buangan. 

Kehadiran RPK di Singapura dan 'kebenaran' untuk dua pertubuhan media arus perdana menemu bualnya sudah tentu diatur oleh pihak tertentu dengan tujuan dan agenda yang memihak kepada kerajaan.

Saya pasti pertemuan itu tidak akan berlaku tanpa mendapat lampu hijau pihak tertentu dan ia sudah tentu tidak akan mendapat liputan seluas yang kita saksikan jika RPK bercakap sebaliknya, iaitu memburuk-burukkan kerajaan atau PM Najib dan isteri Rosmah Mansor. 

RPK mungkin amat rindu akan kampung halamannya atau dia mungkin menghadapi sesuatu masalah termasuk berkaitan kesihatan yang membuatkannya berpusing sebegitu ligat. Kita tidak tahu apa sebab RPK berbuat demikian tetapi yang jelas ianya dilakukan menjelang pilihan raya. Analisis, jika ia boleh dikatakan sedemikian, RPK mengenai isu semasa termasuk yang berkaitan Anwar Ibrahim sudah tentu dijadikan modal politik Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya. Itu pasti.

Bukan satu kebetulan apabila media arus perdana menemubual RPK pada waktu dan ketika negara menghadapi pilihan raya 'mengejut' dan bukan luar biasa media melaporkan penyokong parti lawan di merata kampung dan tempat yang keluar parti untuk menyokong Umno. 

Laporan sedemikian mungkin diterima dan dipercayai oleh sebilangan kecil rakyat yang melewati usia 50 tahun tetapi susah dan tidak dapat diterima oleh golongan muda yang mempunyai nafsu dan selera berlainan. Inilah yang harus difahami oleh 'panglima  perang' Umno dalam mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya. Bukan mengulang guna strategi lapuk yang hanya akan membawa kemusnahan, bukan kemenangan.

Umno dan BN akan menghadapi ujian sukar pada pilihan raya akan datang jika strategi yang sama dan ketinggalan zaman terus digunakan. Ingat, apa yang 'kerajaan' beri rakyat akan terima, tetapi ia tidak bermakna rakyat menyokong kerajaan. Kalau beri wang sudah tentu orang terima, beri bantuan motosikal roda tiga tentu orang terima, beri bantuan tanam semula tentu orang terima dan berilah apa sahaja orang akan terima. Persoalannya sama ada semua pemberian itu boleh diterjemahkan kepada undi untuk Umno dan BN? 

Rakyat tidak mudah digula-gulakan. Itu yang mesti disedari dan dihalusi.       

    



Monday 4 April 2011

Bukan mudah bagi BN nak tawan semula Pulau Pinang

Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak ke Pulau Pinang dilihat oleh para pendokong Barisan Nasional, BN, sebagai sesuatu yang mampu memulih sokongan rakyat kepada gabungan parti politik yang mentadbir Kerajaan Persekutuan.

Begitu jua dengan gambaran yang diberi oleh semua media arus perdana terutama media elektronik milik kerajaan dan pro-kerajaan. Laporan media arus perdana memberi gambaran yang kononnya lawatan itu membawa semangat dan harapan tinggi kepada rakyat Pulau Pinang untuk kembali menyokong BN.

Najib, atas nasihat para pakar parti dan penasihat politiknya, memilih untuk melawat dan bermesra dengan rakyat di tiga kawasan Parlimen yang tidak diwakili oleh BN, iaitu Balik Pulau, Jelutong, Bukit Bendera dan sebuah kawasan yang dimenangi oleh PKR tetapi wakilnya kini melompat ke kawanan 'bebas' di Dewan Rakyat, iaitu Bayan Baru.

Kehadiran Najib disambut oleh rakyat atau penduduk setempat yang berduyun-duyun sama ada dibawa ke tempat berkenaan oleh parti-parti politik gabungan BN atau yang ingin melihat dari dekat wajah pemimpin gagasan 1 Malaysia yang selama ini mereka melihatnya menerusi kaca atau kelir tv dan di dada-dada akhbar.

Di Bayan Baru, antara atur cara yang disediakan untuk Najib ialah menghadiri satu majlis kebudayaan masyarakat Asia Selatan dan sempena majlis itu, diadakan satu upacara khas penyerahan borang yang melambangkan tindakan keluar parti oleh mereka yang mendakwa sebagai ahli PKR. Mereka dikatakan sudah tidak lagi menyokong PKR dan ingin beralih angin kepada BN.  Upacara sedemikian bukanlah sesuatu yang luar biasa atau ajaib di Malaysia malah ia adalah sesuatu yang sudah basi lebih-lebih lagi apabila menghampiri pilihan raya atau muslihat politik yang cetek. Upacara di Bayan Baru itu mungkin boleh disamakan dengan satu babak sandiwara masyarakat Asia Selatan kerana ia tidak lebih daripada itu, satu sandiwara yang didalangi oleh seorang yang pernah menganggotai MIC, kemudian melompat kepada Gerakan, kemudian kepada PKR dan kini ingin melompat kembali kepada BN, sama ada MIC, Gerakan , PPP ataupun PCM.

Jika sebut saja Bayan Baru maka timbul pula nama seorang politikus yang pernah mengetuai UMNO Bahagian Tanjong, kemudian melompat ke PKR dan kini gah sebagai seorang MP Bebas yang mesra BN. Apakah satu kebetulan upacara yang disebut di atas diadakan di Bayan Baru atau ia satu kebetulan. Hanya Mohamad Zahrain Mohamad Hashim ada jawapannya.

Bercakap mengenai Zahrain yang merupakan penyokong kuat semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim berkedudukan kukuh dalam UMNO dan kerajaan,  memenangi kerusi Bayan Baru  pada PRU 2008 bukan atas kekuatan diri atau kerana dia popular tetapi dek kejutan tsunami politik yang melanda negara ketika itu. Zahrain sendiri tidak menyangka yang dia boleh menang dan merampas kerusi yang disandang oleh wakil MCA itu. Saya percaya jika Zahrain bertanding di kerusi yang sama pada PRU akan datang atas tiket bebas dia pasti kalah dan mungkin hilang wang pertaruhannya.

BN tidak boleh terlalu yakin yang kehadiran Najib atau mana-mana pemimpin besar BN ke Pulau Pinang mampu membawa perubahan kepada pentadbiran negeri. Ia bukan sesuatu yang mudah walaupun UMNO berkedudukan kuat di bahagian tanah besar tetapi ia belum cukup untuk membentuk kerajaan negeri.

UMNO tidak boleh bergantung harap kepada MCA atau Gerakan untuk meraih sokongan masyarakat bukan Melayu terutama Cina. Di bahagian pulau, kekuatan DAP sukar digugat oleh kedua-dua anggota komponen BN itu manakala kekuatan UMNO hanya pada tiga kawasan DUN di Balik Pulau dan Bayan Baru. 

Bagi kerusi Dewan Rakyat di bahagian pulau, BN hanya boleh  mengharapkan kemenangan di Balik Pulau dan mungkin di Bayan Baru, bergantung kepada faktor siapa calon yang dipilih. Bagi kerusi Dewan Rakyat yang kini diwakili DAP iaitu Tanjong, Bukit Gelugor, Jelutong dan Bukit Bendera, BN mempunyai peluang tipis untuk menang.

Pada pilihan raya lepas, UMNO hanya mampu mempertahankan kerusi  Dewan Rakyat di Kepala Batas dan Tasek Gelugor manakala kerusi Nibong Tebal berjaya direbut oleh PKR dan Permatang Pauh kekal di tangan PKR.

Kita percaya pada PRU akan datang, Tun Abdullah Ahmad dan Tan Sri Noor Mohamed Yakcop mungkin tidak akan bertanding untuk mempertahan  Kepala Batas dan Tasek Gelugor dan ini akan memberi kesan kepada peluang UMNO untuk kekal mewakili kedua-dua kawasan undi  itu. Faktor calon memain peranan penting dan UMNO mesti membuat pilihan tepat dengan tidak hanya mencari bakal calon dari kalangan pemimpin peringkat bahagian. 

Berdasarkan perkembangan politik setempat dan semasa, UMNO mesti mencari calon dari kalangan muka-muka baru jika ia ingin mempertahan kerusi DUN dan Dewan Rakyat di bahagian tanah besar atau Seberang Perai.  Semua ADUN yang ada sekarang perlu diganti kerana pengundi tidak lagi memangkah berdasarkan simbol parti politik tetapi melihat siapa calonnya. Pemilihan calon mesti menjangkau jawatankuasa peringkat bahagian kerana amalan memilih calon di kalangan pemimpin bahagian tidak dapat menjamin kemenangan untuk parti.

Di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, kedudukan PKR agak rapuh dan semakin hilang sokongan rakyat berbanding dengan DAP ataupun PAS. Kedudukan PAS jauh lebih kukuh berbanding PKR terutama di kalangan pengundi Melayu. Pengundi bukan Melayu juga semakin mempercayai PAS.

Pada PRU akan datang, PKR mungkin akan hilang sokongan di kalangan pengundi di Pulau Pinang terutama bagi  kawasan-kawasan DUN  majoriti Melayu dalam kawasan undi Dewan Rakyat Bayan Baru dan Balik Pulau.

Yang hampir pasti ialah kemampuan DAP untuk mempertahan dan mungkin menambah kerusi DUN di bahagian pulau dan mengekal kerusi-kerusi Dewan Rakyat. Begitu juga di Seberang Perai, DAP agak sukar dicabar di Bagan dan  Bukit Mertajam serta kerusi-kerusi DUN dalam kedua-dua kawasan undi berkenaan.

Masalah besar yang dihadapi UMNO di Pulau Pinang ialah ketandusan pemimpin berwibawa yang mampu membawa perubahan seperti yang diharapkan oleh orang Melayu. Di kalangan pemimpin politik masyarakat Cina, kepercayaan rakyat harus ditangani  terutama dalam isu-isu yang agak sensitif termasuk apa yang disebut oleh masyarakat Cina sebagai ' kow tow' kepada UMNO. Ia adalah sesuatu yang sukar bagi sama ada MCA ataupun Gerakan dan faktor ini membuatkan kedua-dua parti tidak diyakini oleh masyarakat Cina.

Walaupun Najib, Muhyiddin ataupun pemimpin tertinggi BN yang lain kerap turun ke Pulau Pinang, ia tidak dapat menjamin kemenangan pada pilihan raya akan datang. Bukan mudah bagi BN untuk menawan semula Pulau Pinang. Bukan mudah.

 


Monday 24 January 2011

PRK Tenang - isu berjabat tangan menikam balik BN

Isu calon PAS bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Tenang, Puan Normala Sudirman yang dikatakan berjabat tangan dengan pengundi, terutama kaum lelaki, dengan memakai sarung tangan yang dijadikan bahan kempen oleh BN, telah menikam balik parti itu sendiri.

Isu itu dibangkitkan oleh MCA pimpinan Chua Soi Lek, yang satu ketika dahulu terlibat dalam satu skandal seks, jelas memperlihatkan kebodohan dan kejahilan di kalangan MCA.

Oleh kerana isu itu telah menikam balik BN dan tidak pula menjadi satu masalah kepada pengundi Cina di Tenang, maka panglima perang BN Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa 'memperbetulkan' keadaan dengan meminta jentera BN jangan membangkitkan isu itu lagi.

Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata ia adalah soal peribadi calon PAS dan lebih banyak isu yang jauh lebih penting untuk dibangkitkan, bukan isu berjabat tangan dengan memakai sarung tangan.

Benar sangat. Malangnya, Muhyiddin tidak berani nak sebut sebab sebenar kenapa Puan Normala berbuat demikian. Mungkin Muhyiddin masih kabur dengan hukum-hakam Islam itu sendiri. Apa salahnya jika Muhyiddin bertanya kepada tokoh agama UMNO dalam Kabinet, Mej-Jen (B) Jamil Khir mengenainya.

Muhyiddin sedar bahawa isu itu tidak memihak walau sedikitpun kepada BN dan tinjauan yang dibuat oleh Malaysiakini juga menunjukkan bahawa ia bukan satu masalah kepada pengundi Cina. Pengundi Cina juga tidak bimbang ataupun takut dengan isu negara Islam yang turut dibangkitkan oleh MCA.

Banyak lagi isu yang sepatutnya dihuraikan kepada rakyat terutama soal rasuah dan salahguna kuasa, soal keadilan mahkamah, soal kenaikan harga barang keperluan seharian dan soal keadilan sosial. Isu-isu inilah yang menjadi bualan dan percakapan di mana-mana, bukan soal remeh-temeh seperti yang dibangkitkan oleh MCA.

Kita harap kedua-dua pihak akan berkempen dengan tenang dan berwibawa tanpa membangkitkan isu yang tidak sepatutnya, yang boleh menimbulkan rasa kurang senang dan marah di kalangan pengundi berbilang kaum dan agama di Tenang.

Sunday 16 January 2011

PERCUBAAN NAK TUKAR SUAMI KERANA ISTERI - 'GAGAL"

"Percubaan" Jabatan Pelajaran Johor untuk menukar dalam tempoh 24 jam seorang guru dari Tenang ke Johor Bahru semata-mata kerana dia "gagal mengawal" isterinya, juga mantan guru yang kini calon PAS/Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil DUN Tenang, 30 Januari ini, tidak seharusnya berlaku.

JIka benar seperti apa yang dilaporkan oleh Malaysiakini, lihat 'link' di bawah, maka ia adalah satu kesilapan besar.


Jika perbuatan dan tindakan sedemikian berterusan, jangan salahkan rakyat apabila tidak menyokong BN.

BN mesti peka akan sensitiviti sesuatu isu sebelum bertindak. Tindakan yang diambil oleh Pejabat Pelajaran Daerah menukar Cik Gu Makrof Abd Mutalib semata-mata kerana dia gagal "kawal" isterinya itu, amat memalukan.

Isterinya, Normala Sudirman, mantan guru yang mengajar di Segamat,  telah meletak jawatan untuk bergerak cergas dalam politik.

Kementerian Pelajaran dan Tan Sri Muhyiddin mungkin berkata itu bukan arahan pihak atasan tetapi tindakan "Napolean kecil" atau "Firaun kecil", iaitu Pegawai Pelajaran Daerah atau Pengarah Pelajaran Negeri Johor sahaja. Saya tak percaya yang kedua-dua pegawai berkenaan berani berbuat demikian tanpa arahan dari atas.

Walaupun arahan pertukaran itu ditarik balik, nasi sudah menjadi bubur.

Perkara sedemikianlah yang membuat rakyat marah dan tidak menyokong kerajaan.

Pemimpin yang ada sekarang mesti peka dan ingat akan nasihat Almarhum Tunku Abdul Rahman, iaitu mesti pandai memenangi hati budi rakyat, bukan sebaliknya. Jika ingin terus berkuasa dan mentadbir, hati-hatilah sebelum mengambil apa-apa tindakan yang boleh memudaratkan diri sendiri. Rakyat tidak bodoh dan mudah diperdaya.
 


Attempt to transfer husband for failing to 'control wife'



Friday 22 October 2010

PUTRAJAYA - ketentuan di tangan rakyat

Saya tertarik mengikuti ucapan berapi-api presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Perhimpunan Agung UMNO. Bagi saya nada ucapan sedemikian tidak boleh dipisahkan dengan perhimpunan parti itu. Semasa Pak Lah berkuasapun wujud ucapan bersemangat walaupun beliau dilihat sebagai seorang yang lemah lembut dan 'gentleman'.

Ucapan membakar semangat juang di kalangan ahli parti adalah perkara biasa setiap kali perhimpunan agung diadakan. Kata-kata yang menyentuh sanubari orang Melayu, khususnya dan bumiputera lain amnya, sudah menjadi darah daging pemimpin UMNO. Datuk Najib tidak terkecuali bahkan dia berjaya membakar semangat ahli parti.

Banyak perkara dibangkitkannya tetapi yang agak mendapat sambutan hangat ialah apabila dia berkata bahawa UMNO akan mempertahankan Putrajaya, iaitu mengekalkan kuasa pentadbiran kerajaan persekutuan. Kata-katanya mendapat sorakan dan tepukan para perwakilan.

Kata-kata tersebut yang boleh dikaitkan dengan ucapan belanjawan yang dibuatnya sebelum itu, memberi gambaran atau isyarat bahawa pilihan raya akan diadakan tahun depan. Belanjawan 2011 yang dikatakan mesra rakyat sebenarnya belanjawan umpan pilihan raya.

Jika UMNO dan BN benar-benar serius nak pertahankan Putrajaya, maka mereka kena berubah, bukan sedikit perubahan tetapi banyak. Sikap pemimpin-pemimpin parti mesti diubah, rebut-merebut kontrak, kekayaan, jawatan dan kedudukan bukan sesuatu yang 'mesra rakyat'. Sikap sombong diri atas kedudukan, kekayaan dan jawatan yang disandang juga tidak 'mesra rakyat' sama seperti tabiat bermain dengan isu perkauman.

UMNO mesti sedar akan hakikat bahawa mereka memerlukan sokongan semua kaum untuk memerintah. Oleh itu mereka tidak boleh bermain isu perkauman jika nak menang pada pilihan raya akan datang. Saya sedar bahawa UMNO, sama seperti MCA dan MIC adalah parti perkauman dan isu itu tidak dapat dipisahkan tetapi apabila menghadapi rakyat, mereka mesti berdiri atas semangat BN yang mewakili semua kaum.

Untuk mempertahankan Putrajaya, UMNO dan BN mesti terlebih dahulu menawan hati rakyat yang layak mengundi. Hanya dengan sokongan rakyat sajalah UMNO dan BN boleh mempertahankan Putrajaya, bukan dengan cara lain.

UMNO dan BN juga harus sedar bahawa pihak lawan, iaitu Pakatan Rakyat (PR) juga mampu menawan Putrajaya jika rakyat menyokong mereka. UMNO dan BN tidak boleh menyekat rakyat daripada menyokong PR jika itulah kehendak majoriti.

Oleh itu, laungan bersemangat Datuk Najib untuk mempertahan Putrajaya tidak bermakna sekiranya rakyat tidak memberi sokongan dan kepimpinan UMNO, terutamanya, harus bertindak mulai sekarang untuk menawan semula hati rakyat, bukan bersikap 'tidak mesra rakyat' dengan kelakuan dan tindakan yang membangkitkan kebencian di kalangan rakyat.

UMNO juga harus bekerja kuat untuk mendapat sokongan golongan muda dan mereka yang disebut sebagai berada di atas pagar kerana golongan inilah yang lazimnya akan membuat penentuan mengenai siapa atau parti mana yang akan menduduki Putrajaya.

Semangat dan kata-kata yang berapi-api sahaja tidak cukup untuk terus kekal di Putrajaya.






Sunday 12 September 2010

Suasana Aidil Fitri di Pulau Pinang

Saya tidak pernah tidak pulang ke kampung di Jalan Burma, Georgetown, Pulau Pinang untuk berhari raya bersama-sama keluarga dan saya dapat merasai dan melihat suasana orang Tanjong berhari raya. Masih ada rumah orang Melayu Tanjong yang dihiasi dengan bintang yang diperbuat daripada buluh dan kertas berwarna warni serta bermandikan cahaya lampu pada waktu malam. Hiasan bintang bercahaya itu adalah sesuatu yang unik di Pulau Pinang sebelum penggunaan lampu berkelip-kelip ala-krismas. Namun demikian, hiasan bintang berkenaan semakin kurang mungkin kerana kemahiran untuk membuatnya kian tandus.

Walau apapun, suasana sambutan hari raya tetap meriah terutama di kampung-kampung Melayu dalam dan sekitar bandar raya Georgetown seperti Kampung Makam, Tanjong Tokong, Kampung Rawana, Kampung Dodol, Kampung Melayu Ayer Itam, Jelutong dan perkampubngan-perkampungan tradisional di daerah Barat Daya atau lebih dikenali sebagai Balik Pulau.

Satu perbezaan yang jelas kelihatan ialah kebersihan. Amat nyata Pulau Pinang, khususnya kawasan bandar, kini jauh lebih bersih jika dibandingkan empat hingga 10 tahun lepas.

Di sekitar kampung saya di mukim Kelawai, satu kelainan berlaku sejak tahun lalu yang belum pernah dilakukan sejak Merdeka. Saya diberitahu bahawa perkara yang sama berlaku di kawasan-kawasan lain.

Apa yang saya maksudkan ialah kehadiran wakil rakyat ke rumah orang Melayu untuk mengucap selamat hari raya dan menyumbang 'hamper' kepada warga emas. Boleh dikatakan setiap sebuah rumah mendapat satu hamper. .

Walaupun hamper itu tidaklah sesuatu yang mewah tetapi ia adalah sesuatu yang dihargai oleh para penerima kerana sekurang-kurangnya mereka dapat melihat dari dekat dan mengenali wakil rakyat dan ada yang mengambil kesempatan itu untuk mengadu sesuatu kepada wakil rakyat berkenaan.

Di kampung kami khususnya kunjungan wakil rakyat dari rumah ke rumah tidak pernah dilakukan sejak Merdeka, iaitu semasa pentadbiran parti Perikatan dan kemudian Barisan Nasional. Ia adalah satu kenyataan atau fakta. 

Tahun lepas, apabila wakil rakyat mengunjungi kampung saya, berlaku sedikit ketegangan ekoran daripada tindakan penuh emosi oleh penyokong sebuah parti politik yang kalah dalam pilihan raya lepas. Alhamdulillah, kali ini tiada bantahan ataupun tentangan kerana perbuatan mereka (orang politik berkenaan) pada tahun lepas tidak disenangi oleh penduduk kampung.

Kehadiran wakil rakyat dari DAP dan dua orang pemimpin PAS setempat diterima dengan baik kerana penduduk kampung tidak mengamalkan sikap bermusuh dengan orang yang sudi mengunjungi mereka dan orang kampung menerima dan menghormati tetamu lebih-lebih lagi sempena menyambut Aidil Fitri.

Pendekatan yang digunakan oleh wakil rakyat DAP, seingat saya, tidak pernah dilakukan oleh wakil-wakil rakyat pada zaman parti Perikatan dan kemudian BN. Inilah hakikat dan inilah kenyataan. 

Saya percaya BN tidak dapat 'menawan' semula Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang kerana pemimpin-pemimpin mereka masih di awang-awangan dan terus mengada-adakan isu tertentu dengan bantuan media tertentu untuk memburuk-burukkan pentadbiran negeri. Rakyat Pulau Pinang tahu akan kedudukan sebenar.



 

Tuesday 27 July 2010

Pilihan raya, anda silap sikit Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohamad Yassin berkata bahawa negeri-negeri yang bukan ditadbir oleh Barisan Nasional tidak boleh mengadakan pilihan raya secara berasingan dengan pilihan raya peringkat persekutuan.

Beliau dilaporkan  sebagai berkata hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhak menentu atau menetapkan soal berkaitan tarikh pilihan raya.

Jika diteliti secara kasar, betul tetapi jika dihalusi kita akan dapati bahawa Muhyiddin, seorang tokoh politik yang berpengalaman dan kini memegang jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran kerajaan persekutuan, silap sedikit.

SPR tidak boleh mengurus sesuatu pilihan raya sekiranya Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat tidak dibubarkan terlebih dahulu.

Jika Datuk Seri Najib Tun Razak nak mengadakan pilihan raya, katakan pada bulan April 2011, maka dia perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan baginda bagi membubar Dewan Rakyat atau Parlimen.

SPR mempunyai satu tempoh yang ditetapkan dalam Akta Pilihan Raya untuk mengurus pilihan raya bagi memilih anggota Dewan Rakyat. Sekiranya Parlimen tidak dibubarkan, SPR tidak boleh mengurus atau mengadakan pilihan raya.

Apabila Parlimen dibubarkan dan sekiranya Dewan-Dewan Undangan Negeri dibuar serentak, barulah SPR boleh mengurus pilihan raya untuk mengisi kerusi Dewan Rakyat dan DUN. Tetapi, jika DUN yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan tidak dibubarkan serentak dengan Pembubaran Parlimen, SPR tiada kuasa untuk mengadakan pilihan raya di negeri-negeri berkenaan.

Oleh itu, Muhyiddin silap apabila menyatakan bahawa SPR yang menentukan sesuatu pilihan raya dan bukan pihak lain. Yang jelas SPR hanya boleh berbuat demikian jika DUN dibubarkan. Andai kata pentadbiran PR di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan tidak mahu membubarkan DUN serentak dengan pembubabarn Parlimen dan DUN yang dikuasai oleh BN, SPR tidak boleh buat apa-apa kerana tiada kuasa atau peruntukan undang-undang untuk berbuat demikian.

Bidang kuasa SPR dijelaskan dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu:

113 (1) Maka hendaklah ada suatu suruhanjaya Pilihan Raya yang ditubuhkan mengikut Perkara 114, dan yang akan menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negeri serta menyedia dan menyemak daftar-daftar pemilih untuk pilihan raya itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan.

Pada asasnya, itulah kuasa SPR dan SPR hanya boleh bertindak atau melaksanakan tanggungjawabnya setelah dimaklumkan secara rasmi berkaitan pembubaran Dewan Rakyat artau DUN ataupun berlaku kekosongan kerusi dewan berkenaan oleh Speaker berkaitan.

Oleh itu, DUN yang dikuasai Pakatan Rakyat berhak untuk tidak membubarnya serentak dengan Dewan Rakyat atau DUN lain sekiranya mereka tidak mahu mengadakan pilihan raya serentak. Mereka boleh memilih untuk mencukupkan tempoh lima tahun seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Thursday 1 July 2010

UMNO dan Tan Sri Khalid Ibrahim

Barisan kepimpinan UMNO nampaknya begitu ghairah memperkatakan mengenai keputusan atau tindakan Parti KeAdilan Rakyat, PKR, menggugurkan MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim selaku ketua atau pengerusi PKR Selangor, dengan digantikan oleh naib presiden PKR Azmin Ali.

Heboh diperkatakan dalam media arus perdana mengenai perkara itu seolah-olah ia sesuatu yang baru dan menggemparkan. Ada juga ahli akademik yang memberi ulasan yang memihak kepada pendapat UMNO.

Tindakan oleh PKR itu dilihat sebagai kehilangan kepercayaan kepada TS Khalid dan sesuatu yang bakal menamatkan kerjaya politiknya. Azmin, mantan setiausaha sulit DS Anwar semasa berjawatan timbalan PM, dilaporkan sebagai tidak sehaluan dalam banyak hal dengan TS Khalid.

Saya tidak melihat perubahan kepimpinan PKR Selangor sebagai sesuatu yang luar biasa atau yang mengejutkan kerana perkara yang serupa berlaku pada masa-masa lampau dalam parti lain terutama UMNO.

Jika diambil ulasan dan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO peringkat Majlis Tertinggi dan Bahagian, apa yang berlaku di Selangor adalah sesuatu yang memperlihatkan tanda-tanda kejatuhan PKR atau setidak-tidaknya kemusnahan masa depan politik TS Khalid.

Kenapa ia harus dilihat demikian sedangkan kejadian atau tindakan yang serupa dilakukan oleh UMNO di beberapa buah negeri dan tidak pula timbul apa-apa masalah atau ulasan negatif oleh media.

Lihat saja di Terengganu, MB Datuk Ahmad Said bukan ketua perhubungan UMNO Negeri, ia disandang oleh naib presiden parti Datuk Hishamuddin Hussein. Tiada bezanya antara apa yang dilakukan di Terengganu dengan apa yang dilakukan di Selangor. Kita tidak lihat perlantikan Hisham sebagai satu tamparan kepada Ahmad Said atau UMNO hilang kepercyaan terhadap MBnya sendiri. Tidak sama sekali.

Di Kedah, ketuanya bukan mantan MB Mahathir Khalid tetapi seorang lagi naib presiden berasal dari Sabah, Datuk Shafie Apdal manakala di Pulau Pinang naib presiden kanan Datuk Ahmad Zahid Hamidi dilantik ketua, bukan Datuk Azhar atau Dr Helmi Yahya.

Kita boleh terima alasan yang UMNO Kedah dan UMNO Pulau Pinang memerlukan kepimpinan orang yang bertaraf naib presiden kerana kedua-dua negeri itu ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Tetapi, alasan yang sama tidak boleh diberikan kepada kes Terengganu kerana negeri itu ditadbir oleh BN dan MBnya adalah dari UMNO.

Tiada pula ahli akademik yang memberi ulasan negatif terhadap kes di Terengganu seperti yang dilakukan dalam kes di Selangor sedangkan dari sudut politik, ada persamaan. Mungkin isu itu dilihat dari dua sudut yang berlainan, iaitu sudut UMNO dan sudut pembangkang.

Kita sedia maklum akan kepentingan jawatan dan pangkat kerana sebarang ulasan yang tidak memihak kepada yang berkuasa ada risikonya.

Sunday 16 May 2010

Tsunami pengundi Cina



Bagilah apa saja, mereka terima. Berpuluh malah beratus juta ringgit diturunkan atas nama bantuan dan pembangunan serta dalam semangat 1 Malaysia. Semua orang tentu menerimanya dan yakinlah pucuk pimpinan bahawa mereka akan sokong (undi) parti pemerintah.

Pengundi Cina di Hulu Selangor dapat lebih daripada durian runtuh, malah pokok durian tumbang di kampung-kampung baru dan penempatan majoriti Cina. Tetapi majoriti pengundi Cina tidak mengundi parti pemerintah walaupun calonnya menang.

Pengundi Cina di Hulu Selangor mengundi calon Melayu yang diletakkan oleh parti gabungan yang disebut sebagai pembangkang di Dewan Rakyat tetapi pemerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Jelas sekali pengundi Cina tidak mengundi mengikut kaum. Mereka mengundi siapa sahaja yang bukan mewakili parti pemerintah, iaitu Barisan Nasional.

Berkat daripada pilihan raya kecil di Hulu Selangor, masyarakat Cina tiba-tiba merasai yang mereka dihargai. Perkampungan dan penempatan mereka dikunjungi pemimpin-pemimpin besar negara dan negeri, yang mewakili kerajaan BN di peringkat persekutuan dan kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat negeri.

Minta apa saja, mereka dapat. Inilah untungnya jika ada pilihan raya kecil. Tetapi, apabila mengundi, itu hak mereka, itu kuasa yang ada di tangan mereka. Ia tidak semestinya diterjemahkan sebagai sokongan kepada parti memerintah (BN).

Pengajaran di Hulu Selangor nampaknya tidak dijadikan teladan oleh pihak BN apabila menghadapi pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi Dewan Rakyat di Sibu, Sarawak.

Sekali lagi berduyun-duyun pemimpin BN peringkat persekutuan dan negeri di Semenanjung turun ke Sibu dan seperti biasa, banyak peruntukan dan bantuan diturunkan ke sana yang dikatakan beratus juta ringgit.

Stesen-stesen penyiaran milik kerajaan dan yang dikawal oleh gergasi media mesra pemerintah, tidak habis-habis menyiarkan berita berkaitan Sibu. Tidak kurang hebat juga liputan media cetak mesra pemerinrtah. Tiba-tiba Sibu menjadi begitu hebat. Ada saja berita yang nak disalur dan disampaikan kepada rakyat tentang sokongan rakyat Sibu kepada BN.

TV3 sekali lagi mengundang calon BN untuk diwawancara (satu bentuk kempen) dalam rancangan Soal Jawab. Hebat sungguh Sibu, sebuah kawasan atau daerah undi yang mempunyai majoriti pengundi Cina dan dikatakan sebagai kubu kuat BN.

Kepimpinan BN cukup yakin rakyat di Sibu akan menyokong parti mereka. Kenapa tidak, apa saja yang diminta ditunaikan seolah-olah kerajaan persekutuan menyediakan cek kosong untuk membelanjakan wang rakyat untuk rakyat dalam semangat 1 Malaysia!

Yang jelas, majoriti pengundi Cina di Sibu tidak menyokong BN. Mereka memilih DAP yang mewakili Pakatan Rakyat.

Pengajaran yang diberi oleh pengundi Cina di Hulu Selangor masih kabur dan tidak jelas di kalangan pemimpin-pemimkpin BN seperti Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin apabila mereka berdepan dengan pilihan raya kecil di Sibu.

Pengundi masih di gula-gulakan dengan bantuan-bantuan segera untuk sekolah-sekolah Cina dan projek-projek pembangunan yang sebelum ini tidakpun mendapat perhatian. Itulah yang dapat dirumuskan.

Pemimpin BN tidak sedar akan tsunami pengundi Cina yang bermula pada pilihan raya umum lalu dan diulangi di Hulu Selangor. Pemimpin BN terutama UMNO masih tidak sedar yang rakan mereka iaitu MCA, Gerakan, SUPP dan LDP tidak mampu mendapatkan sokongan orang Cina manakala MIC gagal memikat pengundi keturunan India. Pengundi Melayu pula berpecah tiga, ada yang menyokong UMNO, ada yang menyokong PAS dan ada yang menyokong Parti KeAdilan Rakyat.

Untuk memenangi pilihan raya, parti-parti politik memerlukan sokongan semua kaum, bukan satu kaum. Untuk itu, mereka mesti bersikap adil dan saksama kepada semua kaum. Politik perkauman sudah basi.

Sekirahnya BN masih leka akan kedudukan politik semasa dan kehebatan ledakan teknologi maklumat yang melahirkan media baru, maka BN seharusnya bersedia untuk menghadapi nasib malang yang menimpa LDP di Jepun yang seusia dengan UMNO.

Pisau dan mentimun ada di tangan pemimpin BN.


Sunday 25 April 2010

HULU SELANGOR - SATU PENGAJARAN UNTUK 1MALAYSIA



Sekalung tahniah untuk parti Barisan Nasional (BN) kerana memenangi pilihan raya kecil untuk kerusi Dewan Rakyat bagi kawasan undi Hulu Selangor.

Calon BN, P Kamalanathan, 44, mendapat 24,997 undi manakala calon Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Zaid Ibrahim memperolehi 23,272 untuk membolehkan BN menang dengan kelebihan 1,725 undi.

Kemenangan BN dilihat oleh kalangan pemimpin dan penyokong parti sebagai tanda pemulihan sokongan kepada gabungan parti yang memerintah di peringkat Persekutuan dan turunnya sokongan kepada parti yang berkuasa di negeri Selangor. Itu pendapat mereka yang menang kerana mereka bekerja keras untuk menang.

Pilihan raya kecil Hulu Selangor sudah pasti yang termahal dan hebat bagi kedua-dua pihak mengalahkan kehebatan di Permatang Pauh. Ianya hebat kerana 'sahamnya' pun hebat dan amat berharga, terutama kepada BN di bawah kepimpinan DS Najib Tun Razak.

Jika dinilai dari segi wang ringgit, entah berapa puluh juta yang diperturunkan dan dijanjikan oleh kedua-dua pihak melalui Kerajaan Persekutuan (BN) dan Kerajaan Negeri Selangor (PR) kepada penduduk Hulu Selangor.

Begitu ramai 'orang besar' dari kedua-dua pihak turun padang dengan senyuman manis dan begitu mesra melayani rakyat marhain semata-mata untuk meraih sokongan dan undi. Nama-nama besar seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, DS Najib, TS Muhyiddin Yassin, Tuan Guru Nik Aziz, DS Anwar Ibrahim, TS Khalid Ibrahim, Lim Kit Siang dan Hassan Ali berada di kampung-kampung tradisional dan kampung baru serta ladang kelapa sawit untuk bertemu rakyat.

Di sesetengah tempat, suasana seolah-olah satu pesta keramaian dengan bermacam acara dan pertandingan diadakan termasuk acara teh tarik dan nasi lemak yang dianjurkan oleh sebuah kementerian. Pusat Latihan Bomba pun tidak terlepas daripada dijadikan medan berkempen 'secara tidak langsung' selain begitu ramai petugas TEKUN yang begitu pemurah berada di sana.

Kerajaan Negeri Selangor tidak ketinggalan 'mentadbir' negeri dari Hulu Selangor dengan penuh mesra dan tidak kurang bermurah hati, walaupun tidak semurah hati pentadbiran di Putrajaya.

Pendek kata, kedua-dua pihak menggunakan apa saja kekuatan dan senjata yang ada untuk membolehkan calon masing-masing menang dan keputusan suara terbanyak memihak kepada BN.

Bagi saya, kemenangan BN tidak boleh dilihat sepenuhnya sebagai pengembalian sokongan rakyat kepada BN atau berkurangnya sokongan kepada PR.

Corak pengundian seharusnya diteliti dan dihalusi oleh kedua-dua pihak.

Kemenangan calon BN yang diwakili oleh MIC menang kerana sokongan orang Melayu sedangkan undi sejumlah besar orang Cina memihak kepada calon PKR sama seperti di kawasan-kawasan undi berbilang bangsa.

BN ternyata kukuh di penempatan-penempatan Felda dan kampung-kampung tradisional manakala PKR di kawasan majoriti pengundi Cina seperti kampung-kampung baru di Kuala Kubu Baru, Batang Kali, Rasa dan Kerling dan kawasan-kawasan berbilang bangsa seperti bandar KKB.

Corak pengundian seharusnya membimbangkan semua pihak kerana ia memperlihatkan kecondongan tertentu yang sebenarnya menyimpang daripada konsep 1Malaysia. Kenyataan ini mungkin tidak dapat diterima oleh pihak BN tetapi mereka mesti mengkaji dan menghalusinya.

Sokongan kepada PR melalui PKR tidak boleh dipandang ringan kerana 23,272 undi bukan satu jumlah yang kecil walaupun BN menang dengan kelebihan 1,725 undi. Ini pilihan raya kecil di mana BN mampu memberi tumpuan 100 peratus dan hampir semua pemimpin besar turun padang. Mampukah BN berbuat demikian apabila menghadapi pilihan raya umum? Perkara inilah yang harus difikirkan.

BN juga perlu ingat bahawa panglima perangnya di Hulu Selangor, TS Muhyiddin mahukan BN menang dengan kelebihan 6,000 undi, hasrat tersebut tidak tercapai.

Hulu Selangor juga membuktikan bahawa MCA masih lemah dan gagal mendapatkan sokongan pengundi Cina. Kegagalan MCA pimpinan Chua Soi Lek sudah pasti akan menjejas kedudukan BN pada PRU akan datang. Gerakan pimpinan TS Koh Tsu Khoon pun gagal meraih sokongan pengundi Cina.

Yang jelas, kemenangan BN di Hulu Selangor adalah atas sokongan kuat pengundi Melayu manakala kekuatan PKR bertulang belakangkan sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya Cina. Sokongan pengundi India sukar ditentukan kerana tiada kawasan undi yang mempunyai majoriti pengundi India. Oleh itu, MIC tidak boleh mendabik dada menyatakan kononnya pengundi India kembali menyokong BN.

Hulu Selangor menunjukkan bahawa pengundi Melayu dan Cina mengundi parti, bukan calon dan mereka tidak kisah siapa calon dari sudut bangsa tetapi mengutamakan parti.

Walau apapun, rakyat Hulu Selangor adalah yang sebenar-benarnya "menang."

Saturday 24 April 2010

HULU SELANGOR - RAKYAT THE WINNER

It must be one if not the most expensive by-election in Malaysia. Goodies, goodies and more goodies for the people by the Barisan Nasional (BN)-led Federal Government and the Pakatan Rakyat (PR)-led Selangor State Government.

Its a big bonanza for the once-quiet electoral district of Hulu Selangor, they name it and they got it from both governments. Money is not a problem.

For most people, it was simply a big fiesta attended by VVIPs and not forgetting, free makan here and there.

Mosques and temples, Chinese and Hindu, benefitted from the sudden generosity of Putrajaya and Shah Alam, Chinese and Tamil schools were not forgotten, it's giving time and can we blame the rakyat for asking?

Big guns including statesman Tun Dr Mahathir Mohamad, who said earlier that he will not be going to Hulu Selangor to campaign for the BN, was asked to do so to ensure support for the youthful BN candidate, P. Kamalanathan and so did Prime Minister Najib Tun Razak and several members of his Cabinet. Najib's deputy, Muhyiddin Yassin is the BN's chief on the ground and temporarily 'embedded" in Hulu Selangor.

PKR's Zaid Ibrahim, a former BN Cabinet minister and ex-Kelantan UMNO divisional leader, is not an easy meat to chew. His past (or present) image was under attack and the party had to summon Kelantan MB and PAS spiritual leader, Nik Aziz Nik Mat to help 'clear' his name, morally that is.

Other big names from the PR camp that went down to campaign were its de-facto leader, Anwar Ibrahim, DAP strong man Lim Kit Siang and Selangor MB Khalid Ibrahim.

The Hulu Selangor by-election is equally crucial for both parties - the BN and PR - to boost not only their images but also their political strategies to face next general elections and not forgetting the Sibu by-election next month.

Who will win will only be known later this evening, most probably around 10 pm.

As for the people of Hulu Selangor, they are the real winners, no matter which party wins the by-election.

Wednesday 14 April 2010

Hulu Selangor -Samy Velu akur kehendak majoriti

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Velu seolah-olah kelihatan tunduk kepada tekanan untuk tidak meletakkan timbalan presiden parti, Datuk G Palanivel sebagai calon Barisan Nasional di Hulu Selangor pada pilihan raya kecil 25 April ini.

Inilah gambaran yang mungkin dilihat apabila ketua penerangan MIC P Kamalanathan dipilih mewakili MIC dan BN pada pilihan raya kecil itu.

Pemilihan Kamalanathan yang fasih berbahasa Melayu dan seorang yang dikatakan ahli dalam bidang perhubungan awam sebenarnya satu sikap tolak ansur antara Samy Velu dan MIC dengan UMNO. Ini kerana UMNO, khususnya bahagian Hulu Selangor, enggan menerima Palanivel tetapi mahukan timbalan ketua pemuda MIC, V Mugilan bertanding di Hulu Selangor. MIC, termasuk sebilangan besar ahli jawatanikuasa pusatnya dan bahagian-bahagian di Selangor, berkeras mahukan Palanivel dan akan mengambil tindakan tegas termasuk meletak jawatan jika timbalan presiden parti itu tidak diletak sebagai calon.

Ekoran daripada rundingan demi rundingan antara Samy Velu dan UMNO, terutama timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, akhirnya kata sepakat dicapai bagi menyelesaikan masalah dimana Palanivel dikatakan akan turut mendapat faedah.

Pemilihan Kamalanathan bukan sahaja menyenangkan UMNO tetapi memberi semangat kepada para penyokong BN untuk bekerja kuat bagi memenangi pilihan raya kecil ini.

Mereka yakin bahawa tanpa meletakkan Palanivel sebagai calon, peluang BN untuk menang ke atas calon Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim (foto kiri) adalah cerah.


Palanivel dikatakan akan dilantik sebagai ahli Dewan Negara (Senator) dan berkemungkinan besar dilantik pula ke jawatan timbalan menteri. Walaupun ia agak janggal kerana Palanivel adalah timbalan presiden sedangkan setiausaha agung parti, S Subramaniam berjawatan lebih tinggi, iaitu anggota Kabinet.

Bak kata orang, lebih baik dapat sesuatu daripada tidak dapat langsung terutama dalam arena politik.

Bagi Kamalanathan (foto), kemenangan boleh dikatakan dalam tangan walaupun dia menghadapi seorang tokoh yang dijadikan ayam tambatan oleh PKR di Hulu Selangor.

Friday 2 April 2010

BN TAK SEHARUSNYA KETEPIKAN MIC

Pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi Dewan Rakyat kawasan undi Hulu Selangor nampaknya menjadi rebutan di kalangan dua parti komponen, iaitu UMNO dan MIC, walaupun mengikut amalan dan tradisi BN, kerusi itu diperuntukkan kepada MIC.

Pemimpin UMNO peringkat Bahagian, Perhubungan Negeri dan Majlis Tertinggi dah pun membuka mulut mahukan calon dari UMNO bertanding pada pilihan raya 25 April ini atas tiket BN. Hujah mereka Hulu Selangor bermajoriti pengundi Melayu dan UMNO lebih mampu menjamin kemenangan berbanding MIC.

Hujah mereka agak sempit dan benar-benar bercanggah dengan semangat kesepakatan BN dan boleh menimbulkan lebih banyak masalah kepada BN pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Benar, kawasan undi itu mempunyai majoriti pengundi Melayu, tetapi ia tidak bermakna yang majoriti pengundi Melayu akan sokong UMNO atau BN. Kemenangan bergantung besar kepada sokongan pengundi semua kaum - Melayu, Cina, India dan etnik minoriti lain.

Apakah pemimpin-pemimpin UMNO terutama yang menduduki kerusi Majlis Tertinggi dan ada yang berjawatan Menteri tidak berfikir panjang mengenai sokongan semua kaum dan bukan satu kaum sahaja untuk memenangi pilihan raya? Ke mana nak dicampak konsep dan semangat 1Malaysia?

Jika pucuk kepimpinan BN melakukan kesalahan dengan tidak memilih calon BN dari parti MIC, maka mereka akan menghadapi undi bantahan atau undi protes daripada pengundi bukan Melayu dan ini akan mengakibatkan BN kalah di Hulu Selangor.

Dengan menolak calon MIC di kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu, BN sudah tentu menghadapi kemarahan masyarakat India dan juga Cina kerana jika ia boleh berlaku di Hulu Selangor, ia sudah pasti boleh berulang di kawasan-kawasan undi lain yang diwakili oleh sama ada MCA ataupun Gerakan di Semenanjung.

Inilah padahnya jika BN tidak mengekalkan status quo di Hulu Selangor, iaitu mengekalkan peruntukan kerusi itu kepada MIC dan bukan memberi kepada UMNO.

Ia bukan soal kaum atau ras, ia juga bukan soal hak tetapi ia adalah soal yang melibatkan kata sepakat dan perkongsian kuasa yang dipersetujui oleh semua parti komponen BN.

Semoga pucuk kepimpinan BN tidak membuat kesilapan di Hulu Selangor jika inginkan sokongan semua kaum pada PRU-13 nanti.

Thursday 4 March 2010

Bebaskah wakil rakyat bebas?

(Gambar: Parlimen - lambang amalan demokrasi - yang dilihat dari arah Galeria Seri Perdana)

Kebelakangan ini satu demi satu wakil rakyat isytihar keluar parti yang mereka wakili untuk dipilih sebagai wakil rakyat dan bertukar peranan sebagai wakil rakyat bebas.

Jika dilihat dari sudut demokrasi, itu adalah hak mereka, tetapi jika dilihat dari sudut realiti atau keadaan sebenar, mereka mengkhianati rakyat yang memilih atau menyokong mereka dan parti yang diwakili.

Perbuatan melompat parti atau meninggalkan parti, tak kira sama ada parti yang memerintah atau yang menjadi pembangkang, tidak seharusnya disokong kerana yang memilih mereka adalah rakyat, oleh itu mereka seharusnya kembalikan hak untuk menentukan siapa yang layak mewakili rakyat kepada rakyat.

Tetapi, budaya atau sifat sedemikian begitu asing kepada mereka yang bergelar wakil rakyat kecuali dengan sebab-sebab tertentu seperti yang dilakukan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail, iaitu untuk membuka jalan kepada suaminya, Anwar Ibrahim. Itupun boleh dikatakan satu perbuatan yang bukan sahaja mengkhianati pemilihan rakyat tetapi berkepentingan sendiri.

Kemunculan wakil rakyat bebas, sama ada di Dewan Rakyat (Parlimen) atau Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan perkara baru. Bezanya, dahulu ia melibatkan satu dua orang wakil rakyat tetapi sekarang, ia seolah-olah menjadi satu arah aliran yang bakal mencatat sejarah.

DUN Pulau Pinang dalam tahun-tahun lewat 60-an hingga lewat 70-an menyaksikan seorang wakil rakyat bebas yang terus mendapat sokongan rakyat. Mendiang C.Y. Choy yang satu ketika merupakan orang kuat Parti Buruh (Labour Party) bukan sahaja sukar ditumbang oleh pentadbiran BN yang diketuai oleh Tun Dr. Lim Chong Eu, malah dia dihormati lawan kerana memperlihatkan keberkesanannya selaku wakil rakyat dalam erti kata sebenarnya.

Mendiang Choy benar-benar berperanan sebagai ADUN Bebas dengan menyuarakan hasrat rakyat dan menyokong usaha-usaha pentadbiran yang memberi faedah kepada rakyat. Setiap kali dia bangun untuk berucap dalam DUN, semua orang mendengarnya dengan penuh minat. Dia tidak bermain politik murahan tetapi mengutamakan masalah rakyat.

Keberkesanan C.Y. Choy selaku ADUN Bebas telah dihargai oleh Kerajaan Negeri BN Pulau Pinang dengan menamakan semula sebatang jalan dalam kawasan undinya sempena namanya, itu Jalan C.Y. Choy.

Di Selangor pun wujud seorang wakil rakyat bebas yang berjaya. Warga Emas di Selangor dan mungkin di Malaysia tentu kenal akan nama Allahyarham Cik Gu Jabar, ADUN Bebas yang mewakili Kampung Laut beberapa penggal.

Peranan dan populariti Allahyarham hampir sama dengan mendiang C.Y. Choy, iaitu mereka bertindak dan berperanan sebagai wakil rakyat sejati. Allahyarham Cik Gu Jabar bukan tidak dipancing oleh UMNO untuk memihak kepada BN dengan bermacam tawaran, tetapi dia menolaknya. Dia bukanlah seorang wakil rakyat yang mengejar jawatan, pangkat dan kedudukan seperti sebilangan wakil rakyat yang ada hari ini.

Itu dahulu. Serkarang lain pula ceritanya.

Wakil-wakil rakyat yang keluar parti untuk menjadi wakil bebas berbuat demikian kerana beberapa sebab, yang ketara soal peribadi, jauh hati, kecewa dan mungkin kerana tidak mendapat sesuatu yang dihajati. Saya percaya kekecewaan adalah faktor utama.

Kepada mereka yang memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas dan tidak seharusnya "mesra" kepada mana-mana parti politik, harus sedar akan peranan sebagai wakil rakyat bebas, iaitu bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Sebagai Ahli Dewan Rakyat atau ADUN Bebas, mereka seharusnya bersikap bebas, iaitu menyokong apa-apa dasar atau tindakan pemerintah yang memberi faedah kepada rakyat dan menentang perkara-perkara yang difikirkan tidak memberi faedah atau menyusahkan rakyat. Mereka harus berani bertindak.

Sebagai wakil rakyat bebas, mereka tidak terikat dengan arahan whip parti seperti wakil-wakil rakyat yang mewakili parti, umpamanya BN dan Pakatan Rakyat.

Mereka juga tidak terbatas mematuhi dasar dan pendirian parti kerana mereka bebas daripadanya. Mereka boleh mengundi mengikut naluri hati dan tidak terpaksa mengikut arahan whip parti seperti yang dihadapi oleh wakil rakyat berparti.

Dalam hubungan ini, saya tidak setuju dengan pendirian beberapa orang wakil rakyat pembangkang yang keluar parti menjadi wakil bebas "mesra BN". Bebas semestinya bebas, bukan separa bebas seperti yang dilakukan oleh wakil rakyat bebas "mesra BN". Ini kerana mereka tidak terikat dengan arahan whip parti kerana mereka tidak berparti dan dengan itu, di mana letaknya "kemesraan" yang dimaksudkan?

Jika tidak tahu, maka tindakan mereka keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas boleh di samakan dengan perbuatan melompat parti dan mengkhianati sokongan rakyat.

Sang katak yang pandai melompat tinggipun tahu di mana ia hendak mendarat, tetapi apabila melompat melintasi jalan, ia boleh lenyap dilenyek di tengah-tengah jalan, maka berakhirlah riwayat si katak lompat itu.

Monday 8 February 2010

Zambry MB Perak yang sah, Mahkamah Persekutuan

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini dengan sebulat suara mengisytihar Dr Zambry Abdul Kader sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan itu bagaimanapun dilihat tidak akan dapat menyelesaikan kemelut politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) kerana masih ada satu lagi saluran undang-undang, iaitu semakan penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan.

Pihak Pakatan Rakyat boleh mengemukakan rayuan semakan penghakiman kepada Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, adalah difahamkan bahawa pihak Datuk Seri Ir Mohamad Nizar terima keputusan itu dan tidak akan mengemukakan rayuan semakan.


Sunday 31 January 2010

1Malaysia - kenapa tak amal dalam BN?

Semasa pentadbiran Tun Abdullah Haji Ahmad atau Pak Lah, semua orang yang mengikuti tiupan angin dari Kepala Batas, Pulau Pinang begitu asyik dan taksub mendukungi slogan "Islam Hadhari" - itu hadhari dan ini hadhari. Pendek kata, semuanya hadhari belaka.

Tapi sekarang senyap dan sunyi. Ke mana menghilangnya hadhari?

Sekarang - mereka yang dahulunya menyokong hadhari beralih arah mengikuti tiupan angin dari Pekan, Pahang. Semunya asyik dengan konsep 1Malaysia - apa saja dikaitkan dengan angka 1 - semuanya satu belaka. Memang hebat angin yang bertiup kencang dan sesekali berfawana syahdu itu.

Dalam merenungi konsep atau slogan 1Malaysia, bukan sesuatu yang baru kerana Singapura jauh lebih awal memperkenalkan konsep "One People, One Nation, One Singapore" hampuir 20 tahun lampau, saya tertanya-tanya kenapa konsep itu tidak dilaksana dalam hiraki Barisan Nasional?

Jika diteliti, kita akan dapati hiraki BN lebih memihak kepada satu parti iaitu UMNO - pengerusi dari UMNO, timbalan pengerusi UMNO, setiausaha agung UMNO, bendahari agung UMNO, pengerusi wanita UMNO dan pengerusi pemuda UMNO.

Parti-parti komponen lain di mana? Tak layak? atau tidak lebih daripada menjadi ahli Dewan Tertinggi?

Kenapa BN sendiri tidak melaksanakan konsep 1Malaysia - OK kita terima hakikat UMNO adalah tunjang BN dan seharusnya menjadi pengerusi dan timbalan pengerusi (1) manakala ketua parti-parti komponen yang sama ada kanan atau mewaklii sebuah parti yang besar menduduki kerusi naib pengerusi ataupun apa salahnya diwujudkan jawatan timbalan pengerusi (2) untuk mereka.

Apakah jawatan pengerusi wanita BN tidak boleh diberi kepada parti lain, umpamanya MCA, jawatan pengerusi pemuda kepada MIC, setiausaha agung kepada Gerakan dan bendahari agung mungkin kepada sebuah parti terbesar dari Sarawak. Bukankah dengan berbuat demikian BN akan dilihat sebagai sebuah gabungan parti-parti politik yang benar-benar berkongsi kuasa dan menonjolkan konsep 1Malaysia?

Saya sedar akan bangkit bantahan daripada orang UMNO yang taksub mengikut tiupan angin dari Pekan, Pahang tetapi mereka kena faham dan sedar akan keadaan politik semasa dan jika benar-benar memahami dan mendokong konsep 1Malaysia.


Wednesday 18 November 2009

Krisis MCA dah tenat, perlu campur tangan pihak ketiga

Apa yang sedang dilalui oleh parti kedua terbesar dalam gabungan Barisan Nasional (BN) iaitu Persatuan Cina Malaysia (MCA), adalah tenat dan jika tidak diselesaikan segera akan mengakibatkan parti itu berpecah dan mungkin berkubur tanpa nisan.

Presiden MCA Ong Tee Keat nampaknya menggunakan segala yang dibolehkan di bawah Perlembagaan parti, termasuk mencantas dan merombak Majlis Presiden, untuk terus memperkukuhkan kedudukannya manakala sekutu yang kini menjadi seteru utamanya, Liow Tiong Lai, naib presiden parti yang terus terasing dan terpinggir.

Pemecatan daripada keanggotaan Majlis Presiden yang dikenakan ke atas Ketua Pemuda Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Chew Mei Fun, iaitu penyokong kuat Tiong Lai, dan digantikan dengan penyokong Tee Keat dan timbalannya Dr Chua Soi Lek, mengeruhkan keadaan.

MCA nampaknya sedang menuju kehancuran. Peneraju utama BN perlu segera bertindak jika ingin menyelamatkan parti yang menjadi sekutu sejak zaman Perikatan itu terus relevan dan benar-benar mewakili kepentingan orang Cina Malaysia dalam perkongsian politik.

Mereka yang berkepentingan dalam MCA tidak dapat menafikan hakikat bahawa kedudukan parti mereka kini berada pada tahap tenat menunggu nazak. MCA memerlukan seorang tabib yang luar biasa atau suatu keajaiban untuk pulih.

Apa yang sedang berlaku pada MCA sekarang jauh lebih teruk daripada apa yang dialami oleh parti itu pada tahun 1983. Keadaan agak beruntung pada waktu itu kerana adanya seorang insan jujur dan beramanah bernama Abdul Ghafar Baba (Allahyarham Tun) yang memiliki kebijaksanaan dan kepercayaan pihak-pihak yang bertelagah untuk menyelesaikan kemelut selaku orang tengah.

Allahyarham Tun Abdul Ghafar sudah tiada untuk menolong MCA. Tokoh yang dapat berperanan untuk menyelesaikan perbalahan sekarang, pada pendapat saya, hanya tiga orang iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tiga tokoh ini yang memiliki sesuatu yang boleh diterima oleh puak Tee Keat dan puak Tiong Lai. Tokoh-tokoh lain, termasuk veteran MCA itu sendiri, dikhuatiri mampu bertindak selaku orang tengah untuk menyelesaikan kemelut paling buruk dalam sejarah moden parti itu.

Pada tahun 1983, MCA menghadapi 'pergaduhan' besar apabila seorang tokoh perniagaan Tan Koon Swan mahu merebut jawatan presiden parti daripada Neo Yee Pan. Antara perkara yang menjadi isu hangat adalah 'ahli-ahli hantu' atau "phantom members".

Kedua-dua pihak yang bertelagah masuk-keluar mahkamah tetapi masalah tidak dapat diselesaikan.

Akhirnya BN terpaksa campur tangan dan orang yang dipertanggungjawabkan adalah Setiausaha Agung BN Abdul Ghafar Baba. Bukan senang bagi beliau untuk menyelamatkan MCA dan semasa usahanya berjalan, puak-puak yang bertelagah sekali lagi ke mahkamah. Hakim Tan Sri Harun Hashim menasihatkan mereka supaya cuba selesaikan masalah di luar mahkamah.

Pada 31 Ogos 1983, Abdul Ghafar berjaya mendamaikan kedua-dua pihak yang bertelagah dan satu perjanjian damai ditandatangani. Tun Ghafar telah menyelamatkan MCA daripada berpecah dan hasil usahanya itu membolehkan MCA kembali kuat dan mendapat sokongan dan kepercayaan orang Cina.

Kejayaan Tun Ghafar telah diulas oleh The Straits Times Singapura yang bermaksud: "Orang Melayu ada Ali Baba, orang India ada Sai Baba dan orang Cina (MCA) ada Ghafar Baba". Begitulah hebatnya insan bernama Abdul Ghafar Baba, bahkan ada orang yang secara berseloroh merujuk kepadanya sebagai Presiden MCA.

Itu masalah pada tahun 1983 dan pada waktu itu ada Tun Ghafar Baba. Sekarang lain pula ceritanya dan Setiausaha Agung BN yang ada sekarang mungkin tidak dapat diterima oleh kedua-dua puak yang bertelagah selaku orang tengah. SU Agung BN sekarang tiada kewibawaan seperti Allahyarham Tun Ghafar untuk bertindak selaku pendamai atau orang tengah.

Saya percaya Tee Keat dan Tiong Lai boleh menerima sama ada Najib, Tun Mahathir ataupun Muhyiddin selaku orang tengah. Ketiga-tiga tokoh itu cukup dihormati oleh mereka atas sifat selaku ketua dan timbalan ketua BN manakala Tun Mahathir selaku mantan PM dan negarawan yang berpengaruh dan dihormati.

MCA mesti diselamatkan atas kepentingan BN itu sendiri. Sehingga kini, belum ada parti lain dalam BN yang benar-benar mewakili kepentingan orang Cina kecuali MCA.

Friday 22 May 2009

ZAMBRY MB SAH, KATA MAHKAMAH RAYUAN

Datuk Dr Zambry Abdul Kader adalah Menteri Besar Perak yang sah, demikian diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini.

Panel tiga hakim terdiri daripada Md Raus Sharif, Puan Zainun Ali dan Ahmad Maarop membuat keputusan itu sebulat suara.

Tuesday 12 May 2009

Zambry Oh Zambry...

Datuk Dr Zambry Abdul Kader sudah naik tocang apabila dia nak samakan kedudukan dan apa yang sedang berlaku di Perak dengan apa yang dialami oleh pejuang kemanusiaan Afrika Selatan dan Negarawan Dunia Nelson Mandela dan wira rakyat dan pejuang hak kesamaan manusia Mahatma Ghandi.

Agak keterlaluan bagi Zambry untuk menyamakan dirinya dengan Mandela mahupun Ghandi apatah lagi untuk memetik ucapan pejuang hak asasi manusia Amerika Syarikat Dr Martin Luther King sebagai sesuatu yang nak membenarkan apa yang sedang dialaminya.

Kedudukan Zambry sendiri masih menjadi tanda tanya walaupun dia mendapat perintah Mahkamah Rayuan yang diadili oleh seorang hakim. Perintah Mahkamah Rayuan itu masih samar-samar.

Hakim Ramly Ali yang bersidang seorang diri di Mahkamah Rayuan Putrajaya hanya membuat perintah menangguh penghakiman Mahkamah Tinggi KL bahawa MB Perak yang sah dari segi undang-undang adalah Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, dan bukan membuat perintah bahawa MB yang sah adalah Zambry.

Perintah yang dibuat adalah tangguh, bukan batal atau ketepikan perintah Mahkamah Tinggi. Jika tangguh bermakna akan disambung semula satu hari kelak. Jika Mahkamah Rayuan perintah untuk membatalkan atau mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi, maka ia dengan sendirinya menafikan kesahihan Ir Nizar sebagai MB. Oleh kerana perintah sedemikian tidak dibuat, maka Ir Nizar masih MB yang sah, bukan Zambry.

Keliru? Ya, ramai yang keliru termasuk mereka yang bergelar peguam. Peguam yang pro-UMNO membuat tafsiran pro-UMNO dan peguam yang pro-PR membuat tafsiran pro-PR.

Apa kesudahannya?

PM Najib Tun Razak nampaknya tidak mahu mengembalikan mandat memilih pentadbiran baru kepada rakyat melalui pilihan raya sedangkan itulah cara paling baik untuk cuba menyelesaikan kemelut politik Perak.

Kenapa Najib tidak mahu berbuat demikian sedangkan tokoh veteran UMNO seperti Tengku Razaleigh Hamzah, timbalan presiden MCA Dr Chua Soi Lek dan SU Agung Gerakan dan SUHAKAM sependapat bahawa penyelesaian terbaik adalah di adakan pilihan raya sekali lagi bagi DUN Perak.

Jawapannya mudah. Maklumat yang sampai kepada Najib melalui sumber-sumber risikan rasmi dan tidak rasmi menunjukkan kemenangan tidak akan memihak kepada BN sekiranya diadakan pilihan raya. Itulah sebabnya.

Oleh kerana BN akan hilang kuasa di Perak maka BN tidak mahu pilihan raya diadakan. BN lebih suka kuasanya yang seakan-akan telur di hujung tanduk itu dikekalkan melalui cara dan kaedah lain.

Jika apa yang diperkatakan ini tidak betul dan BN memang mendapat sokongan rakyat seperti yang didakwa oleh para pemimpin BN, kenapa takut untuk berdepan dengan rakyat sekali lagi? Bukankah berani itu kerana benar dan takut itu kerana salah?

Ayuh! Mohon perkenan Sultan supaya DUN Perak dibubarkan. Rakyat dah naik meluat dengan apa yang sedang berlaku.

Jangan biarkan kemeluatan rakyat berpanjangan kerana padahnya akan dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum ke-13.