Showing posts with label Penang. Show all posts
Showing posts with label Penang. Show all posts

Friday 17 June 2011

Pemilihan AJK Masjid di P Pinang ditangguh atas titah Agong

SPB Yang di-Pertuan Agong menitahkan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menangguhkan proses pemilihan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang dijadualkan minggu depan. 

Baginda bertitah demikian semasa menerima menghadap Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan Yang Dipertua MAIPP Ellias Zakaria di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Jumaat.

MAIPP dijadual melaksanakan pemilihan AJK Masjid bagi penggal 2012-2013 setelah selesai menerima senarai pencalonan daripada hampir semua masjid di seluruh Negeri.

Sebelum ini, Negeri Selangor melaksanakan pemilihan Pengerusi dan AJK Masjid seluruh negeri tanpa bantahan daripada UMNO atau NGO lain. Di Selangor, sebelum pemilihan oleh anak kariah dibuat, satu gerakan pendaftaran dilaksanakan terlebih dahulu untuk memastikan hanya anak kariah yang tinggal dalam sesebuah kariah dan yang berdaftar boleh mengambil bahagian dan menghadiri mesyuarat agung kariah.

Lihat contoh Borang Pendaftaran Anak Kariah Masjid/Surau Seluruh Negeri Selangor.

MAIPP sepatutnya menjalankan pendaftaran anak kariah seperti yang dilakukan oleh Selangor sebelum mengadakan pemilihan Pengerusi dan AJK Masjid. 

Di Pulau Pinang, UMNO dan beberapa badan dan pertubuhan bukan kerajaan yang kebanyakannya diterajui oleh orang UMNO itu sendiri, membantah pelaksanaan proses pemilihan AJK oleh anak-anak kariah tetapi mahukan roses pelantikan diteruskan.

Bantahan oleh UMNO dan NGO yang disokong oleh parti itu dibuat tanpa alasan yang kukuh tetapi semata-mata atas faktor politik. Yang anehnya, secara diam-diam cawangan-cawangan UMNO telah mencalonkan 'orang parti' untuk menduduki sama ada kerusi Pengerusi atau AJK lain. 

Sementara itu, SPB Yang di-Pertuan Agong  menitahkan MAIPP menubuh panel bebas untuk meneliti dan membuat syor atau cadangan mengenai pelantikan AJK Masjid untuk dipersembahkan kepada baginda bagi mendapat perkenan atau  tidak.

Memandangkan panel bebas itu akan mengambil masa untuk menyempurnakan titah perintah baginda, maka AJK Masjid yang ada sekarang diminta meneruskan tugas dan tanggungjawab sehingga Disember 2012.

Secara peribadi, saya menyokong kaedah pemilihan oleh anak kariah daripada pelantikan oleh MAIPP yang sebelum ini dipengaruhi oleh golongan berpengaruh termasuk politik. Tetapi, proses pemilihan hendaklah dilaksana dengan betul seperti yang dilakukan di Negeri Selangor.









Monday 13 June 2011

Pemilihan AJK Masjid di Pulau Pinang

Keributan yang didalangi oleh pihak tertentu termasuk politik dan media di Pulau Pinang mengenai pemilihan jawatankuasa masjid atau sesebuah kariah oleh anak-anak kariah sebenarnya tidak lebih daripada rasa kurang senang yang berkepentingan politik.

Ianya turut ditiup oleh sentimen politik yang begitu sempit semata-mata kerana pentadbiran Negeri Pulau Pinang diterajui oleh DAP/Pakatan Rakyat.

Keributan yang dibangkitkan itu turut mempengaruhi kepimpinan UMNO termasuk menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal Islam dalam Kabinet, Mej-Jen (B) Jamil Khir Baharom,  pegawai pesara Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia.

Yang agak aneh, perkara yang sama dilaksanakan di Negeri Selangor tahun lepas membabitkan pemilihan AJK semua masjid di seluruh Selangor. Tidak pula timbul bantahan atau keributan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap pemilihan di Selangor.

Di Selangor, sebelum proses 'pilihan raya' untuk AJK masjid dijalankan, pendaftaran anak-anak kariah dilakukan terlebih dahulu dimana borang pendaftaran diedar oleh semua masjid selepas solat Jumaat. Hanya mereka yang berdaftar boleh menghadiri mesyuarat agung kariah dan mengundi. 

Saya sebut 'pilihan raya' kerana proses pemilihan dilaksanakan seperti satu pilihan raya. Anak kariah yang hadir perlu menyemak nama di kaunter yang ditetapkan, umpamanya kaunter A hingga C, atau D hingga F dan seterusnya. Setelah pegawai bertugas mengesahkan nama anak kariah itu wujud, barulah dia dibenar menyertai mesyuarat agung dan diserahkan borang mengundi. Ini adalah pengalaman yang saya lalui dalam kariah Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang.

Proses yang sama tidak dilaksana di Pulau Pinang. Saya diberitahu bahawa seseorang itu layak hadir ke mesyuarat dengan syarat dia mendiami dalam sesebuah kariah sekurang-kurangnya tiga bulan. Dalam hubungan ini, sesiapapun boleh hadir dengan menyatakan yang dia tinggal dalam kawasan kariah sesebuah masjid selama tiga bulan.

Semasa berada di Pulau Pinang baru-baru ini, saya turut ditanya mengenai perkara itu dan hasil daripada perbualan dan cerita yang didengari, ramai yang tidak faham dan tidak tahu tujuan sebenar malah ada yang mendakwa akan berlaku 'rasuah' atau 'politik wang' jika pemilihan itu diadakan.

Mereka  telah dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja atau cuba membangkitkan sentimen perkauman dan anti-pentadbiran negeri. Dalam pada itu, sebuah parti politik Melayu yang kini bertaraf pembangkang di Pulau Pinang, memberi 'arahan' kepada cawangan-cawangan yang berada dalam 'pentadbiran sesebuah kariah' supaya mencalonkan 'orang mereka' sebagai AJK. 

Saya tiada masalah dengan orang politik atau sesiapa sahaja yang ingin menjadi pengerusi atau AJK kariah asalkan mereka benar-benar layak, jujur, ikhlas dan amanah untuk memikul tugas mentadbir Rumah Allah. Mereka harus ingat dan sedar bahawa ia adalah satu amanah yang berat dan perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab bukan sahaja kepada kariah masing-masing, kepada agama tetapi kepada Allah.

Kita juga tidak ingin melihat seorang Nazir atau Pengerusi JK Masjid tidak boleh membaca doa apabila diminta atau menjadi imam kerana dia jahil dalam ilmu agama. Oleh itu pemilihan seseorang nazir hendaklah dibuat berasaskan ilmu agama, bukan berkepentingan politik.

Saya difahamkan bahawa sebanyak 193 daripada 200 kariah masjid di Negeri Pulau Pinang telah selesai mencadang nama AJK masjid masing-masing apabila proses tersebut selesai dijalankan. Semua 193 masjid telah menghantar senarai pencalonan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama bagi Negeri Pulau Pinang.

Umat Islam di Pulau Pinang sepatutnya bangga kerana mereka diberi hak untuk mencadang AJK masjid di kariah masing-masing yang sebelum ini dibuat atas perlantikan MAIPP yang tidak telus dan wujud unsur pilih kasih dan pilih kroni politik.

Hak itu diberi berpandukan Seksyen 104(1)(b) Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan 4(1) Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid, Negeri Pulau Pinang. Oleh itu, ia bukanlah sesuatu yang dilaksana sesuka hati oleh MAIPP.

Tahniah kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang kerana telah melaksanakan pemilihan AJK Masjid. Semoga mereka yang dipilih akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas.





Tuesday 31 May 2011

Pulau Pinang sesak dengan pelancong musim cuti sekolah

Ke mana saja anda pergi di tempat-tempat tarikan pelancongan di Pulau Pinang, anda akan berdepan dengan kesesakan. Pulau Pinang dibanjiri pelancong dalam negeri sempena musim cuti sekolah.

Selain pelancong dalam negeri, deretan teksi dan beca roda tiga atau lancia, setia menunggu beribu pelancong asing yang tiba dengan kapal pelancongan mewah di Jeti Swettenham.

Kesesakan jalan raya amat ketara terutama sepanjang Jalan Sultan Ahmad Shah, dulu Northam Road, Jalan Kelwai, Persiaran Gurney, Jalan Burma, Jalan Gottlieb, Jalan Bagan Jermal, Jalan Tanjong Tokong hinggalah ke Telok Bahang.

Di dalam kawasan pusat bandar raya, Tapak Warisan Dunia menjadi tarikan utama terutama oleh pelancong asing. Tetapi, kawasan yang pernah dikenali sebagai Malay Town, seolah-olah terasing dan kita ingin tahu apa yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Agama Islam yang mentadbir harta wakaf di kawasan Lebuh Aceh.

Apa yang jelas, Pulau Pinang kini menikmati kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri yang amat ketara.

Masalah besar yang dihadapi adalah sistem lalulintas yang agak ketinggalan zaman. Masih banyak jalan utama yang mengekalkan laluan dua hala seperti Jalan Kelawai, Jalan Burma dari simpang Jalan Pangkor hingga ke Jalan Gottlieb dan sepanjang Persiaran Gurney.

Kesesakan mungkin dapat ditasi atau di kurangkan sekiranya laluan-laluan tersebut dijadikan laluan sehala.

Semoga pentadbiran negeri dapat mempercepatkan usaha untuk memperbaiki sistem lalulintas di bahagian pulau, Pulau Pinang demi kebaikan semua pihak.

Monday 4 April 2011

Bukan mudah bagi BN nak tawan semula Pulau Pinang

Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Najib Tun Abdul Razak ke Pulau Pinang dilihat oleh para pendokong Barisan Nasional, BN, sebagai sesuatu yang mampu memulih sokongan rakyat kepada gabungan parti politik yang mentadbir Kerajaan Persekutuan.

Begitu jua dengan gambaran yang diberi oleh semua media arus perdana terutama media elektronik milik kerajaan dan pro-kerajaan. Laporan media arus perdana memberi gambaran yang kononnya lawatan itu membawa semangat dan harapan tinggi kepada rakyat Pulau Pinang untuk kembali menyokong BN.

Najib, atas nasihat para pakar parti dan penasihat politiknya, memilih untuk melawat dan bermesra dengan rakyat di tiga kawasan Parlimen yang tidak diwakili oleh BN, iaitu Balik Pulau, Jelutong, Bukit Bendera dan sebuah kawasan yang dimenangi oleh PKR tetapi wakilnya kini melompat ke kawanan 'bebas' di Dewan Rakyat, iaitu Bayan Baru.

Kehadiran Najib disambut oleh rakyat atau penduduk setempat yang berduyun-duyun sama ada dibawa ke tempat berkenaan oleh parti-parti politik gabungan BN atau yang ingin melihat dari dekat wajah pemimpin gagasan 1 Malaysia yang selama ini mereka melihatnya menerusi kaca atau kelir tv dan di dada-dada akhbar.

Di Bayan Baru, antara atur cara yang disediakan untuk Najib ialah menghadiri satu majlis kebudayaan masyarakat Asia Selatan dan sempena majlis itu, diadakan satu upacara khas penyerahan borang yang melambangkan tindakan keluar parti oleh mereka yang mendakwa sebagai ahli PKR. Mereka dikatakan sudah tidak lagi menyokong PKR dan ingin beralih angin kepada BN.  Upacara sedemikian bukanlah sesuatu yang luar biasa atau ajaib di Malaysia malah ia adalah sesuatu yang sudah basi lebih-lebih lagi apabila menghampiri pilihan raya atau muslihat politik yang cetek. Upacara di Bayan Baru itu mungkin boleh disamakan dengan satu babak sandiwara masyarakat Asia Selatan kerana ia tidak lebih daripada itu, satu sandiwara yang didalangi oleh seorang yang pernah menganggotai MIC, kemudian melompat kepada Gerakan, kemudian kepada PKR dan kini ingin melompat kembali kepada BN, sama ada MIC, Gerakan , PPP ataupun PCM.

Jika sebut saja Bayan Baru maka timbul pula nama seorang politikus yang pernah mengetuai UMNO Bahagian Tanjong, kemudian melompat ke PKR dan kini gah sebagai seorang MP Bebas yang mesra BN. Apakah satu kebetulan upacara yang disebut di atas diadakan di Bayan Baru atau ia satu kebetulan. Hanya Mohamad Zahrain Mohamad Hashim ada jawapannya.

Bercakap mengenai Zahrain yang merupakan penyokong kuat semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim berkedudukan kukuh dalam UMNO dan kerajaan,  memenangi kerusi Bayan Baru  pada PRU 2008 bukan atas kekuatan diri atau kerana dia popular tetapi dek kejutan tsunami politik yang melanda negara ketika itu. Zahrain sendiri tidak menyangka yang dia boleh menang dan merampas kerusi yang disandang oleh wakil MCA itu. Saya percaya jika Zahrain bertanding di kerusi yang sama pada PRU akan datang atas tiket bebas dia pasti kalah dan mungkin hilang wang pertaruhannya.

BN tidak boleh terlalu yakin yang kehadiran Najib atau mana-mana pemimpin besar BN ke Pulau Pinang mampu membawa perubahan kepada pentadbiran negeri. Ia bukan sesuatu yang mudah walaupun UMNO berkedudukan kuat di bahagian tanah besar tetapi ia belum cukup untuk membentuk kerajaan negeri.

UMNO tidak boleh bergantung harap kepada MCA atau Gerakan untuk meraih sokongan masyarakat bukan Melayu terutama Cina. Di bahagian pulau, kekuatan DAP sukar digugat oleh kedua-dua anggota komponen BN itu manakala kekuatan UMNO hanya pada tiga kawasan DUN di Balik Pulau dan Bayan Baru. 

Bagi kerusi Dewan Rakyat di bahagian pulau, BN hanya boleh  mengharapkan kemenangan di Balik Pulau dan mungkin di Bayan Baru, bergantung kepada faktor siapa calon yang dipilih. Bagi kerusi Dewan Rakyat yang kini diwakili DAP iaitu Tanjong, Bukit Gelugor, Jelutong dan Bukit Bendera, BN mempunyai peluang tipis untuk menang.

Pada pilihan raya lepas, UMNO hanya mampu mempertahankan kerusi  Dewan Rakyat di Kepala Batas dan Tasek Gelugor manakala kerusi Nibong Tebal berjaya direbut oleh PKR dan Permatang Pauh kekal di tangan PKR.

Kita percaya pada PRU akan datang, Tun Abdullah Ahmad dan Tan Sri Noor Mohamed Yakcop mungkin tidak akan bertanding untuk mempertahan  Kepala Batas dan Tasek Gelugor dan ini akan memberi kesan kepada peluang UMNO untuk kekal mewakili kedua-dua kawasan undi  itu. Faktor calon memain peranan penting dan UMNO mesti membuat pilihan tepat dengan tidak hanya mencari bakal calon dari kalangan pemimpin peringkat bahagian. 

Berdasarkan perkembangan politik setempat dan semasa, UMNO mesti mencari calon dari kalangan muka-muka baru jika ia ingin mempertahan kerusi DUN dan Dewan Rakyat di bahagian tanah besar atau Seberang Perai.  Semua ADUN yang ada sekarang perlu diganti kerana pengundi tidak lagi memangkah berdasarkan simbol parti politik tetapi melihat siapa calonnya. Pemilihan calon mesti menjangkau jawatankuasa peringkat bahagian kerana amalan memilih calon di kalangan pemimpin bahagian tidak dapat menjamin kemenangan untuk parti.

Di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat, kedudukan PKR agak rapuh dan semakin hilang sokongan rakyat berbanding dengan DAP ataupun PAS. Kedudukan PAS jauh lebih kukuh berbanding PKR terutama di kalangan pengundi Melayu. Pengundi bukan Melayu juga semakin mempercayai PAS.

Pada PRU akan datang, PKR mungkin akan hilang sokongan di kalangan pengundi di Pulau Pinang terutama bagi  kawasan-kawasan DUN  majoriti Melayu dalam kawasan undi Dewan Rakyat Bayan Baru dan Balik Pulau.

Yang hampir pasti ialah kemampuan DAP untuk mempertahan dan mungkin menambah kerusi DUN di bahagian pulau dan mengekal kerusi-kerusi Dewan Rakyat. Begitu juga di Seberang Perai, DAP agak sukar dicabar di Bagan dan  Bukit Mertajam serta kerusi-kerusi DUN dalam kedua-dua kawasan undi berkenaan.

Masalah besar yang dihadapi UMNO di Pulau Pinang ialah ketandusan pemimpin berwibawa yang mampu membawa perubahan seperti yang diharapkan oleh orang Melayu. Di kalangan pemimpin politik masyarakat Cina, kepercayaan rakyat harus ditangani  terutama dalam isu-isu yang agak sensitif termasuk apa yang disebut oleh masyarakat Cina sebagai ' kow tow' kepada UMNO. Ia adalah sesuatu yang sukar bagi sama ada MCA ataupun Gerakan dan faktor ini membuatkan kedua-dua parti tidak diyakini oleh masyarakat Cina.

Walaupun Najib, Muhyiddin ataupun pemimpin tertinggi BN yang lain kerap turun ke Pulau Pinang, ia tidak dapat menjamin kemenangan pada pilihan raya akan datang. Bukan mudah bagi BN untuk menawan semula Pulau Pinang. Bukan mudah.

 


Saturday 1 January 2011

George Town kini 54 tahun bertaraf bandar raya

Geroge Town, ibu Negeri Pulau Pinang, hari ini genap 54 tahun bertaraf bandar raya. Taraf tersebut tidak  ditarik balik atau pemasyurannya tidak dibatalkan oleh Ratu Elizabeth yang menganugerahkan taraf tersebut.

George Town dimasyurkan sebagai sebuah bandar raya atas perintah diraja atau royal command oleh  Queen Elizabeth pada 1 Januari, 1957, iaitu sebelum Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos tahun yang sama.

George Town adalah satu-satunya bandar di Timur Jauh yang mendapat penghormatan tersebut.

Majlis Bandar Raya George Town telah digabungkan dengan Majlis Daerah Luar Bandar, pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab ke atas kawasan yang tidak termasuk di bawah pentadbiran Majlis Bandar Raya George Town seperti Bayan Lepas, Balik Pulau dan Telok Bahang, berikutan pewujudan Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Datuk Bandar pertama George Town yang dipilih oleh ahli-ahli majlis yang terdahulu dipilih melalui pilihan raya kerajaan tempatan ialah D.S. Ramanathan dari Parti Buruh atau Labour Party. Sehingga pilihan raya majlis atau kerajaan tempatan dimansuhkan, Bandar Raya George Town ditadbir oleh gabungan Parti Buruh dan Parti Soialis yang membentuk Socialist Front atau Barisan Sosialis.

Parti Perikatan, gabungan UMNO, MCA dan MIC, tidak dipilih oleh rakyat untuk mentadbir Majlis Bandar Raya George Town tetapi menbtadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang sehingga tahun 1969 apabila ditumbangkan oleh Parti Gerakan pimpinan mendiang Tun Dr Lim Chong Eu.

Foto di bawah menunjukkan sebuah bas troli dua tingkat berkuasa elektrik yang dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Bandar Raya George Town. Amat malang sekali apabila perkhidmatan bas troli yang mesra alam itu dihentikan awal tahun 1960-an. 

Monday 6 December 2010

Tahniah Datuk G Palanivel

Saya ambil peluang ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk G Palanivel yang dlantik oleh Jawatankuasa Pusat Kongres India Malaysia atau MIC selaku Presiden kelapan parti itu hari ini.

Palanivel adalah anak Pulau Pinang keempat dipilih menerajui sebuah parti politik bertaraf kebangsaan selepas mendiang Tun Dr Lim Chong Eu yang pernah memimpin MCA dan kemudian Gerakan, Tun Abdullah Ahmad yang pernah menerajui UMNO, Tan Sri Koh Tsu Koon yang kini memimpin Gerakan, walaupun dia dilahirkan di Medan, Indonesia tetapi dibesarkan di Pulau Pinang.

Yang lebih istimewa bagi diri saya ialah persahabtan dengan Datuk Palanivel yang lebih mesra dirujuk sebagai Palani, iaitu sejak zaman kanak-kanak sehinggalah sama-sama bertugas di Bernama.

Palani adalah jiran saya di Jalan Kelawai, Georgetown, Pulau Pinang. Walau bagaimanapun kedua-dua rumah keluarga kami sudah tiada kerana memenuhi keperluan pembangunan, kami masih berpeluang mengenang kembali kehidupan pada tahun-tahun 50-an dan 60-an. Rumah keluarga saya bertentangan dengan Jalan Jones dan berhadapan Sekolah Melayu Kelawai, kini menempatkan Menara Yayasan, manakala rumah keluarga Palani di simpang Jalan Kelawai-Lorong Burma.

Semasa berkhidmat dengan Bernama, Palani dan saya bersama-sama seorang lagi rakan, Abdul Rachman Yeop Norodin atau Roger, bertugas serentak sebagai Pengarang Berita atau sekarang disebut Penolong Editor di Meja Berita Dalam Negeri. Semasa berkhidmat selaku Pengarang Berita, Palani mendapat tawaran jawatan Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri S. Samy Velu dan bermulalah kerjaya politiknya dalam MIC.

Palani mengambil alih teraju kepimpinan MIC pada masa dan ketika yang agak mencabar. Beliau bukan sahaja akan menghadapi cabaran 'dalaman' parti tetapi perlu bekerja kuat untuk memulihkan sokongan masyarakat India Malaysia kepada MIC dan Barisan Nasional, satu tugas yang bukan senang. 

Sama ada Palani mampu memulih sokongan kepada MIC hanya akan diketahui apabila menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang diramalkan akan diadakan pertengahan tahun depan.

Kepada Datuk G Palanivel,  selamat menerajui MIC dan semoga saudara mampu membawa kejayaan kerana bukan mudah untuk memimpin sebuah parti yang diterajui sebegitu lama oleh Datuk Seri S. Samy Velu.


 

Saturday 27 November 2010

Chong Eu yang saya kenali

Kematian mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr Lim Chong Eu semestinya meninggalkan banyak kenangan, sama ada pahit mahupun manis, di kalangan banyak orang, khususnya orang politik dan warga Pulau Pinang.

Banyak pihak daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hinggalah kepada rakyat marhaen semua kaum, memperkatakan sesuatu mengenai mendiang pengasas Parti Gerakan Rakyat Malaysia dan antara pengasas utama gabungan Barisan Nasional itu, hampir semuanya meluahkan kata-kata positif.

Saya tidak perlu mengulangi kejayaan dan taburan jasa dan bakti mendiang Chong Eu kepada negeri kelahirannya, Pulau Pinang dan kepada negara selaku Ahli Parlimen Tanjong dan gagasan BN. Tiada siapapun boleh menafikan apa yang dilakukan oleh mendiang untuk membangun dan memodenkan Pulau Pinang selepas taraf pelabuhan bebas ditarik balik untuk diberi kepada Langkawi.

Saya adalah antara wartawan yang rapat dengan mendiang semasa bertugas di Pulau Pinang, negeri kelahiran saya, pada era 1970-an. Mendiang mengenali keluarga saya yang tinggal di Kampung Syed, Kelawai terutama sekali bapa mertua saya.

Pada salah satu pilihan raya umum, saya ditugaskan oleh ketua biro Bernama Pulau Pinang, Khoo Boon Choo untuk meliputi kempen Chong Eu dan setiap pagi saya akan ke markas pilihan rayanya di sebuah banglo lama milik keluarga mendiang di Jalan Macalister. Dari situlah hubungan saya dengan mendiang menjadi rapat. Mendiang mempercayai saya kerana, tanpa kesedaran saya, dia pernah menguji sama ada saya boleh dipercayai atau tidak apabila dia menceritakan sesuatu dan meminta saya merahsiakannya. Hingga sekarang saya tidak membocor apa yang diceritakannya.

Kepercayaan Chong Eu terhadap saya membuatkannya menawar jawatan Pegawai Akhbar, satu jawatan yang hendak diwujudkannya kerana sebelum itu dia tidak mempunyai seorang pegawai yang khusus berkaitan akhbar atau media termasuk setiausaha akhbar.

Mendiang Chong Eu meminta saya melepaskan jawatan dengan Bernama untuk diambil sebagai Pegawai Akhbar Ketua Menteri, satu jawatan yang diletakkan di bawah pentadbiran negeri, bukan pentadbiran persekutuan.

Saya keberatan untuk meletak jawatan dan meminta kerajaan negeri memohon kepada Bernama meminjamkan saya kepada Pejabat Ketua Menteri atau dalam bahasa Inggeris disebuat sebagai 'secondment'. Saya menyangka pengurusan Bernama pasti meluluskannya kerana permohonan itu datangnya dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sangkaan saya jauh meleset kerana Bernama tidak setuju berbuat demikian. Lihat surat daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, di bawah ini, yang menyatakan pendirian Bernama.



Mungkin saya melakukan kesilapan besar kerana tidak meletak jawatan untuk berkhidmat sebagai Pegawai Akhbar. Walau apapun, sesal kemudian tiada gunanya.

Saya tidak tahu yang Bernama begitu menghargai khidmat saya sehingga keberatan untuk melepaskan saya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedangkan selepas itu ada wartawan Bernama yang dipinjamkan kepada pejabat Menteri. Bernama, ketika itu lagi sudah mengamalkan dwi-standard.

Walaupun permohonannya untuk mendapatkan saya berkhidmat sebagai Pegawai Akhbar secara pinjaman ditolak oleh Bernama, beliau tetap rapat dengan saya dan beliau pernah menyatakan kepada orang kanannya dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa saya membesar di hadapannya, walaupun kenyataan itu tidak begitu tepat tetapi saya menganggapnya sebagai satu penghormatan.

Selepas beliau bersara setelah kalah pada pilihan raya umum di tangan Lim Kit Siang, mendiang masih ingat dan kenal saya. Inilah salah satu kelebihan mendiang, iaitu dia mempunyai daya ingatan yang tajam, dia mengenali setiap wartawan yang sering membuat liputan di Bangunan Tuanku Syed Putra, iaitu ibu pejabat Kerajaan Negeri ketika itu. Dia ingat nama dan di media mana wartawan berkenan bertugas.

Mendiang juga ketua kerajaan negeri yang pertama mengadakan sesi bersama media pada satu hari setiap minggu. Majlis pertemuan itu diadakan bukan untuk mendapat publisiti semata-mata tetapi lebih merupakan satu peluang untuk beliau mendapat maklum balas dari pihak media. Ia lebih merupakan pertemuan untuk bertukar-tukar fikiran dan selalunya, wartawan pulang ke pejabat dengan bahan berita yang menarik.

Golongan wartawan yang sering menghadiri pertemuan itu hampir semuanya sudah bersara dan tidak kurang pula yang telah meninggal dunia. Mereka yang meninggal dunia, iaitu mendahului mendiang Chong Eu dan yang saya tahu adalah, Nazar Abdul, Ghani Latiff, Yusof Bakar, Khamis Ahmad, K Ratnam, Gunn Chit Thuan, Nasaruddin dan AR Kamaluddin.

Semasa saya bertugas di Singapura dan ketika itu mendiang telah bersara, saya terperanjat apabila ditegur olehnya semasa menunggu ketibaan anak saya dari Pulau Pinang di lapangan terbang Changi. Mendiang masih ingat nama saya dan menegur saya dengan bertanya apa yang saya buat di Changi.

Mendiang meluangkan masa untuk borak dengan saya sebelum beredar untuk menghadiri satu majlis di republik itu. Itulah sikap mendiang yang tidak sombong dan sering merendah diri walaupun dia bertaraf orang kenamaan yang pernah diberi gelaran 'The Lion of Tanjong' atau Singa Tanjong semasa menjadi Ahli Parlimen Tanjong.

Mendiang juga banyak membantu masyarakat Melayu Pulau Pinang walaupun banyak pihak yang sering mencurigainya. Yang mendiang utamakan adalah kesungguhan dan kejujuran untuk melakukan sesuatu, bukan menginginkan sesuatu tanpa mahu berusaha atau bekerja untuk mendapatkannya. Mendiang akan membantu berdasarkan faktor tersebut.

Sebagai contoh, Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang mencatat sejarah sebagai Dewan yang pertama di Malaysia mempunyai sebuah bangunan sendiri setinggi 12 tingkat, mendahlui dewan-dewan perniagaan Cina dan India. Kewujudan bangunan itu menjadi kenyataan kerana mendiang Chong Eu yakin dan percaya bahawa ia dapat dibangunkan oleh sahabat karibnya yang juga Presiden Dewan, almarhum Tan Sri Syed Abbas Alhabshee.

Bangunan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang berdiri megah di daerah perbankan dan pelabuhan, berhadapan menara jam bersejarah, bangunan Pejabat Imigresen, bangunan Pejabat Agama Islam dan berdekatan Dewan Undangan Negeri dan Bangunan Tuanku Syed Putra. Ia adalah tempat strategik yang tidak mungkin dimiliki oleh Dewan andai kata orang lain yang menjadi ketua menteri dan bukan mendiang Dr Lim Chong Eu. Itulah hakikatnya.

Walaupun mendiang dan almarhum Syed Abbas pernah menjadi musuh politik, tetapi atas faktor persahabatan dan kepercayaan akan kemampuan dan kebolehan almarhum untuk mendirikan bangunan yang menelan belanja berpuluh juta ringgit itu, mendiang meluluskan pemajakan tanah yang bernilai tinggi itu kepada Dewan dengan harga Rm1 sahaja.

Mendiang juga membantu Koperasi Melayu Pulau Pinang yang diketuai oleh almarhum Syed Abbas mendirikan empat blok rumah pangsa untuk ahli-ahli koperasi di Jalan Perak. Banyak pihak yang menuduh mendiang atau pentadbiran negeri sebagai tidak membantu orang Malayu pada hal faktor sebenar adalah sebaliknya. Golongan yang menentang pembinaan rumah pangsa tersebut adalah segelintir orang Melayu yang iri hati dan menyimpan perasaan hasad dan dengki. Mereka melakukan bermacam cara untuk menggagalkan projek tersebut.

Bagi saya, Tun Dr Lim Chong Eu, yang datangnya dari keluarga Cina Peranakan Pulau Pinang, adalah seorang insan yang terlalu banyak berjasa kepada negeri Pulau Pinang khususnya, dan Malaysia amnya.

Mendiang adalah seorang yang pintar dan salah satu kelebihannya yang tidak diketahui umum ialah kebolehannya mengarang sajak atau 'poem' dalam bahasa Inggeris. Saya tidak tahu sama ada himpunan sajaknya itu masih ada dalam simpanan keluarganya atau sebaliknya. Mantan setiausaha sulitnya yang kemudian dilantik Ahli Dewan Negara selama dua penggal, Gooi, saya tidak ingat nama penuhnya, mungkin ada jawapannya.

Rakyat Pulau Pinang sudah pasti akan mengenang jasa Tun Dr Lim Chong Eu.

Tanam pisang tanam ubi,
Ubi ditanam berbatas-batas,
Banyak sudah tuan berbudi,
Dalam ingatan tidak terbalas.

Saturday 25 September 2010

Saja nak tanya Reezal Merican - ke mana hasil cukai arak, judi dan babi...

AJK Pemuda Umno yang juga ahli Umno dalam bahagian Kepala Batas, Pulau Pinang , Reezal Merican Naina Merican, nampaknya bersungguh-sungguh 'memperjuangkan' untung nasib Melayu Pulau Pinang. Keghairahannya semakin menjadi-jadi setelah BN/Umno tewas dalam pilihan raya lepas di Pulau Pinang.

Ada saja yang tak  kena dengan pentadbiran negeri pimpinan Lim Guan Eng.

Reezal Merican, elok juga kita rujuk kepadanya sebagai 'cek', iaitu rujukan mesra orang Tanjong kepada orang yang lebih muda sama seperti mereka merujuk kepada orang yang lebih tua sebagai mamak, mamu, mami, atta ataupun nana dan aci.

Reezal, cek tentu tau dan pandai cari modai nak tegork dan nana, saya bahasakan diri saya sebagai abang walaupun boleh jadi bapa kepadanya, suka tengok cara cek keluark 'press statement'. Cek memang tera. 


Cuma satu yang nana nak tanya kat cek bab duit judi yang cek kata kerajaan negeri Pulau Pinang guna dok bantu orang miskin. Nana nak tau kalu-kalu benda yang sama dibuat oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain dan kerajaan persekutuan. Mana la tau kot-kot cek boleh jawab.

Nana nak tanya pasai duit atau cukai yang dikutip hasil daripada pengimportan arak, pengeluaran lesen judi, cukai yang dikutip atas keuntungan kasino di Genting Highlands, cukai-cukai yang dikutip hasil keuntungan loteri, Sports Toto dan Magnum.

Duit tu semua pi mana kalau tak masuk dalam hasil kerajaan persekutuan dan ada yang masuk dalam kutipan hasil kerajaan negeri.

Dengan itu, segala cukai dan kutipan hasil penjualan arak, hasil judi dan hasil keuntungan ladang-ladang ternakan babi dan hasil eksport babi ke Singapura disatukan dalam hasil atau perolehan negara. Duit  tu juga diguna atau dibelanja untuk pembangunan negara termasuk membina rumah-rumah ibadat, sekolah, hospital dan kemudahan awam lain.

Hasil itu juga diguna untuk membantu orang miskin di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk mereka yang beragama Islam.

Tak kan kerajaan asingkan hasil daripada sumber haram itu daripada jumlah hasil keseluruhan yang dikutip sama ada melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Pejabat-pejabat Tanah, Pihak-pihak Berkuasa Tempatan dan sebagainya, daripada hasil atau cukai yang bukan haram. Tentu tidak.

Oleh itu, pasai apa cek Reezal Merican bangkitkan sumbangan yang dikatakan dibuat oleh Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang kepada kerajaan negeri untuk bantu orang miskin di negeri cek sendiri.

Dah tentu tak dak beza dengan apa yang dibuat oleh kerajaan-kerjaan Negeri dan kerajaan Persekutuan. Jadi pasai apa nak jadikan satu isu ..... jangan lah jadi macam si periuk yang dok kata si belanga hitam sedangkan diapun hitam macam tu juga.

Cek Reezal kena pi belajar main politik lagi dengan tok guru Abdullah, la ni Tun Abdullah, cucu Pak Hassan Kontong atau Kwantung, pasai mungkin ada benda yang dia tak peturunkan kat cek.

Wednesday 14 July 2010

UMNO Jelutong dah bosan dengan kepimpinan?

Saya mengikuti pergolakan dalam Umno Bahagian Jelutong, Pulau Pinang yang pernah saya anggotai dalam tahun 1970-an kerana ia mungkin mengakibatkan ramai ahlinya berpaling tadah ke Pakatan Rakyat.

Kemungkinan itu disokong oleh rakan lama saya yang duduk semeja dalam Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jelutong kira-kira 30 tahun lampau, Datuk Abdul Rashid Ismail, yang juga mantan Ketua Umno Bahagian Jelutong dan mantan Ahli Dewan Negara.

Saya tertarik dengan kenyataan Abdul Rashid yang membayangkan bahawa Umno tidak mungkin dapat terus berkuasa jika ia gagal menangani masalah-masalah parti itu. Saya percaya Abdul Rashid bukan sahaja merujuk kepada masalah dalam Umno Bahagian Jelutong tetapi dalam Umno keseluruhannya.

Abdul Rashid, yang mempunyai talian keluarga dengan Ahli Parlimen Bayan Baru yang keluar PKR untuk jadi ahli bebas, Zahrain Mohamad Hashim, secara tidak langsung menyokong cakap-cakap bahawa sebahagian daripada ahli Umno dalam bahagian itu akan keluar parti dan memihak kepada Pakatan Rakyat, sama ada PAS atau PKR.

Masalah dalam Umno Bahagian Jelutong berpunca daripada tindakan kepimpinan parti peringkat negeri menututp 17 buah cawangan dengan jumlah keahlian kurang-lebih 4,000 orang.

Hujung minggu lalu, peneraju 17 cawangan berkenaan mendesak pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang dipinjam dari negeri Perak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyelesaikan segera krisis dalaman bahagian itu yang berputik tiga tahun lalu.

Wakil kumpulan 17, Abdul Wahab Abdullah berkata mereka masih sayangkan Umno dan meminta Zahid, yang juga salah seorang naib presiden parti, berjumpa dengan semua ketua dan jawatankuasa 17 cawangan berkenaan untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi sebelum parti menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak.

Semua 17 cawangan berkenaan dilabelkan sebagai "tidak sah" oleh kepimpinan bahagian dan perhubungan Negeri dengan alasan wujudnya "ahli hantu". Bagaimanapun, Abdul Wahab berkata mereka tidak menerima sebarang surat mengenai kedudukan cawangan masing-masing sama ada digantung atau tidak sah, dan sebab itulah mereka mengadakan mesyuarat agung.

Kumpulan 17 itu juga melahirkan rasa kecewa atas ketidak hadiran Ahmad Zahid yang dijadual merasmikan mesyuarat agung tahunan bahagian (membabitkan 17 cawangan berkenaan).

Akibat kekecewaan tersebut, mereka memberi tempoh sehingga hujung tahun ini kepada Majlis Tertinggi parti untuk memberi keputusan mengenai kedudukan 17 cawangan berkenaan dan Umno Bahagian Jelutong itu sendiri. Jika MT gagal berbuat demikian, mereka tidak teragak-agak untuk membubarkan cawangan masing-masing dan keluar parti secara beramai-ramai.

Sementara itu, Abdul Rashid yang hadir pada mesyuarat agung 17 cawangan berkenaan, menasihati mereka supaya terus memperjuangkan hak mereka.

Beliau juga berkata mereka mempunyai pilihan lain jika hak mereka dinafikan oleh kepimpinan parti, mereka boleh menyertai parti lain seperti PKR atau PAS dan ia boleh diterima kerana mereka bukan melompat ke agama lain.

Dalam pada itu, Bernama mengutip ketua Umno Bahagian Jelutong yang diiktiraf parti, Abdul Razak Abdul Rahman sebagai berkata beliau telah mengirim surat kepada ahli-ahli dalam 17 cawangan berkenaan supaya mengangggotai cawangan lain dalam bahagian itu kerana badan perhubungan Umno negeri telah membuat keputusan untuk menutup cawangan terbabit.

Nampaknya, PAS dan PKR berpeluang menambah bilangan cawngan atau ranting masing-masing dalam kawasan Jelutong.

Wednesday 12 May 2010

Yayasan lagi...pi mai pi mai dok tang tu jugak!

Kawan-kawan tanya kenapa lama tak "up-date" blog ini, jawapan saya ringkas saja, malas dan bosan, itulah sebabnya. Bosan dengan apa yang berlaku di stesen-stesen tv milik Media Prima dan RTM sehingga penerbit letak jawatan dan penerbit kecewa rancangan terbitannya dipaksa tarik balik, semuanya kerana pilihan raya kecil. Saya juga kecewa dengan sikap rakan di Media Prima yang hanya menjemput calon BN untuk diwawancara dalam rancangan Soal Jawab (TV3) semasa tempoh berkempen pilihan raya kecil Hulu Selangor. Kenapa hanya calon BN dan tidak calon PKR? Apa dah jadi dengan etika kewartawan yang dipelajari dan sepatutnya dipegang dan diamalkan? Ke mana dicampaknya sikap adil dan saksama dan tidak memihak?

Sekarang dah lega sikit dan ada pula subjek yang nak diulas.

Sebagai anak Pulau Pinang, saya terpanggil untuk ulas mengenai penubuhan sebuah lagi entiti yang kononnya nak bantu orang Melayu, iaitu Yayasan Aset Bumiputera.

Nampaknya, Pulau Pinang mempunyai atau dilayani oleh "badan" atau "entiti" yang paling banyak semata-mata untuk membantu orang Melayu/Bumiputera yang sejak zaman pemerintahan Parti Perikatan, kemudian Gerakan, kemudian Kerajaan Campuran Gerakan-UMNO, kemudian Barisan Nasional dan sekarang Pakatan Rakyat, masih dikatakan "terpinggir". Malu dibuatnya.

Antara agensi yang ditubuh khusus untuk membantu orang Melayu Pulau Pinang adalah PERDA (Penang Regional Development Authority), Jawatankuasa Pemandu Penyertaan Bumiputera, Yayasan Bumiputera Pulau Pinang (kedua-duanya di bawah Jabatan Perdana Menteri) dan yang terbaru Yayasan Aset Bumiputera. Selain itu, ada agensi nasional seperti MARA, UDA, TEKUN, Pejabat Pembangunan Negeri (bawah JPM), dan Unit Perancang Ekonomi.

Dengan sebegitu banyak agensi pun orang Melayu Pulau Pinang dikatakan "terpinggir". Sudah tentu ada yang tidak kena sama ada dengan peranan dan tugas agensi-agensi berkenaan atau dengan sikap orang Melayu Pulau Pinang itu sendiri.

Kerajaan Persekutuan boleh tubuh seberapa banyak agensi untuk membantu orang Melayu dan kita akan terus mendengar sungutan dan rungutan yang kononnya orang Melayu "terpinggir". Nampaknya, nasib orang Melayu Pulau Pinang sudah ditakdirkan akan terus "terpinggir", begitulah agaknya.

Pulau Pinang telah menyumbang seorang tokoh sebagai Perdana Menteri, seorang lagi sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan kini seorang menteri anak Pulau Pinang yang ditugaskan ke atas perancangan dan pembangunan ekonomi, tetapi kita masih dihujani dengan kata-kata "terpinggir"... sampai bila?

Jika orang Melayu Pulau Pinang mendakwa mereka "terpinggir" sebegitu lama, saya saran agar mereka pergi melihat rumah pemimpin-pemimpin Melayu termasuk ketua-ketua bahagian dan mantan ketua bahagian UMNO, lihat kereta apa yang mereka miliki dan lihat akan kesenangan hidup kroni-kroni mereka. Adakah mereka "terpinggir"?

Tak guna kerajaan tubuh yayasan atau badan khas untuk membantu orang Melayu sekiranya pelaksanaan dan pengagihan sama ada projek atau tender tidak dibuat secara adil, telus, tulus dan ikhlas.

Sebelum pentadbiran BN Pulau Pinang tumbang, tanya pemimpin UMNO yang menduduki kerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan termasuk timbalan ketua menteri, apa yang mereka buat? Sekarang mereka mengisi kerusi pembangkang di DUN Pulau Pinang dan tiba-tiba menjadi lantang mengkritik dan menyalahkan orang lain atas kegagalan mengeluarkan orang Melayu daripada "peminggiran" yang dikatakan masih berlaku.

Lihat saja apa yang sedang berlaku di kawasan Melayu Tanjong Tokong. Laut yang pada mulanya ditambak untuk membangun sebuah penempatan moden Melayu, boleh bertukar kepada sebuah projek besar pihak swasta yang mewujudkan perumahan mewah yang tidak mampu dimiliki oleh orang Melayu. Di situ, sememangnya orang Melayu "terpinggir". Salah siapa? Apa dah jadi dengan Kampung Haji Mahmood, Tanjong Tokong? Salah siapa?

Banyak sebab yang boleh diberi jika benar orang Melayu Pulau Pinang "terpinggir" atau "dipinggir" atau mungkin mereka yang "meminggirkan diri".

Pi mai, pi mai dok tang tu jugak!


Sunday 7 March 2010

Pilihan raya kerajaan tempatan


Keterangan gambar: Lambang atau Perisai City Council of George Town (CCGT), pihak berkuasa kerajaan tempatan pertama di Malaysia yang dikekalkan hingga sekarang.


Seperti yang dijangka, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menolak cadangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengadakan semula pilihan raya untuk melantik ahli menduduki majlis kerajaan tempatan.

Pendirian Najib mudah difahami walaupun dia memberi alasan bahawa pilihan raya peringkat kerajaan tempatan hanya akan menambah orang berpolitik atau politiking. Ia ada kebenarannya kerana di Malaysia berpolitik berlebih-lebihan menjadi lumrah kerana hampir semua urusan dikaitkan dengan politik, umpamanya perlantikan untuk lembaga dan badan-badan berkanun, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, pemberian tawaran kerja atau tender dan pemberian kontrak.

Saya kurang setuju dengan alasan Najib berasaskan kenyataan dan sejarah pilihan raya kerajaan tempatan.

Bayangkan parti mana yang akan menguasai kerajaan-kerajaan tempatan di Pulau Pinang, Ipoh, dan Kuala Lumpur sekiranya pilihan raya diadakan?

Lihat saja keputusan saban pilihan raya umum yang membabitkan kawasan-kawasan undi dalam bandar di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, khususnya. Di KL hampir 100 peratus dikuasai oleh bukan parti Barisan Nasional, terutama DAP. Begitu juga di Pulau Pinang (bahagian pulau).

Oleh itu, jika pilihan raya kerajaan tempatan diadakan untuk memilih ahli majlis Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur atau Majlis Perbandaran Pulau Pinang, saudah pasti akan dikuasai oleh parti bukan BN. Datuk Bandar akan dipilih dari kalangan pemimpin DAP atau PKR dan bukan dilantik dari kalangan penjawat awam seperti sekarang. Sudah tentu Najib ataupun kepimpinan UMNO tidak dapat menerimanya.

Sejarah pilihan raya untuk memilih wakil ke majlis kerajaan tempatan di Pulau Pinang membuktikan kenyataan tersebut.

Saya perturunkan sejarah penubuhan kerajaan tempatan di Pulau Pinang yang menyaksikan pilihan raya untuk memilih wakil ke majlis pentadbiran dibuat buat pertama kalinya di Malaysia.

Pihak pentadbiran penjajah Inggeris telah menubuhkan "Municipal Council of George Town" pada tahun 1857, iaitu pihak berkuasa tempatan atau kerajaan tempatan yang pertama ditubuh di Tanah Melayu.

Keterangan gambar: Rumah Allahyarham Syed Mohamad Al-Attas, salah seorang pemimpin/pedagang keturunan Arab yang kini dijadikan Muzium Islam Pulau Pinang. Kewujudan rumah ini dan beberapa harta lain milik orang Islam dalam kawasan bandar raya membuktikan peranan dan sumbangan mereka kepada pembangunan George Town.


Pada bulan Disember 1956, pilihan raya untuk memilih wakil ke majlis Perbandaran George Town, iaitu buat pertama kali di Malaya. Majlis yang dipilih sepenuhnya oleh rakyat itu kemudian bersidang pada 2 Januari, 1957 dan memilih seorang peguam mewakili MCA/Perikatan, G.H.Goh selaku Presiden mengalahkan D.S. Ramanathan dari Parti Buruh (Labour Party). Pemilihan itu dibuat bsehari selepas Ratu Elizabeth II menganugerah taraf bandar raya kepada George Town, bandar pertama di Timur Jauh yang diberi pengiktirafan itu.

Berikutan taraf George Town dinaikkan sebagai sebuah bandar raya, maka ahli-ahli majlis yang dipilih rakyat yang majoritinya terdiri daripada Parti Buruh telah memilih Ramanathan sebagai Datuk Bandar pertama.

Pilihan raya majlis kerajaan tempatan George Town diadakan mengikut jadual dan ia dikuasai oleh gabungan dua buah parti berhaluan kiri dan pro-komunis, iaitu Parti Buruh dan Partai Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) yang membentuk Barisan Sosialis atau Socialist Front.

Barisan Sosialis menguasai pentadbiran Majlis Bandar Raya George Town walaupun pentadbiran negeri dikuasai oleh Parti Perikatan yang diterajui oleh MCA di Pulau Pinang. Kawasan di luar pentadbiran Majlis Bandar Raya ditadbir oleh Majlis Daerah Luar Bandar (MDLB) yang ahlinya tidak dipilih oleh rakyat tetapi dilantik.

Berikutan tercetusnya Konfrontasi Indonesia dan atas alasan keselamatan, Kerajaan Persekutuan telah menggantung pilihan raya kerajaan tempatan, iaitu pada tahun 1965 dan setahun kemudian peranan atau tugas Majlis Bandar Raya George Town dipindahkan ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pada tahun 1974, sebuah Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan atau Local Government Management Board diwujudkan untuk mentadbir sebuah majlis perbandaran yang meliputi keseluruhan pulau. Setahun kemudian MDLB dibubar untuk diletakkan di bawah sebuah majlis kerajaan tempatan yang baru, iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Anehnya, taraf George Town sebagai sebuah bandar raya masih kekal tetapi tanpa sebuah majlis pentadbiran yang sepatutnya.

Kedudukan George Town sebagai sebuah bandar raya tunggal di Malaysia kekal dari 1957 hingga 1972 apabila Kuala Lumpur dimasyurkan sebagai sebuah bandar raya, iaitu yang kedua selepas George Town.

Sekiranya kita mendukung amalan demokrasi secara menyeluruh dan betul, maka pilihan raya untuk memilih ahli-ahli majlis kerajaan tempatan seharusnya diadakan. Rakyat atau pengundi seharusnya diberi hak untuk memilih wakil mereka dan bukan dibuat secara lantikan seperti sekarang.

Kita sedar sekiranya pilihan raya diadakan untuk kerajaan tempatan, amat sukar bagi BN untuk menguasainya di Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur tetapi itulah sesuatu yang seharusnya dihadapi dan diterima oleh sebuah gabungan parti-parti politik yang dikatakan juara rakyat.

Pilihan raya kerajaan tempatan juga dapat menguji dan memberi jawapan sebenar sejauh mana rakyat menerima konsep atau semangat juang 1 Malaysia.



Saturday 6 February 2010

Pulau Pinang ketandusan pemimpin?



Kekecohan dan kecelaruan politik yang sedang melanda Pulau Pinang memperlihatkan satu perkara yang amat ketara - pemimpin anak negeri yang diketepikan.

Jika pada satu ketika dahulu Pulau Pinang bangga dengan kejayaan anak negeri menerajui atau menjawat jawatan kanan dalam pentadbiran negara, perkhidmatan tadbir dan diplomatik dan angkatan tentera, kini mereka terpaksa menerima "orang luar" untuk memimpin di peringkat negeri.

Anak Pulau Pinang dah pun jadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Presiden dan CEO Petronas, anak Malaysia pertama selaku Ketua Polis Negara, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ketua Setiausaha Kementerian dan anak Malaysia pertama selaku Panglima Tentera Laut.

Itu dahulu dan dahpun menjadi sejarah.

Sekarang - Ketua Menteri orang Melaka, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri orang Perak dan salah seorang pemimpim NGO Melayu yang membuat bantahan jalanan Jumaat lalu pun orang luar - iaitu dari pasir Mas, Kelantan.

Pulau Pinang sebenarnya tidak ketandusan pemimpin tetapi rakyat negeri itu sendiri yang menolak pemimpin tempatan atas banyak sebab yang pemimpin politik setempat sedia maklum.

Kehadiran Lim Guan Eng dari Melaka untuk menerajui pentadbiran negeri, pada mulanya diterima orang Pulau Pinang atas faktor tertentu, tetapi selepas setahun masalah mula timbul.

Pentadbiran Guan Eng mula memperlihatkan kelemahan demi kelemahan terutama dalam mengendali perkara-perkara yang mencuit kepekaan rakyat.

Keadaan menjadi lebih kalut apabila rakan kongsi politik dalam Pakatan Rakyat (R) sendiri yang mengkritik dan membidas kepimpinan Guan Eng. Jika yang mengkritik itu hanya wakil rakyat Melayu, banyak tanggapan mungkin dibuat, tetapi apabila ianya turut melibatkan wakil rakyat bukan Melayu dan dari DAP itu sendiri, maka sukar untuk menolak begitu sahaja tuduhan yang dilemparkan.

Saya bukanlah peminat Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim, Ahli Parlimen Bayan Baru, mantan pengerusi Parti KeAdilan Rakyat Pulau Pinang dan mantan Ketua UMNO Bahagian Tanjong, tetapi apa yang didedahkannya adalah sesuatu yang serius.

Zahrain, sejak zaman UMNO, adalah penyokong kuat mantan Timbalan Perdana Menteri yang kini Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan apa yang disuarakannya bukan saja dituju khusus kepada Guan Eng tetapi tempiasnya jatuh ke muka Anwar. Ini kerana selama ini, Anwar cepat mempertahankan Guan Eng dan tindakannya itu tidak disenangi oleh kepimpinan akar umbi PKR.

Anwar perlu lebih berani dan lebih tegas dalam menangani masalah di Pulau Pinang jika ingin melihat pengekalan pentadbiran PR pada pilihan raya akan datang. Anwar semestinya menegur Guan Eng dan DAP. Bukan sentiasa mempertahankan apa yang dibuat oleh setiausaha agung DAP itu.

Rakyat Pulau Pinang dah mula naik bosan dan meluat dengan tindak-tanduk Lim Guan Eng. Ia bukan soal perkauman atau kebencian orang Melayu, ia adalah kebencian rakyat. Jika ia tidak ditangani segera, PR akan hanyut apabila berhadapan dengan rakyat pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

UMNO pula tidak boleh berpeluk tubuh dan anggap apa yang sedang berlaku sebagai satu kemenangan. Jika UMNO ingin mempertahan sokongan rakyat, UMNO mesti membersih rumah tangganya sendiri terlebih dahulu. UMNO Pulau Pinang memerlukan muka baru yang bukan sahaja berpendidikan tetapi bersih daripada segala-segi untuk diketengahkan sebagai pemimpin.

UMNO Pulau Pinang mesti berubah untuk elak direbahkan oleh rakyat.

Sunday 6 December 2009

SMS hasutan perlihatkan kejahilan ADUN DAP


Pulau Pinang masih menjadi salah satu tempat percutian yang disukai ramai terutama pada musim cuti sekolah seperti sekarang. Di mana-mana sahaja tempat tarikan awam terdapat ramai pengunjung terutama dari luar Pulau Pinang.

Itulah yang dapat dilihat apabila saya ke Penang Road, Batu Feringgi, Pesiaran Gurney atau Padang Kota Baru, Padang Kota Lama yang terkenal dengan Kota Cornwallis dan Telok Bahang yang menempatkan Taman Rama-rama, hutan lipur dan kilang batik Pulau Pinang.

Selain pengunjung dari negeri-negeri di Semenanjung, terdapat juga pengunjung dari Singapura yang memandu kereta terus ke Pulau Pinang, tarikan utama orang Singapura adalah makanan terutama di Pesiaran Gurney.

Malangnya, dalam kegembiraan melihat begitu ramai pelancong dari dalam dan luar negara yang berada di Pulau Pinang, terbit satu berita yang kurang menyenangkan yang berpunca daripada tindakan biadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri atau ADUN Parti Tindakan Rakyat atau DAP.

ADUN Sungai Pinang Koid Teng Guan mengaku telah menghantar khidmat pesanan ringkas atau SMS yang menghasut orang ramai untuk 'kebumikan' Barisan Nasional serta bersembahyang untuk roh mereka apabila mereka meraikan perayaan 'Qing Ming'.

Pokok pangkalnya SMS itu bukan sahaja berbentuk hasutan tetapi perkauman kerana SMS itu ditulis dalam bahasa Cina dan dihantar kepada masyarakat Cina. Menurut laporan lebih 400 orang menerima SMS itu tetapi angkanya jauh berlipat ganda apabila orang yang menerimanya menghantar kepada pihak ketiga dan seterusnya.

Walaupun Teng Guan telah memohon maaf secara terbuka, ianya sudah terlambat kerana SMS berkenaan masih disebarkan oleh pihak ketiga. Ianya ibarat perbuatan mencurah setitik nila ke dalam belanga yang berisi susu segar. Kerosakan sudahpun berlaku.

Andai kata SMS itu dihantar oleh seseorang yang bukan ADUN, ia boleh dimaafkan tetapi tidak boleh dilepaskan daripada tindakan undang-undang jika ia dapat dikesan. Tetapi apabila ia disebarkan oleh seorang ADUN, ia tidak dapat dimaafkan dan tidak boleh dilepaskan daripada tindakan undang-undang.

Beberapa pihak di Pulau Pinang telah membuat laporan polis dan adalah diharapkan pihak berwajib akan menjalankan siasatan rapi dan menyeluruh dan pihak Timbalan Pendakwa Raya mengheretnya ke muka penghakiman.

Perbuatan biadab dan tidak bertanggungjawab oleh mereka yang bergelar Yang Berhormat tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja. Perbuatan sedemikian tidak memperlihatkan kehormatan pada diri pelaku tetapi satu kebodohan dan kejahilan.

Thursday 3 September 2009

Tanjong To'kong - secebis kisah

Satu demi satu kampung Melayu hilang atas nama pembangunan. Projek-projek pembangunan yang dilaksanakan atas tapak bekas perkampungan Melayu di Pulau Pinang disempurnakan oleh kedua-dua pihak, iaitu pemaju swasta dan agensi pemerintah atau syarikat berkaitan kerajaan.

Di kawasan bandar raya George Town, tiada lagi perkampungan Melayu dalam erti kata yang sebenar. Yang masih tegak tetapi tidak semestinya tidak akan rebah ialah beberapa buah kampung kecil seperti Kampung Makam (wakaf Sheikh Kassim) dan saki baki perkampungan Melayu di Tanjong Tokong.

Di mukim Kelawai, umpamanya, kampung Melayu termasuk yang berada di sepanjang pantai yang kini terkenal dengan Plaza Gurney, Hotel G, Hotel Gurney dan Hotel Evergreen Laurel telah lama berkubur.

Antara Kelawai dan Tanjong Bunga, kampung Melayu yang sebenarnya hanya wujud di Tanjong Tokong kerana beberapa buah kampung di Bagan Jermal, Bagan Atas dan Tanjong Tokong sendiri telah hilang ditelan pembangunan.



Kondo mewah di tepi pantai Tanjong Bunga ini (kiri) pada asalnya sebuah penempatan atau kampung Melayu yang bergantung hidup sebagai nelayan. Kondo ini berharga satu juta ringgit ke atas dan tidak mampu di beli atau dimiliki oleh orang Melayu yang merupakan penduduk asal di situ.








Inilah wajah Kampung Haji Mahmood, Tanjong Tokong setelah ia dibersihkan daripada rumah-rumah kayu berbumbungkan atap nipah.

Inilah bangunan yang bakal menghiasi Kampung Haji Mahmood. Sebuah unit kondo mewah berharga tidak kurang daripada 850 ribu ringgit.




Kampung Melayu Tanjong Tokong adalah antara perkampungan Melayu yang awal wujud di Pulau Pinang. Semasa nakhoda kapal Syarikat Hindia Timur atau East India Company (EIC) bernama Francis Light mendarat di Tanjong Penaga (dekat Padang Kota Lama), kampung Melayu Tanjong Tokong sudah pun wujud. Ia bukan sebuah kampung yang dibuka selepas kedatangan Inggeris pada tahun 1786 tetapi jauh lebih awal. Ia adalah warisan bangsa.

Malangnya, atas nama pembangunan, satu demi satu kampung Melayu antara Kelawai dan Tanjong Bunga dilenyapkan. Kini nasib perkampungan Melayu Tanjong Tokong berada dihujung tanduk.

Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan untuk membangun semula Tanjong Tokong dan tugas itu diserahkan kepada UDA Holdings Bhd. Penduduk kampung dilabelkan sebagai setinggan sedangkan nenek moyang mereka telah menghuni perkampungan itu sejak 200 tahun lalu. Inilah nasib kampung-kampung Melayu di Pulau Pinang.

Musibah yang menimpa Kampung Buah Pala sebenarnya telah dialami jauh lebih awal oleh beberapa buah kampung Melayu termasuk di Ayer Itam, Kampung Rawa, Kampung Rawana, Jelutong, Sungai Nibong, Gelugor dan Bayan Lepas.

Pembangunan semula perkampungan Melayu Tanjong Tokong dikatakan akan menelan belanja 800 juta ringgit hingga satu bilion ringgit. UDA Holdings menjangkakan pembangunan semula itu akan dapat dilaksanakan antara lapan hingga 10 tahun dalam empat fasa, membabitkan pembangunan bercampur rumah kediaman dan unit-unit komersil. Keseluruhan projek pembangunan itu membabitkan kawasan seluas 30 hektar termasuk tanah pantai (laut) yang dipulih guna.

Cadangan pembanguna semula itu membabitkan 870 keluarga yang akan dan telah dipindahkan ke penempatan sementara secara berperingkat. Menurut laporan media, 250 keluarga telahpun dipindahkan pada tahun 2007 yang membolehkan fasa pertama projek berkenaan dimulakan.

Yang pasti, pembangunan semula perkampungan Melayu Tanjong Tokong akan sekali gus melenyapkan sebuah kampung tersusun yang menjadi lambang warisan Melayu Pulau Pinang kerana kampung-kampung lain dalam kawasan bandar raya dan pinggir bandar sudah menjadi sejarah.


Setiap kali pulang ke Pulau Pinang, saya dan isteri pasti ke Tanjong Tokong awal pagi untuk membeli kuih-muih Melayu. Inilah salah satu keistimewaan kampung Melayu Tanjong Tokong, iaitu mengekalkan penghasilan kuih tradisional Melayu.

Tanjong Tokong melahirkan beberapa tokoh yang berjasa kepada negara seperti pejuang kemerdekaan dan tokoh wartawan yang tidak didendang, Allahyarham Ibrahim Mahmood (Kampung Haji Mahmood sempena nama bapanya), Allahyarham Datuk Mohamad Sopiee Sheikh Ibrahim (sebatang jalan di kampung itu dinamakan sempena nama bapanya) dan anaknya Allahyarham Tan Sri Dr Nordin Sopiee, dan mantan datuk bandar KL Tan Sri Elyas Omar.

Penduduk Tanjong Tokong bukan menentang pembangunan tetapi mereka mahu mengekalkan satu-satunya kampung Melayu yang tersusun yang masih wujud dalam kawasan bandar. Kampung Melayu Tanjong Tokong adalah warisan bangsa, warisan negeri dan warisan negara.

Kita bimbang nasib yang menimpa satu-satunya perkampungan masyarakat India/Tamil di Pulau Pinang, iaitu Kampung Buah Pala, akan menimpa sebuah lagi kampung Melayu. Apakah tidak cukup pengorbanan perkampungan Melayu selama ini? Apakah sukar untuk mengekalkan sebuah kampung yang benar-benar kampung tradisional Melayu Pulau Pinang?

Nampaknya begitu. Arah aliran pembangunan di Pulau Pinang yang melibatkan pembangunan kediaman pencakar langit terutama kondo mewah kini sudah menular ke kampung-kampung Melayu di Bayan Lepas, Teluk Kumbar, Teluk Tempoyak, Batu Maung dan seterusnya akan merebak ke Balik Pulau.

Di Bayan Lepas, beberapa buah kampung termasuk yang berjiran dengan kampung kelahiran mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Haji Ahmad sudahpun hilang dan digantikan dengan pangsapuri dan kondo mewah.

Bukit-bukau turut ditarah termasuk yang menghadap laut di antara Tanjong Bunga dan Telok Bahang. Semasa membesar di Pulau Pinang, saya tidak pernah mendengar apatah melihat tanah runtuh di Tanjong Bunga hingga ke Telok Bahang. Sekarang ia menjadi kenyataan akibat daripada pembangunan kediaman mewah atas bukit.

Berbalik kepada pembangunan semula Tanjong Tokong, UDA Holdings akan menukar wajah kampung Melayu kepada dua buah projek yang dinamakan Warisan Tanjung (tak tahu pula saya warisan apa yang dimaksudkan sedangkan warisan sebenar dihapuskan) yang akan mengandungi 15 blok rumah pangsa lima tingkat (1,350 unit) dan sebuah bangunan komersil. Perlu diiangatkan pembangunan rumah pangsa lima tingkat tidak perlu disediakan lif. Ya, orang Melayu cukup gagah untuk memanjat tangga, barangkali itulah sebabnya didirikan rumah pangsa lima tingkat. Atau, itulah bentuk kediaman yang sesuai didiami oleh orang Melayu.

Projek kedua yang akan dimajukan atas tapak pulih guna (tambak laut) dinamakan Tanjung West, akan mengandungi rumah pangsa berharga sederhana rendah, pangsapuri, kondo dan bangunan komersil. Ia membabitkan kawasan seluas 16.6 hektar.

Episod Kampung Buah Pala sudahpun di penghujung jalan dan penduduk kena akur dengan kehendak undang-undang, sama ada ianya betul atau sebaliknya, kini nasib penduduk kampung Melayu Tanjong Tokong yang cuba mempertahankan warisan datuk nenek mereka sedang diuji dan kita boleh menjangkakan apa yang menimpa penduduk Kampung Buah Pala akan berulang di Tanjong Tokong.

Pulau Pinang bandar baharu,
Kapten Light menjadi raja,
jika dikenang nasib Melayu,
tentu menitis si air mata.

Inilah serangkap pantun lama warisan Melayu Pulau Pinang yang saya ubah sedikit (nasib Melayu) untuk menyesuaikan dengan keadaan semasa.




Thursday 2 July 2009

Penduduk Kampung Buah Pala tuntut kesaksamaan


Satu isu besar yang menghantui pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang ialah kedudukan sebidang tanah yang bernilai tinggi di mukim Gelugor yang dikenali sebagai Kampung Buah Pala. Pakatan Rakyat mewarisi masalah itu daripada pentadbiran Barisan Nasional pimpinan mantan Ketua Menteri Tan Sri Koh Tsu Khoon.

Perkampungan terakhir orang Tamil di Pulau Pinang itu dikelilingi oleh bangunan dan taman perumahan yang pada satu ketika dahulu menjadi sebahagian daripada ladang atau estet milik keluarga Brown.

Kampung Buah Pala diberi nama sempena ladang pokok pala yang diusahakan oleh David Brown, seorang ahli perniagaan yang kaya yang berhijrah ke Pulau Pinang semasa pentadbiran EIC (East India Company) yang diketuai oleh Francis Light.

Brown membuka ladang yang dikenali sebagai Gelugor Estate atau Periya Thottam kepada orang Tamil, iaitu ladang rempah ratus yang menghasilkan buah pala, cengkih dan lada hitam.

Selain Gelugor Estate, David Brown turut memiliki dua ladang yang tidak kurang luasnya itu Sungai Nibong dan Sungai Dua Estate (Sinna Thottam).

Turut memiliki ladang dan hartanah yang besar pada ketika itu ialah Francis Light sendiri dan James Scott.

Orang Inggeris menguasai hampir 75 peratus tanah di Pulau Pinang yang bermula dari puasat bandar hinggalah ke Sungai Nibong dan Ayer Itam.

Untuk mendapatkan tenaga kerja di ladang dan juga untuk kerja-kerja binaan jalan dan sebagainya, pihak Inggeris membawa masuk pekerja dari India terutamanya banduan. Bermula pada tahun 1790 rakyat India, kebanyaknnya negeri Tamil, berhijrah ke Pulau Pinang.

David Brown turut tidak ketinggalan membawa masuk pekerja dari India untuk bekerja di ladang rempah ratusnya. Tidak seperti tenaga kerja yang pulang ke India selepas mengumpul wang secukupnya, pekerja Brown memilih untuk menetap dan berkeluarga di ladang tempat mereka bekerja.

Apabila David Brown meninggal dunia pada tahun 1825 (iaitu 184 tahun lalu), pentadbiran ladangnya diambil alih oleh anak dan seterusnya oleh waris beliau yang lain. Apabila tanaman getah diperkenalkan di Tanah Melayu, keluarga Brown turut membuka ladang getah sehingga ke Sungai Ara.

Keluarga Brown adalah antara keluarga yang paling kaya di Pulau Pinang dan selain memiliki ladang getah dan rempah ratus, mereka turut memiliki tiga buah rumah di puncak Bukit Bendera.

Sebuah rumah yang dikenali sebagai David Brown's Cottage dibina di Strawberry Hill, yang dinamakan sempena ladang strawberry milik Brown, dan sebuah lagi rumah dikenali sebagai Brown House dan sebuah lagi bernama Mon Craig.

Jika anda ke Pulau Pinang anda akan diberitahu bahawa antara tempat yang menawarkan makanan ala-penjaja yang terbaik ialah di Padang Brown atau Padang Brom bagi sesetengah warga Pulau Pinang.

Padang Brown sudah tentu pada asalnya hartanah milik keluarga Brown yang dihadiahkan kepada rakyat Pulau Pinang sebagai sebuah padang permainan terutama bolasepak. Di Padang Brown atau kemudian dikenali sebagai Padang Datuk Keramat terdapat sebuah tugu peringatan untuk David Brown iaitu Brown Memorial.

Selain Padang Brown, terdapat sebuah taman perumahan yang menempatkan rumah kos rendah hinggalah ke kos sederhana tinggi yang dikenali sebagai Brown Garden. Ia adalah sebahagian daripada tanah Gelugor Estate yang dijadikan kawasan perumahan awam antara yang terawal di Pulau Pinang.

Brown Garden kini bertukar nama kepada Taman Tun Sardon, iaitu semasa orang politik begitu ghairah menukar nama jalan, kampung dan tempat daripada nama Inggeris kepada nama tempatan dan Brown Garden adalah antaranya.

Bertentangan dengan Brown Garden terdapat sebatang jalan yang bernama Jalan Helen Brown, iaitu nama salah seorang waris David Brown yang 'mewakafkan' hartanya kepada penduduk tempatan. Saya tidak tahu sama ada jalan itu masih wujud atau namanya telah ditukar kepada nama tempatan.

Tanah Kampung Buah Pala adalah antara hartanah keluarga Brown yang diamanahkan kepada penduduk atau waris pekerja ladang berkenan.

Hartanah itu berpindah milik kepada Koperasi Pegawai Kanan Kerajaan Pulau Pinang. Saya tidak tahu bagaimana atau bila hartanah itu dipindah milik dan siapa pemiliknya sebelum dipindah milik.

Syarikat yang bakal memajukan Kampung Buah Pala ialah Nusmetro Venture (P) Sdn Bhd
yang bakal mengubah wajah kampung tradisional itu kepada sebuah projek mega termasuk kediaman mewah.

Waris pekerja Gelugor Estate yang datuk nenek mereka mula menetap di situ hampir 200 tahun lalu kini berdepan dengan masalah paling besar dalam sejarah kehidupan mereka. Tanah yang dikurniakan kepada datuk nenek mereka telah berpindah milik kepada orang lain dan kini mereka menanti masa untuk diusir entah ke mana.

Penghuni Kampung Buah Pala adalah waris insan yang turut memberi sumbangan kepada kemakmuran ekonomi Pulau Pinang, mereka turut memberi sumbangan kepada pembangunan Pulau Pinang dan mereka adalah warga negara yang hanya mengenali Malaysia sebagai tanah tumpah darah mereka.

Mereka bukan seperti sebilangan pekerja dari India yang ke bumi bertuah ini untuk mengumpul wang yang kemudian dibawa pulang ke negara asal, golongan itu dikenali sebagai "Adi Dravidas".

Waris pekerja ladang Gelugor Estate yang menghuni Kampung Buah Pala adalah warga negara yang sama-sama menyumbang kepada pembangunan Pulau Pinang. Mereka menuntut kesaksamaan sama seperti orang lain yang berhak berbuat demikian.

Inikah Satu Malaysia?

Thursday 4 June 2009

Pakatan P Pinang dah tak sepakat?

Beberapa peristiwa berkaitan politik setempat kebelakangan ini di Pulau Pinang memperlihatkan masalah dalam pentadbiran Pakatan Rakyat pimpinan DAP. Masalah atau perbalahan adalah antara DAP dan Parti KeADILan Rakyat dan tidak membabitkan rakan kerajaan campuran ketiga, PAS.

Mula-mula isu perletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri I dari PKR yang turut melepaskan jawatan Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, dalam kawasan kerusi Dewan Rakyat bagi Permatang Pauh.

Walaupun kemenangan berpihak kepada calon PKR yang dipermudahkan dengan pemulauan oleh BN, tetapi cara perletakan jawatan ADUN tidak disenangi oleh DAP dan PAS. Ramai pihak bersetuju bahawa perletakan jawatan itu tidak kena dan tidak selari dengan semangat Perlembagaan. Ia lebih merupakan permainan politik PKR.

Belumpun reda isu Penanti, kini timbul pula isu pemboikotan acara mengangkat sumpah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) oleh hampir semua ahli majlis dari PKR. Mereka tidak setuju perlantikan seorang pengkhidmat awam, iaitu mantan Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU) selaku YDP MPSP.

Menurut mereka, persetujuan telah disepakati yang mahukan jawatan YDP MPSP dan YDP MPPP (bagi bahagian pulau Pulau Pinang) diterajui oleh orang politik, bukan pengkhidmat awam. Bagi MPSP jawatan itu diperuntukkan kepada PKR manakala bagi MPPP kepada DAP.

Ahli-ahli majlis MPSP yang memboikot upacara itu mempersalahkan Ketua Menteri dari DAP, Lim Guan Eng kerana membelakangkan PKR dan tidak berpegang kepada janji.

Tindakan memoikot itu menimbulkan kemarahan seorang wakil rakyat DAP yang juga salah seorang tenaga penting di belakang pentadbiran Guan Eng, iaitu Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi,
yang mendesak mereka yang memboikot upacara itu supaya letak jawatan dalam tempoh 24 jam.

Nampaknya, pakatan sudah tidak sepakat di Pulau Pinang.


Thursday 16 April 2009

Penantian di Penanti satu penyiksaan?

Pilihan raya adalah satu amalan atau proses demokrasi yang serius dan tidak seharusnya dijadikan ia sesuatu yang remeh dan tidak penting.

Pilihan raya diadakan untuk memilih wakil rakyat sama ada untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen). Ia bukan satu perbuatan untuk memilih ketua darjah atau ketua kumpulan. Ia adalah proses yang termaktub dalam Perlembagaan dan membabitkan soal undang-undang.

Oleh itu, parti-parti politik dan wakil rakyat yang dipilih melalui proses pilihan raya tidak seharusnya dengan sesuka hati meletak jawatan atas alasan yang lemah.

Peletakan jawatan dua orang mantan wakil rakyat Parti KeADILan Rakyat (PKR) sebelum ini, iaitu di Permatang Pauh dan di Bukit Selambau adalah dua contoh dimana alasannya tidak begitu kukuh dan berkepentingan tertentu.

Kini ADUN Penanti dari PKR yang juga mantan Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin pula meletak jawatan atas alasan yang lemah dan rapuh. Saya harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertindak tegas berhubung peletakan jawatan Fairus dan mengkaji secara teliti sebab-musebab dia berbuat demikian. Jika ada keraguan, pilihan raya kecil tidak seharusnya diadakan.

Kita terima hakikat bahawa seseorang wakil rakyat boleh berhenti daripada menjadi ahli sama ada DUN atau Parlimen dengan mengutus surat yang ditandatangani olehnya kepada Speaker yang kemudian akan memaklumkan secara rasmi kepada SPR.

Yang perlu dihalusi oleh SPR ialah sama ada tanda tangan itu dibuat dengan rela hati atau dipaksa melalui tekanan atau yang dibuat tanpa meletakkan tarikh terlebih dahulu.

SPR tidak boleh membiarkan mana-mana wakil rakyat dengan sebegitu mudah meletak jawatan kerana proses pilihan raya bukan sesuatu yang seharusnya dipandang rendah dan boleh dipermain-mainkan. Ia adalah proses yang melibatkan rakyat, memerlukan perancangan dan logistik, mengambil kira aspek keselamatan dan memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit.

Antara sebab seseorang wakil rakyat itu boleh hilang kelayakan - dia disahkan tidak sempurna akal atau dalam kata-kata yang lebih tepat, gila; - dia muflis (bangkrap); dan dia disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang daripada setahun atau didenda tidak kurang daripada RM2 ribu.

ADUN Penanti yang terletak dalam kawasan Permatang Pauh, tidak gila, bukan seorang muflis dan belum atau tidak disabitkan kesalahan oleh mana-mana mahkamah, jadi kenapa dia perlu meletak jawatan?

Fairus, yang memiliki dua ijazah sarjana (masters) baru berusia 32 tahun dan boleh dikatakan mempunyai masa depan dalam arena politik, baru setahun jagung menjadi wakil rakyat dan diberi kepercayaan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Tiada sebab munasabah untuk dia meletak jawatan dalam pentadbiran negeri dan juga selaku wakil rakyat.

Mungkinkah apa yang sedang berlaku di Pulau Pinang, khasnya, dan dalam PKR, amnya, adalah satu permainan wayang kulit yang digerakkan oleh seorang tok dalang? Siapakah tok dalang PKR?

Saya kira percaturan yang diatur di Penanti mungkin akan memeranjatkan ramai pihak terutama tok dalang itu sendiri. Tidak semua gerak dan geri yang didalangi itu pasti mengikut rentak dan lagu yang dimainkan. Ada kalanya ia tersimpang dan terjatuh.

Mungkin di Penanti nanti, orang yang menanti, orang yang menunggu dan orang yang menyambut tetamu akan berpindah ke majlis yang lain kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap majlis yang sengaja diaturkan untuk kepentingan pihak dan golongan tertentu.

Sesungguhnya, penantian di Penanti akan menjadi penantian yang menyiksakan.

Tuesday 7 April 2009

Fairus nak tinggal PKR?

Nampaknya kemelut politik dalaman yang dihadapi oleh Parti KeADILan Rakyat (PKR) tidak habis-habis dan kali ini gelombang keretakan menghempas pantai Pulau Pinang.

Mantan Timbalan Ketua Menteri 1 Mohamad Fairus Khairuddin yang juga ADUN Penanti, dikatakan akan keluar parti untuk menjadi ADUN Bebas.

Dalam pada itu, PKR Pulau Pinang dilaporkan akan menyerah "surat letak jawatan sebagai ADUN" oleh Fairus kepada Speaker DUN. Surat tanpa tarikh itu disedia dan ditandatangani lebih awal sama seperti yang dilakukan di Perak. Jika berpandukan pengalaman Perak, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah tentu akan menolak surat perletakan jawatan" sedemikian rupa.


(Fairus akan isytihar diri sebagai ADUN Bebas?)


Menurut kawan-kawan di Pulau Pinang, ADUN Batu Maung Abdul Malik Abul Kassim sudah "sedia" untuk dilantik menggantikan Fairus sebagai TKM 1. Harap-harap dia tidak akan kempunan sekali lagi.

Seorang lagi calon dari PKR ialah ADUN Sungai Bakap Maktar Shapee.

(Abdul Malik antara dua nama yang disebut untuk menggantikan Fairus sebagai TKM 1)

Fairus yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), meletak jawatan TKM 1 pada 22 Mac lalu dan berkuatkuasa 8 April ini.


Monday 23 March 2009

Isu Timbalan KM Pulau Pinang

Peletakan jawatan timbalan ketua menteri Pulau Pinang yang dibuat oleh ADUN Penanti dari Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Mohamed Fairus Khairuddin adalah berpunca daripada 'pakatan sulit' dalam parti itu sendiri.

Fairus menggunakan perkatan 'konspirasi' yang membawa maksud satu 'pakatan sulit' yang sememangnya berniat jahat untuk menjatuhkannya.

Saya dapati bahawa dalam kerajaan campuran bernama Pakatan Rakyat, banyak masalah nampaknya berlaku dalam PKR dan bukan DAP mahupun PAS.

Tumbangnya pentadbiran PR di Perak (yang masih dipertikaikan) berpunca daripada tindakan tiga orang ADUN PR yang mana dua daripadanya adalah ADUN PKR. Peletakan jawatan ADUN PR bagi kawasan Bukit Selambau di Kedah juga dari PKR dan sedikit masalah di Selangor, terutama sekitar Klang dan Kapar juga membabitkan wakil rakyat PKR.

Dalam hubungan pentadbiran PR di Perak, tidak banyak yang boleh diperkatakan kerana ia kini berada di Mahkamah.


FAIRUS BERADA DALAM PARTI POLITIK YANG SALAH

Akhir tahun lepas, saya berpeluang menghadiri satu majlis rasmi di Pulau Pinang dimana Fairus hadir selaku wakil Ketua Menteri. Buat pertama kali saya berpeluang mendengar Fairus berucap dan saya dapati dia memiliki ciri-ciri seorang pemimpin.

Beberapa orang tokoh dan pemimpin veteran Melayu yang saya temui mengaku hakikat itu dan hampir semua berpendapat bahawa Fairus berada dalam sebuah parti politik yang salah. Pendek kata mereka bersetuju bahawa Fairus tidak dapat meniti tangga kejayaan kerjaya politik jika terus berada dalam PKR. Saya setuju.

Dari segi kelulusan akademik, Fairus adalah yang terbaik di kalangan wakil rakyat Melayu di Pulau Pinang. Dia boleh diibaratkan sebagai sebutir mutiara yang perlu digilap tetapi dia menghadapi keadaan sebaliknya.

PKR nampaknya telah menggugurkan sebutir intan untuk digantikan dengan sebutir kaca yang cuba menjadi intan. Itulah yang dapat saya katakan.

Di mana letak punca kemelut politik dalam PKR jika tidak di tangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Nampaknya Anwar masih tidak berubah. Dia masih dengan sikap "one upmanship' dan semua orang, termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP, mesti ikut cakapnya. Cuti Fairus selaku timbalan ketua menteri juga diluluskan oleh Guan Eng atas arahan Anwar.

Awal-awal lagi Anwar telah menunjukkan 'ketuanannya' dalam PR apabila dia secara terbuka menjatuhkan air muka Fairus apabila dia 'menegur' pemimpin muda itu. Tegurannya itu mendapat liputan meluas dalam media arus perdana yang sentiasa menunggu 'berita' sedemikian.

Tindakan Anwar bukanlah sesuatu yang boleh dilihat sebagai ketelusan kerana ada perkara dan ada isu yang tidak boleh didedahkan kepada umum tetapi dibincang secara tertutup di kalangan kepimpinan parti. Inilah yang tidak dilakukan oleh Anwar.

Perbuatan 'mengaibkan' orang lain terutama seseorang yang bergelar pemimpin di khalayak bukanlah sesuatu yang elok dan kena dengan adat serta budaya Melayu. Fairus telah melaluinya dan hanya Tuhan yang tahu isi hatinya ketika itu.

Sekiranya Fairus masih ingin meneruskan perjuangannya dalam arena politik, tempatnya bukan dalam PKR dan jauh sekali DAP. Dia ada dua pilihan iaitu PAS atau UMNO dan jika ditanya pendapat saya, jawapannya adalah PAS.


Monday 2 February 2009

Kenapa kanak-kanak dijadikan mangsa politik?



Gajah sama gajah bergasak, pelandok yang mati. Itulah yang dapat diperkatakan apabila melihat kanak-kanak pra-sekolah menjadi mangsa orang politik.

Perkara yang boleh dikatakan tidak bertanggungjawab dan waras ini bukan berlaku di Zimbabwe, di Rusia atau di Mongolia, tetapi di bumi bertuah bernama Malaysia.

Dulu ia berlaku di Terengganu semasa PAS memerintah, kemudian di Perak apabila Pakatan Rakyat menjadi pentadbir negeri dan kini di Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

Sebagai anak Pulau Pinang yang pernah berkhidmat di Daerah Barat Daya (Balik Pulau) pada tahun 1970-71, saya sedih melihat kanak-kanak Tadika KEMAS di Kuala Sungai Pinang, menjadi mangsa kekejaman orang politik (Parti KeAdilan Rakyat).

Jikapun tidak setuju Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menggunakan premis berkenaan sebagai pusat Taman Bimbingan, janganlah sampai mengakibatkan kanak-kanak yang tidak berdosa, yang tidak tahu apa itu politik, yang tidak kenal apa itu UMNO atau PKR menjadi mangsa.

Perbuatan mengunci pintu masuk Tabika KEMAS Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, iaitu satu-satunya Tabiba mahupun Tadika di perkampungan nelayan itu amat dikesali.

Apakah orang yang mengunci dengan menggunakan rantai motosikal itu tidak mempunyai anak, atau orang yang mengarah perbuatan tersebut tidak mempunyai anak atau adakah mereka tidak berhati perut?

Mereka sanggup melihat kanak-kanak duduk atas tikar dan terdedah kepada sinaran matahari dan debu-debu yang berterbangan tanpa belas kasihan. Apa dah jadi dengan sifat-sifat kemanusiaan?

Binatangpun tahu sayang dan lindungi anaknya. Kenapa manusia begitu zalim semata-mata kerana berlainan fahaman politik?

Di mana Ahli Parlimen Balik Pulau yang juga ketua Angkatan Muda PKR Pulau Pinang? Saudara adalah seorang yang bijak, cerdik dan berpendidikan tinggi. Bagaimana perkara seumpama ini boleh berlaku dalam kawasan pilihan raya saudara sendiri?

Saya tidak tahu apa nak diperkatakan lagi. Melayu Oh Melayu!