Showing posts with label Pakatan Rakyat. Show all posts
Showing posts with label Pakatan Rakyat. Show all posts

Wednesday 14 April 2010

Hulu Selangor -Samy Velu akur kehendak majoriti

Presiden MIC Datuk Seri S Samy Velu seolah-olah kelihatan tunduk kepada tekanan untuk tidak meletakkan timbalan presiden parti, Datuk G Palanivel sebagai calon Barisan Nasional di Hulu Selangor pada pilihan raya kecil 25 April ini.

Inilah gambaran yang mungkin dilihat apabila ketua penerangan MIC P Kamalanathan dipilih mewakili MIC dan BN pada pilihan raya kecil itu.

Pemilihan Kamalanathan yang fasih berbahasa Melayu dan seorang yang dikatakan ahli dalam bidang perhubungan awam sebenarnya satu sikap tolak ansur antara Samy Velu dan MIC dengan UMNO. Ini kerana UMNO, khususnya bahagian Hulu Selangor, enggan menerima Palanivel tetapi mahukan timbalan ketua pemuda MIC, V Mugilan bertanding di Hulu Selangor. MIC, termasuk sebilangan besar ahli jawatanikuasa pusatnya dan bahagian-bahagian di Selangor, berkeras mahukan Palanivel dan akan mengambil tindakan tegas termasuk meletak jawatan jika timbalan presiden parti itu tidak diletak sebagai calon.

Ekoran daripada rundingan demi rundingan antara Samy Velu dan UMNO, terutama timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, akhirnya kata sepakat dicapai bagi menyelesaikan masalah dimana Palanivel dikatakan akan turut mendapat faedah.

Pemilihan Kamalanathan bukan sahaja menyenangkan UMNO tetapi memberi semangat kepada para penyokong BN untuk bekerja kuat bagi memenangi pilihan raya kecil ini.

Mereka yakin bahawa tanpa meletakkan Palanivel sebagai calon, peluang BN untuk menang ke atas calon Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim (foto kiri) adalah cerah.


Palanivel dikatakan akan dilantik sebagai ahli Dewan Negara (Senator) dan berkemungkinan besar dilantik pula ke jawatan timbalan menteri. Walaupun ia agak janggal kerana Palanivel adalah timbalan presiden sedangkan setiausaha agung parti, S Subramaniam berjawatan lebih tinggi, iaitu anggota Kabinet.

Bak kata orang, lebih baik dapat sesuatu daripada tidak dapat langsung terutama dalam arena politik.

Bagi Kamalanathan (foto), kemenangan boleh dikatakan dalam tangan walaupun dia menghadapi seorang tokoh yang dijadikan ayam tambatan oleh PKR di Hulu Selangor.

Wednesday 7 April 2010

Zahrain dan Zulkifli ke Washington ikut DS Najib

Kata orang rezeki tidak datang bergolek tetapi ada ketikanya ia datang melayang setelah berlaku perubahan dalam keadaan dan kedudukan tertentu.

Itulah yang dapat dikatakan mengenai tuah badan dua orang wakil rakyat yang menang atas tiket Pakatan Rakyat tetapi kini 'berkecuali' atas tiket bebas. Seorang dipecat manakala seorang lagi keluar parti kerana kecewa dan hampa dengan sikap Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sama ada mereka 'bebas' atau 'berkecuali' boleh diperbahaskan tetapi kita terima sajalah 'kebebasan' sementara mereka sebagai wakil rakyat.

Dua orang wakil rakyat (Dewan Rakyat) yang dimaksudkan adalah Mohamad Zahrain Hashim (Bayan Baru, Pulau Pinang) dan Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru, Kedah).

Kedua-dua mereka bertuah kerana terpilih untuk menemani PM Datuk Seri Mohamad Najib Tun Razak ke Washington, lebih tepat lagi dalam lawatan PM ke "Congress" Amerika Syarikat. Mereka bertuah kerana dari kalangan sebegitu ramai ahli Dewan Rakyat, mereka menjadi pilihan PM. Tahniah.

Mungkin semasa dalam pesawat Airbuas, eksekutif lagi ekslusif, yang bakal membawa PM Najib ke Washington kelak, Zahrain dan Zulkifli boleh mendedahkan lebih banyak 'cerita' mengenai PKR dan muslihat supremonya DS Anwar Ibrahim kepada DS Najib. Inilah peluang keemasan yang semestinya diambil oleh Zahrain dan Zulkifli dan kita harap mereka tidak akan melepaskan peluang yang bukan senang untuk diperolehi itu. Kata orang bijak pandai, sambil menyelam minum air.

Kepada Zahrain, yang sebelum ini tidak ramai orang yang kenal atau tahu mengenainya, dan Zulkifli, yang semakin mendapat perhatian ekoran daripada 'pendirian keagamaannya' selama ini, kita ucapkan tahniah kerana dipilih untuk mengiringi PM Najib ke Washington.

Semoga mereka memperolehi kejayaan dalam apa saja tugas yang diamanahkan.

Thursday 4 March 2010

Bebaskah wakil rakyat bebas?

(Gambar: Parlimen - lambang amalan demokrasi - yang dilihat dari arah Galeria Seri Perdana)

Kebelakangan ini satu demi satu wakil rakyat isytihar keluar parti yang mereka wakili untuk dipilih sebagai wakil rakyat dan bertukar peranan sebagai wakil rakyat bebas.

Jika dilihat dari sudut demokrasi, itu adalah hak mereka, tetapi jika dilihat dari sudut realiti atau keadaan sebenar, mereka mengkhianati rakyat yang memilih atau menyokong mereka dan parti yang diwakili.

Perbuatan melompat parti atau meninggalkan parti, tak kira sama ada parti yang memerintah atau yang menjadi pembangkang, tidak seharusnya disokong kerana yang memilih mereka adalah rakyat, oleh itu mereka seharusnya kembalikan hak untuk menentukan siapa yang layak mewakili rakyat kepada rakyat.

Tetapi, budaya atau sifat sedemikian begitu asing kepada mereka yang bergelar wakil rakyat kecuali dengan sebab-sebab tertentu seperti yang dilakukan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail, iaitu untuk membuka jalan kepada suaminya, Anwar Ibrahim. Itupun boleh dikatakan satu perbuatan yang bukan sahaja mengkhianati pemilihan rakyat tetapi berkepentingan sendiri.

Kemunculan wakil rakyat bebas, sama ada di Dewan Rakyat (Parlimen) atau Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan perkara baru. Bezanya, dahulu ia melibatkan satu dua orang wakil rakyat tetapi sekarang, ia seolah-olah menjadi satu arah aliran yang bakal mencatat sejarah.

DUN Pulau Pinang dalam tahun-tahun lewat 60-an hingga lewat 70-an menyaksikan seorang wakil rakyat bebas yang terus mendapat sokongan rakyat. Mendiang C.Y. Choy yang satu ketika merupakan orang kuat Parti Buruh (Labour Party) bukan sahaja sukar ditumbang oleh pentadbiran BN yang diketuai oleh Tun Dr. Lim Chong Eu, malah dia dihormati lawan kerana memperlihatkan keberkesanannya selaku wakil rakyat dalam erti kata sebenarnya.

Mendiang Choy benar-benar berperanan sebagai ADUN Bebas dengan menyuarakan hasrat rakyat dan menyokong usaha-usaha pentadbiran yang memberi faedah kepada rakyat. Setiap kali dia bangun untuk berucap dalam DUN, semua orang mendengarnya dengan penuh minat. Dia tidak bermain politik murahan tetapi mengutamakan masalah rakyat.

Keberkesanan C.Y. Choy selaku ADUN Bebas telah dihargai oleh Kerajaan Negeri BN Pulau Pinang dengan menamakan semula sebatang jalan dalam kawasan undinya sempena namanya, itu Jalan C.Y. Choy.

Di Selangor pun wujud seorang wakil rakyat bebas yang berjaya. Warga Emas di Selangor dan mungkin di Malaysia tentu kenal akan nama Allahyarham Cik Gu Jabar, ADUN Bebas yang mewakili Kampung Laut beberapa penggal.

Peranan dan populariti Allahyarham hampir sama dengan mendiang C.Y. Choy, iaitu mereka bertindak dan berperanan sebagai wakil rakyat sejati. Allahyarham Cik Gu Jabar bukan tidak dipancing oleh UMNO untuk memihak kepada BN dengan bermacam tawaran, tetapi dia menolaknya. Dia bukanlah seorang wakil rakyat yang mengejar jawatan, pangkat dan kedudukan seperti sebilangan wakil rakyat yang ada hari ini.

Itu dahulu. Serkarang lain pula ceritanya.

Wakil-wakil rakyat yang keluar parti untuk menjadi wakil bebas berbuat demikian kerana beberapa sebab, yang ketara soal peribadi, jauh hati, kecewa dan mungkin kerana tidak mendapat sesuatu yang dihajati. Saya percaya kekecewaan adalah faktor utama.

Kepada mereka yang memilih untuk menjadi wakil rakyat bebas dan tidak seharusnya "mesra" kepada mana-mana parti politik, harus sedar akan peranan sebagai wakil rakyat bebas, iaitu bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Sebagai Ahli Dewan Rakyat atau ADUN Bebas, mereka seharusnya bersikap bebas, iaitu menyokong apa-apa dasar atau tindakan pemerintah yang memberi faedah kepada rakyat dan menentang perkara-perkara yang difikirkan tidak memberi faedah atau menyusahkan rakyat. Mereka harus berani bertindak.

Sebagai wakil rakyat bebas, mereka tidak terikat dengan arahan whip parti seperti wakil-wakil rakyat yang mewakili parti, umpamanya BN dan Pakatan Rakyat.

Mereka juga tidak terbatas mematuhi dasar dan pendirian parti kerana mereka bebas daripadanya. Mereka boleh mengundi mengikut naluri hati dan tidak terpaksa mengikut arahan whip parti seperti yang dihadapi oleh wakil rakyat berparti.

Dalam hubungan ini, saya tidak setuju dengan pendirian beberapa orang wakil rakyat pembangkang yang keluar parti menjadi wakil bebas "mesra BN". Bebas semestinya bebas, bukan separa bebas seperti yang dilakukan oleh wakil rakyat bebas "mesra BN". Ini kerana mereka tidak terikat dengan arahan whip parti kerana mereka tidak berparti dan dengan itu, di mana letaknya "kemesraan" yang dimaksudkan?

Jika tidak tahu, maka tindakan mereka keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas boleh di samakan dengan perbuatan melompat parti dan mengkhianati sokongan rakyat.

Sang katak yang pandai melompat tinggipun tahu di mana ia hendak mendarat, tetapi apabila melompat melintasi jalan, ia boleh lenyap dilenyek di tengah-tengah jalan, maka berakhirlah riwayat si katak lompat itu.

Monday 15 February 2010

Maulidur Rasul bukan terletak pada perarakan atau majlis tertentu

Umat Islam akan sekali lagi menyambut Maulidur Rasul atau hari kelahiran junjungan mulia baginda Nabi Muhammad s.a.w. Setiap tahun tarikh 12 Rabiulawal muncul, umat Islam di Malaysia, khususnya, akan menyambutnya dengan majlis-majlis himpunan ramai dan majlis ilmu.

Sejak dahulu hingga sekarang, polimik mengenai sunnah atau bidaahnya menyambut Maulidur Rasul akan dibangkitkan. Tetapi, itu bukan persoalannya di Malaysia kecuali di sebuah negeri di sebelah utara Tanah Melayu, dan mantan seorang mufti muda yang menyatakan ia adalah bidaah.

Walau apapun, persoalan yang tiba-tiba tercetus ialah mengenai laporan bahawa pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang diterajui oleh Parti Tindakan Rakyat (DAP) membatalkan perarakan sempena Maulidur Rasul tahun ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang yang menjadi sasaran kritikan dan kutukan, bagaimanapun, menafikannya. Siapa yang benar dan betul hanya Tuhan yang tahu.

Seperti biasa, media tidak ketinggalan melaporkan isu "pembatalan" acara perarakan itu dengan penuh bersemangat. Ianya sedemikian rupa mungkin kerana kerajaan atau pentadbiran negeri yang terlibat bukan daripada keluarga Barisan Nasional (BN).

Kita tidak pasti sama ada laporan sedemikian hebat akan dibuat sekiranya pentadbiran negeri yang membatalkan acara perarakan adalah pentadbiran BN dan bukan Pakatan Rakyat. Saya yakin ia tidak akan sehebat ini atau mungkin tidak menjadi satu isu yang panas.

Bermacam tuduhan dan kutukan dibuat termasuk kritikan atau teguran oleh orang politik - dari mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Haji Ahmad, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan "panglima-panglima" platun politik termasuk dari kalangan pemimpin kecilan yang datang dari sayap-sayap parti politik. Semuanya dibuat berasaskan laporan media.

Isu perarakan sempena Maulidur Rasul dijadikan sesuatu yang seolah-olah "wajib" dan majlis sambutan tidak akan sempurna tanpa perarakan. Itulah gambaran yang diberikan jika dilihat dari sudut bantahan dan kritikan yang dilemparkan.

Persoalan yang penting dan lebih utama yang harus diteliti adalah sama ada majlis-majlis yang dianjurkan itu benar-benar memperlihatkan kecintaan umat Islam akan baginda Rasul S.A.W. dan bukan sama ada perarakan diadakan atau tidak.

Sambutan Maulidur Rasul adalah lebih daripada hanya berarak dari satu tempat ke satu tempat lain, mengadakan ceramah, jamuan dan sebagainya. Selepas sesuatu majlis itu, hadirin akan pulang dan selesailah tugas dan tanggungjawab penganjur.

Kita akui ceramah adalah majlis ilmu yang perlu, majlis berzanji, marhaban dan qasidah yang lazimnya diadakan sempena Maulidur Rasul juga bagus kerana ia menceritakan dan mengingatkan kita akan sirah Rasulullah. Malangnya, kebanyakan hadirin tidak faham kerana ia adalah dalam bahasa Arab, kecuali ada terjemahan.

Dengan adanya terjemahan maka hadirin akan faham dan mengetahui akan pentingnya mereka untuk mempelajari, memahami dan akhirnya mengamalkan sunnah Rasulullah. Bukankah ini jauh lebih baik daripada hanya berarak dalam kumpulan-kumpulan atau pasukan yang mewakili sama ada jabatan dan agensi kerajaan, pertubuhan sukarela mahupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan?

Yang penting adalah sama ada majlis-majlis yang diadakan itu, terutama perarakan, dapat menyemai perasaan cinta akan Rasulullah, iaitu sesuatu yang semestinya ada dalam sanubari setiap umat Islam. Cinta akan Rasulullah bukan hanya pada tanggal 12 Rabiulawal tetapi mesti sepanjang hayat.

Tanyalah diri sendiri sama ada kita benar-benar cinta akan Rasulullah atau tidak?

Adakah kita mentauhidkan Allah, taat kepada perintah Rasulullah, mempertahankan diri Rasulullah dari dihina seperti yang dilakukan oleh media Barat kebelakangan ini, dan mentaati sunnah baginda?

Sambutan Maulidur Rasul seharusnya dilihat sebagai satu majlis yang menginsafkan kita supaya benar-benar cinta akan Rasulullah dalam erti kata yang sebenar.

Dengan mengadakan acara perarakan dan perhimpunan yang tidak lebih daripada satu majlis rasmi yang dihadiri oleh pembesar negeri dan negara, adalah tidak mencukupi.

Persoalannya yang harus dijadikan perdebatan adalah adakah syarahan atau ceramah yang diadakan sempena majlis-majlis sambutan Maulidur Rasul berjaya menyemaikan kecintaan ke atas Rasulullah dan bagaimana umat Islam mengamalkan sunnahnya dengan betul.

Pihak yang diamanahkan berkaitan urusan dan pentadbiran agama Islam seharusnya mengadakan majlis-majlis susulan seperti kuliah tentang hadis dan sirah Rasulullah untuk menambahkan ilmu di kalangan umat Islam. Ia jauh lebih penting daripada bertikam lidah sama ada perarakan patut diadakan atau tidak sebagai satu acara sambutan Maulidur Rasul.


Monday 8 February 2010

Zambry MB Perak yang sah, Mahkamah Persekutuan

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini dengan sebulat suara mengisytihar Dr Zambry Abdul Kader sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan itu bagaimanapun dilihat tidak akan dapat menyelesaikan kemelut politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) kerana masih ada satu lagi saluran undang-undang, iaitu semakan penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan.

Pihak Pakatan Rakyat boleh mengemukakan rayuan semakan penghakiman kepada Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, adalah difahamkan bahawa pihak Datuk Seri Ir Mohamad Nizar terima keputusan itu dan tidak akan mengemukakan rayuan semakan.


Saturday 6 February 2010

Pulau Pinang ketandusan pemimpin?



Kekecohan dan kecelaruan politik yang sedang melanda Pulau Pinang memperlihatkan satu perkara yang amat ketara - pemimpin anak negeri yang diketepikan.

Jika pada satu ketika dahulu Pulau Pinang bangga dengan kejayaan anak negeri menerajui atau menjawat jawatan kanan dalam pentadbiran negara, perkhidmatan tadbir dan diplomatik dan angkatan tentera, kini mereka terpaksa menerima "orang luar" untuk memimpin di peringkat negeri.

Anak Pulau Pinang dah pun jadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Presiden dan CEO Petronas, anak Malaysia pertama selaku Ketua Polis Negara, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ketua Setiausaha Kementerian dan anak Malaysia pertama selaku Panglima Tentera Laut.

Itu dahulu dan dahpun menjadi sejarah.

Sekarang - Ketua Menteri orang Melaka, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri orang Perak dan salah seorang pemimpim NGO Melayu yang membuat bantahan jalanan Jumaat lalu pun orang luar - iaitu dari pasir Mas, Kelantan.

Pulau Pinang sebenarnya tidak ketandusan pemimpin tetapi rakyat negeri itu sendiri yang menolak pemimpin tempatan atas banyak sebab yang pemimpin politik setempat sedia maklum.

Kehadiran Lim Guan Eng dari Melaka untuk menerajui pentadbiran negeri, pada mulanya diterima orang Pulau Pinang atas faktor tertentu, tetapi selepas setahun masalah mula timbul.

Pentadbiran Guan Eng mula memperlihatkan kelemahan demi kelemahan terutama dalam mengendali perkara-perkara yang mencuit kepekaan rakyat.

Keadaan menjadi lebih kalut apabila rakan kongsi politik dalam Pakatan Rakyat (R) sendiri yang mengkritik dan membidas kepimpinan Guan Eng. Jika yang mengkritik itu hanya wakil rakyat Melayu, banyak tanggapan mungkin dibuat, tetapi apabila ianya turut melibatkan wakil rakyat bukan Melayu dan dari DAP itu sendiri, maka sukar untuk menolak begitu sahaja tuduhan yang dilemparkan.

Saya bukanlah peminat Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim, Ahli Parlimen Bayan Baru, mantan pengerusi Parti KeAdilan Rakyat Pulau Pinang dan mantan Ketua UMNO Bahagian Tanjong, tetapi apa yang didedahkannya adalah sesuatu yang serius.

Zahrain, sejak zaman UMNO, adalah penyokong kuat mantan Timbalan Perdana Menteri yang kini Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan apa yang disuarakannya bukan saja dituju khusus kepada Guan Eng tetapi tempiasnya jatuh ke muka Anwar. Ini kerana selama ini, Anwar cepat mempertahankan Guan Eng dan tindakannya itu tidak disenangi oleh kepimpinan akar umbi PKR.

Anwar perlu lebih berani dan lebih tegas dalam menangani masalah di Pulau Pinang jika ingin melihat pengekalan pentadbiran PR pada pilihan raya akan datang. Anwar semestinya menegur Guan Eng dan DAP. Bukan sentiasa mempertahankan apa yang dibuat oleh setiausaha agung DAP itu.

Rakyat Pulau Pinang dah mula naik bosan dan meluat dengan tindak-tanduk Lim Guan Eng. Ia bukan soal perkauman atau kebencian orang Melayu, ia adalah kebencian rakyat. Jika ia tidak ditangani segera, PR akan hanyut apabila berhadapan dengan rakyat pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

UMNO pula tidak boleh berpeluk tubuh dan anggap apa yang sedang berlaku sebagai satu kemenangan. Jika UMNO ingin mempertahan sokongan rakyat, UMNO mesti membersih rumah tangganya sendiri terlebih dahulu. UMNO Pulau Pinang memerlukan muka baru yang bukan sahaja berpendidikan tetapi bersih daripada segala-segi untuk diketengahkan sebagai pemimpin.

UMNO Pulau Pinang mesti berubah untuk elak direbahkan oleh rakyat.

Friday 29 January 2010

Masalah politik PR Pulau Pinang sudah serius

Gah diperkatakan di kalangan pengamat politik termasuk di warung dan kedai kopi di Pulau Pinang bahawa Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain M Hashim akan mengetuai "segelintir" ahli dan penyokong Parti KeAdilan Rakyat (PKR) untuk keluar Pakatan Rakyat (PR).

Zahrain dan pengikutnya itu diikatakan akan menjadi "wakil rakyat mesra BN" atau melompat terus memasuki rumah mewah BN.

Geng Zahrain dikatakan tidak puas hati dan kecewa dengan sikap Ketua Menteri DAP/PR Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Wakil rakyat dan ahli majlis kerajaan tempatan PKR dikatakan sering terpaksa tunduk dan akur kepada DAP.

Ah! Siapa yang tidak kenal Zahrain. Mantan pengerusi PKR Pulau Pinang, dan mantan Ketua UMNO Bahagian Tanjong itu adalah penyokong kuat penasihat umum PKR Anwar Ibrahim. Dia keluar UMNO dan masuk PKR kerana ikut Anwar. Zahrain sanggup berbuat demikian kerana dia bukanlah orang susah yang mengharapkan sesuatu untuk kekal dalam UMNO.

Mungkin Zahrain dan pengikutnya tidak mendapat sesuatu yang dihajati kerana projek persekutuan dah tentu terlepas ke tangan orang BN manakala kerajaan negeri pimpinan Guan Eng tiada projek untuk diagih-agihkan.

Jadi, untuk terus beralih sokongan sebagai "wakil rakyat mesra BN" tanpa sebarang alasan kukuh agak rumit, oleh itu alasan munasabah seperti tidak mendapat kerjasama atau sokongan pentadbiran DAP boleh diterima.

Saya memang tidak suka melihat orang politik yang dipilih sebagai wakil rakyat melompat parti. Tak kira parti mana sekalipun kerana orang berkenaan sebenarnya mengkhianati sokongan rakyat yang mengundinya.

Saya tidak hormat wakil rakyat UMNO melompat ke pihak lawan, saya juga tidak hormat wakil rakyat PKR mahupun parti pembangkang lain melompat ke BN. Mereka yang berbuat demikian hanya mementingkan agenda peribadi bukan soal lain. Mereka mengkhianati rakyat yang mengundi mereka untuk menjadi wakil rakyat.

Rakyat, terutama pengundi, memilih wakil rakyat atas beberapa faktor termasuk parti, iaitu simbol yang dipangkahnya, bukan sepenuhnya atas sifat peribadi seseorang itu, walaupun faktor itu berperanan penting.

Jika seseorang wakil rakyat itu tidak puas hati atau kecewa atas apa alasan sekalipun, dia seharusnya meletak jawatan dan serahkan semula mandat kepada rakyat, bukan melompat parti atau mengubah sokongan, sama ada atas alasan "mesra" atau sebaliknya.

Dengan berbuat demikian, wakil rakyat berkenaan akan tahu sama ada kemenangannya pada pilihan raya lepas adalah atas kekuatan dirinya atau atas kekuatan simbol parti yang diwakilinya.

Dalam kes Zahrain, dia tidak mungkin menang sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru sekiranya tidak berlaku tsunami politik yang menyaksikan majoriti rakyat memilih untuk menolak BN yang gagal memperolehi majoriti dua pertiga. Itulah kenyataan yang harus diingati oleh Zahrain.

Kes Zahrain di Pulau Pinang juga mendedahkan ada yang tidak kena dalam Pakatan Rakyat. Ia berkemungkinan kerana mereka yang pernah menikmati kemewahan dan kuasa satu ketika dahulu kini dipinggir.

Tuesday 4 August 2009

Muhyiddin and Anwar - dulu berpelukan kini ....

Dalam politik semuanya boleh berlaku - kawan jadi lawan dan musuh jadi sekutu.









Orang politik memang pandai bersandiwara demi kepentingan politik masing-masing. Episod terbaru dengan jelas melambangkan satu lagi sandiwara politik.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini cukup selesa dengan kedudukan sebagai orang nombor dua dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan kepimpinan UMNO, juga begitu.

Saya tidak terperanjat atau hairan apabila TS Muhyiddin menyelar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "pengkhianat" bangsa Melayu. Kenyataan itu tidak lebih daripada kenyataan politik walaupun TS Muhyiddin berkata dia sanggup di saman dan tidak akan meminta maaf seperti yang dipinta oleh DS Anwar.

Penyokong TS Muhyiddin sudah tentu akan berkata inilah pemimpin yang berani dan berwibawa. Itu hak mereka.

Cuma, dalam ingatan saya masih jelas akan episod di mana TS Muhyiddin dan DS Anwar berpeluk-pelukan. Pada ketika itu TS Muhyiddin hanyalah seorang menteri dalam Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad dan salah seorang "orang" DS Anwar.

Yang paling menarik ialah tempat dan dalam "majlis" apa yang mereka berpelukan itu.

Ia adalah di kediaman DS Anwar ketika itu di Bukit Damansara (Damansara Heights) Kuala Lumpur. Bila? Semasa rumah DS Anwar dipenuhi para penyokongnya dan dikepung oleh polis termasuk Unit Tindakan Khas (UTK) yang bersiap siaga untuk menahan (manangkap) DS Anwar.

Pada waktu itu, TS Muhyiddin memberanikan diri untuk ke rumah DS Anwar walaupun mantan Timbalan PM itu dipecat oleh Tun Mahathir. Itu dulu.

Sekarang, TS Muhyiddin menuduh DS Anwar sebagai pengkhianat bangsa Melayu sedangkan tidak kurang banyaknya orang Melayu yang menyokong DS Anwar. Ini bermakna orang Melayu yang menyokong DS Anwar juga pengkhianat kepada diri mereka sendiri.

Apa yang sepatutnya dikatakan oleh TS Muhyiddin ialah DS Anwar pengkhianat kepada UMNO, bukan kepada bangsa Melayu.

Tetapi, itulah politik. Dulu kawan, kini lawan.

HIDUP MELAYU!

Friday 17 July 2009

SPRM mesti bersikap adil dan saksama

Tragedi yang menimpa seorang pembantu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor membabitkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh dipandang ringan. Ia melibatkan nyawa manusia dan bukan isu politik atau ras.

Kematian seorang yang dikatakan saksi dalam siasatan SPRM adalah luar biasa dan mesti disiasat dan diambil tindakan.

Kebelakangan ini, SPRM nampaknya cepat membuka kertas siasatan ke atas mereka yang berada di pihak tertentu. Siasatan terus dijalankan walaupun ia berasaskan dengar khabar dan tuduhan tidak berasas.

Kes-kes yang membabitkan pihak yang berada atau menyokong parti pemerintah termasuk seorang mantan besar semacam tidak penting dan dilengah-lengahkan sedangkan yang membabitkan pentadbiran negeri bukan BN, segera dan cepat disiasat.

Itulah gambaran yang dapat dibayangkan oleh orang ramai.

Dalam kes membabitkan wakil rakyat Selangor dari Pakatan Rakyat, nampaknya SPRM begitu cekap dan pantas bertindak sehingga orang yang dikatakan saksi, bukan yang disiasat, terpaksa menghadapi siasatan sehingga melewati pukul 3.30 pagi.

Kenapa orang yang dikatakan saksi dipaksa menjalani siasatan yang didakwa dilakukan secara kasar dan dicampur ugutan, sedangkan dia bukan orang yang disiasat. Adakah ini cara yang boleh dianggap sebagai adil dan saksama dan selari dengan hak asasi yang dijaminkan oleh Perlembagan dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu?

Sebagai sebuah institusi yang dikatakan bebas dan tidak memihak, SPRM mesti memperlihatkan kebebasan dan kesaksamaan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Jika benar dan bersungguh-sungguh ingin membanteras penyalahgunaan peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui wakil rakyat seperti yang dikatakan sedang disiasat ke atas beberapa orang wakil rakyat di Selangor, SPRM mesti bersikap adil dan tidak memilih untuk melakukan siasatan secara pilihan (selective).

SPRM mesti menyiasat secara rambang semua wakil rakyat, tak kira dari BN ataupun PR, kerana kita percaya penyelewengan berlaku di mana-mana terutama dalam pelaksanaan projek pembangunan kecil di satu-satu kawasan pilihan raya Parlimen.

Kita tahu bahawa setiap wakil rakyat BN, diperuntukkan sejumlah wang untuk menampung pembiayaan projek-projek pembangunan dan kemasyarakatan di kawasan masing-masing.

Adakah wang yang diperuntukkan itu dibelanja secara jujur dan amanah atau sebaliknya berlaku penipuan, penyelewengan dan disalahguna?

SPRM semestinyalah menyiasat sama ada peruntukan yang diagihkan kepada satu-satu kawasan pilihan raya Parlimen itu disempurnakan tanpa amalan rasuah yang mencakupi isu penyelewengan dan salahguna kuasa. Setahu saya, tiada siasatan dilakukan sedangkan SPRM mempunyai petugas yang mencukupi untuk berbuat demikian.

SPRM tidak hanya boleh digahkan sebagai sebuah badan siasatan amalan rasuah yang bebas tetapi ia mesti memperlihatkan kebebasan sebenar dengan tidak dilihat sebagai hanya menjalankan siasatan pilihan.

SPRM bukan bertugas atau bertindak mewakili mana-mana parti politik tetapi mewakili rakyat jelata dan ia mesti memperlihatkan yang ia benar-benar bertindak atas landasan yang betul.

Keberkesanan SPRM masih belum menyerlah dan memberi keyakinan penuh kepada rakyat. Kita tidak ingin melihat SPRM tidak lebih daripada "paper tiger" yang hanya gah dengan kenyataan-kenyataan media, kita mahu melihat SPRM gagah dan berani seperti seekor "harimau Malaya" yang tulen.

Kita percaya SPRM mampu berbuat demikian, jika ia mahu.


Thursday 4 June 2009

Pakatan P Pinang dah tak sepakat?

Beberapa peristiwa berkaitan politik setempat kebelakangan ini di Pulau Pinang memperlihatkan masalah dalam pentadbiran Pakatan Rakyat pimpinan DAP. Masalah atau perbalahan adalah antara DAP dan Parti KeADILan Rakyat dan tidak membabitkan rakan kerajaan campuran ketiga, PAS.

Mula-mula isu perletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri I dari PKR yang turut melepaskan jawatan Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, dalam kawasan kerusi Dewan Rakyat bagi Permatang Pauh.

Walaupun kemenangan berpihak kepada calon PKR yang dipermudahkan dengan pemulauan oleh BN, tetapi cara perletakan jawatan ADUN tidak disenangi oleh DAP dan PAS. Ramai pihak bersetuju bahawa perletakan jawatan itu tidak kena dan tidak selari dengan semangat Perlembagaan. Ia lebih merupakan permainan politik PKR.

Belumpun reda isu Penanti, kini timbul pula isu pemboikotan acara mengangkat sumpah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) oleh hampir semua ahli majlis dari PKR. Mereka tidak setuju perlantikan seorang pengkhidmat awam, iaitu mantan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU) selaku YDP MPSP.

Menurut mereka, persetujuan telah disepakati yang mahukan jawatan YDP MPSP dan YDP MPPP (bagi bahagian pulau Pulau Pinang) diterajui oleh orang politik, bukan pengkhidmat awam. Bagi MPSP jawatan itu diperuntukkan kepada PKR manakala bagi MPPP kepada DAP.

Ahli-ahli majlis MPSP yang memboikot upacara itu mempersalahkan Ketua Menteri dari DAP, Lim Guan Eng kerana membelakangkan PKR dan tidak berpegang kepada janji.

Tindakan memoikot itu menimbulkan kemarahan seorang wakil rakyat DAP yang juga salah seorang tenaga penting di belakang pentadbiran Guan Eng, iaitu Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi,
yang mendesak mereka yang memboikot upacara itu supaya letak jawatan dalam tempoh 24 jam.

Nampaknya, pakatan sudah tidak sepakat di Pulau Pinang.


Friday 22 May 2009

ZAMBRY MB SAH, KATA MAHKAMAH RAYUAN

Datuk Dr Zambry Abdul Kader adalah Menteri Besar Perak yang sah, demikian diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini.

Panel tiga hakim terdiri daripada Md Raus Sharif, Puan Zainun Ali dan Ahmad Maarop membuat keputusan itu sebulat suara.

Tuesday 12 May 2009

Zambry Oh Zambry...

Datuk Dr Zambry Abdul Kader sudah naik tocang apabila dia nak samakan kedudukan dan apa yang sedang berlaku di Perak dengan apa yang dialami oleh pejuang kemanusiaan Afrika Selatan dan Negarawan Dunia Nelson Mandela dan wira rakyat dan pejuang hak kesamaan manusia Mahatma Ghandi.

Agak keterlaluan bagi Zambry untuk menyamakan dirinya dengan Mandela mahupun Ghandi apatah lagi untuk memetik ucapan pejuang hak asasi manusia Amerika Syarikat Dr Martin Luther King sebagai sesuatu yang nak membenarkan apa yang sedang dialaminya.

Kedudukan Zambry sendiri masih menjadi tanda tanya walaupun dia mendapat perintah Mahkamah Rayuan yang diadili oleh seorang hakim. Perintah Mahkamah Rayuan itu masih samar-samar.

Hakim Ramly Ali yang bersidang seorang diri di Mahkamah Rayuan Putrajaya hanya membuat perintah menangguh penghakiman Mahkamah Tinggi KL bahawa MB Perak yang sah dari segi undang-undang adalah Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, dan bukan membuat perintah bahawa MB yang sah adalah Zambry.

Perintah yang dibuat adalah tangguh, bukan batal atau ketepikan perintah Mahkamah Tinggi. Jika tangguh bermakna akan disambung semula satu hari kelak. Jika Mahkamah Rayuan perintah untuk membatalkan atau mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi, maka ia dengan sendirinya menafikan kesahihan Ir Nizar sebagai MB. Oleh kerana perintah sedemikian tidak dibuat, maka Ir Nizar masih MB yang sah, bukan Zambry.

Keliru? Ya, ramai yang keliru termasuk mereka yang bergelar peguam. Peguam yang pro-UMNO membuat tafsiran pro-UMNO dan peguam yang pro-PR membuat tafsiran pro-PR.

Apa kesudahannya?

PM Najib Tun Razak nampaknya tidak mahu mengembalikan mandat memilih pentadbiran baru kepada rakyat melalui pilihan raya sedangkan itulah cara paling baik untuk cuba menyelesaikan kemelut politik Perak.

Kenapa Najib tidak mahu berbuat demikian sedangkan tokoh veteran UMNO seperti Tengku Razaleigh Hamzah, timbalan presiden MCA Dr Chua Soi Lek dan SU Agung Gerakan dan SUHAKAM sependapat bahawa penyelesaian terbaik adalah di adakan pilihan raya sekali lagi bagi DUN Perak.

Jawapannya mudah. Maklumat yang sampai kepada Najib melalui sumber-sumber risikan rasmi dan tidak rasmi menunjukkan kemenangan tidak akan memihak kepada BN sekiranya diadakan pilihan raya. Itulah sebabnya.

Oleh kerana BN akan hilang kuasa di Perak maka BN tidak mahu pilihan raya diadakan. BN lebih suka kuasanya yang seakan-akan telur di hujung tanduk itu dikekalkan melalui cara dan kaedah lain.

Jika apa yang diperkatakan ini tidak betul dan BN memang mendapat sokongan rakyat seperti yang didakwa oleh para pemimpin BN, kenapa takut untuk berdepan dengan rakyat sekali lagi? Bukankah berani itu kerana benar dan takut itu kerana salah?

Ayuh! Mohon perkenan Sultan supaya DUN Perak dibubarkan. Rakyat dah naik meluat dengan apa yang sedang berlaku.

Jangan biarkan kemeluatan rakyat berpanjangan kerana padahnya akan dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum ke-13.


Monday 11 May 2009

Zamry pula dapat perintah tangguh

Mantan MB BN Perak Datuk Dr Zamry Abdul Kader hari ini mendapat perintah dari Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi KL yang mengisytihar MB PR Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak yang sah.

Persidangan Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini tidak dianggotai tiga orang hakim seperti sepatutnya tetapi oleh seorang hakim sahaja, Datuk Ramly Ali.

Berikutan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan iu, maka kedudukan politik di Perak kembali kepada status kemelut dan kelam kabut. Siapa MB yang sah?

Awal-awal lagi peguam UMNO telahpun meminta Ir Nizar mengosongkan bilik atau pejabat MB. Apa akan berlaku selepas ini?

Nampaknya, dunia akan terus dipertontonkan sandiwara politik yang melakonkan perebutan kuasa antara dua puak yang berlainan fahaman dan pendirian politik.

Pi mai pi mai, tang tu jugak!


Nizar MB yang sah, kata Mahkamah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat penghakiman bahawa Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat (PR) adalah Menteri Besar Negeri Perak yang sah, bukan Datuk Dr Zambry Abdul Kader dari Barisan Nasional.

BN dan para penyokongnya hendaklah mematuhi keputusan Mahkamah dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejas ketenteraman awam.

Wednesday 6 May 2009

DUN PERAK dan KEMATANGAN WAKIL RAKYAT

Apa yang sedang dan telah berlaku di Dewan Undangan Negeri Perak melambangkan sejauh mana mereka yang bergelar Yang Berhormat, tak kira dari parti politik mana sekalipun, berfikiran dan berkelakuan matang.

Itulah yang dapat dikatakan. Ia adalah sesuatu yang memalu dan mengaibkan. Ia mendapat liputan meluas oleh media antarabangsa dan sekali lagi imej negara terjejas.

Jika YB Husam Musa dan kemudian Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil pendirian untuk "puasa bercakap" maka eloklah saya "puasa menulis" mengenai apa yang sedang berlaku di Perak.

Bacalah perkembangan yang memalukan itu sama ada di laman sesawang Malaysiakini atau The Star dan NST.


Saturday 18 April 2009

BN tak akan bertanding di Penanti?

Saya setuju dengan kenyataan PM Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Barisan Nasional (UMNO) mungkin tidak akan bertanding sekiranya pilihan raya kecil diadakan di DUN Penanti, Pulau Pinang.

Kenyataan DS Najib adalah sesuatu yang realistik.

Pertandingan hanya akan membuang masa dan membazir wang rakyat.

Andai kata ada pertandingan dan sekiranya BN bertanding dan menang, ia tidak akan mengubah kedudukan BN dalam Dewan Undangan Negeri dan jika BN kalah, sesuatu yang boleh diktakan pasti, BN dan Najib yang akan malu.

Oleh itu, elok sangatlah jika BN tidak bertanding. Tiada siapapun yang rugi. Itulah realitinya.

Tahniah DS Najib kerana mengambil tindakan yang wajar dan betul.

Thursday 16 April 2009

Penantian di Penanti satu penyiksaan?

Pilihan raya adalah satu amalan atau proses demokrasi yang serius dan tidak seharusnya dijadikan ia sesuatu yang remeh dan tidak penting.

Pilihan raya diadakan untuk memilih wakil rakyat sama ada untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen). Ia bukan satu perbuatan untuk memilih ketua darjah atau ketua kumpulan. Ia adalah proses yang termaktub dalam Perlembagaan dan membabitkan soal undang-undang.

Oleh itu, parti-parti politik dan wakil rakyat yang dipilih melalui proses pilihan raya tidak seharusnya dengan sesuka hati meletak jawatan atas alasan yang lemah.

Peletakan jawatan dua orang mantan wakil rakyat Parti KeADILan Rakyat (PKR) sebelum ini, iaitu di Permatang Pauh dan di Bukit Selambau adalah dua contoh dimana alasannya tidak begitu kukuh dan berkepentingan tertentu.

Kini ADUN Penanti dari PKR yang juga mantan Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin pula meletak jawatan atas alasan yang lemah dan rapuh. Saya harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertindak tegas berhubung peletakan jawatan Fairus dan mengkaji secara teliti sebab-musebab dia berbuat demikian. Jika ada keraguan, pilihan raya kecil tidak seharusnya diadakan.

Kita terima hakikat bahawa seseorang wakil rakyat boleh berhenti daripada menjadi ahli sama ada DUN atau Parlimen dengan mengutus surat yang ditandatangani olehnya kepada Speaker yang kemudian akan memaklumkan secara rasmi kepada SPR.

Yang perlu dihalusi oleh SPR ialah sama ada tanda tangan itu dibuat dengan rela hati atau dipaksa melalui tekanan atau yang dibuat tanpa meletakkan tarikh terlebih dahulu.

SPR tidak boleh membiarkan mana-mana wakil rakyat dengan sebegitu mudah meletak jawatan kerana proses pilihan raya bukan sesuatu yang seharusnya dipandang rendah dan boleh dipermain-mainkan. Ia adalah proses yang melibatkan rakyat, memerlukan perancangan dan logistik, mengambil kira aspek keselamatan dan memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit.

Antara sebab seseorang wakil rakyat itu boleh hilang kelayakan - dia disahkan tidak sempurna akal atau dalam kata-kata yang lebih tepat, gila; - dia muflis (bangkrap); dan dia disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang daripada setahun atau didenda tidak kurang daripada RM2 ribu.

ADUN Penanti yang terletak dalam kawasan Permatang Pauh, tidak gila, bukan seorang muflis dan belum atau tidak disabitkan kesalahan oleh mana-mana mahkamah, jadi kenapa dia perlu meletak jawatan?

Fairus, yang memiliki dua ijazah sarjana (masters) baru berusia 32 tahun dan boleh dikatakan mempunyai masa depan dalam arena politik, baru setahun jagung menjadi wakil rakyat dan diberi kepercayaan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Tiada sebab munasabah untuk dia meletak jawatan dalam pentadbiran negeri dan juga selaku wakil rakyat.

Mungkinkah apa yang sedang berlaku di Pulau Pinang, khasnya, dan dalam PKR, amnya, adalah satu permainan wayang kulit yang digerakkan oleh seorang tok dalang? Siapakah tok dalang PKR?

Saya kira percaturan yang diatur di Penanti mungkin akan memeranjatkan ramai pihak terutama tok dalang itu sendiri. Tidak semua gerak dan geri yang didalangi itu pasti mengikut rentak dan lagu yang dimainkan. Ada kalanya ia tersimpang dan terjatuh.

Mungkin di Penanti nanti, orang yang menanti, orang yang menunggu dan orang yang menyambut tetamu akan berpindah ke majlis yang lain kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap majlis yang sengaja diaturkan untuk kepentingan pihak dan golongan tertentu.

Sesungguhnya, penantian di Penanti akan menjadi penantian yang menyiksakan.

Wednesday 15 April 2009

Sandiwara dan perbalahan politik di sana sini

Malaysia tidak sunyi daripada sandiwara dan perbalahan politik sama ada antara parti yang memerintah dengan parti pembangkang atau sesama parti sendiri.

Rata-rata mereka yang terlibat atau barisan kepimpinan parti akan berkata "inilah demokrasi" atau akan menyifatkannya sebagai "masalah dalaman yang boleh diatasi".

ISU TKM PULAU PINANG

Isu pelantikan Timbalan Ketua Menteri 1 masih belum selesai. Pemimpin "sebenar" Parti KeADILan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim masih "bersandiwara" mengenai nama calon untuk dikemukakan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Saya tertanya-tanya apakah sukar sangat untuk memilih seorang daripada hanya dua orang yang ada kerana "kerusi TKM 1" dikhaskan untuk ADUN PKR yang mewakili orang Melayu. Atau adakah DS Anwar ada perancangan lain dalam muslihat politiknya di Penanti?

Lim Guan Eng sendiri dak naik bosan dengan sikap DS Anwar tetapi dia tidak berani untuk bertindak melaksanakan kuasa budibicarnya selaku Ketua Menteri. Orang mungkin tertanya-tanya siapa yang "berkuasa di Pulau Pinang? DS Anwar atau Guan Eng?

Jawatan TKM tidak diwujudkan melalui peruntukan Perlembagaan Negeri tetapi diadakan atas budibicara Ketua Menteri bermula pada zaman pemerintahan Tun Dr Lim Chong Eu apabila jawatan itu diberi kepada UMNO.

Guan Eng pula menggunakan budibicaranya apabila mewujudkan dua jawatan TKM semata-mata untuk memenuhi congak politik dan untuk memberi tempat kepada PKR dan "wakil" orang Melayu. Sebenarnya, jawatan itu tidaklah penting sangat kerana "kuasa" memerintah terletak di tangan Ketua Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) .

PERGOLAKAN UMNO TERENGGANU

Lakonan politik UMNO Terengganu mencapai kemuncaknya apabila 10 orang ADUN tidak menghadiri mesyuarat Persidangan Dewan Undangan Negeri atas alasan menerima ugutan melalui sistem pesanan ringkas atau SMS yang "didakwa" dihantar oleh seorang pegawai kanan dari Wisma Darul Iman. Polis sedang menyiasat.

Kumpulan 10 itu menghadiri majlis perasmian persidangan tetapi "memulaukan" mesyuarat atau persidangan pada hari kedua dan kembali semula ke Dewan pada hari ketiga dan terakhir setelah "diarah" oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Umum mengetahui sebab sebenar kenapa mereka berbuat demikian dan ia lebih jelas apabila mantan Menteri Besar DS Idris Jusoh berkata Menteri Besar Datuk Ahmad Said "takut bayang-bayang". Kata-kata Idris Jusoh memberi pengertian yang halus dan mendalam mengenai pergolakan UMNO Terengganu.

Persoalannya ialah jika benar Ahmad Said takut "bayang-bayang", kita ingin tahu "bayang-bayang siapa" yang ditakutinya? Adakah "bayang-bayang" itu muncul ekoran daripada khabar di lapangan (yang mungkin benar dan mungkin tidak) bahawa ada ADUN yang akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Said.

Kita tahu bahawa pelantikan Ahmad Said adalah atas perkenan Sultan Terengganu yang menolak calon yang dikemukakan oleh mantan presiden UMNO/Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad. Calon berkenaan adalah Idris Jusoh.

Apa yang sedang berlaku di Terengganu yang bergelar "Darul Iman" itu belum selesai kerana sandiwara itu baru memasuki babak kedua. Banyak lagi babak yang bakal dipentaskan untuk tontonan khalayak di bumi bertuah bernama Terengganu dan yang akan disiarkan ke seluruh negara oleh media baru dan konvensional. Dalam zaman sarwajagat sekarang, tiada sesuatu yang dapat disembunyikan daripada pengetahuan umum kerana wujudnya media baru.

Sesuatu yang perlu ditegaskan adalah sekiranya kemelut politik dalaman UMNO Terengganu tidak dapat diselesaikan secara baik, dan sekiranya DUN terpaksa dibubarkan, maka UMNOlah yang akan rugi besar. Gelombang biru sukar untuk menahan kemaraan gelombang tsunami.

UMNO SELANGOR TOLAK MAT TAIB

Di Selangor, keretakan dalam UMNO mula kelihatan apabila pucuk pimpinan parti diminta melantik tokoh lain selaku pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Kenapa tiba-tiba muncul suara sedemikian? Kenapa ada pemimpin UMNO Selangor yang secara terbuka menolak kepimpinan Tan Sri Muhammad bin Muhammad Taib? Menarik, cukup menarik jika diteliti sepak terajang dalam UMNO Selangor.

Saya bukan peminat atau penyokong Mat Taib tetapi apa yang berlaku ke atasnya memperlihatkan sesuatu yang sewajarnyalah menjadi iktibar kepada pemimpin politik terutama UMNO.

Inilah nasib yang menimpa orang yang hilang kuasa dan kedudukan. Mat Taib ditolak kerana dia tewas dalam pemilihan naib presiden UMNO dan dia digugurkan sebagai menteri apabila DS Najib mengumumkan barisan atau saf (yang bermaksud barisan) Kabinetnya.

Walau apapun alasan yang diberikan oleh mereka yang menolak kepimpinan Mat Taib, yang jelas ialah dia diterima semasa dia ada kuasa politik dan ada jawatan dalam pentadbiran. Kuasa dan jawatan adalah sesuatu yang penting dalam kepimpinan UMNO dan sekiranya seseorang itu hilang kedua-duanya, maka dia sukar diterima sebagai pemimpin. Itulah hakikatnya.

UMNO PERLIS TERUS BERGELUT

Di Perlis yang bergelar Indera Kayangan, permusuhan politik di kalangan pemimpin UMNO negeri masih menjalar antara Padang Besar hingga ke Arau dengan tidak melupakan Kangar.

Hanya terdapat tiga bahagian UMNO di Perlis tetapi sukar bagi mereka untuk bersatu-padu dalam satu pasukan. Kenapa?

Saya telahpun menulis mengenai masalah di Perlis dan memadai dengan menyatakan bahawa semuanya berpunca daripada isu pelantikan Menteri Besar dan sikap pemimpin yang sukar menerima "kekalahan" dan "kehilangan" kuasa. Ya, seperti di Selangor, soal "kuasa" turut menjadi faktor di Perlis.

Kuasa bukan segala-galanya dan orang politik seharusnyalah sedar akan hakikat itu. Jika kuasa yang menjadi rebutan, maka "kuasa" juga yang boleh menjatuhkan seseorang pemimpin. Kuasa yang dimaksudkan ialah "kuasa rakyat" semasa pilihan raya dan "kuasa ahli parti" semasa pemilihan parti.


Tuesday 7 April 2009

BN TUMBANG DI BUKIT GANTANG DAN BUKIT SELAMBAU



Calon PAS Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin menang pada pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi Dewan Rakyat kawasan Bukit Gantang. Sekaligus, kemenangan Ir Nizar memberi gambaran jelas bahawa pengundi Bukit Gantang memberi isyarat bahawa mereka menyokongnya selaku Menteri Besar Perak yang sah.

Serangan peribadi ke atas Nizar termasuk memainkan isu "derhaka" yang dilaung-laungkan oleh UMNO nampak telah ditolak sama sekali oleh rakyat yang mengundi.

Nizar memperolehi 21,860 undi berbanding dengan 19,071 yang memihak kepada calon BN/UMNO Ismail Safian dan 62 kepada calon bebas Kamarul Ramizu Idris.

Seperti yang dijangkakan, Barisan Nasional (BN) yang menurunkan hampir keseluruhan jentera pilihan rayanya termasuk mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad gagal mempengaruhi rakyat. BN tumbang dengan lebih parah. Begitu juga di Bukit Selambau, Kedah.

Ini dengan jelas menunjukkan bahawa kemenangan PAS di kerusi Parlimen Bukit Gantang pada pilihan raya umum 2008 bukanlah sesuatu yang secara kebetulan tetapi atas sokongan rakyat yang kukuh.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Bukit Selambau, calon PKR S. Manikumar meraih kemenangan yang terus memperlihatkan sokongan padu rakyat.

Manikumar menewaskan calon BN S. Ganesan dan 13 calon Bebas. Manikumar memperolehi 12,632 undi manakala Ganesan sebanyak 10,229 undi untuk memperolehi majoriti 2,403 undi. Semua 13 calon Bebas hilang wang pertaruhan.

Kehadiran Dr Mahathir di kedua-dua kawasan untuk menagih sokongan bagi pihak BN, tidak berhasil bahkan dia gagal mempengaruhi rakyat.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, BN melakukan kesilapan besar apabila menurunkan mantan orang kanan DS Anwar Ibrahim, Mohamad Ezam Mohamad Noor, untuk berkempen. Ezam bukanlah seorang yang disukai ramai malah dia adalah satu beban kepada BN. Saya menulis sebelum ini iaitu jika BN nak kalah, turunkan Ezam sama seperti yang berlaku di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Suka atau tidak, pengaruh DS Anwar Ibrahim jauh mengtasi pengarah Ezam, itupun jika dia ada pengaruh.

Tahniah kepada Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dan S. Manikumar.

Dalam satu lagi pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi DUN Sarawak bagi kawasan Batang Ai, calon BN menang dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon PKR.




Fairus nak tinggal PKR?

Nampaknya kemelut politik dalaman yang dihadapi oleh Parti KeADILan Rakyat (PKR) tidak habis-habis dan kali ini gelombang keretakan menghempas pantai Pulau Pinang.

Mantan Timbalan Ketua Menteri 1 Mohamad Fairus Khairuddin yang juga ADUN Penanti, dikatakan akan keluar parti untuk menjadi ADUN Bebas.

Dalam pada itu, PKR Pulau Pinang dilaporkan akan menyerah "surat letak jawatan sebagai ADUN" oleh Fairus kepada Speaker DUN. Surat tanpa tarikh itu disedia dan ditandatangani lebih awal sama seperti yang dilakukan di Perak. Jika berpandukan pengalaman Perak, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah tentu akan menolak surat perletakan jawatan" sedemikian rupa.


(Fairus akan isytihar diri sebagai ADUN Bebas?)


Menurut kawan-kawan di Pulau Pinang, ADUN Batu Maung Abdul Malik Abul Kassim sudah "sedia" untuk dilantik menggantikan Fairus sebagai TKM 1. Harap-harap dia tidak akan kempunan sekali lagi.

Seorang lagi calon dari PKR ialah ADUN Sungai Bakap Maktar Shapee.

(Abdul Malik antara dua nama yang disebut untuk menggantikan Fairus sebagai TKM 1)

Fairus yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), meletak jawatan TKM 1 pada 22 Mac lalu dan berkuatkuasa 8 April ini.