Sunday, 31 July 2011

Selamat Datang Ramadhan dan Selamat berpuasa

Kita mengetahui dan memahami akan kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan. Kita sering kali diberitahu bahawa Ramadhan adalah bulan berkat, bulan sabar, penghulu semua bulan dan amalan di dalam bulan ini dilipat gandakan ganjarannya.

Kita juga dimaklumkan bahawa di dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu Lailatul Qadar, bulan Al Quran dan dibuka semua pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan semua syaitan diikat  

Itulah yang sering ditekankan oleh tuan-tuan guru dalam ceramah yang disampaikan mengenai Ramadhan. 

Kita juga diberitahu mengenai  Al-Ittibaa'  yang bermaksud mengikuti cara Rasulullah s.a.w. kerana baginda s.a.w adalah manusia yang paling mengetahui cara yang paling tepat dan sempurna bagaimana cara beribadat kepada Allah S.W.T.  

Mengikut cara Rasulullah s.a.w. amat penting agar suatu ibadat itu sempurna dan selanjutnya diterima oleh Allah S.W.T. sebagai amal soleh.

Puasa dapat menjadi benteng sehingga dapat menjadi penghalang utama manusia daripada melakukan maksiat dan melawan hawa nafsu duniawi. Orang yang berpuasa  akan mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan ketika menemui Allah kelak di akhirat.

Seorang pendakwah dan ilmuan Islam, Dr Abdullah Yasin dalam buku kecilnya mengenai Puasa Ramadhan berkata sebahagian manusia berpuasa hanya sebagai adat, bukan ibadat. Dia berpuasa hanya ikut-ikutan orang ramai yang telah diwarisinya sejak zaman silam. Mereka berpuasa kerana orang ramai berpuasa.

Katanya yang menjadi pendorong utama kita berpuasa ialah iman kita bahawa Allah telah mewajibkan kita berpuasa dan kita berpuasa semata-mata kerana ihtisab iaitu mendapat ganjaran pahala-Nya. Jika pendorong kita berpuasa hanya adat, bukan kerana iman dan ihtisab, maka kita sebenarnya tidak layak mendapat ganjaran sebagaimana yang telah dijanjikan.

Bagaimana pula cara kita berbuka puasa.... lihat saja betapa hebatnya orang berbelanja di pasar-pasar Ramadhan, di hotel-hotel dan di restoran-restoran  mewah. Di situ kita pasti dapat jawapannya.

Kepada umat Islam seluruhnya, sama-samalah kita berdoa agar puasa yang kita lakukan diterima oleh Allah dan mendapat ganjaran setimpal di akhirat.

 

Kebakaran di Butterworth yang dirakam dari feri Pulau Pinang

Lebih kurang pukul 1.10 tengah hari semasa menaiki feri 'Pulau Pinang' dari Pangkalan Raja Tun Uda, George Town ke Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth, saya dan penumpang feri melihat satu kebakaran berhampiran depoh simpanan minyak Butterworth. Saya sempat merakam kebakaran itu tetapi tidak tahu bangunan apa atau premis apa yang terbakar.



Thursday, 28 July 2011

Mantan hakim mahkamah persekutuan sesuai sebagai pengerusi SPR

Saya setuju dengan cadangan mantan hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Abdul Razak Abu Samah agar seorang mantan hakim Mahkamah Persekutuan dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya atau SPR dan bukan seorang pesara perkhidmatan awam seperti sekarang.

Hujah Datuk Abdul Razak bahawa mantan hakim Mahkamah Persekutuan yang ariff mengenai undang-undang mampu bertindak secara adil, bebas dan telus berbanding dengan seorang pesara kerajaan mungkin boleh dipertikai tetapi ia ada kebenarannya.

Seorang pesara kerajaan yang pernah memegang jawatan tinggi seperti ketua setiausaha sesebuah kementerian sudah pasti terus terikat dengan budaya kerja semasa berkhidmat dan selalunya dilihat sebagai penyokong kerajaan, iaitu pihak yang mencadang namanya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai pengerusi SPR.

Kita sedar bahawa menurut  Perkara 114 dalam kurungan 1,  Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah mengandungi seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang ahli lain.

Kita juga sedia maklum bahawa nama mereka yang bakal dilantik itu diserah oleh kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan. Oleh itu, mereka adalah orang yang dipilih oleh kerajaan.
 
Pada melantik ahli-ahli SPR, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat  kepercayaan awam. Soal di sini adalah kepercayaan awam dan apa yang berlaku kebelakangan ini sedikit sebanyak mengaitkan kepercayaan awam terhadap kebebasan dan  kesaksamaan SPR.
 
Seseorang ahli SPR  adalah terhenti memegang jawatan apabila mencapai umur 65 tahun atau apabila hilang kelayakan oleh kerana, antara lainnya, akibat bankrap atau muflis yang belum dilepaskan; mengambil bahagian dalam apa-apa jawatan atau pekerjaan bergaji di luar tugas jawatannya; atau adalah seorang ahli mana-mana Majlis Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Sama ada kita setuju atau tidak, kewibawaan SPR menjadi tanda tanya ekoran daripada isu Bersih 2.0 yang mendapat liputan meluas seantero dunia. Pihak kerajaan sudah tentu mempertahankan kebebasan SPR  manakala pihak pembangkang dan beberapa NGO termasuk Majlis Peguam melihat sebaliknya walupun tidak secara menyeluruh.

Tugas SPR adalah untuk menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negeri serta menyedia dan menyemak daftar-daftar pemilih untuk pilihan raya itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan. 

Soal sama ada berlaku kekosongan dalam sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri-Negeri bergantung kepada keputusan Speaker, bukan pihak lain termasuk Mahkamah dan SPR seharusnya akur dengan pemakluman oleh Speaker. Inilah antara perkara penting yang menjadi perbahasan kerana ada ketikanya, SPR bertindak atas pemakluman Speaker dan ada kalanya SPR sendiri membuat keputusan sama ada kekosongan itu berlaku atau sebaliknya.

Perkara sedemikian tidak berlaku semasa SPR dipimpin oleh almarhum Tan Sri Ahmad Perang dan tidak pula berbangkit masalah besar atau sebarang perasaan sangsi terhadap kebebasan SPR. Perkara yang sama boleh dikatakan wujud semasa Tan Sri Abdul Rashid menjadi pengerusi SPR. Tetapi, di bawah kepimpinan pengerusi yang ada sekarang, ketakpuasan hati mengenai kebebasan dan ketelusan SPR dibangkitkan termasuk oleh Bersih 2.0.

Mungkin benar apa yang dikatakan oleh Datuk Abdul Razak bahawa perlantikan pesara kerajaan untuk mengetuai SPR mungkin tidak akan dilihat sebagai mampu 'bebas sepenuhnya' kerana mereka begitu dekat dengan pihak pentadbiran dan dilantik pula atas cadangan pentadbiran.

Bagaimanapun, saya  yakin kerajaan tidak akan beralih daripada apa-apa amalan yang membawa kebaikan kepadanya. Oleh itu, kita akan terus melihat SPR diketuai oleh pesara kerajaan yang dipilih oleh  pihak pentadbiran.



 


Monday, 25 July 2011

Pengeboman di Oslo, Barat hampir menuduh 'pengganas' Islam dan Libya

Apabila tercetus berita mengenai pengeboman di Oslo, Norway, semua media Barat  dan saluran berita satelit Aljazeera, mula membuat andaian bahawa pelaku atau pihak yang bertanggungjawab mungkin al-Qaeda, 'pengganas Islam' dan 'Islamis',  kata Editor 'The Muslim News', Ahmed Versi.

Ahmed Versi memberitahu agensi berita IRNA bahawa spekulasi mengenai pelaku turut membuat tuduhan  kononnya Libya pimpinan Muammar Ghaddafi berada di belakang tetapi tidak pula disebut yang 'pelampau berhaluan kanan'  mungkin terlibat.

Akhbar The Muslim News, iaitu akhbar Islam terulung di England yang  mengikuti dan melaporkan mengenai serangan-serangan ke atas Islam atau 'Islamophobic attacks' di Britain, menyamakan apa yang berlaku di Oslo dengan pengeboman di Oklahoma, Amerika Syarikat pada 1995.

Tetapi, apabila didapati bahawa pelaku atau orang yang bertanggungjawab ke atas pengeboman di Oslo dan pembunuhan beramai-ramai di sebuah pulau perkhemahan belia adalah seorang pelampau Kristian berhaluan kanan yang anti-Islam, lain pula nada reaksi. Mereka  amat sukar untuk mempercayai  bahawa seorang warga Norway sanggup melakukannya sedangkan pada hakikatnya hampir semua serangan 'pengganas' di Eropah membabitkan pelaku bukan-Islam.

Ahmed Versi memetik perangkaan dari Pejabat Polis Eropah atau Europol yang menunjukkan orang Islam hanya melakukan satu daripada 498 serangan pengganas di Kesatuan Eropah pada 2006.

'Ia mengingatkan saya akan pengeboman di Oklahoma,  Amerika Syarikat apabila orang Islam dipersalahkan atas kematian 168 orang, termasuk 19 kanak-kanak berumur bawah enam tahun. Pelakunya didapati seorang pelampau Kristian berhaluan kanan,' katanya.

Beliau berkata serangan di Norway dan di tempat-tempat lain di Eropah jelas menunjukkan  hampir semua tindakan pelampau dan pengganas dilakukan oleh bukan Islam.

Saya setuju dengan apa yang dikatakan oleh Ahmed Versi setelah meneliti ulasan atau komen segera Presiden Obama dan pemimpin-pemimpin Eropah termasuk Canselor Jerman, PM Britain, Presiden Perancis dan jurucakap NATO. 

Mereka cuba menuding jari kepada 'pengganas yang ada kaitan dengan al-Qaeda' dengan mengaitkan pembabitan Norway di Afghanistan dan Libya. Mereka cuba membayangkan bahawa serangan itu sebagai 'tindak balas pengganas' terhadap pembabitan Norway itu.

Amerika dan Barat memang cepat untuk mempersalahkan 'pengganas yang ada kaitan dengan al-Qaeda' atau apa yang mereka label sebagai 'Islamis' atau 'radikal Islam'.

Mereka lupa akan rakyat mereka sendiri yang berhaluan kanan, pro-Nazi, pro-Zionis dan anti-Islam yang jauh lebih kejam dan zalim. Mereka terpaksa terima padahnya.


Monday, 18 July 2011

Hiburan: Umno lulus mengapa MCA, Gerakan serang PAS

''Tidak ada yang boleh mengatasi keraguan-keraguan kecuali kebenaran. Segala sesuatu yang kosong dari kebenaran, pasti salah.'' - Abu Hanifah al-Dinuri.

MCA dan Gerakan sedang bermain wayang tongkol atas sebuah pentas yang bakal roboh.

Hiburan: Umno lulus mengapa MCA, Gerakan serang PAS

Friday, 15 July 2011

Polis dah kelabu mata dengan warna kuning, itulah agaknya.

 MAKLUMAT TERKINI - 17 Julai Timbalan Ketua Polis Negara berkata orang ramai boleh pakai baju berwarna kuning yang tiada logo atau lambang bersih. Katanya bukan setakat baju tetapi topi, tali leher, sarung kaki dan apa saja yang berwarna kuning. 



Awas jika anda ingin memakai pakaian berwarna kuning kerana warna itu kini menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara. Bukan sekadar kemeja 't' tetapi apa saja pakaian berwarna kuning termasuk tali leher, selendang, tudung dan topi. Ia akan menjadi lebih berbahaya jika ianya bersih, tidak kotor, kerana perkataan 'bersih' juga kini satu ancaman.

Jika diamati foto yang saya kutip dari sumber Internet seperti di bawah ini, warna kuning sebenarnya kesukaan ramai. PM Najib pun gemar memakai baju Melayu berwarna kuning, Ratu Elizabeth pun memakai pakaian berwarna kuning semasa menerima menghadap Najib di London baru-baru ini dan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei pun pakai baju sukan berwarna kuning, warna utama pakain sukan negara kita.

Warna kuning, selain diiktiraf sebagai warna di-raja di Malaysia, juga menjadi warna kegemaraan pendokong demokrasi di Thailand.

Semoga Malaysia tidak menjadi bahan tertawa dunia kerana warna kuning.





Thursday, 14 July 2011

UMNO, PMO, MEDIA DAN BERSIH 2.0

Seorang pemimpin UMNO kurang senang kerana saya menyiarkan foto pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam blog ini yang berkaitan bantahan jalanan oleh Bersih 2.0 pada 9 Julai. Saya tidak hairan dan terperanjat dengan sikapnya itu kerana itulah pemikiran mereka yang selalunya berada dalam kotak.

Adalah menjadi hak mutlak saya sebagai seorang pengamat bebas yang menulis secara bebas tanpa menerima petunjuk ataupun arahan daripada mana-mana pihak jauh sekali menerima upah atau bayaran. Kepada saya, foto itu cukup berharga, tidak kiralah sama ada ia satu lakonan Anwar, seperti yang dikata oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, atau ia benar-benar berlaku.

Saya sedar bahawa foto itu tidak akan mendapat tempat dalam mana-mana akhbar arus perdana ataupun stesen-stesen tv yang sama ada dikuasai, dikawal atupun dimiliki oleh parti-parti politik pendokong pemerintah atau syarikat-syarikat yang dimiliki mereka.

Foto itu disebar ke seluruh dunia oleh agensi berita Reuters kerana ia mempunyai nilai berita.

Apabila saya menyiarkan foto itu bersama-sama foto lain yang dikutip daripada laman-laman sesawang akhbar The Star dan Malaysiakini, saya memberi peluang kepada pembaca blog untuk mengamati mengenai apa yang berlaku.

Seperti yang saya katakan awal lagi, saya adalah seorang penulis bebas, saya tidak bekerja untuk mana-mana pihak dan jauh sekali menerima arahan sama ada secara lisan atau bertulis daripada Pejabat Perdana Menteri atau PMO seperti yang berlaku ke atas akhbar dan media arus perdana. Oleh itu, apa yang saya tulis mungkin tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu, saya tidak kisah kerana itu hak mereka. 

Sebagai seorang yang pernah bertugas dengan agensi berita kebangsaan Bernama selama 27 tahun dan hampir lima tahun sebagai setiausaha akhbar kepada menteri di JPM, saya cukup masak dan sedar akan 'arahan' yang sering diterima oleh media daripada PMO, tetapi ia tidaklah sehebat apa yang berlaku sebelum bantahan jalanan oleh bersih 2.0.

Seperti yang disiar oleh media dalam talian Malaysia Today pada 11 Julai, media arus perdana dan hampir semua media pro-pemerintah menerima petunjuk dan pesanan daripada PMO berkaitan isu Bersih, untuk perhatian dan tindakan, di mana perlu.

Petunjuk dan pesanan itu, yang lebih merupakan 'arahan' berpunca daripada apa yang diputuskan oleh Biro Politik UMNO, iaitu  biro paling berpengauh dan 'berkuasa' dalam UMNO. Apa yang diputuskan oleh biro yang dipengerusi oleh Najib itu lazimnya menjadi 'dasar' atau 'hala tuju' pemerintah.

Petunjuk dan pesanan  bertulis itu yang disebut sebagai 'nota' diedarkan kepada media oleh ketua pasukan komunikasi kebangsaan di PMO, Abdul Jalil Hamid, mantan wartawan. Nota itu menggarisi panduan dasar dan apa yang harus dibuat dan dielak oleh media dalam menangani isu Bersih 2.0.

Antara 'nasihat' yang disampaikan kepada media termasuklah memberi gambaran buruk terhadap pertubuhan dan pemimpin-pemimpin penting Bersih, mengulang sebut bahawa ia adalah perhimpunan haram dan mereka yang mendokong Bersih adalah pengacau dan cuba mencabar Perlembagaan dan undang-undang untuk mendapat pulangan politik.

Media juga diminta membangkitkan kebimbangan di kalangan rakyat bahawa Bersih bekerja untuk kepentingan anasir-anasir luar negara yang cuba menggugat kestabilan negara. Bersih sebenarnya tidak bersih kerana ia adalah perkumpulan haram yang hanya ingin menimbulkan kacau bilau.

Kementerian Dalam Negeri perlu tegas dengan kuasanya ke atas media agar mereka tidak tersasar dari landasan manakala polis akan bertindak ke atas penganjur Bersih berlandaskan ratusan laporan yang dibuat di seluruh negara.

Media juga diminta mengutamakan berita yang berkisar kepada bagaimana perniagaan, peniaga-peniaga kecil, pelancongan dan orang ramai yang akan terjejas akibat rancangan Bersih dan mempersoalkan dari mana Bersih mendapat dana untuk mengadakan tunjuk perasaan itu.

Tiga tokoh utama akan dijadikan 'mangsa' sasaran iaitu Anwar, timbalan presiden PAS Mat Sabu yang dilabel sebagai budak suruhan Anwar dan tali barut DAP dan pengerusi Bersih S. Ambiga. Media diminta guna foto Ambiga bersama-sama pemimpin Pakatan Rakyat untuk menunjukkan keakrabannya dengan mereka.

Media juga diminta mengurangkan penggunaan 'muka-muka yang sama' iaitu Zulkifli Nordin, Zahrain Hashim dan Ibrahim Ali selaku 'alat serangan' tetapi cuba cari muka-muka baru di kalangan Pemuda BN dan NGO tertentu. Stesen-stesen tv akan terus menyiarkan imej demonstrasi-demonstrasi ganas yang berlaku di luar negara.

Sekarang pembaca sudah pasti tahu kenapa stesen-stesen tv selalunya mewawancara Zulkifli dan Zahrain, dua orang mantan wakil rakyat PR yang kini bersifat wakil rakyat bebas mesra BN, apabila pihak media ingin menghentam pemimpin pembangkang tertentu. Saya yakin Zulkifli dan Zahrain akan mendapati amat sukar untuk mempertahan kerusi masing-masing pada PRU akan datang, itupun jika mereka dipilih oleh BN untuk bertanding atau bertanding atas tiket bebas.  

Saya tidak mahu mempersalahkan sepenuhnya ketua-ketua pengarang, pengarang bersekutu, pengarang kumpulan mahupun pengarang media arus perdana yang hampir semuanya bergelar datuk dan datuk seri   semata-mata kerana mematuhi apa yang diminta oleh PMO. Mereka semestinya dan seharusnya ingin pertahan kedudukan, jawatan dan habuan bulanan kerana bukan mudah untuk menduduki kerusi masing-masing apatah pula keselesaan dan kemewahan.

Yang perlu diingati ialah kuasa yang ada pada rakyat, bukan kuasa yang ada pada PMO, KDN, PDRM ataupun SPR. Jika rakyat puas hati dengan pencapaian BN, maka mereka akan mengekalkan kuasa pemerintah kepada gabungan itu dan jika mereka memilih PR, maka akan berubahlah segala-galanya termasuk kedudukan para pengarang media arus perdana.


 

Monday, 11 July 2011

Jambatan Pulau Pinang - kedua - menghampiri sasaran

Jambatan kedua yang bakal menghubungi Batu Kawan di Seberang Perai dan Batu Maung di Pulau Pinang telahpun 54 peratus siap dibina.

Jambatan sepanjang 24 km itu dibina oleh China Harbour Engineering Co. Ltd. membabitkan perbelanjaan sebanyak RM4.5 bilion. Selain syarikat dari China itu, tiga kontraktor utama turut terlibat iaitu Cergas Murni Sdn Bhd untuk kerja-kerja berkaitan hubungan daratan di Batu Maung bernilai RM67 juta; IJM Corp. Bhd untuk kerja-kerja hubungan daratan di Batu Kawan bernilai RM350 juta; dan HRA Teguh Sdn Bhd untuk kerja-kerja hubungan dengan Lebuh Raya Utara Selatan bernilai RM152 juta.


                                          FOTO THE STAR

UEM Builders Bhd turut terlibat dalam kerja-kerja pembinaan 'superstructure' bernilai RM1.5 bilion manakala syarikat dari China menjalankan pembinaan 'substructure' bernilai RM2.2 bilion.

Jambatan kedua itu dijadual siap pada November 2013 dan akan muncul sebagai jambatan merentasi laut yang terpanjang di Asia Tenggara.

                                          FOTO THE STAR

Bersih 2.0: Matthias sifatkan kegagalan Najib

Mantan Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad ulas mengenai Bersih 2.0 dan kegagalan PM Najib tangani masalah secara betul.

Bersih 2.0: Matthias sifatkan kegagalan Najib

Friday, 8 July 2011

Kalaulah polis kita cekap macam ni...

Foto dari agensi berita Reuters menunjukkan ketua pembangkang Anwar Ibrahim sedang ditenangkan oleh anaknya Nurul Izzah ekoran menjadi mangsa tembakan gas pemedih mata oleh polis semasa menyertai demonstrasi jalanan.

Foto kedua yang dipetik dari Malaysiakini menunjukkan ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengepalai demonstrasi jalanan menentang demonstrasi Bersih 2.0. Kumpulan pemuda ini dikenali sebagai Patriot. Khairy kemudian ditangkap polis untuk siasatan.






 FOTO DARI THE STAR, MALAYSIAKINI DAN REUTERS


Pasukan Polis Di-Raja Malaysia atau PDRM memperlihatkan kecekapan dan kehandalan mereka menangani apa yang disebut sebagai demonstrasi jalanan atau tunjuk perasaan di jalan-jalan raya Kuala Lumpur. Sejak tengah malam tadi, PDRM mengadakan sekatan jalan di jalan-jalan utama yang menuju ke pusat bandar raya Kuala Lumpur. Tujuannya tidak lain daripada menyekat atau menghalang 'orang yang tidak diingini' daripda memasuki dan berkumpul di tempat-tempat tertentu dalam bandar raya.

Walaupun tindakan PDRM menimbulkan masalah kepada sesetengah pihak yang perlu memasuki pusat bandar raya untuk urusan rasmi dan penting, tidak ada apa yang boleh dilakukan kerana itulah peraturan dan undang-undang yang dilaksanakan oleh PDRM, termasuk mendapat perintah mahkamah.

Jumlah dan bilangan anggota dan kenderaan PDRM yang bersiap siaga  di mereta tempat sekitar bandar raya cukup menakjubkan. Semuanya itu kerana PDRM nak jamin keamanan dan ketenteraman awam.

Sehingga tengah hari, hampir 250 orang telah ditangkap dan beberapa buah hotel dimasuki polis atas tujuan menegak keamanan dan mencegah cetusan kacau bilau.

PDRM benar-benar memperlihatkan kecekapan mereka kepada dunia seperti yang dapat ditonton melalui laporan CNN, BBC dan Al-Jazeera. Tahniah.

Adalah diharapkan agar PDRM dapat menunjukkan kecekapan dan kehandalan yang sama hebat untuk menangani jenayah, memerangi rasuah di kalangan anggotanya sendiri, membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah berbahaya dan banyak lagi ancaman ke atas keselamatan negara termasuk yang didalangi oleh pendatang asing tanpa izin.

Rakyat sudah pasti akan lega melihat kecekapan PDRM menjalankan tugas dan amanah secara adil dan saksama.

Tuesday, 5 July 2011

DAULAT TUANKU - rakyat menjunjung kasih atas titah tuanku

DAULAT TUANKU, itulah yang dapat diluahkan atas kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah kerana berkat titah baginda perhimpunan atau gerakan jalanan yang bakal diadakan pada 9 Julai ini akan dibatalkan.

Pihak penganjur BERSIH 2.0 yang dikepalai oleh mantan pengerusi Majlis Peguam Datuk S. Ambiga juga akur dengan cadangan Perdana Menteri supaya perhimpunan itu diadakan di stadium, bukan di jalanan.

Kita akur akan hak mereka untuk berbuat demikian tetapi kita lebih mementingkan ketenteraman awam dan keselamatan kerana ada dua pihak lain, iaitu Pemuda UMNO dan Perkasa yang akan turut mengadakan demonstrasi jalanan sebagai tindakan balas. Huru haralah jawabnya.

Selain itu, kita percaya ada pihak lain termasuk anasir-anasir subversif yang akan menangguk di air yang keruh dengan niat jahat untuk membangkitkan kemarahan kaum dan mencetus rusuhan.


Dalam pada itu, PM Najib mesti  pegang pada janjinya yang dibuat dihadapan kakitangan awam Jabatan Perdana Menteri sempena perhimpunan bulanannya semalam.

Antara lain Najib dipetik oleh Utusan Malaysia sebagai berkata - ''Kalau kata nak berkumpul dari pagi sampai malam di stadium, kerajaan tidak mempunyai sebarang halangan, bertempiklah sampai tak larat tapi jangan buat demonstrasi jalanan.'' Itulah yang diucap oleh Najib di hadapan kakitangan JPM.

Penganjur BERSIH 2.0 pun menerima saranan Najib dan mereka bersetuju membatalkan demonstrasi jalanan dan sebaliknya mengadakan perhimpunan di stadium. Inilah yang mereka ikrar di hadapan Seri Paduka Baginda  yang berkenan menerima  tiga wakil penganjur menghadap di Istana Negara hari ini.

Apa reaksi Najib?

Kerajaan sedia temui penganjur BERSIH 2.0 berhubung hasrat mereka nak adakan perhimpunan di stadium, asalkan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan. Syaratnya mereka akan pergi ke stadium dengan aman, adakan perhimpunan secara aman dan akan balik secara aman.

Jika dihalusi ada perbezaan ketara dalam kedua-dua kenyataan Najib itu. Saya tidak ingin mengulas mengenainya kerana yakin pembaca bijak untuk menilainya.
 

Sunday, 3 July 2011

Saya nak pakai baju bersih berwarna kuning, salahkah?

Tak habis-habis cerita berkaitan baju kuning dan bersih. Setiap stesen tv ada saja berita terkini, begitu juga dengan stesen-stesen radio dan tidak ketinggalan surat khabar arus perdana mahupun yang tiada arus.

Kepada mereka yang memihak kepada parti pemerintah, lain ceritanya dengan  mereka yang condong kepada parti-parti pembangkang. Begitu juga dengan media arus perdana dan yang tiada arus.

Seperti biasa, pihak polis segera bertindak menahan, menggari dan memohon perintah reman dari mahkamah semata-mata kerana ada orang, terutama sekali dari puak pembangkang, yang memakai baju berwarna kuning dengan tulisan tertentu, termasuk perkataan BERSIH.

Rampasan demi rampasan dibuat membabitkan kemeja 'T' yang dikatakan menyokong BERSIH, sepanduk, lencana dan macam-macam lagi. 

Saya tidak menyokong mana-mana pihak, tetapi mendapati apa yang sedang berlaku dan bakal dilakukan oleh kedua-dua pihak yang 'bertentangan' hanya akan menjejas imej negara dan mungkin mengakibat sesuatu tindakan ke atas negara yang dicintai.

Dunia sedang memerhati dan mengawasi apa yang sedang dan akan berlaku. Kita tidak boleh menutup mata dunia kerana kita hidup dalam era dunia tanpa sempadan, dunia siber yang membolehkan pihak luar melihat apa yang sedang berlaku di sini dalam sekelip mata sahaja. Sama seperti apa yang kita tontoni melalui kelir tv tentang apa yang berlaku di negara lain - di Mesir, di Libya, di Yaman, di Suria atau Syria, di Afghanistan, di Greece mahupun di Bangkok. Kita tidak boleh menyekatnya walaupun kita 'mengharamkan' kemeja 'T' berwarna kuning yang dikaitkan dengan BERSIH 2.0 dan apa saja 'sekatan' atau 'larangan'.

Hari ini hari Sabtu tanggal 3 Julai dan Sabtu depan adalah tarikh yang dikaitkan dengan protes jalanan BERSIH 2.0. Kita tidak pasti sama ada ia akan berlaku atau pihak pemerintah akan mengambil tindakan drastik dengan mengisytihar darurat untuk mencegah ia daripada berlaku.

Saya ke bandar memakai kemeja 'T' berwarn kuning, kemeja 'T' itu bersih, tidak kotor kerana hanya orang tertentu sahaja yang akan memakai baju atau kemeja 'T' kotor. Semasa di lobi sebuah bank, ada beberapa biji mata yang memerhati mungkin kerana saya memakai kemeja 'T' berwarn kuning. Mungkin mereka sangka ianya ada kaitan dengan BERSIH 2.0. Saya tidak hirau kerana ia bukan satu kesalahan.

Sabtu depan, iaitu pada 9 Julai, saya akan memakai kemeja 'T' berwarna kuning yang sudah tentunya bersih dan tidak kotor. Ia tiada kaitan dengan BERSIH 2.0 dan tiada undang-undang yang melarang saya daripada memakai baju atau apa saja pakaian berwarna kuning, warna yang pada orang Melayu melambangkan warna di-raja.  

Ia bukan satu kesalahan kecuali ada pihak yang melihat sebaliknya, iaitu melanggar undang-undang. Setahu saya, hanya orang yang tidak berpakaian atau yang telanjang bulat, iaitu berbogel, di khalayak ramai yang melakukan kesalahan, itupun kerana kurang siuman.

Bercakap mengenai soal siuman, adalah diharapkan agar semua pihak yang bakal terlibat pada 9 Julai ini akan berfikiran waras, sewaras-warasnya  sebelum melakukan sesuatu. Jauhi sebarang perbuatan atau tindakan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan tidak siuman.

Plato pernah berkata - ''Berfikir ialah perbualan jiwa dengan diri sendiri. Orang yang tidak berdaya untuk berfikir ialah seorang yang bodoh.''

Jika kita tidak puas hati atau tidak setuju dengan parti yang memerintah, sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri termasuk yang ditadbir oleh parti lawan,  gunakan kuasa untuk mengubahnya melalui peti undi pada PRU ke-13. Kuasa ada di tangan kita, pengundi.

 


 

Saturday, 2 July 2011

Satu alamat 88 pengundi, apa penjelasan SPR

Apa kata SPR?

Jika berita ini benar, maka benarlah mengenai apa yang didakwa berkaitan 'kebebasan' SPR.

Sila klik di bawah ini untuk membaca laporan dari blog berkenaan.

Satu alamat 88 pengundi, apa penjelasan SPR